Sejak saya mengenali Dr. Maza, saya memahami satu perkara yang sentiasa saya pegang hingga hari ini: agama ini perlu dipertahankan daripada penyelewengan, walau apa pun harga yang terpaksa dibayar.
Saya memilih jalan ini dengan sedar. Pada tahun 2011, saya pernah terfikir, apa sahaja fitnah yang pernah dilemparkan kepada Dr. Maza, mungkin suatu hari nanti akan terkena kepada saya juga. Pernah saya menangis mengadu kepada seseorang tentang perkara itu. Jawapannya ringkas, tetapi sangat memberi kesan kepada saya:
"Kalau yakin apa yang abang faham itu betul, teruskan saja."
Sejak hari itu, saya terus bekerja.
Saya tegas menegur amalan-amalan yang diada-adakan dalam agama, kemudian dihias dengan alasan kononnya "baik". Sedangkan niat yang baik tidak pernah menghalalkan penyelewengan terhadap agama.
Apabila sesuatu yang bukan daripada agama dipersembahkan seolah-olah sebahagian daripada agama, di situlah bermulanya kekeliruan. Ia bidaah yang menjijikkan.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak dahulu lagi, ada pihak yang menggunakan agama untuk menghalalkan pendekatan mereka, mengharamkan pendekatan orang lain, malah menjadikan agama sebagai alat untuk meraih sokongan politik. Atas nama agama, masyarakat ditekan, ditakutkan dan dipaksa memilih pihak tertentu. Berkali-kali Dr. Maza menegur budaya seperti ini.
Malangnya, ia masih berterusan hingga hari ini.
Dalam siri-siri pilihan raya yang sedang berlangsung, kita masih melihat agama dijadikan modal politik. Bermula di Johor, kemudian Negeri Sembilan, dan mungkin akan berulang lagi di negeri-negeri lain. Agama dijadikan alat untuk mempengaruhi mereka yang ikhlas mahu mendekati Islam tetapi tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh. Sampai ada kumpulan mak cik yang menuduh parti pihak lawan tak tahu mengucap syahadah.
Agama tidak sepatutnya menjadi alat untuk membodohkan masyarakat. Agama sepatutnya membebaskan manusia dengan ilmu.
Kerana itu saya tidak akan berhenti menjalankan kerja memandaikan umat. Saya sedar, ada dalam kalangan pengikut saya yang kurang senang apabila saya mengkritik pemimpin parti yang mereka sokong. Namun pendirian saya tidak dibina atas nama seorangpun pengikut, tetapi atas dasar ilmu dan prinsip.
Saya tidak pernah memaksa sesiapa menerima pandangan saya. Tugas saya hanyalah menyampaikan apa yang saya yakini benar berdasarkan ilmu yang saya pelajari. Orang lain pun belajar, mereka juga ada ilmu.
Tetapi jika ada yang menerima pandangan saya, alhamdulillah. Jika ada yang masih belum bersetuju, itu menjadi tanggungjawab saya untuk terus belajar, memperbaiki hujah dan menyampaikan dengan lebih baik.
Harapan itu masih ada.
Saya belum berputus asa.
Saya mahu melihat negara ini menjadi lebih cerdik.
Saya mahu melihat umat Islam menjadi umat yang memimpin dengan ilmu, bukan terus dibelenggu oleh permainan yang menggunakan nama agama.
Jujur - kecewa apabila menjadi saksi hidup - agama dipermain-mainkan atas nama parti politik. Ia dibolak balik atas kepentingan politik kepartian.
---
Syihabudin Ahmad.
Gambar: Disember 2009, Musim Sejuk, Port Said, Mesir.

0 Comments
Post a Comment