Pembunuhan sesuka hati disebut sebagai satu aktiviti keganasan yang akan menjadikan seseorang telah mencalarkan hak kemanusiaan (Humanity) secara keseluruhannya. Justeru itu, tindakan keganasan atau ekstrimis dikecam di dalam kehidupan seorang manusia. Apabila Islam datang, ia membawa pengukuhan yang sama. Ia sentiasa mengukuhkan hak kemanusiaan. Lawan bagi pembunuhan adalah menegakkan keadilan dan hak untuk hidup.

33. dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia Yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali Dengan alasan Yang benar…
(al-Israa:33)

Justeru itu, ramai orang yang suka kepada kata-kata kedamaian dan keamanan. NGO lebih dihormati daripada orang politik kerana mereka mmbina hak kemanusiaan. Justeru itu Islam menekankan bahawa pembunuhan secara zalim adalah dikeji kerana ia bertentangan dengan kemanusiaan.

Apabila seseorang muslim telah melakukan jenayah berkenaan dengan sengaja, maka dia hendaklah dijatuhkan hukuman qisas. Apabila waris mangsa mahu memaafkannya, dia tetap wajib mengeluarkan kaffarah dan berpuasa. Tetapi apabila warisnya mennyedekahkannya, maka dia tetap wajib berpuasa.

Nabi  SAW bersabda:

لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ

Janganlah kalian kembali menjadi kafir setelah aku (wafat), apabila sebahagian kalian memenggal leher sebahagian yang lain.[1]

Perkataan kafir di sini boleh membawa maksud dia telah mengkafiri (ingkar) pada hak darah yang ditetapkan agama. Boleh juga difahami bahawa orang ini adalah kelompok khawarij yang menghalalkan darah umat Islam.

Daripada Abdullah bin Umar, katanya; Rasulullah SAW berkata:

أَكْبَرُ الكَبَائِرِ: الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ

Dosa besar yang paling besar ialah: menyekutukan Allah, membunuh jiwa, dan menderhakai ibubapa…[2]

Pembunuhan Atas Nama Agama

Pembunuhan tidak semestinya membawa maksud yang tidak baik. Ia juga boleh disandarkan kepada pembunuhan yang baik apabila ia dijalankan dengan tatacara hukum yang betul. Di dalam Islam, seseorang yang murtad dan tidak bertaubat boleh dijatuhi hukuman bunuh, demikian juga muslim yang membunuh muslim yang lain akan dijatuhi hukuman bunuh balik (Qisās).

Hukuman bunuh yang dijalankan dengan prosuder yang betul bukanlah bentuk kekejaman, tetapi ia adalah bentuk mengembalikan hak. Allah berfirman:

179. dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah: 179)

Di dalam undang-undang yang tidak menjadikan agama sebagai asas juga meletakkan hukuman bunuh yang baik ini. Justeru itu di Malaysia, undang-undang hukuman gantung sampai mati dikenakan kepada pelaku jenayah membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjatapi. Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.

Namun, sebahagian orang telah menyalahgunakan agama sebagai alat untuk mereka meraih kepuasan diri dengan bunuh lalu menyandarkan kepada agama. Kajian ini akan memberikan tumpuan kepada satu kelompok yang menggelar kumpulan mereka dengan istilah “Islamic State of Iraq and the Levant” atau “Daesh”.

Daesh melakukan kekerasan kepada siapa sahaja yang dianggap sebagai kafir kerana mereka menggangap orang kafir dapat merosakkan Islam daripada dalam. Konsep menganggap orang kafir ini disebut sebagai takfir.

Konsep ini memberi maksud siapa sahaja yang tidak sefahaman dengan mereka adalah kafir dan layak untuk diseksa dan dibunuh. Inilah kefahaman jihad mereka.

Konsep Jihad dalam Islam

Sebahagian umat Islam menyempitkan makna jihad hanya kepada peperangan sahaja sedangkan makna jihad lebih luas berbanding makna peperangan.

Dr. Muhammad Naim Yasin telah membahagikan jihad dari segi syarak kepada dua bahagian. Beliau berkata,

“Dalil yang tersangat banyak daripada al-Quran dan sunah telah menjelaskan penggunaan syarak mengenai jihad kepada dua makna - Salah satunya (1) Umum dan selebihnya (2) Khusus.”[3]

Makna jihad dari segi umum mencakupi segala perkara yang dilakukan bagi meninggikan agama Allah SWT. Seperti berniaga bagi mengangkat ekonomi umat Islam, memajukan bidang astronomi bagi menjadikan keilmuan Islam mendahului ilmu-ilmu yang lain.

Allah SWT berfirman,

“Wahai orang beriman! Mahukah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kamu tentang satu perniagaan, yang akan dapat menyelamatkan kamu daripada seksaan pedih (api neraka)? (Ia adalah), Kamu beriman dengan Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri-diri kamu. Ia amat baik buat kamu, sekiranya kamu mengetahui.”

[as-Shaf : 10-11]

Manakala jihad yang khusus adalah jihad di medan perang. Memerah keringat dan menggunakan senjata bagi menumpahkan darah orang yang menentang agama Allah SWT dan membuat kekacauan di muka bumi. Jihad dalam makna khusus lebih berat perlaksanaannya. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Oleh itu, Allah SWT berfirman,

“Apakah kamu semua menyangka bahawa dengan memberi minum kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidilharam, kamu akan dapat sama seperti orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, serta berjihad di jalan Allah? Ia tidak akan sama di sisi Allah. Dan Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang zalim.

[at-Taubah : 19]

Bercakap soal jihad sememangnya mudah, namun bagi mencurahkannya tidak semudah yang disangka. Orang yang berjihad mengorbankan sesuatu yang berharga dalam diri mereka. Cinta mampu menjadikan jihad itu tersangat mudah! Cinta kepada Allah SWT dan rasul-Nya sahaja yang dapat melonjakkan semangat Muslim berjihad.

IS: Pembunuhan atas Nama Jihad?

Apabila anda melihat laman-laman web berkaitan jenayah IS, anda akan dapati pelbagai video yang memaparkan umat Islam dibunuh dengan memenggal kepala lalu menunjukkan kebanggaan dengan memuat naik di media sosial. Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman.



Para Ulama  Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di  zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.

Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

Bahkan kekejaman mereka terhadap orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam seperti kelompok Yazidi adalah tindakan yang bukan jihad tetapi jahat!

Daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW, katanya:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Sesiapa yang membunuh mu`āhad (orang kafir yang memiliki perjanjian damai dengan kaum Muslimin) maka dia tidak akan dapat mencium bauan syurga. Sekalipun wanginya syurga dapat tercium daripada jarak empat puluh tahun perjalanan.[4]

Oleh itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak.

Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan kumpulan ISIS atau ISIL ini.

Terrorism Has NO Religion

Beberapa siri serangan, tembakan dan kegiatan jenayah pembunuhan berlaku di Perancis. Terdengar di dalam video orang yang melakukan aktiviti keganasan tersebut berkata “Allahu Akbar!” sebelum melancarkan serangan.

Situasi ini membayangkan seolah-olah agama bersetuju dengan tindakan jahat yang mereka lakukan. Bahkan, mereka menyangka bahawa agamalah yang menggalakkannya!

Sedangkan, hakikatnya tidak seperti itu. Di bumi suci umat Islam, di negara yang dibina oleh tangan Nabi SAW dan para sahabat juga berlaku tindakan keganasan atas agama ini. Justeru itu, bagaimana dianggap orang yang melakukan aktiviti keganasan ini kuat beragama?

Ia tidak ada kaitan dengan agama! Agama Islam menantang kezaliman.

Dahulu di Amerika Syarikat  terdapat sebuah kumpulan yang berjenama KKK (Ku Klux Klan) yang melakukan aktiviti keganasan dengan menyandarkan kegiatan mereka sebagai Orang Kristian yang baik. Sedangkan ajaran kristian tidak menganjurkan hal demikian.

Demikian juga bancian di seluruh dunia menyatakan bahawa keganasan tidak membawa identiti agama. Para pengganas itu hanya menggunakan nama agama bagi melakukan apa yang mereka suka. Mereka jual agama dengan pemikiran yang bodoh.

Al-Imam al-Akbar Syeikh Ahmad Thoiyyib berkata: Satu kezaliman apabila menyandarkan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh kumpulan pelampau kepada Islam. Terorisma; tidak mempunyai kaitan agama, ia adalah satu kezaliman yang nyata.

Firman Allah:

208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.
(Al-Baqarah:208)
  
 Kesimpulan

Agama kita memandang berat isu membunuh manusia tanpa hak. Ia menunjukkan kemelampauan di dalam beragama. Sebahagian orang menyatakan bahawa sebenarnya ia bukanlah agama.

Daripada Mu`āwiyah katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ ذَنْبٍ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَغْفِرَهُ إِلَّا الرَّجُلُ يَمُوتُ كَافِرًا، أَوْ رَجُلٌ يَقْتُلُ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا

Setiap dosa Allah akan ampunkan kecuali seseorang yang mati dalam keadaan kafir atau seseorang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja[5]. Diriwayatkan oleh al-Nasāie.

Perjuangan ISIS juga tidak mewakili mana-mana ulama ahli Sunnah wa al-Jamaah. Syeikhul Islam Al-Imam Ibn Taimiyyah yang cuba diburukkan oleh sebahagian pihak sebagai membawa fahaman keganasan adalah seorang ulama yang unggul. Beliau tidak ada kaitan dengan fahaman keganasan. Beliau meninggal pada tahun 728H. Seorang ulama yang berasal daripada Haran, Turki. Beliau adalah ulama yang telah mencurahkan ilmu kepada masyarakat sehingga di pelbagai tempat pengajian akademik seperti universiti telah menjadikan ilmunya sebagai panduan.

Beliau telah melahirkan ramai anak murid yang hebat-hebat seperti al-Imam Ibn Kasir yang terkena dengan Tafsir Ibn Kasir, al-Imam Al-Dzahabi yang terkenal dengan kitab al-Kabaair,

Al-Hafiz Al-Mizzy mengatakan: Aku belum pernah melihat orang seperti Ibnu Taimiyah dan belum pernah kulihat ada orang yang lebih berilmu terhadap kitabullah dan sunnah Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam serta lebih ittiba` dibandingkan beliau.

 _______________


[1] Al-Bukhāri meriwayatkan hadis ini di dalam kitab al-`Ilm (Bāb al-Inṣāt lil `Ulamā’) bilangan 121. Manakalan Muslim meriwayatkannya di dalam Kitab al-Imān (Bāb Bayān Ma`nā qaul al-Nabī:  La Tarji`u Ba`dī..) bilangan 65.
[2] Al-Bukhāri meriwayatkannya di dalam Kitāb al-Aimān wa al-Nuzūr (Bāb al-Yamīn al-Ghumūs) bilangan 6675. Diriwayatkan oleh Ahmad 2/201. Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma. ia diakhiri dengan “Wal Yamīn al-Ghāmūs” – “dan sumpah dusta”.
[3] Ruj. Dr. Muhammad Naim Yasin, Haqiqatul Jihad Fi Islam, Dar Al-Arqam, 1984.

[4] Diriwayatkan oleh al-Bukhāri di dalam kitāb al-Jizyah wa al-Muwāda`ah (Bāb Ism Man Qatala Mu`āhadan bi ghair Jazm) bilangan 3166 dan diriwayatkan oleh Ibn Mājah di dalam Kitab al-Diyāt (Bāb Man Qatala Mu`āhadan) bilangan 2686. Diriwayatkan oleh al-Nasāie di dalam kitāb al-Qasāmah (Bāb Ta`ẓīm Qatalu al-Mu`āhid) 8/24 dan diriwayatkan oleh Ahmad 5/36.
[5] Diriwayatkan oleh Abu Dāud di dalam kitab al-Fitan wa al-Malāhim (Bāb Fi Taẓim Qatlu Mukmin) bilangan 4270. Diriwayatkan oleh Ahmad 4/99, al-Hākim 4/351 dan disahihkannya serta disetujui oleh al-Zahabi namun aku tidak temuinya di dalam kitab al-Nasāie (Al-Mujtabā). (Penterjemah: Hadis ini terdapat dalam rekod al-Nasāie di dalam kitab al-Dām, Bab Ta`ẓim al-Dam, 3984)