Inilah realiti pahit yang kadang-kadang berlaku. Ada segelintir ustaz yang gagal dalam pengajian di Timur Tengah, tetapi apabila pulang ke tanah air, tiba-tiba diangkat sebagai “ulama besar”. Mereka berbicara dengan nada tinggi seolah-olah membawa sanad keilmuan yang agung, padahal hakikatnya – sijil pun belum tentu tamat.
Namun, kelompok ini sebenarnya kecil. Ada pula sebahagian lain yang ke Mesir, Jordan atau Syria bukan untuk menuntut ilmu, tetapi untuk berniaga — malah ada yang terlibat dengan urus niaga haram. Status mahasiswa hanya digunakan sebagai topeng supaya visa pelajar dan tempoh pasport dapat dipanjangkan.
Ada juga yang kononnya belajar, tetapi sibuk dengan politik dan persatuan pelajar. Tahun demi tahun berlalu tanpa keputusan peperiksaan yang lulus. Akhirnya, selepas puluhan tahun di sana, mereka pulang dan tiba-tiba muncul dalam senarai “Dewan Ulama”. Sedih, apabila mak ayah yang menghantar anak belajar agama dengan harapan tinggi akhirnya kecewa — kerana anaknya tidak pernah serius menuntut ilmu. Sebaliknya sibuk dengan politik, tarekat, persatuan, malah ada yang memilih menjadi pemandu pelancong sebagai pekerjaan utama.
Pengalaman Peribadi di Al-Azhar
Saya masih ingat, sewaktu tahun pertama di Universiti al-Azhar, satu sistem baharu diperkenalkan — Ujian Muqabalah. Jika lulus, pelajar akan terus ke Tahun 1 pengajian; jika gagal, mereka akan mengikuti kursus intensif bahasa Arab selama tiga bulan hingga setahun secara percuma.
Saya datang dari keluarga miskin, dan saya tahu kemampuan bahasa Arab saya belum kuat. Maka terlintas di fikiran saya untuk “sengaja gagal” supaya dapat menikmati kursus percuma itu. Saya suarakan hasrat itu kepada senior saya, Ustaz Juzaili Juhan — pelajar sarjana di al-Azhar ketika itu.
Namun, beliau memberikan nasihat yang menjadi titik tolak cara saya berfikir tentang ilmu. Katanya,
“Jangan rancang untuk gagal. Percayalah pada sistem al-Azhar. Buat sahaja yang terbaik. Kalau Allah beri anta lulus, itu tanda anta layak meneruskan pengajian. Kalau tidak lulus, itulah peluang untuk anta perbaiki bahasa Arab. Tapi jangan sengaja melambatkan diri dalam ilmu. Kalau ijazah hanya ambil masa empat tahun, habiskan empat tahun itu — kemudian teruskan ke peringkat seterusnya. Biar kita belajar di Al-Azhar ini sentiasa meningkat seiring peningkatan tahun.”
Nasihat itu benar-benar mengubah saya. Sejak hari itu, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Semata-mata untuk meningkatkan kualiti pengajian.
Pelajaran Yang Saya Dapat
Saya belajar bahawa kejayaan bukan diukur dengan lamanya seseorang habis belajar a apatah lagi sehingga 16 tahun?!, tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.
Namun, kalau kita sudah berikan yang terbaik, mengapa pula kita harus takut gagal?