Al-Imam Ibnu Uthaimin rh menyebutkan di
dalam Syarah al-`Aqīdah al-Wāsiṭīyyah: “Tiada ragu lagi bahawa dia – iaitu Khadijah
– adalah orang pertama beriman dengan Nabi SAW kerana apabila Nabi menemuinya
lalu menceritakan berkenaan apa yang telah berlaku di Gua Hira’, Khadijah
berkata: “Bahkan Allah tidak akan mencelamu selama-lamanya!” Dia beriman
dengannya. Kemudian dia pergi kepada Waraqah bin Naufal lalu menceritakan apa
yang berlaku. Maka Waraqah berkata: “Itu adalah an-Nāmūs yang telah turun
kepada Mūsa.” An-Nāmūs ialah pemilik rahsia. Lalu Waraqah beriman dengannya.
Kemudian asy-Syeikh berkata: “Justeru itu,
wanita pertama beriman ialah Khadijah, manakala lelaki pertama pula ialah
Waraqah bin Naufal.”
Pendapat ini juga dipegang oleh al-Hafiz
al-`Iraqi. Beliau berkata: “Hendaklah disebutkan: Orang yang pertama beriman
daripada kalangan lelaki ialah Waraqah bin Naufal bersandar kepada Ṣahīhain
pada permulaan wahyu.”[1]
Al-Hāfiẓ Ibn Kasīr
berkata: “Waraqah meninggal tidak lama selepas peristiwa berkenaan. Daripada
sini maka kita dapati bahawa telah disandarkan kepadanya penysaksian (tasdiq)
terhadap apa yang berlaku kepada Nabi SAW, beriman terhadap wahyu yang diterima
serta niat yang baik pada kemudian hari.”[2]
Ibnu Hajar pula
berkata: “Perkara ini jelas menunjukkan bahawa beliau menerima kenabian Nabi
SAW tetapi beliau mati sebelum
Rasulullah mengajak manusia kepada Islam.”
Di dalam Musnad
Imam Ahmad pula, Aisyah berkata:
أَنَّ خَدِيجَةَ سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَرَقَةَ بْنِ نَوْفَلٍ فَقَالَ: " قَدْ
رَأَيْتُهُ فِي الْمَنَامِ فَرَأَيْتُ عَلَيْهِ ثِيَابُ بَيَاضٍ فَأَحْسِبُهُ لَوْ
كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ ثِيَابَ بَيَاضٍ
Khadijah pernah
bertanya Rasulullah SAW berkenaan Waraqah bin naufal, lalu baginda berkata: “Aku
telah melihatnya di dalam mimpi. Aku melihat dia memakai pakaian putih. Aku menilai
bahawa sekiranya dia daripada kalangan penghuni neraka maka dia tidak akan
memakai pakaian putih.”
(HR Ahmad, bilangan: 24367)
Ibnu Kasīr berkata:
Isnad hadis ini Hasan tetapi ia diriwayatkan oleh Az-Zuhrī dan Hisyām daripada
`Urwah secara mursal.
Syeikh Syu`aīb
al-Arna’ūṭ berkata: Isnad hadis ini Dhoif kerana kedhaifan Ibnu Lahi`ah.
Perawi-perawi lain adalah kuat iaitu para perawi Ṣahīhain
Kesimpulan:
Setelah melihat
kepada penjelasan-penjelasan di atas, maka saya membuat kesimpulan bahawa
Waraqah bin Naufal adalah salah seorang daripada pengkaji agama yang pakar
dalam bidang berkenaan.
Setelah Nabi SAW
menceritakan apa yang berlaku, maka Waraqah mendapati ia adalah satu bentuk
kenabian lalu beliau beriman dengannya. Namun Waraqah meninggal sebelum
menerima dakwah Nabi SAW.
Secara umumnya,
Waraqah adalah seorang yang beriman. Kemudian setelah dia menemui Nabi SAW,
beliau bertambah iman. Namun beliau tidak dikategorikan sebagai salah seorang
daripada sahabat Nabi kerana tidak menerima dakwah Nabi SAW. Bahkan beliau
meninggal sebelum diturunkan kewajipan dakwah di dalam wahyu kedua.
Wallahu Ta`ala
A`lam.
[1] Sila rujuk: Tadrīb
ar-Rāwī, Al-Hāfiẓ Jalāluddīn as-Suyūṭī, halaman 501, cetakkan Muassasah
ar-Rayyāt, 2005.
0 Comments
Post a Comment