Pertama, isu yang diangkat ialah kenyataan romantik sambil pandang kiri kanan - “Tiada Hak Suami atau Isteri, Yang Ada Hanya Ihsan. Isteri Tak Patut Masak, Tetapi Suami Yang Patut Menyediakan. Apabila Isteri Masak, Ia adalah Ihsan.” Kita akan bahaskan perkara ini.
Pun begitu, sebelum kita berbahas, saya nak sebutkan – apa yang saya setuju dahulu.
Pertama – Saya setuju jika kenyataan ini nak bermaksud – wanita bukan hamba di dalam rumah tangga. Mereka tidak boleh disuruh-suruh seperti kita menyuruh orang gaji atau hamba.
Kedua – Suami dan isteri adalah pasangan hidup. Kita menjalani kehidupan secara bersama. Ringan sama ditanggung, berat sama dijinjing. Susah suami, susah jugalah hati isteri – bahagia isteri, bahagia jugalah hati suami.
Ketiga – dalam kehidupan berumah tangga – kita akan dapati keadaan yang mungkin bukan isu hak yang perlu diberatkan , tetapi perkara yang perlu diangkat adalah ihsan, cinta dan kasih sayang. Nampak isteri dok scroll SK-II, diam-diam kita tolong check-out, kalau tak boleh check-out yang sama, carilah yang kita mampu – tujuan kita adalah membahagiakan isteri.
Isteri juga begitu – nampak suami minat motor, dok belek-belek dua tiga kali. Tapi dia dok ragu-ragu nak beli sedangkan kita ada duit waktu tu, apa salahnya kita belikan sahaja. Selalunya dalam perkahwinan – bukan nilai harga yang ditimbang. Tetapi rasa kasih dan cinta yang membahagiakan.
Keempat – Seperti mana zaman bercinta – kita mahu sentiasa membahagiakan pasangan, dia nak apa, kita akan usaha bagi. Kalau kita tak adapun, kita cuba bagi ada juga. Maka amalan baik seperti itu patut diteruskan sehingga berkahwin, bahkan sehingga mati pun. Jangan putus cinta kerana berkahwin tetapi sambunglah ia dengan hubungan yang lebih tulus dan ikhlas dengan ikatan perkahwinan.
Jika dahulu dia adalah girlfriend kita, maka selepas kahwin juga – dia masih lagi girlfriend kita. Jika dahulu dia adalah makwe kita, maka selepas kahwin juga – dia masih lagi makwe kita. Jika dahulu dia adalah gebetan kita, maka selepas kahwin juga – dia masih lagi gebetan kita.
Cuma, kali ini dia bukan girlfriend biasa, dia bukan makwe biasa, dia bukan gebetan biasa. Dia ialah isteri – Jika dahulu, kita masih tidak akan dipertanggungjawabkan apabila dia tak makan, tak minum. Tetapi selepas kahwin, jika isteri tak makan dan tak minum – kita akan dipersalahkan.
Jika dahulu, makwe datang rumah kita – rajin dia basuh pinggan di rumah mak ayah kita, rajin dia masak di dapur mak dan ayah kita. Rajin dia menyapu di halaman rumah keluarga kita. Maka, apabila berkahwin, perkara itu bukan lagi sekadar ihsan – ia dilakukan oleh seorang isteri.
Sahabat-sahabat, itu 4 perkara positif yang mungkin kita boleh faham daripada kenyataan influencer berkenaan.
Pun begitu, saya bimbang – ia tidak seposyif yang disangka. Kerana di dalam fiqh kita diajar untuk memahami kaedah:
نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللَّهُ مُتَوَلِّي السَّرَائِرَ
Kami menghukum berdasarkan apa yang zahir, dan Allah jualah yang mengurus perkara-perkara yang tersembunyi.
Daripada kaedah ini, maka kita akan lihat apa yang tersurat sahaja dalam ucapan influencer berkenaan. Secara umumnya, beliau berkata:
1- Tiada Hak Suami atau Isteri, Yang Ada Hanya Ihsan.
2- Isteri Tak Patut Masak, Tetapi Suami Yang Patut Menyediakan. Apabila Isteri Masak, Ia adalah Ihsan.
Jadi, kita akan fokus kepada dua perkara ini sahaja.
Benarkah tiada hak suami atau isteri? Yang ada hanya Ihsan? Tak betul, bahkan ia bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Nabi bersabda:
إِنَّ لَكُمْ مِنْ نِسَائِكُمْ حَقًّا، وَلِنِسَائِكُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا،
Sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas isteri-isteri kamu, dan isteri-isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu.
Hadis ini Sahih riwayat Ibn Majah bil 1851, di dalam Bābu Ḥaqqi az-Zawji 'ala al-Mar'ah, [Bab] Hak Suami ke atas Isteri.
Hadis ini secara jelas menyatakan bahawa suami dan isteri ada hak yang perlu dipenuhi dalam perkahwinan. Ia bukan sekadar isu ihsan, tetapi isu tanggungjawab. Kita belajar perkara ini sebelum kita nak kahwin. Sebab tu ada Kursus Pra Perkahwinan. Ia nak jelaskan tentang hak suami dan hak isteri.
Suami adalah manusia yang paling perlu dipentingkan oleh isteri – bahkan, suami lebih penting untuk diberi perhatian berbanding mak dan ayah sendiri. Dan saya yakin, ini adalah kenyataan yang berat untuk diterima. Tetapi – itulah yang diajarkan oleh agama kita.
Nabi SAW bersabda:
لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا،
Seorang manusia tidak boleh sujud kepada manusia yang lain. Sekiranya bersujud kepada manusia lain itu dibenarkan, nescaya aku telah mengarahkan para wanita bersujud kepada suaminya lantara besarnya hak suami yang wajib ditunaikan olehnya.
Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, bilangan 12613.
Nabi juga bersaba:
«لَا يَنْظُرُ اللهُ إِلَى امْرَأَةٍ لَا تَشْكَرُ لِزَوْجِهَا وَهِيَ لَا تَسْتَغْنِي عَنْهُ
Allah tak akan melihat kepada wanita yang tidak berterima asih kepada suaminya. Iaitu dia tidak memenuhi keperluan suaminya.
Hadis ini Sahih riwayat Al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra.
Bahkan di dalam Tirmizi, Nabi bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا رَاضٍ عَنْهَا دَخَلَتْ الْجَنَّةَ»
Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya telah redha / telah berpuas hati dengannya, maka dia akan masuk ke syurga.
Hadis ini adalah hadis Hasan.
Besar sekali tanggungjawab dan hak yang perlu ditunaikan isteri kepada Suami. Demikian jugalah suiami.
Nabi bersabda:
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ،
"Bertakwalah kamu kepada Allah dalam (urusan) wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah Allah, dan kamu telah menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah."
Hadis ini Sahih riwayat Imam Muslim.
Allah juga berfirman:
وَعاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Dan layanilah mereka dengan baik,.
Al-Nisa ayat 19.
Hang boleh maki bini hang? Tak boleh. Boleh tampaq muka dia? Tak boleh! Hang boleh sindir dia sampai dia kecik hati? Tak boleh. Boleh main-main pasai isu poligami depan dia yang dia tak suka sampai hilang mood dia? Tak boleh. Boleh hang bandingkan dia dengan wanita lain sampai dia tarik muka? Tak boleh.
Kalau dia buat hang sakit hati, hang boleh tepuk tangan dia. Tapi kalau pukul dia sampai berdarah, atau hang cederakan emosi dia dengan teruk dan dengan sengaja, maka tu salah hang, dan hang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT.
Islam tak kata bahawa layan isteri dengan baik-baik itu adalah ihsan – tetapi Islam kata, itu adalah kewajipan. Kewajipan yang mesti dilakukan suami keatas isterinya.
Hak (حق): ialah Tanggungjawab wajib secara syarak yang boleh dituntut di mahkamah. Manakala Ihsan (إحسان) ialah Kebaikan yang dianjurkan tetapi tidak diwajibkan dan tidak boleh dituntut secara qada’.
Sahabat-sahabat, suami ada hak, isteri pun ada hak. Dalam perkahwinan, kita kena jaga hak-hak ini. Jangan sebab nak romantis dengan isteri, kita lucutkan hak yang Allah sudah pakaikan kepada kita.
Bayangkan, kalau kita ikut fatwa merepek yang kata suami isteri tak ada hak – Apabila berlaku perceraian, adakah isteri boleh tuntut nafkah yang tidak diberikan oleh suaminya sepanjang perkahwinan? Tak boleh! Sebab mana ada hak, yang ada hanya Ihsan! Hang merepek apa ni?!
Sahabat-0sahabat, isu kedua – isu masak. Isteri Tak Patut Masak, Tetapi Suami Yang Patut Menyediakan. Apabila Isteri Masak, Ia adalah Ihsan.
Begini, setiap keluarga pasti ada kebiasaan masing-masing. Boleh jadi, anda adalah keluarga yang suami isteri sibuk. Bukan sekadar memasak, makan dengan suami pun susah. Keluar kerja jam 5 pagi, balik kerja jam 1 pagi. Jumpa isteri pun hanya say hai sahaja. Kes ini, memang dua-dua tak masak. Ada lagi tu, seminggu sekali, sebulan sekali baru jumpa suami, macam mana nak masak?
Atau isteri anda memang tak biasa masak. Kalau dia masak pun memang tak boleh telan. Dan sebelum kahwin pun dah tahu pperangai berkenaan dan anda pun okey sahaja. Waktu makan, antara beli grab, makan dekat restoran atau makan masakan mertua. Ada masalah? Masih lagi tak ada masalah. Ikut hangpa.
Atau bab makan, anda dah bahagikan waktu dengan suami. Ada hari ni awak masak, esok dia masak. Atau minggu ni awak masak minggu depan dia masak. Ada masalah? Tak ada masalah juga dalam bab ini.
Tapi akan jadi masalah bila, suami ni suka sungguh kalau isteri dia masak. Dia paling gemar masakan isteri dia. Walaupun orang lain kata, masakan isteri dia tak sedap, rasa macam air paip, muka kari rasa tomyam – tapi pada lidah dia, masakan isteri dialah yang paling sedap. Dia tak suruh isteri dia guna duit sendiri untuk masak, tetapi dia mintak isteri dia masak. Barang-barang dapur semua dia beli. Dia tak susahkan isteri dia.
Tiba-tiba, isteri dia baru tengok video onfluencer tadi, isteri dia pun tak mahu masak.
Inilah masalah. Masalah khidmat pada suami.
Antara kewajipan isteri adalah khidmat kepada suami. Dan khidmat inilah yang menjadikan isteri itu adalah wanita yang berbeza dalam rumah tangga. Dia dipandang sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab, dia dipandang sebagai seorang isteri yang mithali.
Saya bacakan satu hadis untuk anda:
أَنَّ فَاطِمَةَ عليها السلام اشْتَكَتْ مَا تَلْقَى مِنَ الرَّحَى مِمَّا تَطْحَنُ، فَبَلَغَهَا أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِسَبْيٍ، فَأَتَتْهُ تَسْأَلُهُ خَادِمًا فَلَمْ تُوَافِقْهُ، فَذَكَرَتْ لِعَائِشَةَ، فَجَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَتْ ذَلِكَ عَائِشَةُ لَهُ، فَأَتَانَا وَقَدْ دَخَلْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْنَا لِنَقُومَ، فَقَالَ: (عَلَى مَكَانِكُمَا). حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى صَدْرِي، فَقَالَ: (أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى خَيْرٍ مِمَّا سَأَلْتُمَاهُ، إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا فَكَبِّرَا اللَّهَ أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَإِنَّ ذَلِكَ خَيْرٌ لَكُمَا مِمَّا سَأَلْتُمَاهُ).
Fatimah عليها السلام pernah mengadu tentang apa yang beliau alami ketika menggiling dengan batu kisar (rahāʼ) untuk membuat tepung. Maka sampailah berita kepadanya bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah didatangkan dengan tawanan perang (saby), lalu dia pun datang menemui Baginda untuk meminta seorang khadam. Namun dia tidak menemui Baginda (pada waktu itu), lalu dia menceritakan hal itu kepada Aisyah رضي الله عنها.
Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم pun datang, lalu Aisyah memberitahu Baginda tentang permintaan Fatimah itu. Baginda pun datang menemui kami, dan pada ketika itu kami sudah masuk ke tempat tidur kami. Kami pun ingin bangun, tetapi Baginda berkata:
"Tetaplah di tempat kamu berdua."
Sehingga aku (Ali) merasakan sejuk tapak kaki Baginda di dadaku, kemudian Baginda bersabda:
"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu berdua satu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta?
Apabila kamu berdua telah masuk ke tempat tidur kamu, maka:
Takbirlah kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali,
Puji Allah (ucap alhamdulillah) tiga puluh tiga kali,
Dan bertasbihlah (ucap subhanallah) tiga puluh tiga kali,
Maka itu adalah lebih baik bagi kamu berdua daripada apa yang kamu minta."**
Hadis ini Sahih riwayat Imam al-Bukhari
Apa yang kita dapat daripada hadis ini?
1- Fatimah, anak kesayangan Rasulullah sendiri pun buat kerja rumah. Menggiling tepung bagi menyediakan makanan untuk suaminya di rumah. Ini menolak dakwaan bahawa kerja rumah tak ada langsung kaitan dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Standard daripada zaman Nabi lagi, bukan rekaan budaya patriarki. orang perempuan dah biasa menguruskan rumah tangga sehingga Nabi kata dalam riwayat al-Bukhari, wanita bertanggungjawab terhadap rumah suaminya dan akan dipersoalkan di hadapan Allah atas tanggungjawab berkenaan. Khadijah bintu Khuwailid siapkan makanan untuk Nabi setiap kali Nabi turun dari gua hira’. Tak ada pula dia pertikaikan.
2- Hadis Fatimah itu membuktikan Rasulullah SAW Tidak Menolak Peranan Fatimah sebagai ibu rumah tangga, Tetapi Memberi Sokongan Rohani kepada beliau. Apatah lagi, Nabi tak mahu masuk campur dengan urusan anak menantunya. Sebabtu Nabi nasihatkan dengan bacaan zikir-zikir yang memberikan sokongan rohani.
Ada orang kata – Ustaz, bab Khidmat kepada suami ni, ulama beza pendaapat. Ada ulama yang tak wajibkan khidmat kepada suami.
Benar, memang ada pandangan seperti itu. Tetapi jangan baca sekerat-sekerat. Walaupun ada ulama yang tak wajibkan khidmat kepada suami, tetapi mereka meletakkan isu khidmat itu pada isu ketaatan kepada suami dalam perkara makruf. Kerana wanita wajib untuk mentaati suaminya dalam hal yang bukan maksiat. Kalau isteri suruh masak, masaklah. Tak sedap pun tak apa. Itulah nilai ketaatan yang akan membawa ke syurga. Dan suami pun, jangan lah mangkuk hayun sangat. Kalau dua dua dah penat, tempah sajalah grab ka sfood panda. Atau ajak saja makan kat luar. Itukan nilai kasih sayang dan cinta kepada isteri.
Akhirnya, isteri yang memasak pun tak rasa dibebani. Perut suami pun semakin membesar dan membahagiakan. Moga-moga Allah kekalkan hubungan kita sehingga ke syurga.
Kenyataan bahawa “tiada hak suami atau isteri, yang ada hanyalah ihsan” mungkin lahir daripada niat yang baik untuk menekankan kasih sayang dan kelembutan dalam rumah tangga. Namun, dari sudut syariah, ia merupakan satu kekeliruan konsep yang serius. Islam membina institusi perkahwinan atas asas akad yang sah, yang melahirkan hak dan tanggungjawab syarie bagi kedua-dua pasangan. Ihsan memang dianjurkan, tetapi ia tidak menggantikan kewajiban, sebaliknya menjadi penyempurna kepada hubungan yang dibina atas dasar tanggungjawab.
Menafikan kewujudan hak-hak ini bukan sahaja bertentangan dengan al-Quran, Sunnah, dan pandangan para fuqaha, bahkan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, kecuaian nafkah, dan keruntuhan tanggungjawab rumah tangga. Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima pandangan yang popular tetapi tidak berpijak pada dasar syarak.
0 Comments
Post a Comment