Hari ini, orang dah bertukar daripada sibuk bercerita tentang Iran, mereka sibuk bercerita tentang seorang influencer terkenal, Iman Kamil. Daripada badan kurus keding, masuk gim, badan dah besar – sekarang dah pakai tatu. Dengar kata, sekarang bukan di Malaysia, sedang bercuti di luar negara. 

Tonton: https://www.youtube.com/watch?v=CElerVBX2Oc

Sahabat-sahabat, daripada kenyataan beliau – jelas beberapa perkara.

1. Iman sendiri yang revealed tatu dia, dan tatu itu masih lagi merah – tanda ia masih baru dibuat.
2. Tak ada seorang pun tahu sebelum dia cucuh tatu, tapi dia ambil keputusan untuk menjadi orang pertama yang memberitahu.
3. Dia maklumkan bahawa tak ada sesiapa pun tahu bahawa dia tengah struggle, pemikiran berkecamuk, malam-malam bising dalam kepala.
4. Dia sedar, dengan bertatu dan memaklumkan kepada orang akan menjejaskan hidup dia, karier dia, dan boleh jadi akan menghancurkan semua itu.
5. Dia akui bahawa hidupnya dah hancur pun. Cuma sebelum ini, dia tak tunjukkan, tapi kali ini dia tunjukkan.
6. Iman kata – kita dan dia sama sahaja, bezanya dosa kita tak nampak, dosa dia nampak pada badan.
7. Dia kata, nasib baik dia masih hidup lagi. Kalau mati pun, orang tetap mengata dia.
8. Dia rasa hidup ini UNFAIR. Tak adil, sebab kadang-kadang kita buat baik, kita akan dapat jahat. Iman kata, dia dah buat baik, dia dapat jahat, membuatkan dia rasa penat.
9. Dia rasa frust. Banyak persoalan muncul dalam kepala otak. Aku dah buat baik, kenapa aku dapat macam ini? Lebih baik aku buat jahat sahaja.
10. Tatu dia tak ada unsur gengsterisme, cuma life story dia yang dia tak nak beritahu orang.

Jom kita bedah satu persatu.

Sahabat-sahabat,

Tatu ini haram. Haram kepada orang sihat, haram kepada orang sakit. Haram juga kepada orang sihat yang rasa diri sakit tapi tak mahu jumpa doktor. Yang haram tetap haram. Tak boleh bagi alasan sakit, tertekan ataupun frust.

Sahabat Nabi, Abdullah bin Mas‘ud meriwayatkan dalam satu hadis:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُوتَشِمَاتِ
Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu.

Hadis ini adalah hadis sahih riwayat al-Bukhari. Anda boleh rujuk kitab Sahih al-Bukhari terbitan Santai Ilmu Publication, jilid 5, hadis nombor 4886.

Hadis ini adalah hadis mauquf dengan hukum marfu‘. Ia menjadi bukti bahawa dalam agama Islam, bertatu – iaitu tanda pada badan yang terhasil daripada proses melarik, mencucuk dan memasukkan warna adalah haram.

Sahabat-sahabat,

Saya membaca banyak komen netizen, ada yang mengutuk, mengeji, ada yang kata “rileklah, tatu je pun, macamlah orang yang tegur tu terpaling masuk syurga!”

Sahabat-sahabat,

Kita kena sedar bahawa kita wajib menjaga ucapan kita. Apatah lagi, subjek yang kita sedang bincangkan ini berkaitan saudara kita sesama Muslim. Nabi sebut:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
"Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslim yang lain selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini sahih riwayat Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya.

Jika seseorang mempunyai masalah kesihatan mental yang teruk, satu kata celaan boleh menyebabkan penyakitnya menjadi lebih teruk dan tindakannya akan lebih berisiko. Namun, dalam masa yang sama – kita tak boleh berhenti sekadar kepada isu kesihatan mental semata-mata, apatah lagi Iman ini, dia tak pernah didiagnosis dengan sebarang masalah kesihatan mental.

Ya, dia pernah dakwa diri sendiri ada OCD tapi tiada sebarang clinical report berkaitan hal berkenaan apatah lagi isu tatu ini tak macam OCD. OCD ialah Obsessive Compulsive Disorder yang bermaksud seseorang itu mengalami Obsessive (iaitu fikiran yang mengganggu, berulang-ulang dalam keadaan tidak diingini) serta Compulsive (iaitu perbuatan berulang itu dilakukan untuk meredakan keresahan).

Contohnya, dia mungkin terlalu takut kotor, lalu dia akan basuh tangan berkali-kali. Atau dia terlalu ragu, lalu berulang kali melakukan sesuatu hal sehingga memenatkan diri. Itu OCD.
Tetapi dalam kes ini, tindakan bertatu bukan datang daripada pola OCD. Ia lebih kepada keputusan sedar, walaupun mungkin dibuat dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Kena tanya pakar psikiatri, boleh jadi MDD - Major Depressive Disorder, tapi saya bukan pakar psikiatri – saya tak ada kelayakan untuk diagnosis.

Bahkan bukan saya sahaja – kebanyakan doktor pun tak ada kelayakan diagnosis. Yang layak buat diagnosis hanyalah pakar psikiatri atau doktor yang bertauliah dalam bidang psikologi klinikal sahaja. Mereka akan buat pelbagai ujian untuk mengesan jenis penyakit, selepas itu barulah dibincang kaedah rawatan yang sesuai. Ada yang kena makan ubat, ada yang kena hadir sesi bersama psikiatris sahaja. Ada yang kena dua-dua.

Saya juga influencer, saya juga pernah ambil ujian kesihatan mental beberapa tahun lepas. Saya yakin, kebanyakan influencer akan mempunyai masalah kesihatan mental – sama ada ia bersifat rendah, sederhana ataupun berbahaya. Yang penting ialah, anda kena tahu tahap kesihatan mental anda.

Jadi, Iman kena pergi klinik kesihatan dan minta rujuk kepada psikiatri. Tak boleh diagnosis diri sendiri. Itu salah.

Sahabat-sahabat, selagi mana seseorang itu tidak disahkan mempunyai masalah kesihatan mental, saya rasa tidak adil jika kita lebih cenderung memberatkan isu yang belum pasti. Apa yang pasti, beliau telah melakukan satu perkara yang bercanggah dengan agama. Ia dilakukan secara terang-terangan, terbuka dan sudah pasti mendapat liputan yang sangat luas. Jangan tutup perkara yang jelas dengan sesuatu yang tidak jelas kerana ia akan memberi kesan kepada orang lain.

Bayangkan, influencer muda yang sering follow Iman mungkin akan berfikir bahawa inilah jalan yang bagus untuk tarik crowd. Sampai isu perang Iran pun orang rehat sekejap, semata-mata nak sembang isu Iman cacah tatu.

Bayangkan, adik-adik kita yang ada masalah kesihatan mental akan berfikir, ini adalah satu cadangan yang bagus. Ini adalah jalan keluar daripada tekanan dan kekusutan yang ada dalam kepala otak mereka.

Bayangkan, kawan-kawan Iman hari ini sudah pun keluarkan banyak kenyataan yang meneutralkan perbuatan Iman dengan alasan dia tertekan dan ada masalah peribadi sendiri. “Jangan judge dia.”

Ini semua musibah yang berlaku hasil daripada perbuatan Iman yang bercanggah dengan agama dan tidak menutup aib peribadi.
Saya berdosa, iman juga berdosa. Saya ada aib, iman juga ada Aib. Tapi Allah suruh kita semua simpan Aib kita. Tutup dosa kita. Jangan bagitahu kepada orang.

Sahabat-sahabat,

Menjadikan perbuatan dosa atau maksiat sebagai satu medium luahan bukanlah satu penyelesaian. Anda tak puas hati dengan manusia, terus-menerus dizalimi, tiba-tiba anda cabar Allah! Tiba-tiba Allah jadi musuh anda! Allah larang buat, awak buat! Allah larang tatu, bahkan Allah melaknat orang yang meminta dibuat tatu, anda langgar – sekalipun anda sedar!

Anda bagi alasan dunia ini tidak adil. Anda marah, sedangkan sebelum ini – anda nak apa sahaja, Allah bagi. Nak kereta mewah, Allah bagi. Nak isteri cantik, Allah bagi. Nak keuntungan beribu, Allah bagi.

Dah dapat semua, tiba-tiba dapat sedikit ujian lupa habis. Terus kata dunia ini tidak adil. Aku buat baik, orang balas jahat. Last-last, Allah yang engkau cabar. Dosa yang engkau buat. Ini salah.
Kalau setiap kali kita penat, letih dengan cabaran hidup – kita pilih jalan yang Allah larang, akhirnya kita bukan sekadar rosakkan diri sendiri. Sebenarnya kita juga rosakkan orang lain yang melihat kita. Influencer tidak sama dengan netizen umum. Anda ada pengaruh yang besar kepada masyarakat. Akhirnya, terjadilah proses meneutralkan maksiat dengan alasan penat dan letih dengan ujian dunia.

Sahabat-sahabat,

Allah tak pernah zalim. Sekali pun Allah tak pernah zalim.

وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ
“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali menzalimi hamba-hamba-Nya.”
(Surah Fussilat: 46)

Bahkan Allah sebut:

يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan melakukan dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Zumar: 53)

Sahabat-sahabat, bila kita rasa sakit, rasa berat dengan hidup ini, ingatlah bahawa Allah sentiasa ada bersama dengan kita.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut (perintah)-Ku dan percaya kepada-Ku, agar mereka mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah: 186)

Sahabat-sahabat,
Ujian bukan tanda kita teruk atau jahat. Kita buat baik, orang balas jahat bukan tanda dunia ini tidak adil. Jika kita buat baik dibalas jahat lalu kita kata dunia ini tidak adil dan Allah tidak baik dengan kita – maka bagaimana dengan para nabi yang lebih mulia daripada kita? Mereka semua buat baik, bahkan buat lebih baik daripada kita.

Nabi Ibrahim sendiri diancam dibakar oleh bapanya sendiri, sehingga akhirnya dia dibakar oleh kaumnya sendiri.
Nabi Lut dikhianati oleh isterinya sendiri, sehingga dia terpaksa lari keluar dari rumahnya sendiri.
Nabi Ya‘qub kehilangan anaknya Yusuf bertahun-tahun. Dikatakan mati, tetapi dia tahu anaknya tidak mati.
Maryam dikatakan wanita penzina kerana melahirkan anak tanpa nikah, sepanjang hidupnya menjadi wanita suci, tetapi dihina dan dicaci atas perbuatan yang tidak pernah dia lakukan.

Adakah anda kena lebih teruk daripada ini?

Adakah anda rasa anda lebih tertekan jika dibandingkan dengan isteri Nabi, Aisyah, yang dituduh berzina dengan Sofwan ibn Mu‘attal sedangkan dia adalah wanita baik akhlak, baik budi dan tidak masuk dek akal dia melakukan hal berkenaan, Namun tidak ada seorang pun yang membelanya, sehinggalah Allah sendiri menurunkan ayat 11–20 Surah al-Nur untuk membela Aisyah setelah sekian lama dia tertekan dan berlindung di rumah ibu bapanya?

Imam Syafii melakukan terlalu banyak kebaikan, tetapi hanya kerana tidak bersetuju dengan fatwa Imam Malik, orang ramai mencaci beliau dan mengatakan beliau pemecah belah masyarakat. Beliau dipukul oleh orang yang jahil dan keji. Bahkan ada tokoh agama yang berdoa supaya al-Syafii dihilangkan nyawa. Punya tak suka dengan Muhammad bin Idris.

Adakah anda rasa anda lebih berat ujian, lebih banyak buat baik, lebih tertekan, lebih ramai orang benci jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW? Bapa saudaranya Abu Lahab menentang dan mahu membunuhnya, anak-anak lelaki baginda semua meninggal dunia ketika kecil. Kaum kerabat baginda, orang paling dekat dengan baginda membawa gerombolan besar untuk mencelakakan dirinya dan perjuangannya. Baginda buat baik kepada seorang wanita Yahudi di Khaibar. Wanita itu panggil Nabi untuk makan di rumahnya, menjadi tetamu kehormat di rumahnya. Nabi hadir bersama para sahabat, Nabi dah buat baik sangat dengan wanita ini walaupun berbeza pegangan agama. Tapi wanita itu racun makanan Nabi dan sahabat-sahabat yang lain. Seorang sahabat Nabi Bishr bin al-Bara mati kerana makan racun berkenaan.

Nabi Muhammad SAW juga sempat mencicipi daging berkenaan tapi tidak sempat menelannya. Namun, racun berkenaan tetap mengena Rasulullah. Sehingga beberapa tahun kemudian, sebelum wafat Rasulullah berkata: “Aku masih merasakan kesakitan daripada makanan yang aku makan di Khaibar, dan kini seolah-olah urat jantungku terputus kerananya.” – anda rujuk buku al-Rahiq al-Makhtum. Buku Sirah Nabi. Buku Kisah Perjalanan Insan Agung Nabi Muhammad SAW ini pada Bab 52, muka surat 684.

Adakah hanya kerana baginda seorang nabi, maka baginda dapat mengharungi semua ujian dan bebanan? Tidak – kerana Nabi dan para orang soleh bergantung harap kepada satu-satunya, iaitu Allah.

Saya kecewa apabila Iman menyebut bahawa setelah dia buat baik dibalas jahat, dia berkata: “Baik aku buat jahat sahaja.” Ini sangat bahaya. Ini bukan sekadar emosi, tetapi ia menyentuh aspek yang lebih mendalam, iaitu bagaimana kita melihat agama itu sendiri.

Ingatlah, Allah tidak akan pernah mensia-siakan satu pun kebaikan yang kita lakukan.

Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.”
(Surah al-Kahf: 30)

---
Syihabudin Ahmad,
BA Syariah Islamiah (Al-Azhar)
MA Hadith (USM)