Kadang-kadang kita boleh belajar sesuatu yang sangat besar daripada perkara yang nampak remeh.

Contohnya ‘shopping cart’ ketika membeli belah secara online.

Apabila kita membuka Shopee, Lazada atau mana-mana platform, kita boleh masukkan apa sahaja ke dalam cart. Barang murah, barang mahal, barang yang mungkin kita tak mampu beli. Semuanya boleh dimasukkan.

Yang menariknya, masukkan ke dalam cart itu percuma sahaja. Tiada siapa akan paksa kita untuk checkout. Tiada siapa denda kalau kita tidak beli.

Kita boleh letak jam tangan mahal, buku yang banyak, kamera profesional, motosikal besar, atau apa sahaja yang kita suka.

Dan kalau akhirnya kita tidak beli pun, tidak jadi masalah.

Begitulah juga dengan impian dalam hidup.

Ada orang takut untuk bermimpi.
Takut letakkan cita-cita yang tinggi.
Takut berharap sesuatu yang besar.

Padahal berimpian itu percuma sahaja.

✅Nak berimpian rumah yang luas.
✅Nak pasangan yang soleh atau solehah.
✅Nak anak-anak yang membahagiakan.
✅Nak kehidupan yang tenang dan financial freedom.
✅Nak berjaya dalam ilmu, dakwah dan kehidupan.

Semua itu tidak dikenakan bayaran.

Kalau dapat, kita ucap Alhamdulillah.
Kalau belum dapat, sekurang-kurangnya kita sudah hidup dengan harapan dan arah yang kita suka. 

Sebab itu Nabi SAW sendiri mengajar umatnya supaya meminta perkara yang paling tinggi, bukan sekadar yang biasa-biasa.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فإذا سألتم اللَّهَ فاسألوه الفِرْدَوسَ؛ فإنَّه أوْسَطُ الجنة وأعلى الجنة -أُرَاهُ- فَوْقَهُ عرشُ الرَّحمنِ، ومنه تَفَجَّرُ أنهارُ الجنَّةِ

Apabila kamu meminta kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya al-Firdaus; kerana sesungguhnya ia adalah pertengahan syurga dan syurga yang paling tinggi. — Aku kira — di atasnya terdapat ‘Arasy al-Rahman, dan daripadanya terpancar sungai-sungai syurga.”

(HR al-Bukhari)

Al-Firdaus ialah syurga yang paling tinggi. Paling tengah dan paing tinggi - Anda dapat bayangkan bentuknya? Ia lebih indah dari itu! 

Sahabat-sahabat  — Nabi tidak suruh kita minta sekadar masuk syurga. Nabi suruh kita minta syurga yang paling tinggi.

Kerana berharap kepada Allah itu tidak ada harga ringgit padanya.

Jadi jangan takut untuk bermimpi.

Letakkan sahaja dalam “cart” kehidupan kita:
impian besar, cita-cita tinggi, harapan yang indah.

Kalau Allah izinkan kita “checkout” — itu rezeki yang luar biasa.

Kalau belum, sekurang-kurangnya kita hidup dengan doa, harapan dan usaha.

Dan itu pun sebenarnya sudah satu nikmat. ✨

—-
Syihabudin Ahmad