Semalam, sebelum pulang ke Selangor, saya sempat singgah sebentar di Masjid Saidina Abu Bakar, Kuala Perlis - mencari wajah yang sangat dirindui - Saya tahu, ayah akan menunaikan solat di masjid tersebut, kerana itulah kebiasaan beliau sejak belasan tahun. Dapat juga saya lepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

Pada hari raya lepas, saya tidak berpeluang pulang ke kampung kerana kekangan kewangan yang sangat menghimpit memaksa saya menahan rindu dari jauh. Namun, Alhamdulillah, kebetulan ada mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan dan Khutbah Negeri Perlis, dapatlah saya pulang seketika untuk melepaskan rindu.

Walaupun singkat, peluang memeluk dan mencium ayah terasa amat panjang. Kalau di rumah, memang saya biasa peluk-peluk ayah macam bantal! Tak mau lepas! Walaupun dah 37 tahun, tapi ayah saya tetap ayah saya! Saya tetap anak kecilnya.

Tapi itulah... masa tidak pernah menunggu. Saya terpaksa bergegas pulang, meninggalkan ayah bersama sisa rindu yang belum sempat terisi sepenuhnya. Menjadi semangat untuk terus berjuang.

Saya masih ingat pesan ayah setiap kali saya telefon ketika sedang belajar di Al-Azhar dulu. Kata ayah, "Ayah tak boleh bagi apa pun kat hang. Ayah cuma boleh bagi hangpa pi mengaji saja.." Perkataan yang singkat, tapi sentiasa memacu diri untuk sentiasa berusaha. 

Semalam, ketika ayah cerita tentang keluarga Imam 1 Masjid Abu Bakar Masjid Abu Bakar—yang kebetulan berbual dengan saya—ayah turut mengimbau kisah lamanya. Tentang sahabat-sahabat yang pernah bersama-sama ‘tarik sampan’, tentang kehidupan di laut yang menjadi ‘pejabat’nya. Perlahan ayah menyebut, satu persatu mereka telah tiada… kembali menghadap Ilahi.

Hati saya tersetuh.

Kerana saya melihat kembali seluruh perjuangan ayah—membesarkan kami 13 beradik dengan kudrat yang tidak pernah mengenal lelah. Laut menjadi saksi, ombak menjadi teman setia.

Dan dalam senyum tawa… saya sedar,
ayah saya kini semakin tua.

Semoga Allah sentiasa kurniakan kebaikan buat ayah. 
Semoga kami sentiasa membanggakan ayah.

Terima kasih juga kepada pak cik, mak cik sekitar masjid yang selalu prihatin dengan ayah saya. Pantang tak ada satu hari, pasti sudah dicari. 

Rindu.