1. Menurut mazhab al-Syāfi‘ī dan satu riwayat dalam mazhab Ḥanbalī, sunat mengangkat tangan ketika bangun daripada rakaat kedua menuju rakaat ketiga. Maksudnya, selepas tahiyat awal, sunat mengangkat tangan apabila bangun ke rakaat seterusnya.

Tidak menjadi sunnah untuk mengangkat tangan pada peralihan daripada rakaat pertama menuju rakaat kedua, demikian juga daripada rakaat ketiga menuju rakaat keempat.

Hal ini bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhārī yang menceritakan cara solat Ibn ‘Umar r.a yang beliau dakwa sebagai perbuatan Nabi SAW.

Nāfi‘ meriwayatkan:
وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ

Maksudnya:
Apabila Ibn ‘Umar bangun selepas dua rakaat, beliau akan mengangkat kedua-dua tangannya.
(HR al-Bukhārī: 739)

2. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa sunat mengangkat tangan pada setiap perubahan rakaat.

Pendapat ini berhujah dengan riwayat Ibn Mājah yang menyebutkan hadis Ibn ‘Abbās r.a ketika beliau menceritakan sifat solat Nabi SAW. Beliau berkata:

كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ عِنْدَ كُلِّ تَكْبِيرَةٍ

Maksudnya:
Rasulullah SAW mengangkat kedua-dua tangan pada setiap kali mengucapkan takbir.
(HR Abū Dāwud: 865, sahih)

3. Manakala pendapat ketiga, iaitu pendapat mazhab Ḥanafī dan Mālikī, menyatakan bahawa tiada sunnah mengangkat tangan pada bila-bila waktu kecuali pada takbīrat al-iḥrām. Maka tidak disunatkan mengangkat tangan ketika hendak rukuk, iktidal, atau sujud, apatah lagi ketika bangun untuk peralihan rakaat.

Namun, pendapat yang lebih kuat ialah pendapat mazhab al-Syāfi‘ī, kerana hadis Ibn ‘Abbās bersifat umum, manakala hadis Ibn ‘Umar bersifat khusus. Justeru, kedua-dua hadis ini dapat diaplikasikan dalam kerangka pendapat mazhab al-Syāfi‘ī.

Wallāhu a‘lam.

---
Rujuk: Al-Mawsū‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah (1983), jld. 1, Kuwait: Wizārat al-Awqāf wa al-Shu’ūn al-Islāmiyyah, h. 287–288.
---

Persoalan: Jika makmum masbūq, pada rakaat ke berapakah sunat mengangkat tangan?

Jawapan: Ikut imam. Jika imam berada pada peralihan rakaat kedua ke ketiga, maka sunat mengangkat tangan ketika itu walaupun makmum baru masuk. Demikian juga selepas imam memberi salam, jika makmum berada pada rakaat kedua dan bangun ke rakaat ketiga, maka sunat baginya mengangkat tangan.

---

Syihabudin Ahmad
BA Syariah (al-Azhar)
MA Hadith (USM)