Pertama: Permulaanya, Saya tak menjumpai mana-mana hadis yang mempunyai lafaz yang sama seperti mana yang disebutkan oleh Dato’ Badlishah hafizahullah ini. 

Oleh itu, saya tak tahu – apakah status hadis berkenaan. 
Saya sudah semak dalam pelbagai kitab dan website, saya tak jumpa. Saya juga ada minta tolong sahabat saya untuk buat semakan, dia juga tak jumpa hadis yang sebut. 

Sehinggalah saya buat semakan kali kedua 1 jam sebelum video ini diterbitkan, saya jumpa hadis ini. 

Rupa-rupanya, ia bukanlah kata-kata Nabi Muhammad SAW, tetapi DIKATAKAN bahawa ia adalah kata-kata Ibn Abbas radhiyallahuanhuma. 

Imam al-Qurthubi di dalam kitab Tafsirnya menukilkan kata-kata Ibn Abbas:

إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ أُخْرِجَ أَهْلُ التَّوْحِيدِ مِنَ النَّارِ. وَأَوَّلُ مَنْ يَخْرُجُ مَنْ وَافَقَ اسْمُهُ اسْمَ نَبِيٍّ، حَتَّى إِذَا لَمْ يَبْقَ فِيهَا مَنْ يُوَافِقُ اسْمُهُ اسْمَ نَبِيٍّ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى لِبَاقِيهِمْ: أَنْتُمُ  الْمُسْلِمُونَ وَأَنَا السَّلَامُ، وَأَنْتُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَنَا الْمُؤْمِنُ، فَيُخْرِجُهُمْ مِنَ النَّارِ بِبَرَكَةِ هَذَيْنَ الِاسْمَيْنِ

Apabila berlaku kiamat, akan dikeluarkan Ahli Tauhid daripada api neraka. Kumpulan pertama yang akan dikeluarkan ialah sesiapa yang namanya sama dengan nama Nabi. Sehinggalah tiada siapa lagi yang namanya sama dengan nama Nabi, Allah akan berkata kepada mereka yang lain: “Kamu semua ini dinamakan Al-Muslimun dan Aku ini pula adalah al-Salam. Kamu semua juga dinamakan Al-Mukminun dan Aku ini pula Al-Mukmin.” Lalu semua mereka dikeluarkan daripada api neraka dengan keberkatan kedua-dua nama ini. 

Tamat. 

Kenyataan Ibn Abbas ini juga direkodkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitamy di dalam kitab Fiqh Mazhab Syafiie Tuhfatul Muhtaj fi Syarhi Minhaj, demikian juga al-Khatib al Syarbini di dlaam kitabnya Al-Sirajul Munir dan Mughni Muhtaj. Bahkan dalam kitab al-Iqna` dan I`anatul Talibin juga ada sebutkan benda yang sama. 

Cuma, masalahnya ialah – tidak ada satu pun kitab-kitab itu yang menyatakan sanad daripada Ibn Abbas sedangkan kita tahu, sangat banyak hadis yang dipalsukan lalu dikatakan bahawa Ibn Abbas berkata. Sedangkan, dia tak terlibatpun dalam periwayat kisah berkenaan. 

Jadi riwayat ini sangat bermasalah. Kerana tiada sebarang penyambung kepada Nabi Muhammad SAW. 

Orang yang boleh dianggap mula-mula mengatakan ini adalah kata-kata Ibn Abbas ialah Al-Sa`laby di dalam Tafsirnya. Sedangkan beliau meninggal pada tahun 427H, manakala Ibn Abbas meninggal pada tahun 68H. beza antara mereka ialah 359 tahun. 

Mustahil untuk kita nak kata Al-Sa`laby rahimahullah mendengar terus daripada Ibn Abbas. 

Sekiranyapun betul riwayat itu daripada sudut sanad, ia benar daripada Ibn Abbas, ia masih boleh dipertikaikan lagi kerana matan atau isi kandungan hadis itu kelihatan bercanggah dengan perbuatan majoriti para sahabat Nabi SAW. 

Bayangkan, jika benar dakwaan ini – pasti anak-anak sahabat akan dinamakan dengan nama Muhammad sedangkan yang kita lihat, hanya sedikit sahaja yang dinamakan dengan nama Muhammad. Bahkan, anak cucu Nabi sendiri pun, Nabi tak namakan Muhammad. 

Kalau benar ada kelebihan khusus memberikan nama anak dengan nama Muhammad, pasti para sahabat akan mendahului kita. 
Ibn Kathir di dalam Bidayah wal Nihayah sering kali sebut: 

وَلَوْ كَانَ هَذَا أَمْرًا مَحْمُودًا لَكَانَ صَدْرُ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَخِيرَتُهَا أَوْلَى بِهِ ; إِذْ ‌لَوْ ‌كَانَ ‌خَيْرًا ‌لَسَبَقُونَا إِلَيْهِ، وَأَهْلُ السُّنَّةِ يَقْتَدُونَ وَلَا يَبْتَدِعُونَ

Sekiranya perkara ini terpuji, nescaya umat yang awal-awal memeluk Islam serta tokoh-tokohnya adalah yang paling mula akan melakukannya. Kerana sekiranya sesuatu perkara itu dianggap baik nescaya kita akan didahului oleh mereka. Kerana Ahli Sunah itu mengikut bukannya mereka-reka. 

Anda boleh rujuk di dalam Bidayah Wal Nihayah, jilid 15 muka surat 269. 

Apatah lagi, Allah sebut di dalam surah al-Najmu ayat 39: 

وَأَن لَّيْسَ لِلإنسَانِ إلاَّ مَا سَعَى
Manusia hanya memperoleh sesuatu yang dia usahakan. 

Bukan hanya dengan bubuh nama Muhammad sahaja telah menyebabkan dia dimasukkan ke dalam Syurga. Apatah lagi, jika memberikan nama Muhammad itu adalah satu kebaikan, maka yang mendapat manfaat itu pastilah ibu bapa orang itu kerana ia termasuk amalan ibu dan bapa itu, bukan amalan anak dia. Anak dia tak terlibat pun dalam meletakkan nama berkenaan. 

Kedua: Saya juga mahu ingatkan bahawa, tak salah boh nama anak Muhammad atau Ahmad. Nama saya sendiri juga ada nama berkenaan. Bahkan, ada juga kebenaran dari Nabi Muhammad SAW untuk menamakan seseorang dengan nama beliau di dalam Sahih al-Bukhari: 

سَمُّوا ‌بِاسْمِي وَلَا تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي
Namakanlah dengan namaku, tetapi jangan namakan dengan nama gelaran aku. 

Gelaran Nabi ialah Abu Qasim. Maka tak boleh kita bagi nama anak dengan Abu Qasim atau Abal Qasim. Kalau nama anak Muhammad, tak ada masalah. 

Pun begitu, kebenaran Nabi ini hanya dalam kategori harus sahaja. Maksudnya, nak bubuh boleh, tak bubuh pun tak ada masalah. Tak ada pahala khusus sehingga ia menjadi wajib atau sunat. ia kekal pada hukum harus sahaja. 

Ketiga: Saya juga mahu ingatkan kepada sahahabat-sahabat berkaitan banyaknya hadis-hadis palsu dan tersangat lemah tentang kelebihan memberikan nama anak dengan nama Ahmad atau Muhammad. Antaranya ialah: 

مَنْ وُلِدَ لَهُ أَرْبَعَةُ أَوْلادٍ ، فَلَمْ يُسَمِّ أَحَدَهُمْ مُحَمَّدًا لَمْ يَدْخُلْ حُبُّ مُحَمَّدٍ قَلْبَهُ .
“Sesiapa yang mempunyai empat orang anak kemudian tidak memberikan nama salah seorang dari mereka dengan nama ‘Muhammad’, maka tidak masuk rasa kecintaan kepada (Nabi) Muhammad dalam hatinya.”

Begitu juga hadis berikut: 

مَنْ ‌وُلِدَ ‌لَهُ ‌مَوْلُودٌ ‌فَسَمَّاهُ ‌مُحَمَّدًا ‌تَبَرُّكًا ‌بِهِ ‌كَانَ ‌هُوَ ‌وَمَوْلُودُهُ ‌فِي ‌الْجَنَّةِ

“Sesiapa yang mempunyai anak kemudian diberikan nama ‘Muhammad’ dalam rangka mencari keberkahan, maka dia dan anaknya akan berada di surga”

Hadits ini di nilai palsu oleh banyak ulama seperti Imam Adz-Zahabi dalam Talkhis kitab Al-Maudhu’aat, Ibnul Qayyim dalam Al-Manarul Munif , Mula Ali Al Qari di dalam Al-Asrar al-Marfu`ah dan ulama lainnya.

Tetapi sebahagian para ulama menyatakan ia adalah hadis yang Dhoif dan ada juga yang kata ia adalah hadis yang Hasans epertimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti, tetapi yang lebih tetapt ia adalah hadis yang Dhoif berat atau palsu. 

Sahabat-sahabat, saya suka dengan kata-kata Ibn Baaz di dalam Majmu` al-Fatawanya: 

، فالاعتبار بإتباع محمد ، وليس باسمه ـ صلى الله عليه وسلم ، فكم ممن سمي محمداً وهو خبيث ؛ لأنه لم يتبع محمدا ولم ينقد لشريعته ، 

Yang menjadi keutamaan ialah mengikut risalah Muhammad, bukan mengikut namanya SAW. berapa ramai orang yang telah dinamakan dengan nama Muhammad tetapi perbuatannya cukup buruk? Itu kerana dia tidak mengikuti risalah Muhammad serta tidak patuh pada syariatnya. 

فالأسماء لا تطهر الناس ، وإنما تطهرهم أعمالهم الصالحة ، وتقواهم لله ـ جل وعل ـ
Nama itu tidak mensucikan manusia, tetapi amalannya yang baik serta taqwanya kepada Allah yang akan mensucikannya. 
Anda rujuk jilid 26, muka surat 348. 

---
Syihabudin Ahmad, 
YouTuber.