Kertas yang ada pada saya ini ialah tulisan Bismillah sebanyak 113 kali yang ditulis pada awal bulan Muharam. Kalau yang tulis ni ialah Kieda Crepe, kita akan kata ini merepek. Kalau yang tulis ni ialah Ammar Nzahan dan Aras Mohd – si paranormal yang memalukan Malaysia sebelum ini, kita akan kata ini khurafat. 

Tapi menariknya, tulisan 113 Bismillah ini adalah tulisan dari seorang Ustaz lulusan al-Azhar. Jom kita baca tulisan beliau di media sosial: 

“Petua Orang-Orang Dulu Berkait Awal Muharram
Antara Amalan Mujarrab yang disebutkan dalam Naʿt al-Bidāyāt wa Tawṣīf al-Nihāyāt karya al-Sayyid al-Sharīf Māʾ al-ʿAynayn:
“Sesiapa yang menulis basmalah (Bismillāh al-Raḥmān al-Raḥīm) sebanyak 113 kali pada hari pertama bulan Muḥarram, maka dia dan ahli keluarganya tidak akan ditimpa sebarang keburukan sepanjang hayatnya. Dan jika dia berhadapan dengan seorang penguasa yang zalim, maka dia akan terselamat daripada kejahatannya. Dan Allāh jualah yang lebih mengetahui rahsia-rahsia-Nya.”
Telah ditambah pada permulaan amalan ini oleh al-ʿAllāmah al-Muḥaddith Sayyid ʿAbd Allāh Sirāj al-Dīn dengan bacaan al-Fātiḥah yang lengkap berserta basmalah pada permulaannya. Maka jumlah keseluruhan basmalah menjadi 114 kali, menyamai bilangan surah dalam al-Qurʾān al-Karīm. Ia merupakan satu bentuk pelindung (ḥirz) yang agung, dan penulisannya disyorkan dilakukan antara waktu Subuh dan Zuhur pada hari pertama tahun Hijrah, yakni 1 Muḥarram.
Amalan ini termasuk dalam wasiat Sayyid ʿAbd Allāh Sirāj al-Dīn, dan beliau sendiri menulisnya dengan tangannya serta menggantungkannya di dalam biliknya.
Walaupun amalan ini tidak bersumber daripada ḥadīth yang ṣaḥīḥ, namun ia tergolong dalam amalan mujarab (mujarrabāt/pengalaman) para salaf ṣāliḥīn. Bilangan penulisan tersebut pula mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak boleh dinafikan, sebagaimana gigi-gigi pada kunci — jika berlebihan atau berkurangan tidak akan membuka kunci.
Lembaran yang digunakan hendaklah berwarna putih.”



Sahabat-sahabat,

Saya tiada masalah peribadi dengan Ustaz Faiz Fateh al-Azhari, iaitu penulis kenyataan ini, malah saya mendoakan semoga Allah terus memuliakan beliau dengan ilmu fikah dan hadis yang akan memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Pun begitu, saya tidak boleh menerima apa yang beliau kongsikan ini.

Setakat video ini dibuat, hantaran ini telah mendapat 842 perkongsian dan 414 komen. Ia sudah layak digelar tular dan membuka ruang persepsi pelbagai pihak.

Dalam poster dari Maahad Darul Saadah Lirboyo Kediri pula memberikan fadhilat tambahan, iaitu:

Sahabat-sahabat, saya yakin bahawa sahabat-sahabat perasan bahawa yang saya kongsikan ini adalah Bismillah, satu perkataan yang agung dalam agama Islam. Ia adalah ayat pertama di dalam Surah al-Fatihah menurut sebahagian pendapat, ia adalah sebahagian daripada ayat al-Quran dalam Surah al-Naml. Kita membaca Bismillah waktu hendak makan, masuk rumah, keluar rumah, dan sebagainya.

Justeru, Bismillah adalah agama. Ia ada ajaran khusus melaksanakannya dalam tuntutan agama Islam menurut panduan Nabi Muhammad SAW.

Namun, menariknya kali ini, Bismillah bukan disuruh untuk makan, minum, atau musafir, tetapi disuruh membaca pada setiap awal Muharam, pada hari pertama, di antara waktu subuh dan zuhur.

Walaupun perkara ini tidak ada di dalam mana-mana ayat al-Quran atau hadis, tetapi ia dianggap agama hanya kerana ia diajar dalam sebuah kitab bernama "نَعْتُ الْبِدَايَاتِ وَتَوْصِيفُ النِّهَايَاتِ". Apa jenis kitab ini? Ia adalah kitab tarekat Syaziliyyah.

Persoalannya, adakah ini adalah kitab Muktabar dalam Fikah, Hadis, ataupun Tasawuf? Tidak. Jadi, mengapa pula hendak menjadikan kitab ini sebagai hujah? Dalam kitab ini banyak perkara khurafat dan batiniyah yang boleh dikaji. Banyak perkara merepek dan dakwaan yang tiada sandaran telah dijadikan wajah agama. Walaupun Syaikh Ma'ul Ainnain adalah seorang tokoh pendakwah Maghribi yang terkenal, tetapi kita tidak boleh menerima semua kenyataan dia atau tulisan dia tanpa tapisan. Beliau lahir pada tahun 1797 dan meninggal dunia tahun 1869, lebih kurang 88 tahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Dia bukan sahabat Nabi, bukan tabiin, bukan tabi' tabiin!

Kedua, dalam ilmu hadis – apabila wujud sesuatu riwayat sama ada berkaitan sanad ataupun matan, kita kena semak dahulu. Adakah riwayat itu tulen ataupun palsu? Kerana, selain kita hendak tahu Nabi sebut ataupun tidak, kita hendak kaji, adakah ia berasal daripada ajaran agama Islam ataupun tidak.

Malangnya, Ustaz kita di media sosial menjadikan kitab نَعْتُ الْبِدَايَاتِ وَتَوْصِيفُ النِّهَايَاتِ sebagai hujah seolah-olah ia adalah riwayat yang benar, mutlak, dan menjadi sebahagian ajaran agama Islam. Sedangkan ini adalah perkara khurafat yang merosakkan agama.

Lebih teruk lagi, penulis kitab ini, yang kononnya adalah al-Qutb al-Arif Billah, telah membuat dakwaan yang sangat berbahaya. Ia berkata:

"Sesiapa yang menulis basmalah (Bismillāh al-Raḥmān al-Raḥīm) sebanyak 113 kali pada hari pertama bulan Muḥarram, maka dia dan ahli keluarganya tidak akan ditimpa sebarang keburukan sepanjang hayatnya. Dan jika dia berhadapan dengan seorang penguasa yang zalim, maka dia akan terselamat daripada kejahatannya. Dan Allāh jualah yang lebih mengetahui rahsia-rahsia-Nya."

Ini merepek! Menunggang nama Allah dengan sewenang-wenangnya. Seolah-olah dia mendapat wahyu dari Allah. Siapa dia sampai hendak memberikan kelebihan tulis 113 kali pada hari pertama bulan Muharam maka dia dan ahli keluarganya tidak akan ditimpa sebarang keburukan sepanjang hayatnya? Apa kelayakan Tuan Guru ini di sisi Allah?

Kalau hendak dakwa ini adalah mujarabat, adakah ia terbukti? Mujarabat ialah koleksi pengalaman peribadi. Si penulis itu, adakah dia menulis perkara ini sepanjang tahun? Dan kesannya – adakah benar terbukti dia dan ahli keluarganya tidak ditimpa sebarang keburukan sepanjang hayatnya? Kalau betul, maka dia lagi berkuasa daripada Rasulullah dan para Sahabat! Allah telah memberitahu kepada Wali Agung ini satu benda yang sepatutnya Allah beritahu kepada Nabi.

Bayangkan, kalau Nabi tahu amalan ini – nescaya, Nabi tidak akan cedera parah dalam perang Uhud, baginda tidak akan kena libas dengan pedang Abdullah bin Qam'ah sehingga menyebabkan belakang Nabi sakit selama sebulan. Baginda tidak akan jatuh sehingga topi besi baginda pecah dan batang besi itu menusuk pipi baginda. Gigi geraham Nabi patah, dahi serta wajah baginda berdarah. Dalam Sahih al-Bukhari disebutkan bahawa otot peha baginda terkoyak dan kepala baginda terluka.

Sampai Nabi bersabda sambil mengelap darah:

‌كَيْفَ ‌يُفْلِحُ قَوْمٌ شَجُّوا نَبِيَّهُمْ وَكَسَرُوا رَبَاعِيَتَهُ، وَهُوَ يَدْعُوهُمْ إِلَى اللهِ؟ Bagaimana satu kaum akan beruntung dalam keadaan mereka melukai wajah Nabi mereka dan melukakan otot pehanya, padahal Nabi itu sentiasa mendoakan kebaikan mereka kepada Allah?

Sayang sekali, Nabi tidak sehebat al-Shaykh al-ʿAllāmah al-Imām al-Ḥabīr, al-Baḥr al-Naḥrīr, al-Humām, al-Quṭb al-Rabbānī, wa al-ʿĀrif al-Ṣamadānī, Kahf al-Ḍuʿafāʾ, Maʾwā al-Ghurabāʾ, Sayyidunā Māʾ al-ʿAynayn ibn al-Quṭb al-Kāmil, al-Shaykh Sīdī Muḥammad Fāḍil ibn Māmin. Nabi tidak sehebat beliau. Allah tidak memberitahu amalan ini kepada Nabi. Nabi tidak terpilih.

Kerana Nabi tidak tahu, rupa-rupanya ada amalan untuk mengelakkan perkara-perkara seperti itu. Sepatutnya, setiap masuk Muharam, Nabi kena tulis Bismillah 113 kali. Barulah Nabi perang rileks. Nabi sudah dapat jaminan tidak akan ditimpa sebarang keburukan sepanjang hayat baginda.

Nabi tidak patut rasa risau apabila hendak masuk Mekah selepas kena baling batu dengan orang-orang Taif. Sebab setiap masuk Muharam, Nabi menulis 113 Bismillah.

Bahkan, sepatutnya Nabi berguru dengan Māʾ al-ʿAynayn ibn al-Quṭb al-Kāmi lebih awal, sehingga Nabi boleh mengajar para sahabat baginda seperti Talhah bin Ubaidallah dan Saad bin Abi Waqqas yang melindungi baginda ketika peperangan Uhud. Nabi boleh mengajar Bilal bin Rabbah sehingga dia tidak akan diseksa oleh Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Nabi boleh mengajar keluarga Yasir dan Sumayyah sehingga Yasir tidak perlulah dipaksa menghina Nabi SAW. Tidaklah dia malu bertemu Nabi SAW sedangkan dia telah berjuang dengan jiwa, darah, dan air mata. Ibunya Sumayyah tidak akan menjadi wanita pertama yang syahid dalam keadaan disula kemaluannya dengan sebilah lembing sehingga mati.

Ketika keluarga Yasir sedang diseksa dengan begitu bengis, Nabi melintas dan berkata: "Bersabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya tempat kamu akan kembali adalah syurga!"

Sepatutnya Nabi tidak berkata begitu – Nabi patut berkata, "Wahai keluarga Yasir – mengapa kamu tidak menulis 113 kali Bismillah pada awal Muharam? Kalau kamu menulis, tidaklah kamu akan susah macam ini."

Nabi tidak berkata begitu. Nabi berkata:

‌صَبْرًا آلَ ‌ياسر، فإن مَوْعِدُكُمْ الْجَنَّةُ"

Alangkah bagus jika Talhah bin Ubaidillah tahu amalan ini, maka tidak perlulah beliau mendapat 39 luka dalam peperangan Uhud, bahkan semua jari-jari tangannya lumpuh.

Kalau Rasulullah tahu awal amalan ini, maka pastinya di Mekah dahulu – ketika sujud, kepala baginda tidak akan dipijak oleh Uqbah bin Mu'aith.

Sahabat-sahabat, sebab itu saya kata, amalan dan kelebihan amalan ini merepek, khurafat, dan merosakkan agama. Tidak ada di dalam agama Islam ajaran seperti ini. Tidak ada sumbernya daripada peninggalan Nabi Muhammad SAW. Ia adalah bidaah yang diada-adakan.

Kalau hendak menulis Bismillah, tulis sahajalah. 113 kali ke, 114 kali ke, 197 kali ke, silakan. Tiada masalah. Tapi jangan pula kaitkan dengan satu fadhilat kelebihan yang menjadi hak milik Allah SWT.

Jangan pula hendak reka-reka perbuatan, mesti pakai kertas putihlah, menghadap kiblatlah, berwuduk dululah, jangan cakap apa-apa ketika menulislah. Tidak boleh lebih, tidak boleh kuranglah, kononnya – "sebagaimana gigi-gigi pada kunci — jika berlebihan atau berkurangan tidak akan membuka kunci."

Tapi bila Tok Syeikh dia tambah jadi 114, boleh pula! Tadi kata seperti gigi kunci yang tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Tiba-tiba bilangan itu hanya untuk murid sahaja, tok guru boleh ubah suai. Bilangan ikut suka hati sendiri.

Sahabat-sahabat...

Jangan! Itu tanda seseorang yang mereka amalan baru dalam agama.

Kalau hendak kata minum air suam dengan lemon untuk bantu kesihatan berdasarkan bukti-bukti pengalaman, itu tiada masalah. Itulah mujarabat. Tapi jangan buka tabir ghaib yang ia hanya milik Allah! Jika tidak, daripada mujarabat, ia akan bertukar kepada bidaah dan khurafat.

Apatah lagi, digambarkan seolah-olah amalan ini seperti tangkal yang boleh menangkal sebarang bala yang mendatang. Ustaz Faiz siap kata Sayyid ʿAbd Allāh Sirāj al-Dīn menggantung tulisan ini di rumah. Yang boleh disalahfahami bahawa itu adalah tangkal penangkis bala dan kesusahan.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah melarang tangkal-menangkal.

مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ "Barang siapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik." — (Riwayat Ahmad, no. 17440; Abu Dawud, no. 3883 – hasan)

Tangkal (تميمة) bermaksud sesuatu benda seperti ayat, batu, tulang, benang yang digantung atau dipakai dengan kepercayaan ia mempunyai kuasa untuk menyelamatkan dari keburukan atau mempercayai memberikan tuah – ini adalah syirik kecil, bahkan boleh menjadi syirik besar jika diyakini ia berkuasa sendiri.

Jangan pula hendak ingat tangkal ini hanya baju zirah atau wafa yang dimasukkan dalam beg duit sahaja.

Sahabat-sahabat, saya hendak ingatkan kita semua – jauhkanlah diri kita daripada bidaah dan khurafat.

Amalan yang dikongsikan oleh Ustaz ini adalah bidaah dan khurafat.

Sebab apa ia bidaah? Kerana ia menyandarkan sesuatu amalan kepada agama – sedangkan tiada sebarang dalil dan bukti yang kukuh ia diperbolehkan dalam agama. Imam Al-Syatibi – Tokoh Besar Usul Fikah menyatakan, Bidaah ialah:

طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ، يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ. Satu cara dalam agama yang direka (diada-adakan), menyerupai syariat, yang dimaksudkan dengan mengikutinya ialah berlebihan dalam beribadah kepada Allah سبحانه.

Ini menunjukkan bahawa bid'ah bukan semata-mata rekaan luar agama, tetapi termasuk juga amalan yang nampaknya baik, tetapi tidak ada asal dalam sunah, dan dibuat kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Orang yang menulis 113 kali Bismillah ini tahu bahawa amalan ini tidak pernah wujud pada zaman Nabi. Pada zaman Nabi, belum ada sambutan tahun baru. Mereka juga tahu bahawa ia adalah amalan ciptaan orang yang kemudian, yang tidak pernah jumpa Nabi, tidak pernah jumpa sahabat Nabi, tidak pernah jumpa tabiin, tidak pernah jumpa tabi' tabiin.

Mereka juga mahu menulis 113 kali Bismillah ini disebabkan amalan ini adalah amalan yang disangka wujud dalam ajaran agama Islam. Mereka sangka ia baik kerana ia hanya perlu menulis Bismillah. Mereka juga tahu, mereka membuat amalan berkenaan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Justeru itu, amalan ini adalah amalan yang bidaah secara jelas. Memenuhi bentuk-bentuk bidaah. Dan termasuk dalam perkara yang perlu dijauhi oleh umat Islam.

Sahabat-sahabat,

Amalan ini juga mempunyai unsur khurafat. Kerana ia adalah kepercayaan yang berdiri dengan khayalan. Tiada sebab yang masuk akal, tiada sebab yang disuruh oleh agama. Ia hanyalah satu dakwaan yang muncul daripada orang yang tidak berhati-hati menggunakan nama Allah dan Rasul pada tempat yang tidak patut.

Allah berfirman:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا ۝ إِلَّا مَنِ ارْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ "Dia (Allah) Maha Mengetahui perkara ghaib. Maka Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang perkara ghaib-Nya, kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya." — (Surah al-Jinn: 26–27)

Rasul sudah tiada. Semua mereka telah wafat dan meninggal dunia. Nabi Isa sahaja yang masih hidup, itu pun bukan seperti manusia biasa. Dan tidak ada seorang pun yang dapat bertemu Nabi Isa melainkan setelah keluar Dajjal.

Maksudnya, wahyu sudah tertutup. Tidak ada sesiapa pun sekarang ini yang dapat mengetahui perkara yang ghaib. Tidak kiralah dia wali ke, jin ke, ustaz ke, tok guru ke, atau sebagainya.

Allah berfirman:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ "Katakanlah: Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah." — (Surah al-Naml: 65)

Berada di langit ke, berada di bumi ke – semuanya tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Aisyah berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ، ‌فَقَدْ ‌أَعْظَمَ عَلَى اللهِ» ‌الْفِرْيَةَ، Sesiapa yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW mampu (dengan sendiri) memberi tahu apa yang akan berlaku pada hari esok, maka dia telah membuat pendustaan besar terhadap Allah.

Hadis ini sahih riwayat Muslim.

Maka, janganlah hendak percaya perkara-perkara kelebihan seperti ini. Mujarabat, cukup dengan perkara dunia – perkara akhirat, sudah lengkap dan cukup dengan teks-teks agama yang tulen.

Wallahualam. Sahabat-sahabat, saya yakin – kita semua perlu sama-sama jaga diri bila hendak menyebut tentang Allah dan Rasul. Jaga diri bila hendak menyebut tentang agama Allah.