Sejak kebelakangan ini muncul satu bentuk kefahaman yang merapu tentang puasa. Ada Ustaz yang seolah-olah memberi gambaran bahawa ketika berpuasa seseorang itu tidak boleh mandi — kalau mandi, air masuk rongga maka batal puasa, walaupun tidak sengaja. Tak boleh berak sebab kalau tahi masuk balik waktu sembelit, batal puasa. Bahkan ada juga yang takut untuk gosok gigi kerana tidak mahu hilangkan bau kasturi pada mulut.
Kalau beginilah cara kita memahami agama, akhirnya orang Islam akan dilihat sebagai orang yang menyusahkan diri sendiri. Badan berbau, mulut busuk, tidak menjaga kebersihan — sedangkan Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kebersihan.
Nabi SAW sendiri bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya:
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Muslim)
Islam adalah agama yang mengajar umatnya menjaga kebersihan sepanjang waktu. Bahkan sangat memalukan jika dalam bulan Ramadan — bulan ibadah — umat Islam mengabaikan tuntutan menjaga kebersihan dan kesihatan yang sangat dititikberatkan agama. Masuk pejabat tak mandi, nak mandi pula tunggu selepas berbuka puasa. Waktu berak pula jadi was-was takut tahi masuk balik. Gigi pulak tak gosok, pergi solat Jumaat dalam keadaan mulut berbau busuk. Hanya kerana tak mahu hilangkan bau kasturi ketika berpuasa.
Apa kejadah semua ini?!
Sahabat-sahabat,
Sebenarnya asas puasa sangat jelas. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 187:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya:
“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bersetubuh dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu dahulu mengkhianati diri kamu sendiri lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah bagi kamu. Makan dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam.”
Ayat ini jelas menerangkan bahawa puasa adalah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh. Inilah asas puasa.
Pun begitu, dalam perbahasan fiqh para ulama membincangkan secara lebih terperinci tentang perkara yang boleh membatalkan puasa. Maka disebutlah selain makan, minum dan bersetubuh, antaranya: sengaja muntah, keluar darah haid atau nifas, hilang akal dan murtad.
Di samping itu terdapat juga perbincangan yang bersifat tadrīb al-fiqh, seperti persoalan: adakah masuk sesuatu ke dalam rongga mempunyai hukum yang sama seperti makan dan minum?
Perbincangan ini kita hormati sebagai sebahagian khazanah keilmuan umat Islam. Namun perkara ini perlu ditimbang dengan bijaksana.
Kita baca kenyataan Dr MAZA:
Apabila saya melihat rakaman seorang pegawai khas MB sebuah negeri menyebut mandi siang hari boleh membatalkan puasa dan seorang yang mengaku 'guru agama' berserban menyatakan membuang air besar di siang hari boleh membatalkan puasa, saya merasakan ramai yang masih jauh dari Islam yang sebenar yang Allah turunkan untuk menjadikan manusia bijak dan berakal.
Al-Fiqh atau sebutan kita sebagai Fekah yang berasaskan kata kefahaman yang mendalam dalam ertikata keupayaan merumuskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang indah dan hikmat ini sehingga menjelmalah amalan atau praktis agama yang penuh dengan segala kecerdikan dan kebijaksanaan. Malangnya, menerusi khurafat hukum mereka ini kelihatan erti fekah telah diselewengkan maksudnya. Hukum-hakam rekaan yang membodohkan akal, melemahkan fikiran, menyusahkan manusia sehingga agama kelihatan menjadi tidak logik dan tidak lagi praktikal.
Hal inilah yang masih diajar oleh kelompok konservatif yang cuba memakai baju (kononnya) 'ajaran Islam yang patut diikuti'. Memalukan jika didengari oleh mereka yang belum muslim, juga menjadikan generasi baharu kita melihat agama ini bagaikan satu gagasan kebodohan yang tidak sesuai pada timbangan kebijaksanaan.
Bukan semua yang disebut dalam kitab lama itu patut ditelan..
Sahabat-sahabat,
Dr MAZA mengkritik dakwaan bahawa mandi atau membuang air besar pada siang hari boleh membatalkan puasa kerana ia menunjukkan kefahaman agama yang lemah. Menurut beliau, fiqh sebenar ialah kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan al-Sunnah yang menghasilkan hukum yang bijaksana dan praktikal. Namun sebahagian pihak menyebarkan hukum tidak berasas sehingga agama kelihatan tidak logik dan menyusahkan.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak semua perkara dalam kitab lama perlu diterima bulat-bulat tanpa penilaian terhadap dalil.
Sebab itu dalam fiqh ada satu konsep yang dipanggil tadrīb al-fiqh.
Ia merupakan latihan untuk melatih pelajar fiqh berfikir dan beristinbat hukum melalui pelbagai andaian. Kadangkala andaian ini melibatkan perkara yang jarang berlaku, sukar berlaku, bahkan tidak mungkin berlaku.
Sebab itu kita lihat dalam kitab-kitab fiqh ada disebut:
· hukum kahwin dengan jin
· anak hasil hubungan dengan jin
· ikan masuk ke dalam perut manusia dan keluar hidup semula — adakah masih boleh dimakan
· lelaki melahirkan anak — bagaimana nasabnya
· lelaki menyusukan anak — adakah jadi anak susuan
Dan sebagainya.
Sahabat-sahabat,
Jika kita terlalu memfokuskan kepada andaian-andaian pelik dalam fiqh tanpa memahami tujuan syariah, akhirnya agama kelihatan menyusahkan.
Padahal Allah sendiri berfirman:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya:
“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.”
(al-Baqarah: 185)
Ini adalah prinsip asas syariah.
Sahabat-sahabat,
Sebab itu juga ulama kontemporari membincangkan isu moden hari ini dengan lebih terbuka dalam fiqh, jadi mereka membincangkan tentang isu inhaler bagi pesakit asma, rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, ubat titis mata, ubat titis telinga, Tablet yang diletakkan di bawah lidah untuk merawat sakit dada, Memasukkan alat ke dalam rahim, seperti alat pemeriksaan, alat (IUD) atau alat lain yang seumpamanya. Apa sahaja yang dimasukkan ke dalam saluran kencing lelaki atau wanita, seperti probe, ureteroscope, bahan kontras radiologi atau cecair bagi tujuan pemeriksaan. Suntikan di bawah kulit, suntikan intramuskular atau intravena. Ulama membincangkan perkara ini dengan sangat serius dan mereka menyatakan bahawa ini tidak membatalkan puasa. Anda boleh rujuk dalam keputusan Majma Fiqh al-Islami bertarikh 3 Julai 1997.
Sahabat-sahabat,
Dalam bab puasa, Nabi SAW sangat menekankan supaya puasa diteruskan walaupun berlaku perkara yang tidak disengajakan.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
“Sesiapa yang terlupa ketika berpuasa lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia meneruskan puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.”
Dalam riwayat lain:
فَإِنَّمَا هُوَ رِزْقٌ سَاقَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ
“Sesungguhnya itu hanyalah rezeki yang Allah sampaikan kepadanya dan tidak ada qada ke atasnya.”
Dan dalam riwayat lain:
مَنْ أَفْطَرَ مِنْ رَمَضَانَ نَاسِيًا فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ
“Sesiapa yang berbuka pada Ramadan kerana terlupa maka tidak ada qada dan tidak ada kaffarah ke atasnya.”
Sanad hadis ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar.
Sahabat-sahabat,
Cuba bayangkan. Nabi SAW bersungguh-sungguh menerangkan bahawa jika seseorang makan atau minum kerana terlupa pun puasa tidak batal. Tetapi dalam sebahagian kefahaman fiqh hari ini, sedikit-sedikit batal. Benda tak sengaja pun batal. Benda tak perasan pun batal.
Mandi pun dikatakan batal jika air masuk rongga secara tidak sengaja.
Padahal Nabi SAW sendiri mandi wajib selepas Subuh ketika berpuasa. Mandi wajib – iaitu mandi yang paling sempurna dengan dialirkan air ke seluruh tubuh badan dan dibasuh bersungguh beberapa tempat termasuk kemaluan depan dan belakang. Nabi mandi wajib selepas subuh. Adakah mana-mana sahabat Nabi yang pertikaikan tentang was-was nanti air masuk ke rongga secara tidak sengaja? Tak ada! Kerana mereka faham bahawa agama ini tidak memberat-beratkan dan overthinking pada perkara yang tak perlu. Bahkan, Nabi SAW bila letih sangat ketika puasa, baginda mandi untuk menyegarkan diri.
Daripada Abu Bakar bin Abdurrahman:
حَدَّثَنِي مَنْ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمٍ صَائِفٍ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ وَالْعَطَشِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya:
“Telah menceritakan kepadaku seseorang yang melihat Nabi SAW pada hari yang sangat panas menyiram air ke atas kepala Baginda kerana panas dan dahaga sedangkan Baginda sedang berpuasa.” (Riwayat Malik, Ahmad dan Abu Daud)
Riwayat lain menyebut:
لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ بِالْعَرْجِ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ وَهُوَ صَائِمٌ مِنَ الْعَطَشِ أَوْ مِنَ الْحَرِّ
“Sungguh aku melihat Rasulullah SAW di al-‘Arj menyiram air ke atas kepalanya kerana haus atau panas sedangkan Baginda berpuasa.” (HR Abu Daud)
Bayangkan, ada sebahagian ustaz – mereka berlebih-lebihan dalam fatwa sehingga memberat-beratkan perkara yang tidak diberatkan oleh agama.
Dalam kaedah fiqh disebut:
المشقة تجلب التيسير
“Kesukaran membawa kepada kemudahan.”
Syariah tidak bertujuan menyusahkan manusia.
Kalau seseorang sembelit dan ketika berak tahi naik semula ke atas, itu bukan atas kesengajaannya. Dia tidak mampu mengawal. Takkan hanya kerana itu puasanya terbatal?
Dia sudah sakit perut, sembelit, kemudian puasanya pula batal. Ini bukan menambah kebaikan, bahkan akan menyebabkan lebih ramai umat Islam menjadi was-was dalam ibadah.
Sebab itu sangat penting untuk kita memahami fiqh dengan betul.
0 Comments
Post a Comment