Direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim[1] daripada
Anas r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
مَنْ نَامَ عَنْ صَلَاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا
إِذَا ذَكَرَهَا لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ {وَأَقِمِ الصَّلاَةَ
لِذِكْرِي}
“Sesiapa yang tidur lalu tertinggal solat ataupun dia terlupa akan solat,
maka hukumannya (Fakaffāratuhā)[2]
ialah dia hendaklah tunaikan apabila dia mengingatinya, tiada hukuman bagi
solat tersebut selain daripada itu”. Allah berfirman: “Dan dirikanlah solat
untuk mengingati-Ku”.
Sebab Hadis Ini Dilafazkan
Abu Ahmad Al Hakim iaitu Muhammad bin Ahmad
bin Ishak Al Hafiz berkata di dalam kitab Amali milik beliau: “Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Ja’far Muhammad bin Al Husain Al Hana’i,
telah menceritakan Muhammad bin Al `Ala’, telah menceritakan Khalaf bin Ayub Al
Aamiri, telah menceritakan Ma’mar bin Az Zuhri daripada Said bin Al Musayyib
dari Abu Hurairah r.a:
Pada malam Isra’, Rasulullah s.a.w telah tidur sehingga terbitnya matahari
maka Baginda s.a.w terus bersolat lalu bersabda: Sesiapa yang tidur sehingga
meninggalkan solat ataupun dia terlupa untuk solat maka hendaklah dia solat
ketika sudah mengingatinya, kemudian Baginda s.a.w membaca ayat: “Dan
dirikanlah solat untuk mengingatiku”
Aku melihat tulisan As
Syeikh Waliyuddin Al Iraqi[3] di dalam
sebahagian kumpulan tulisannya. Beliau meriwayatkan hadis ini dengan lafaz berikut:
“Direkodkan oleh Abu Ahmad
Al Hakim di dalam salah satu daripada catatannya, beliau berkata: Hadis ini
Gharib riwayat daripada Ma’mar Az Zuhri dari Said daripada Abu Hurairah r.a
dengan sanad yang tidak diketahui seseorangpun meriwayatkan hadis ini kecuali
Khalaf bin Ayub Al Aamiri dan Abban bin Yazid Al Attar daripada beliau iaitu
daripada Ma’mar”.
Berkata Al-Syeikh
Waliyuddin[4]:
“Jawapan yang terbaik untuk satu soalan yang masyhur iaitu: Mengapa tidak
berlakunya penerangan daripada Jibril a.s kecuali sehingga waktu zohor
sedangkan solat telah diwajibkan pada malamnya? Maka dikatakan: Sesungguhnya Nabi
s.a.w tertidur di waktu Subuh dan orang yang tidur tidak termasuk mukallaf”.
Beliau berkata: “Ini ialah faedah yang penting, dan hadis ini sanadnya soheh”.
Aku berpendapat: Ia bukanlah seperti yang dikatakan oleh beliau.
❶ Apa yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah perjalanan Baginda s.a.w di
dalam suatu permusafiran dan Baginda s.aw tertidur sehingga terluput solat
subuh, bukan perjalanan Baginda s.a.w ketika Isra dan
Mi’raj ke langit. Beliau terkeliru dengan lafaz (Asra) ini.
❷ Sebab yang kedua: Direkodkan oleh At Tirmizi dan disahihkan olehnya dan
juga an-Nasai daripada Abi Qatadah,
beliau berkata:
“Mereka menyebutkan
kepada Nabi s.a.w tentang tidur Baginda s.a.w yang menyebabkan terluputnya
solat, maka Baginda s.a.w bersabda: “Di dalam tidur tidak dikira mencuaikan.
Perbuatan cuai hanya ketika sedar. Jika seseorang daripada kamu terlupa untuk
solat atau tertidur sehingga luput waktu, maka hendaklah dia solat apabila dia
mengingatinya”.
Direkodkan oleh Ahmad[5] dari Abi
Qatadah r.a, beliau berkata:
Pernah kami bersama-sama Rasulullah s.a.w di dalam permusafiran. Lalu
Baginda s.a.w bersabda: “Bagaimana jika kita berhenti seketika (`Arrasna)[6]”
dan Baginda s.a.w bersabda lagi: “Peliharakan ke atas kami solat kami”. Kemudian
kesemua kami tertidur dan kami tidak bangun melainkan ketika terasa bahang
matahari, maka kami bingkas bangun. Rasulullah s.a.w kemudian kembali menaiki
tunggangan dan mula berjalan, kami berjalan secara perlahan-lahan, selepas
beberapa ketika Rasulullah s.a.w turun dari tunggangan, maka kesemua mereka
berwudhu lalu Bilal r.a melaungkan azan, kemudian mereka menunaikan dua rakaat
solat sunat Subuh diikuti dengan solat Subuh, selepas itu baginda dan kami
semua kembali menunggang dan memulakan kembali perjalanan. Kami berkata: Wahai
Rasulullah, kita telah mencuaikan solat, lalu Baginda s.a.w menjawab: Tidak
dikira mencuaikan ketika tidur. Perbuatan mencuaikan hanya ketika jaga, jika
berlaku sedemikian, solatlah kemudian dari waktunya”.
Keterangan:
Solat mempunyai waktunya yang telah ditentukan oleh agama. Ia tidak boleh
dilaksanakan pada waktu lain sama ada lebih awal atau selepas waktunya. Ia juga
tidak boleh dilaksanakan hanya apabila ada kelapangan waktu tetapi ia hendaklah
dilakukan pada tempoh waktu yang ditetapkan.
Sesiapa yang terlupa atau tertidur ketika tempoh waktu yang ditetapkan
berkenaan, makan dia telah diiktiraf sebagai orang yang mempunyai keuzuran.
Maka mereka tidak melakukan sebarang dosa.
Tetapi orang yang sengaja meninggalkan solat sehingga luput waktunya nyata
adalah seorang muslim yang tidak bertanggungjawab terhadap tuntutan agama. Maka
dia berdosa atas kesalahan berkenaan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku”
adalah daripada surah Taha: ayat 14.
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا
أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
“Sesungguhnya Aku ialah Allah, Tiada Tuhan
selain daripada-Ku, maka sembahlah Aku dan dirikan solat untuk mengingati-Ku”.
Lewatkan Solat Sehingga Luput Waktunya dengan Sengaja,
adakah wajib Qaḍha’?
Di dalam kitab Al Misykat, jilid 1: m/s 191, hadis ke 603: Ibnu Al-Malik
iaitu salah seorang ulama’ mazhab Hanafi berkata:
“Dan hadis ini merupakan dalil bahawasanya solat yang telah terluput waktu
(dengan sengaja) tidak boleh dilakukan selepas waktunya” (Beliau menyebutnya di
dalam Al Maraqāh, jilid 1: m/s 404).
Aku berkata: “Jika (sengaja) dilewatkan sehingga luput waktu adakah perlu
diganti solat tersebut? Zahir hadis ini menunjukkan bahawa tidak perlu diganti
solat tersebut. Bahkan jelas sabda Rasulullah s.a.w: Tiada hukuman bagi solat
tersebut selain daripada itu”.
Jika inilah hukum bagi solat yang ditinggalkan kerana terlupa, maka demikian
juga bagi selain itu, hukum bagi solat yang dilakukan oleh seseorang di luar
dari waktunya dengan sengaja ialah: Tidak boleh dilakukan solat di luar dari
waktunya. Ini ialah pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hazm, Al Izz Abd As
Salam, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Asy Syaukani, Siddiq Hasan Khan dan
lain-lain. Sesiapa yang mahu memastikan pendapat ini rujuklah di dalam kitab Al
Muhalla karangan Ibnu Hazm dan kitab As Solah karangan Ibnu Qayyim.
Secara ringkasnya pandangan ini menyebutkan seperti berikut:
Para ulama telah bersepakat bahawa telah berdosa bagi orang yang melewatkan
solat tanpa sebarang keuzuran sehingga terlepas dari melaksanakannya di dalam
waktunya. Tetapi 4 mazhab utama menyatakan wajib bagi mereka untuk mengganti
solat yang ditinggalkan berkenaan sekalipun mereka tetap berdosa, melainkan
Allah Taala mengampunkan dosa mereka. Namun, sebahagian pendapat lain yang
disandar kepada generasi al-Salaf dan al-Khalaf menyatakan: Sesiapa yang
sengaja melewatkan solat sehingga berakhir waktunya tanpa sebarang keuzuran
maka tiada jalan qadha’ baginya buat selama-lamanya. Bahkan jika dia melakukan
qadha’ berkenaan tetap tidak akan diterima. Orang berkenaan hendaklah bertaubat
kepada Allah dengan sebenar-benar taubat (Nasūha) serta memperbanyakkan
Istighfār dan solat-solat sunat.
Kritikan ke atas pandangan berkenaan:
“Sesungguhnya kata-kata pengulas Al Mishkat menunjukkan bahawasanya tiada
qada’ untuk solat yang terluput (dengan sengaja), bersalahan dengan Ijmak para
ulama’. Di dalam Al Majmuk karangan An-Nawawi, jilid 3: m/s 68. Pengarang
berkata:
“Sesiapa yang wajib solat ke atasnya dan dia tidak melaksanakan solat
sehingga luput waktunya, maka wajib ke atasnya qada’ solat tersebut berdasarkan
hadis:
“Sesiapa yang tidur sehingga terluput solat
ataupun dia lupa maka hendaklah dia
solat apabila dia mengingatinya”.
Disunatkan untuk dia segera menqada’ solat tersebut berdasarkan hadis yang
telah kami nukilkan, jika dia menangguhkannya tidak mengapa. Kerana telah diriwayatkan
bahawasanya Rasulullah s.a.w telah terluput solat Subuh, Baginda s.a.w tidak
mengqada’ solat itu sehingga Baginda s.a.w keluar dari lembah. Jika tidak boleh
ditangguhkan, mengapa Baginda s.a.w sendiri berbuat demikian?
Berkata Abu Ishak: Jika dia meninggalkan tanpa sebarang keuzuran wajib ke
atasnya untuk menqada’ solat tersebut serta merta kerana dia dikira sebagai
cuai di dalam melambat-lambatkan solat. Disunatkan juga dia mengqada’
solat-solat tersebut mengikut turutan kerana Nabi s.a.w pernah terlepas 4 solat
di hari peperangan Khandak dan Baginda s.a.w mengqada’nya secara mengikut
turutan. Jika sekiranya dia tidak mengikut turutan, diharuskan kerana turutan
itu hanyalah turutan keutamaan dari sudut waktu kerana terluputnya waktu-waktu
solat tersebut seperti qada’ puasa. Jika sekiranya dia hendak menqada’ solat
yang terluput akan tetapi waktu solat tunai telah sempit maka wajib dia
menunaikan solat tunai di waktu itu terlebih dahulu, kerana waktu itu
ditentukan untuknya. Sama seperti puasa sekiranya telah masuk bulan Ramadhan
dan dia mempunyai puasa Ramadhan sebelumnya
yang masih belum diqada’, kerana jika ditangguhkan amalan tunai itu akan
luput pula amalan tersebut, maka diwajibkan dimulakan dengan amalan yang tunai.
Di dalam Al Majmuk karangan An-Nawawi juga, di dalam jilid 3: m/s 71:
“Ulama telah berijmak (bersepakat) bahawasanya sesiapa yang meninggalkan
solat secara sengaja wajib ke atasnya untuk mengqada’nya. Abu Muhammad Ali bin
Hazm berselisih pendapat dengan mereka di dalam hal ini. Beliau berkata: Dia
tidak akan mampu mengqada’ solat itu selamanya dan tidak sah jika dia
laksanakan solat tersebut. Dia berkata lagi: Bahkan dia hendaklah
memperbanyakkan amalan baik dan solat sunat untuk memberatkan timbangannya di
hari kiamat dan dia hendaklah beristighfar dan bertaubat. Inilah yang disebut
oleh beliau (Ibnu Hazm) dan pendapat ini menyalahi ijmak. Terbatal pendapat
beliau dari sudut dalil, beliau membentangkan kata-kata ini di dalam
membahaskan dari sudut pendalilan, akan tetapi tiada di dalam apa yang disebut
beliau dalil-dalil secara asal.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan mengqada’ (solat) ialah
hadis Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w : Memerintahkan orang yang
bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan supaya dia berpuasa sehari ditambah
kaffarah iaitu sebagai ganti hari yang dia rosakkan melalui perbuatan
bersetubuh secara sengaja. Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dengan sanad yang baik,
diriwayatkan oleh Abu Daud dengan makna yang seumpama lafaz ini, dan kerana
jika sekiranya wajib qada’ ke atas orang yang terlupa maka ke atas orang yang
sengaja adalah terlebih utama.
Di dalam Fath Al Bari, jilid 2: m/s 58. Syarah Ibnu Hajar Al Asqalani,
beliau berkata: (Sesiapa yang terlupa solat maka hendaklah dia solat apabila
dia ingat). Sebahagian telah berpegang kepada dalil perintah (khitab) yang
terdapat di dalam hadis, diantaranya: Orang yang berpendapat bahawa sesiapa
yang sengaja meninggalkan solat tidak perlu mengqada’ kerana ternafinya syarat
maka ternafi juga apa yang terdapat selepas syarat tersebut. Maka
kesimpulannya: sesiapa yang tidak terlupa maka tidak perlu solat. Berkata pula
orang yang berpendapat bahawa orang yang sengaja hendaklah mengqada’: Perkara
itu diambil dari kefahaman disebalik perintah tersebut, ia termasuk di dalam
bab menyebutkan perkara yang lebih remeh sebagai penekanan kepada perkara yang lebih penting, kerana jika orang
yang terlupa wajib mengqada’kan solat walau dengan tiada dosa, maka orang yang
sengaja adalah terlebih utama untuk mengqada’.
Sebahagiannya mendakwa: Sesungguhnya kewajipan qada’ ke atas orang yang
sengaja di ambil daripada lafaz ‘An Nisyan’ itu sendiri, kerana lafaz ini bermaksud meninggalkan
samada dengan kelupaan ataupun tidak, seperti di dalam firman Allah di dalam
surah Al Hasyr, ayat 19: “Mereka melupakan Allah maka Allah membuat mereka lupa
diri mereka”. Juga firman Allah di dalam surah At Taubah, ayat 67: “Mereka
melupai Allah dan Allah juga melupakan mereka”. Beliau juga berkata, sabda
Rasulullah s.a.w “tiada kaffarah bagi solat tersebut” menguatkan pendapat
mereka itu. Akan tetapi orang yang tertidur dan terlupa tiada dosa ke atas
mereka.
Aku berkata: Ini ialah satu perbahasan yang lemah, kerana hadis yang
menyebut orang yang tidur telah sabit, dan di dalamnya ada disebutkan “tiada
Kaffarah baginya”. Kaffarah ini terkena ke atas orang yang tersilap sepertimana
terkena ke atas orang yang sengaja.
Mereka yang berpendapat bahawasanya orang yang sengaja meninggalkan solat
tidak perlu mengqada’ tidak menolak kenyataan bahawa orang yang sengaja itu
lebih utama keadaannya (wajib qada’) daripada yang terlupa, bahkan mereka
berkata: “Jika disyariatkan qada’ akan menjadikan orang yang sengaja dan orang
yang terlupa itu sama, sedangkan orang yang terlupa tidak berdosa berbanding orang
yang sengaja, maka hal keadaan orang yang sengaja itu lebih buruk, maka
bagaimana boleh disamakan?
(Untuk menjawab persoalan ini) kita boleh katakan, dosa orang yang sengaja
meninggalkan solat sehingga luput waktunya berkekalan walau dia menqada’nya,
berbeza dengan orang yang terlupa, tiada dosa ke atasnya sama sekali. Kewajipan
untuk mengqada’ ke atas orang yang sengaja sebenarnya berdasarkan perintah yang
asal, kerana dia sememangnya telah diperintahkan untuk solat, maka kewajipan
tersebut kekal di dalam tanggungannya seumpama hutang ke atas dirinya. Hutang
tidak terlupus kecuali dengan dilangsaikan, maka berdosa jika melampaui waktu
yang ditetapkan, tuntutan hanya akan tergugur dengan cara dilangsaikan hutang
tersebut. Maka sesiapa yang berbuka di bulan Ramadhan secara sengaja wajib
baginya mengqada’ puasa tersebut dan berkekalannya dosa berbuka itu. Wallahu
a’lam.
Berakhir kata-kata Ibnu Hajar.
Di dalam Fiqh As Sirah karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al Buti, m/s 235
disebutkan:
Yang keenam: Rasulullah s.a.w telah terlepas solat Asar sepertimana yang
engkau dapat lihat di dalam peristiwa Bani Quraizah kerana kebimbangan yang
melampau, sehingga Baginda s.a.w menunaikan solat tersebut selepas daripada
terbenamnya matahari. Di dalam riwayat yang lain selain dua kitab sahih, solat
yang terluput dari Nabi s.a.w adalah lebih dari satu solat, Baginda s.a.w
melangsaikannya berturut-turut selepas daripada waktunya dan tertinggal untuk
ditunaikan di dalam waktunya. Ini menjadi dalil ke atas pensyariatan qada’
solat yang telah terluput.
Wajib Segera Qadha’ atau Tidak?
Jumhur ulama berpendapat bahawa orang yang terlupa atau tertidur wajib
segera menunaikan solat apabila dia sedar. Mazhab ini diwakili oleh Abu
Hanifah, Malik, Ahmad dan para pengikut mereka.
Manakala mazhab Al-Syafi`iyyah pula menyatakan sunat (Istihbāb) melaksanakannya dengan segera serta harus
melewatkannya.
Mazhab al-Syafi`iyyah menjelaskan bahawa mereka berpegang pada dalil yang
menyatakan Nabi SAW dan para sahabat melaksanakan solat yang mereka tertinggal
kerana tertidur setelah keluar dari lembah tempat rehat. Mereka melaksanakannya
di tempat lain. Justeru itu, jika wajib dilaksanakan dengan segera, maka Nabi
SAW dan rombongan baginda nescaya telah melaksanakannya.
Jumhur pula berdalil dengan hadis ini.
Rujukan:
❶Al-Luma` di Asbāb al-Hadīs, Jalaluddin `Abdur Rahman as-Suyutu, Dar
al-Ma`rifah, Beirut, Lubnan. 2004
❷Taisīr al-`Allām Syarh `Umdah al-Ahkām, Abdullah bin Abdul Rahman bin Soleh
Āl Bassām, Dar Ibn Hazm, Beirut, Lubnan, 2004.
❸Musnad Imam Ahmad, Mu’assasah al-Risalah, 2001. Syarah Syu`aib al-Arnaouth,
`Adil Mursyid dan lain-lain.
[1] Di
dalam naskhah Halab tertulis: (Dikeluarkan oleh Malik dan Imam hadis yang
enam). Al Bukhari meriwayatkan di
dalam kitab Waktu-Waktu Solat di
dalam bab (Sesiapa Yang Terlupa Solat
Maka Hendaklah Dia Solat Apabila Dia Mengingatinya Dan Tidak Perlu Diulang
Kecuali Solat Itu Sahaja). Jilid 1: m/s 155. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Mengganti Solat Yang Terluput).
Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 335.
[2] Al
Kaffarah: Ibarat dari suatu perbuatan atau resam yang dengan dilaksanakannya
terhapus dosa kesalahan, serta ditutup atau dihapuskan kesalahan tersebut.
[3]
Beliau ialah Al Hafiz Al Imam Al Faqih Al Usuli Abu Zur’ah Ahmad ibnu Al Hafiz
Al Kabir Abi Al Fadhl Abdurrahim bin Al Husain. Dilahirkan pada bulan Zulhijjah
tahun 762H. Beliau juga telah menghasilkan banyak penulisan. Beliau meninggal
dunia pada tanggal 17 Syaaban 826H.
Zailu Tazkirah Al Huffaz karangan Az Zahabi.
[4] DI
dalam naskhah Halab tertulis Waliyuddin Al Iraqi.
[5] Ahmad meriwayatkan dengan makna yang
seumpama lafaz ini dari Abi Qatadah. Jilid 5: m/s 298. Al-Syeikh Syu`aib menyatakan:
Isnad hadis ini Sahih atas Syarat Muslim. Para perawinya siqah.
[6] Di
dalam naskhah Andalus: (Lau Harrasna).
Lafaz At Ta’ris bermaksud:
Berhentinya sesuatu rombongan di dalam permusafiran di akhir malam. Mereka
berhenti untuk beristirahat kemudian menyambung perjalanan.
0 Comments
Post a Comment