Sedih juga melihat apabila ada agamawan menunggang istilah “harbi” sewenang-wenangnya dalam polemik politik.
— Saya bukan ahli politik, dan saya tak berniat nak backup mana-mana parti politik. Letak tepi sat bab politik. —
Sahabat-sahabat, dalam kitab-kitab fiqh rentas mazhab, istilah harbi dibincangkan dalam konteks kafir harbi, iaitu bukan sekadar gelaran kepada orang bukan Islam yang tidak kita sukai atau lawan politik.
Antara takrif yang diberikan oleh para fuqaha ialah:
1. Orang kafir yang berada dalam keadaan peperangan dengan negara Islam serta tidak mempunyai perjanjian damai atau jaminan keselamatan.
2. Orang kafir yang berasal daripada negara yang tidak mempunyai hubungan perjanjian (ʿahd) atau jaminan keamanan (aman) dengan negara Islam.
Kaedah para ulama menyebutkan taktig itu berbeza-beza tetapi akhirnya kedua-dua inilah definasi yang disebutkan dalam kitab-kitab Fiqh. Anda boleh rujuk sendiri.
Dalam konteks Malaysia, penggunaan istilah ini terhadap rakyat Malaysia adalah sangat bermasalah kerana:
Pertama, Malaysia tidak berada dalam keadaan peperangan antara orang Islam dan bukan Islam. Perbezaan pandangan atau persaingan politik sama sekali tidak boleh menjadikan seseorang itu berstatus harbi.
Kedua, individu yang dilabel itu ialah warganegara Malaysia yang hidup di bawah sistem perlembagaan dan undang-undang yang sama, bukannya warga negara asing yang berada dalam hubungan peperangan dengan negara Islam.
Dr Yusuf al-Qaradhawi rahimahullah dalam bukunya Khitabuna Islami fi Asry al Aulamah menyatakan dengan jelas bahawa Istilah Harbi dan Zimmi sudah tidak relevan. Lebih baik digunakan istilah Watani = Rakyat.
Ia adalah kenyataan yang boleh dipertimbangkan.
Sahabat-sahabat,
Menjaga ketepatan penggunaan istilah syarak adalah sebahagian daripada amanah ilmu. Jangan sampai istilah fiqh yang dibahaskan secara teliti oleh para ulama selama berabad-abad akhirnya dijadikan sekadar label politik untuk menyerang lawan.
Wallahualam.
—-
Tahniah kepada kerajaan baru Negeri Sembilan. Semoga Allah mudahkan MB baru untuk menerajui Negeri Sembilan yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
—-
Syihabudin Ahmad.


0 Comments
Post a Comment