Hari Khamis lepas, seorang penonton setia video saya menghubungi melalui WhatsApp dan memaklumkan hasrat untuk membantu selepas mengetahui peralatan studio saya rosak akibat banjir.
Mulanya, beliau bertanya cara membuat pembayaran untuk membeli buku saya. Saya pun berikan maklumat jualan seperti biasa. Namun, tidak lama selepas itu, beliau terus menghantar sejumlah wang tanpa memberikan apa-apa maklumat penghantaran.
Saya tunggu juga alamatnya, tetapi tiada. Apabila saya bertanya semula, beliau memberikan alamat sebuah sekolah.
Saya mula berasa pelik—harga buku promosi cuma RM79, tetapi jumlah yang beliau berikan itu menyamai nilai 50 set.
Akhirnya beliau menjelaskan, itu memang bantuan ikhlas kerana mahu meringankan beban saya selepas peralatan studio ditenggelami banjir.
Berasa berat hati untuk menerima jumlah sebesar itu, saya memaklumkan bahawa saya akan menghadiahkan satu set Sahih al-Bukhari kepada sekolah berkenaan. Moga para guru dan pelajar mendapat manfaatnya.
Hari ini, dari nombor yang sama, anaknya menghubungi saya dan memaklumkan bahawa si dermawan itu telah meninggal dunia.
Demikianlah penghujung kisah kehidupan seorang insan pemurah—tidak mahu dikenali, tetapi mahu meninggalkan kesan pada dakwah hingga ke hela nafas terakhir.
Innā lillāhi wa innā ilayhi rāji‘ūn.
---
Syihabudin Ahmad


0 Comments
Post a Comment