Saya sedar bahawa terdapat ramai dalam kalangan rakan-rakan saya yang menyokong PAS berasa kurang selesa dengan beberapa pandangan yang saya nyatakan. Bagi mereka, saya kelihatan anti-PAS, terlalu berpolitik, dan dikatakan tidak benar-benar memahami selok-belok dunia politik.
Namun, inilah pendirian saya sejak dahulu lagi. Saya tidak berpihak kepada mana-mana parti. Pujian dan kritikan saya dibuat berdasarkan ilmu dan pertimbangan yang saya miliki. Ia merupakan satu bentuk ijtihad, dan dalam perkara seperti ini, kita boleh berbeza pandangan.
Saya juga percaya bahawa dalam menyampaikan pandangan, kita tidak seharusnya menyekat diri daripada berkongsi sesuatu yang benar atau baik, hanya kerana bimbang ada pihak yang mungkin terasa hati. Begitu juga saya tidak bersetuju untuk menyembunyikan keburukan hanya kerana mahu menjaga perasaan orang tertentu.
Saya lebih selesa melakukan apa yang saya yakini sebagai betul, dan meninggalkan apa yang saya rasa tidak wajar.
Saya tahu ada yang mengeluh, “Alah, Syihabudin tu, asyik kutuk PAS saja. Mana ada dia puji!”
Saya hanya mampu tersenyum. Realitinya, PAS membawa nama Islam, dan saya pula akan terus menegur mana-mana pandangan atau tindakan yang saya anggap bercanggah dengan prinsip Islam. Secara kebetulan, apabila PAS menggunakan nama Islam, maka segala yang berlaku dalam PAS tentunya menarik perhatian dan penelitian saya.
---
Syihabudin Ahmad
0 Comments
Post a Comment