Alhamdulillah, saya baru saja selesai pengajian bersama Dr. Khalilullah Amin, pensyarah hadis di Universiti Sains Malaysia (USM), dalam topik yang cukup menarik — Ketokohan Tabi‘in.
Dalam banyak-banyak tokoh, ada satu nama yang benar-benar mencuri perhatian saya:
‘Ikrimah Maula Ibn ‘Abbas.
Seorang tokoh besar, murid kepada sahabat agung Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما, tapi malangnya tidak terlepas daripada tohmahan dan fitnah hanya kerana beberapa pendapatnya yang “nampak” seakan menyamai pandangan golongan sesat.
Ketika sesi rehat singkat dalam kelas, kami terhenti seketika pada satu slide yang menyebut satu riwayat, Kononnya kata Ibn ‘Umar kepada muridnya Nafi‘.:
لَا تكذب عَليّ كَمَا يكذب عِكْرِمَة على بن عَبَّاس
“Jangan berdusta ke atasku sebagaimana ‘Ikrimah berdusta ke atas Ibn ‘Abbas.”
Bunyinya berat. Tapi ilmu hadis mengajar kami untuk tidak menelan apa-apa dakwaan tanpa penelitian. Maka pengkaji semak sanadnya. Ternyata ia datang daripada seorang perawi yang bermasalah: Yahya bin Buka’, yang telah dinilai sebagai matrūk (ditinggalkan) oleh para ulama hadis.
Jadi, bagaimana mungkin kita menerima satu tuduhan besar terhadap tokoh sehebat ‘Ikrimah hanya berasaskan riwayat seperti itu?

Benar, ada sebahagian pandangannya kelihatan mirip dengan kelompok tertentu seperti khawarij, tetapi itu tidak bermaksud beliau tergolong dalam kelompok tersebut.
Mungkin ada isu yang secara kebetulan selari — tetapi itu bukan hujah untuk menghukum seseorang sebagai sesat.


Dalam dunia yang penuh dengan manipulasi dan copy paste, jangan terlalu mudah percaya cakap orang. Jangan biarkan sentimen dan lidah manusia menjadi kayu ukur dalam menilai maruah dan kedudukan seseorang.

Kaji dahulu sebelum menghukum.
Selidik dahulu sebelum percaya.
Dan jangan lupa — walaupun hanya satu persamaan pandangan, ia tidak menjadikan seseorang itu bersubahat dengan golongan sesat.
0 Comments
Post a Comment