Keislaman Hamzah

Di tengah keadaan yang diselimuti oleh mendung kegelapan dan kezaliman, tiba-tiba berkelip sebuah kilatan cahaya yang menerangi jalan orang yang teraniaya. Itulah peristiwa keislaman Hamzah bin Abdul Muthalib. Dia memeluk Islam pada akhir tahun keenam kenabian. Pendapat yang paling kuat menyebutkan bahawa dia memeluk Islam pada bulan Zulhijah.

Penyebab keislaman Hamzah dapat dipaparkan seperti berikut. Pada suatu hari Abu Jahal bertemu Rasulullah s.a.w. di Bukit Safa. Dia menyakiti dan menganiaya baginda tetapi Rasulullah s.a.w. hanya diam, tidak bercakap apa-apa. Kemudian dia memukul kepala baginda dengan batu hingga terluka dan berdarah. Selepas itu dia pergi meninggalkan baginda, menuju tempat berkumpulnya orang Quraisy berdekatan Kaabah. Dia duduk bersama mereka.

Seorang bekas hamba perempuan yang dulu mengabdikan diri kepada Abdullah bin Jud‘an melihat kejadian tadi ketika dia sedang berada di rumahnya di Bukit Safa. Tidak berapa lama kemudian, Hamzah yang baru pulang daripada berburu dan masih menyandang busur panahnya sampai di Bukit Safa. Perempuan itu menceritakan perbuatan Abu Jahal seperti yang dilihatnya kepada Hamzah.

Pada ketika itu Hamzah meradang. Dia memang pemuda Quraisy yang paling kuat dan paling mudah tersentuh emosi jika ada orang yang mengganggu harga diri kaumnya. Dia berlari dengan cepat menuruni Bukit Safa, tidak berhenti walaupun sebentar walaupun bertemu dengan orang lain. Dia telah bersedia untuk bertemu Abu Jahal untuk mengajarnya!

Setelah masuk ke masjid, Hamzah terus berdiri di hadapan Abu Jahal. Dia berkata kepadanya,

“Hai manusia berdubur kuning! Berani sekali kamu bertindak kejam terhadap anak saudaraku, padahal aku berada atas agamanya!” Hamzah memukul Abu Jahal dengan busur panahnya hingga terluka parah.

Perkara itu menyebabkan orang daripada Bani Makhzum (keluarga Abu Jahal) dan orang daripada Bani Hasyim (keluarga Hamzah) datang ke tempat itu. Abu Jahal berkata kepada kaumnya, “Biarkanlah Abu Imarah ini! Sesungguhnya aku telah melecehkan anak saudaranya dengan penghinaan yang sangat buruk.”[1]

Keislaman Hamzah pada awal mulanya hanya kerana pembelaannya terhadap kaum keluarganya. Dia tidak suka keluarganya dihina. Kemudian sedikit demi sedikit Allah melapangkan hatinya untuk memegang teguh ajaran Islam secara penuh. Dengan keislamannya, keadaan umat Islam menjadi lebih kuat.

Keislaman Umar bin Al-Khattab

Dalam suasana yang diselimuti oleh mendung kegelapan dan kezaliman, tiba-tiba berkelip sebuah kilatan cahaya yang lain, yang kilatannya lebih dahsyat dan lebih terang daripada yang tadi. Itulah keislaman Umar bin al-Khattab. Dia memeluk Islam pada bulan Zulhijah tahun keenam kenabian[2], selang tiga hari setelah keislaman Hamzah.

Sebelum itu, nabi pernah berdoa kepada Allah, memohon keislaman Umar. Al-Tirmizi membawakan sebuah riwayat daripada Ibnu Umar yang disahihkan olehnya, yang dibawakan juga oleh Tabarani daripada Ibnu Mas‘ud dan Anas bahawa Nabi Muhammad pernah berdoa,

«اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ بِأَحَبِّ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ، بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَوْ بِأَبِي جَهْلِ بْنِ هِشَامٍ»

“Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua orang yang paling Kau cinta iaitu Umar bin Al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam.” Ternyata, daripada kedua-dua orang itu, yang lebih Allah cintai ialah Umar.[3]

Setelah mencermati semua riwayat yang ada tentang keislaman Umar, kelihatan bahawa bersemayamnya Islam di dalam hatinya terjadi secara beransur-ansur. Namun begitu, sebelum saya paparkan ringkasannya, terlebih dahulu perlu saya tunjukkan tentang watak dan perasaan Umar di hari-harinya.

Umar dikenali memiliki tabiat yang keras dan kebanggaan yang kuat terhadap harga dirinya. Dia seorang individu yang bengis, di mana orang Islam mesti merasakan pelbagai seksaan daripadanya. Dia memberikan seksaan yang kuat kerana isu akidah. Rasa bimbang berlegar-legar di dalam hatinya (dan seperti itu juga yang akan dirasakan oleh sesiapa pun yang berakal) tatkala menyaksikan apa yang diserukan oleh Islam jauh lebih agung dan lebih suci daripada yang lain. Oleh kerana itu, hatinya berkecamuk sehingga dia lemas sendiri.

Setelah dianalisis, riwayat-riwayat tentang keislaman Umar dapat disimpulkan seperti berikut:

Pada suatu malam, Umar mahu tidur di luar rumahnya. Dia pergi ke Masjidil Haram. Dia menyelak tirai penutup Kaabah kerana hendak masuk ke dalamnya. Rupa-rupanya Nabi Muhammad sedang berdiri mengerjakan solat. Saat itu, nabi sedang membaca Surah al-Haqqah.

Itulah detik kali pertama Umar mendengar bacaan al-Quran. Susunan kalimahnya membuat dia berasa takjub. Dia berkata kepada dirinya sendiri, “Demi Allah, Muhammad memang seorang penyair seperti yang dikatakan oleh orang Quraisy!”

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat,

“Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar kalam Allah yang dibawa turun oleh utusan yang mulia. Dan al-Quran itu bukan ucapan penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya,”
(Al-Haqqah: 40-41)

Umar berkata, “Jika begitu, Muhammad adalah dukun.”

Rasulullah s.a.w. terus membaca,

“Dan bukan pula ucapan dukun. Sedikit sekali kamu mengambil pengajaran daripadanya. Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan daripada Rabb semesta alam,”
(Al-Haqqah: 40-41)

hingga akhir surah. Maka Umar berkata, “Mulalah Islam menyusup ke dalam hatiku.”[4]

Inilah detik-detik awal tumbuhnya benih keislaman di hati Umar. Namun begitu, kehidupan jahiliah, sikap fanatik terhadap tradisi serta pengagungan terhadap agama datuk moyang masih lebih menguasai berbanding bisikan hakikat di dalam hatinya. Sehinggalah, dia tetap berkeras memusuhi Islam tanpa mempedulikan perasaannya sendiri.

Salah satu bukti mengenai watak Umar yang keras serta permusuhannya yang sengit terhadap Rasulullah s.a.w. adalah peristiwa ketika dia keluar dengan membawa pedangnya untuk membunuh baginda.

Di tengah jalan, dia berjumpa Nuaim bin Abdullah al-Nujjam al-‘Adawi[5] atau seorang lelaki daripada Bani Zuhrah[6] atau seorang lelaki daripada Bani Makhzum[7]. Orang yang dijumpainya itu bertanya,“Kamu mahu pergi ke mana, Umar?” Dia menjawab “Aku mahu pergi membunuh Muhammad.” Orang itu bertanya lagi, “Apakah yang boleh menjamin keselamatanmu daripada pembalasan Bani Hasyim dan Bani Zuhrah jika kamu membunuh Muhammad?” Umar menjawab, “Saya amat-amati, rupa-rupanya kamu telah murtad. Kamu telah meninggalkan agama yang dulu kamu peluk.” Orang itu membalas, “Mahukah kamu kutunjukkan suatu perkara yang amat menakjubkan, wahai Umar? Sesungguhnya adik perempuanmu bersama suaminya juga telah murtad. Mereka berdua meninggalkan agama yang kamu peluk.”

Maka Umar berjalan menuju kediaman adik perempuannya. Ternyata di sana juga terdapat Khabab bin Arat yang memegang selembar kertas berisikan Surah Thaha. Khabab membacakan surah itu kepada adik perempuan Umar dan suaminya (selain hari itu, Khabab memang telah beberapa kali datang membacakan al-Quran kepada mereka berdua). Ketika Khabab mendengar desah nafas Umar, dia segera bersembunyi di dalam rumah. Fatimah, adik Umar, kemudian menutup lembaran kertas tadi.

Namun begitu, Umar telah pun mendengar bacaan al-Quran Khabab ketika dia berjalan mendekati rumah. Setelah masuk ke dalam rumah, dia bertanya,

مَا هَذِهِ الْهَيْنَمَةُ الَّتِي سَمِعْتُهَا عِنْدَكُمْ

“Suara bisikan apakah yang kudengar daripadamu tadi?”

Fatimah dan suaminya menjawab, “Hanya perbincangan antara kami.” Umar berkata lagi,

لَعَلَّكُمَا قَدْ صَبَوْتُمَا

“Kelihatannya kamu berdua telah murtad.” Maka adik iparnya berkata,

أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ الْحَقُّ فِي غَيْرِ دِينِكَ

“Hai Umar, bagaimana pendapatmu jika ternyata kebenaran berada pada agama lain selain agamamu?”

Mendengar perkataan itu, Umar terus melompat ke arah adik iparnya lalu memijaknya dengan kuat.Fatimah mendekatinya dan menghalang Umar sehingga suaminya terlepas daripada pijakan kaki Umar. Tanpa berfikir panjang, Umar terus menampar pipi Fatimah sehingga wajahnya berdarah (dalam riwayat Ibnu Ishaq disebutkan bahawa Umar memukul dan melukai Fatimah).

Dalam keadaan marah, Fatimah berkata,

أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ الْحَقُّ فِي غَيْرِ دِينِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

“Hai Umar, tidakkah engkau lihat ternyata kebenaran berada pada agama selain agamamu, maka aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah rasul Allah.”

Tatkala Umar berputus asa dan menyaksikan keadaan adiknya yang berdarah, dia menyesal dan malu, lalu berkata,

أَرُونِي هَذَا الْكِتَابَ الَّذِي كُنْتُم تقرؤون

“Berikanlah kepadaku kitab yang ada pada kamu itu. Biar aku membacanya.”

Adiknya menjawab,

لَا أَنْتَ رَجِسٌ أَعْطِنَا مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ لَتَرُدَّنَّهُ عَلَيْنَا وَقُمْ فَاغْتَسِلْ

“Sesungguhnya kamu itu najis. Tidak ada yang boleh menyentuhnya kecuali orang yang disucikan. Mandilah dulu!”

Lantas Umar pergi mandi. Setelah kembali, dia mengambil lembaran yang dimintanya tadi lalu membaca, “Bismillahirrahmanirrahim.” Dia berkata takjub, “Sesungguhnya, ini adalah untaian nama yang baik lagi bersih.” Dia meneruskan bacaannya, “Taha,” hingga pada ayat,

“Sesungguhnya Aku adalah Allah. Tidak ada Tuhan selain Aku. Maka sembahlah Aku! Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku!” ( Taha: 14). Umar pun berkata, “Betapa indah dan mulianya kalam ini! Bawalah aku menemui Muhammad!”

Setelah mendengar ucapan Umar, Khabab terus keluar dari tempat persembunyiannya. Kemudian dia berkata,

أَبْشِرْ يَا عُمَرُ فَإِنِّي أَرْجُو أَنْ تَكُونَ دَعْوَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشِيَّة الْخَمِيس الله أَعِزَّ الدِّينَ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَوْ بِعَمْرِو بْنِ هِشَامٍ قَالَ قَالُوا هُوَ فِي الدَّارِ الَّتِي فِي أَصْلِ الصَّفَا

“Bergembiralah, Umar! Sesungguhnya aku berharap doa Rasulullah s.a.w. pada malam Khamis yang lepas dimakbulkan untukmu. Baginda telah berdoa, ‘Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar bin Al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam.’ Ketika ini, Rasulullah s.a.w. berada di sebuah rumah yang terletak di kaki Bukit Safa.”

Umar mengambil pedangnya. Kemudian, dia melangkah pergi sehingga sampai di rumah yang ditunjukkan oleh Khabab tadi. Dia mengetuk daun pintunya. Seseorang yang ada di dalam berdiri untuk mengintip dari celah-celah pintu. Ketika itulah dia melihat Umar sedang membawa pedang. Dia pun melaporkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w.. Sementara itu, para sahabat bercakap-cakap sesama mereka dan bersiap sedia jika terjadi hal yang buruk. Melihat tingkah mereka, Hamzah bertanya, “Apakah yang terjadi kepada kamu semua?” Mereka menjawab, “Umar!” Hamzah berkata lagi, “Kalau Umar, kenapa? Bukakan saja pintu untuknya. Jika dia datang kerana mahukan kebaikan, akan kita berikan kebaikan itu untuknya tetapi jika dia datang kerana mahukan keburukan, akan kita bunuh dia dengan pedangnya sendiri.”

Tatkala pintu dibukakan untuk Umar, Rasulullah s.a.w. masih berada di dalam rumah. Selepas itu, baginda keluar dan menemui Umar di ruangan hadapan. Baginda memegang baju Umar dan pegangan pedangnya, kemudian menariknya dengan keras seraya berkata,

أَمَّا أَنْتَ مُنْتَهِيًا يَا عُمَرُ حَتَّى يُنْزِلَ اللَّهُ بِكَ مِنَ الْخِزْيِ وَالنَّكَالِ مَا أَنْزَلَ بِالْوَلِيدِ بْنِ الْمُغِيرَةِ، اللَّهُمَّ هَذَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، اللَّهُمَّ أَعِزَّ الدِّينَ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ

“Kenapa kamu tidak berhenti daripada tindakanmu, wahai Umar? Tidakkah kamu khuatir Allah akan menghinamu dan menimpakan bencana kepadamu sebagaimana yang terjadi kepada Walid bin Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al-Khattab! Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar bin Al-Khattab!”

Maka Umar berkata, “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa engkau adalah rasul Allah.” Umar pun memeluk Islam dan disambut dengan pekikan takbir oleh orang yang berada di dalam rumah sehingga terdengar oleh semua orang yang berada di Masjidil Haram.[8]

Umar memang individu yang mempunyai kebanggaan kuat terhadap harga dirinya. Keislamannya menyebabkan orang Musyrik goyah. Mereka semakin terhina. Orang Islam pula semakin berbahagia, semakin kuat dan semakin yakin.

Ibnu Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya daripada Umar yang menyatakan, “Tatkala aku telah memeluk Islam, aku mencuba untuk mengingati siapakah penduduk Mekah yang paling memusuhi Rasulullah s.a.w.. Aku berkata kepada diriku sendiri, ‘Abu Jahal!’ Aku segera pergi menuju rumahnya, lalu mengetuk pintunya. Dia pun keluar menyambutku, ‘Selamat datang! Ada apa saudaraku?’ Aku menjawab, ‘Aku datang untuk mengatakan kepadamu bahawa aku telah beriman kepada Allah dan rasul-Nya, Muhammad. Aku membenarkan apa yang dia bawa.’ Dia memukul pintu rumahnya di hadapanku, lalu berkata, ‘Semoga Allah menimpakan keburukan padamu dan menimpakan keburukan pada apa yang kau peluk’!”[9]

Sementara itu, Ibnu Jauzy menyebutkan bahawa Umar menyatakan, “Dulu, jika seseorang memeluk Islam, orang ramai akan memukulnya dan dia juga memukul mereka. Namun begitu, tatkala aku memeluk Islam, aku mendatangi bapa saudaraku (iaitu al-As bin Hisyam) dan kuberitahukan kepadanya tentang keislamanku. Anehnya, dia terus masuk ke dalam rumah. Aku juga mendatangi salah seorang pembesar Quraisy (kemungkinan besar Abu Jahal) dan kuberitahukan keislamanku kepadanya. Dia juga terus masuk ke dalam rumah.”[10]

Di dalam riwayat Ibn Ishaq, daripada Nāfi` daripada Ibn Umar. Ketika Umar memeluk Islam, orang Quraisy tidak mengetahui keislamannya, lalu dia bertanya: Siapakah orang yang dapat menyebarkan berita daripada kalangan penduduk Mekah? Orang menyatakan: Jamil bin Ma`mar al-Jumahi. Umar menemui. Lalu beliau pergi menemui Jamil ketika itu aku (Ibn Umar) bersamanya. Aku dapat berfikir waras terhadap apa yang aku lihat dan dengar. Umar menemuinya lalu berkata: Wahai Jamil, aku telah memeluk Islam!Jamil tidak membalas apa-apa ucapan shingga dia berdiri tegak di Masjidil Haram lalu menjerit dengan suara yang kuat: “Hai orang Quraisy! Sesungguhnya anak al-Al-Khattab telah murtad.” Umar yang berdiri di belakangnya membalas, “Bohong! Yang betul adalah aku telah memeluk Islam.- Aku telah beriman kepada Allah dan mempercayai risalah utusan-Nya-” Orang ramai mengelilingi Umar dan terjadi pukul memukul antara Umar dengan mereka. Perkelahian itu tamat ketika matahari tepat berada di atas kepala mereka. Ketika itu, Umar kelihatan keletihan, lantas dia pun duduk sementara orang ramai masih berdiri berdekatannya. Umar hanya mampu berkata,

“Sudahlah, lakukan apa saja yang kamu mahu. Aku bersumpah atas nama Allah, jika jumlah kami mencapai tiga ratus orang, pasti kami tidak akan mempedulikan matahari ini demi menentang kamu semua!”[11]

Setelah kejadian itu, orang Musyrik berangkat bersama-sama menuju ke rumah Umar dengan tujuan untuk membunuhnya. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar yang menyatakan, “Ketika Umar berada di rumahnya dalam keadaan cemas, Ash bin Wail al-Sahmy, ayah Amru, datang membawa jubah dan baju sutera yang dilipat. Dia berasal daripada Bani Sahm, sementara Bani Sahm adalah sekutu kami pada masa jahiliah. Melihat kedatangan As, Umar bertanya, ‘Ada apa denganmu?’ Ash menjawab, ‘Kaummu berikrar untuk membunuhku jika aku memeluk Islam.’ Umar berkata kepadanya, ‘Mereka tidak dapat melakukan perkara itu kepadamu.’ Maka Ash pun pergi.

“Selepas itu Ash menjumpai orang yang telah memenuhi lembah. Dia lantas bertanya pada mereka, ‘Kamu hendak ke mana?’ Mereka menjawab, ‘Menuju kepada anak al-Al-Khattab yang telah murtad!’ Ash berkata, ‘Kamu tidak akan dapat membunuhnya.’ Maka mereka pun mundur kembali.”[12]

Menurut riwayat Ibnu Ishaq, ada tambahan, “Demi Allah, mereka bagaikan pakaian yang ditanggalkan ketika itu.”[13]

Demikianlah kesan keislaman Umar terhadap orang Musyrik. Adapun kesannya terhadap orang Islam dapat dilihat dalam riwayat yang dibawakan oleh Mujahid daripada Ibnu Abbas yang menyatakan, “Suatu hari aku bertanya kepada Umar bin Al-Khattab, ‘Apakah sebabnya tuan digelar al-Faruq (si pembeza)?’

“Maka Umar pun bercakap, ‘Hamzah memeluk Islam tiga hari sebelum aku.’ Umar menceritakan cara Hamzah memeluk Islam kepadaku.

“Selepas itu Umar meneruskan, ‘Ketika aku memeluk Islam, aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Wahai Rasulullah s.a.w., bukankah kita berada dalam kebenaran sama ada kita mati mahupun hidup?’ Rasulullah s.a.w. menjawab,

‘Betul. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu berada dalam kebenaran sama ada kamu mati mahupun hidup.’‘Jadi, kenapa kita perlu bersembunyi seperti ini?’ tanyaku lagi. ‘Demi Zat yang telah mengutus tuan dengan kebenaran, kita perlu keluar untuk menonjolkan Islam,’ tegasku pada baginda. Maka kami pun keluar mendakwahkan Islam dalam dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah, sementara barisan lain akulah yang memimpinnya. Debu yang berterbangan kerana pijakan kaki kami kelihatan seperti tepung yang berhamburan. Hinggalah kami sampai di dalam Masjidil Haram.’

“Umar meneruskan, ‘Tatapan mata orang Quraisy tertuju kepadaku dan juga kepada Hamzah. Mereka seakan-akan diterpa penderitaan dahsyat yang selama ini belum pernah mereka alami. Oleh sebab itulah, pada hari itu, Rasulullah s.a.w. menggelarku al-Faruq’.”[14]

Ibnu Mas’ud pernah berkata, “Kami tidak dapat mengerjakan solat di sekitar Kaabah sehinggalah Umar memeluk Islam.”[15]

Juga daripada Suhaib bin Sinan al-Rumi yang berkata, “Ketika Umar memeluk Islam, Islam timbul ke permukaan. Setiap orang didakwahi secara terang-terangan. Kami boleh membuat majlis dan berhalakah di sekitar Kaabah. Kami juga dapat bertawaf mengelilingi Kaabah dan kami mampu mengimbangi orang yang kasar kepada kami serta membalas sebahagian yang dilakukan dengan setimpal.”[16]

Daripada Abdullah bin Mas’ud pula berkata, “Kami hidup lebih dihormati sejak Umar memeluk Islam.”[17]

Perwakilan Quraisy Mengajukan Tawaran kepada Nabi Muhammad

Semenjak keislaman dua orang pahlawan Mekah yang disegani iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib dan Umar bin Al-Khattab, mendung kegelapan beransur menghilang. Orang Musyrik mula sedar daripada kemabukan mereka yang terlampau kejam menyeksa dan menganiaya umat Islam. Mereka kemudian cuba berunding dengan Nabi Muhammad. Mereka menawarkan segala perkara yang menurut sangkaan mereka bakal diminta oleh baginda supaya mereka boleh menghentikan baginda dari jalan dakwah. Namun begitu, “orang miskin” (miskin jiwa, miskin kesedaran) tersebut tidak sedar bahawa apa-apa yang telah disinari matahari (maksudnya, segala kenikmatan kebendaan mahupun bukan kebendaan yang ada di dunia ini) jauh lebih rendah harganya daripada sayap nyamuk di hadapan dakwah baginda yang mulia. Hasilnya, mereka gagal.

Ibnu Ishaq menyatakan bahawa Yazid bin Ziyad telah menyampaikan hadis kepadanya daripada Muhammad bin Kaab al-Qurazhy yang bercerita:

“Telah sampai hadis kepadaku bahawa Utbah bin Rabiah, yang termasuk pembesar Quraisy, suatu hari berada di tempat berkumpulnya orang Quraisy (di kompleks Masjidil Haram), sementara Rasulullah s.a.w. sedang duduk (di bahagian lain) berseorangan di dalam masjid itu juga.

“Utbah berkata pada teman-temannya, ‘Hai orang Quraisy! Lihatlah, aku akan mendatangi Muhammad dan bercakap kepadanya. Akan kuajukan kepadanya hal-hal yang akan dia terima sebahagiannya. Akan kita berikan kepadanya apa yang dia mahu itu, sehingga dia tidak lagi mengganggu kita.’

“Hal itu terjadi setelah Hamzah memeluk Islam dan orang Quraisy melihat bahawa jumlah sahabat Rasulullah s.a.w. semakin bertambah banyak.

“Orang ramai menjawab, ‘Idea yang bagus, Abu Walid! Lakukan saja, datangilah dia dan bercakaplah kepadanya!’

“Utbah mendatangi Nabi Muhammad hingga dia duduk di sisi baginda. Dia mula bercakap, ‘Hai anak saudaraku! Kau berasal daripada suku kami. Kau dikenali memiliki reputasi tinggi dan nasab terhormat di tengah kaum keluarga. Namun begitu, kau bawakan pula sebuah urusan besar kepada kaummu. Disebabkan urusan itu, kau memisahkan diri daripada mereka, kau bodoh-bodohkan imaginasi mereka, kau cela Tuhan-tuhan dan agama mereka, lalu kau ingkari keyakinan nenek moyang mereka yang telah meninggal. Maka dengarlah. Biar kuajukan kepadamu beberapa hal yang boleh kau pertimbangkan. Mungkin saja kau mau menerima sebahagiannya.’

Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Silakan, wahai Abu Walid. Katakan saja. Aku akan mendengarnya.’ Utbah terus mengajukan tawarannya,

‘Hai anak saudaraku! Jika apa yang kamu kehendaki daripada usaha ini adalah harta, kami akan menghimpunkan seluruh harta kami untukmu agar kamu boleh menjadi orang terkaya di tengah-tengah kami. Jika apa yang kamu kehendaki adalah kedudukan, kami akan melantikmu menjadi ketua kaum sehingga kami tidak dapat memutuskan sesuatu perkara tanpa persetujuanmu. Jika apa yang kamu kehendaki adalah kerajaan, kami akan melantikmu menjadi raja kami. Jika apa yang kamu bawa ini merupakan gangguan jin sehingga kamu tidak sanggup melepaskan diri daripadanya, biarlah kami carikan tabib untukmu. Kami sedia menyumbangkan duit untuk mengubatimu hingga kamu terlepas daripada gangguan tersebut. Apa yang kau alami, nampak seperti orang yang dirasuk oleh jin. Ia dapat disembuhkan dengan ubat.’

“Setelah Utbah selesai bercakap, Rasulullah s.a.w. yang dari tadi mendengarnya mula bertanya, ‘Telah selesaikah percakapanmu?’ Utbah menjawab, ‘Ya.’

“Rasulullah s.a.w.berkata lagi, ‘Jika begitu, sekarang dengarkanlah kataku.’‘Ya. Saya dengar,’ jawab Utbah.

“Rasulullah s.a.w. lantas membacakan untuk Utbah,

‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Haa Mim. Al-Quran ini turun daripada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ia merupakan kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan dalam bentuk bacaan berbahasa Arab untuk kaum yang mengetahui. Sebagai pembawa khabar gembira sekaligus pemberi peringatan, namun kebanyakan mereka berpaling dan tidak mahu mendengar. Dan mereka berkata, ‘Hati kami tertutup daripada apa yang kau serukan kepada kami’.” ( Fussilat: 1-5).

“Rasulullah s.a.w. meneruskan bacaannya untuk Utbah, sementara Utbah diam mendengarnya. Utbah menongkat kedua-dua tangannya ke belakang, dia mendengarnya. Rasulullah s.a.w.membacanya sehingga pada bacaan ayat sajadah, maka baginda pun bersujud. Selepas itu, baginda berkata kepada Utbah, ‘Wahai Abu Walid, kau telah mendengarnya. Sekarang, urusannya terserahlah kepadamu.’

“Selepas itu Utbah beranjak pergi menghampiri teman-temannya. Maka sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, ‘Kami bersumpah atas nama Allah, Abu Walid datang kepada kita bukan dengan wajah sewaktu dia pergi tadi.’

“Ketika dia telah duduk bersama mereka, mereka pun bertanya, ‘Apa yang terjadi kepadamu, Abu Walid?’

“Utbah menjawab, ‘Demi Allah, aku mendengar suatu ucapan yang belum pernah kudengar seperti itu sepanjang hidupku. Demi Allah, itu bukan syair dan bukan pula sihir. Mantera dukun pun bukan. Hai orang Quraisy! Patuhilah kata-kataku! Biarkanlah aku yang menguruskan urusan ini! Biarkanlah orang itu (Muhammad) melakukan apa yang selama ini dia lakukan! Jangan kamu dekati dia! Demi Allah, ucapannya yang kudengar tadi benar-benar akan menjadi berita besar. Jika nanti bangsa Arab dapat mengalahkannya, cukuplah bagi kamu tetapi kalau ternyata bangsa Arab ditakluki olehnya, maka kerajaannya adalah kerajaan kamu juga, kemuliaannya adalah kemuliaan kamu juga dan kamu akan hidup menjadi manusia yang paling bahagia.’

“Teman-temannya menjawab, ‘Demi Allah, kamu telah disihir oleh lisannya, Abu Walid!’ Maka Utbah berkata, ‘Ini pendapatku. Terserahlah kepada kamu semua mahu berbuat apa’.”[18]

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Utbah mendengar bacaan Rasulullah s.a.w. sampai pada bacaan,

“Maka jika mereka berpaling, katakanlah, ‘Aku telah memperingatkan kamu akan suatu bencana yang sama kerasnya dengan bencana yang dulu menimpa kaum Ad dan Tsamud’.” ( Fussilat: 13) Mendadak Utbah berkata: cukuplah! Cukuplah!.

Utbah menekupkan tangannya ke mulut Rasulullah s.a.w. sambil berkata, “Aku minta kepadamu, atas nama Allah, ingatlah tali kekeluargaan kita.”

Perkara itu dilakukannya kerana takut akan peringatan Rasulullah s.a.w. menjadi kenyataan. Kemudian dia pergi kepada kaumnya dan mengatakan kepada mereka apa yang telah dikatakannya tadi.[19]

____________________________

[1]Muhammad bin Abdul Wahhab al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 66; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 68 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 291-291.
[2]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 11.
[3]Sunan al-Tirmizi, pada bab-bab tentang manaqib, terutama manaqib Abu Hafsh Umar binAl-Khattab, jil II, hlm. 209.
[4]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 6. Penyataan yang hampir sama terdapat dalam riwayat yang dibawakan oleh Ibnu Ishaq daripada Atha’ dan Mujahid, namun dengan perbezaan pada bahagian akhirnya (lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 346-347). Begitu juga dengan riwayat yang dibawakan oleh Ibnu Jauzy daripada Jabir, hampir sama penuturannya dan ada perbezaan pada bahagian akhirnya (lihat Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 9-10).
[5] Menurut riwayat Ibnu Ishaq. Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 244.
[6] Menurut riwayat Anas Ibnu Malik. Lihat Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 10 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 103.
[7] Menurut riwayat Ibnu Abbas. Lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 102.
[8]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 7 dan 10-11; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 102-103 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 343-346.
[9]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 349-350.
[10]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 8.
[11]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 8 danIbnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 348-349.
[12]Sahih al-Bukhari,bab tentang keislaman Umar IbnuAl-Khattab, jil I, hlm. 545.
[13]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 349.
[14]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 6-7.
[15]Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 103.
[16]Ibnu Jauzy, Tarikh ‘Umar Ibnu al-Khaththab, hlm. 13.
[17]Sahih al-Bukhari, bab tentang keislaman Umar IbnuAl-Khattab, jil I, hlm. 545.
[18]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 293-294.
[19] Ismail bin Katsir al-Dimasyqy, Tafsir Ibnu Katsir, jil II, hlm. 159-161.