Malaikat ialah
makluk Allah yang hidup di alam lain. Mereka tidak berada di alam manusia
ataupun jin. Mereka mempunyai alam yang tersendiri. Setiap malaikat mempunyai
sifat yang mulia, sentiasa mentaati perintah Allah dan tidak melakukan dosa.
Perubahan Bahasa
Di dalam bahasa
Arab, seorang malaikat disebut Malak. Manakala jama` bagi malak
ialah Malāikah. Tetapi bahasa melayu menggunakan perkataan malaikat
untuk seorang manakala kata ganda digunakan bagi menunjukkan malaikat yang
berbilang-bilang.
Cabang Iman
Beriman kepada
para malaikat ialah salah satu daripada cabang-cabang iman. Ini bertepatan
dengan firman Allah:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ
كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ
بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ
رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
285. Rasulullah telah beriman kepada apa Yang
diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya
beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan
Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang
Dengan Yang lain Rasul-rasulnya". mereka berkata lagi: Kami dengar dan
Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah
tempat kembali".
(Al-Baqarah: 285)
Bagaimana melaksanakan iman dengan Malaikat?
Imam al-Baihāqi
menyebutkan di dalam kitabnya Syua`abul Imān: Beriman dengan malaikat tersusun
di dalam beberapa makna:
Pertama: Membenarkan
(al-Taṣdīq) kewujudannya.
Kedua:
Menempatkan mereka di tempat yang sepatutnya serta meyakini bahawa malaikat
ialah hamba dan makhluk Allah seperti manusia dan jin. Mereka diperintahkan dan
diberikan tugasan. Malaikat tidak mampu melakukan apa-apa melainkan apa sahaja
yang diberi kemampuan oleh Allah. Mereka juga akan mengalami kematian tetapi
Allah memberikan umur yang panjang kepada mereka. Mereka tidak akan mati
sehinggalah sampai masanya. Para malaikat tidak boleh diberikan sifat dengan suatu
sifat yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah SWT. Mereka tidak boleh
diseru sebagai tuhan sepertimana orang-orang dahulu menyeru mereka sebagai
tuhan.
Ketiga:
Mengakui bahawa sebahagia malaikat dilantik sebagai utusan yang Allah utuskan
kepada manusia yang Dia kehendaki. Demikian juga ada malaikat yang diutus
kepada sesama mereka. Sebagaimana kita
wajib mengiktiraf bahawa sebahagian malaikat bertugas sebagai pemegang
al-`Arsy, berbaris (al-Sāffūn), penjaga syurga, penjaga neraka, penulis amalan,
dan pengiring awan. Ayat-ayat al-Quran telah menyebutkan kseluruhan sifat
tersebut atau kebanyakkannya.[1]
Sifat Malaikat
Malaikat
diciptakan daripada cahaya. Di dalam Sahih Muslim, daripada `Aisyah RA,
daripada bapanya, Rasulullah SAW berkata:
خُلِقَتِ
الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ
آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ
Para malaikat diciptakan daripada cahaya. Para
jin dicipta daripada kepulan asap api. Manakala Adam dicipta daripada apa yang
disifatkan kepada kamu.
(HR Muslim: 2996)
Berpandukan hadis
di atas, Nabi Muhammad SAW tidak menyifatkan secara terperinci keadaan cahaya
berkenaan. Justeru itu kita tidak mengetahui bagaimana bentuknya secara pasti. Tetapi,
telah menjadi kewajipan kita untuk beriman dengan perkara ghaib yang jelas
mahupun tidak jelas.
Sebahagian
hadis ada menyifatkan sifat cahaya berkenaan seperti hadis berikut:
خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورِ الْعِزَّةِ وَخُلِقَ
إِبْلِيسُ مِنْ نَارِ الْعِزَّةِ
Para malaikat dicipta daripada cahaya yang
mulia manakala Iblis dicipta daripada api yang mulia.
(Direkod di dalam Musnad Ishāq bin Rāhawaih:
788 dikatakan daripada ucapan `Ikrimah)
Hadis berkenaan
tidak sahih menurut Umar Sulaiman al-Asyqar[2]. Beliau
juga menyatakan kemungkinan para ulama yang menyebutkan hadis berkenaan di
dalam kitab-kitab mereka hanya menaqalkan apa yang mereka dengar daripada
cerita-cerita al-Isrāīlīyyāt.
Kita juga tidak
mengetahui bilakah para malaikat diciptakan tetapi ayat al-Quran menjelaskan
bahawa mereka telah diciptakan lebih awal daripada penciptaan manusia. Sila
rujuk ayat berikut:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ
إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman
kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
bumi"....
(Al-Baqarah: 30)
Daripada ayat
di atas maka jelas kepada kita bahawa sebelum manusia pertama iaitu Adam
diciptakan, Allah telah menciptakan malaikat terlebih dahulu. Justeru itu
berlaku dialog berkenaan di antara Allah dan juga malaikat.
Melihat Malaikat
Tubuh malaikat
tidak dapat dilihat dengan penglihatan manusia biasa. Namun, Nabi SAW pernah
melihat malaikat dengan rupanya yang asal sebanyak dua kali.
Bagi orang
lain, mereka boleh melihat malaikat sekiranya diizinkan oleh Allah SWT dengan
rupa malaikat yang berbentuk manusia.
Kehebatan Penciptaan Malaikat
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا
يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia
dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang
keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala
Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala
Yang diperintahkan.
(At-Tahrim: 6)
Di dalam
riwayat al-Bukhari (3232) dan Muslim (280), Ibnu Mas`ud menyebutkan bahawa Nabi
SAW melihat Jibril mempunyai 600 sayap.
0 Comments
Post a Comment