KANDUNGAN KITAB
Imam as-Suyuti berkata di
dalam kitabnya "Al-Luma` Fi asbabul Hadis":
Direkodkan oleh imam hadis
yang enam[1] daripada Umar bin Al Khattab r.a, beliau berkata: “Aku mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda:
«إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ
مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى
اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوِ امْرَأَةٍ
يَتَزَوَّجُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ»
Sesungguhnya setiap amalan
berdasarkan niat, dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia niatkan, maka
sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah
dan rasul-Nya, sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dikehendaki, atau
kerana seorang wanita yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu (dinilai
berdasarkan) kepada apa yang dia niatkan.”
Sebab Hadis Ini Dilafazkan
Berkata Az Zubair bin Bakar
di dalam Akhbar Al Madinah[2]:
Diceritakan kepadaku oleh
Muhammad bin Al Hasan daripada Muhammad bin Talhah[3] bin Abdurrahman daripada
Musa bin Muhammad bin Ibrahim bin Al Haris daripada ayahnya, beliau berkata:
“Apabila Nabi s.a.w tiba di Madinah, selepas beberapa ketika, sebahagian
daripada sahabat Nabi s.aw jatuh sakit. Kemudian tiba seorang lelaki di
Madinah, lalu dia terus berkahwin dengan seorang perempuan yang juga berhijrah
dari Makkah terlebih dahulu. Maka Rasulullah s.a.w duduk di atas mimbar seraya
bersabda:
Wahai manusia! Sesungguhnya
setiap amalan berdasarkan niat sebanyak tiga kali, maka sesiapa yang berhijrah
kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, sesiapa
yang berhijrah kerana dunia yang dia kehendaki, atau kerana wanita yang dia
pinangi, maka hijrahnya itu (dinilai berdasarkan) apa yang dia niatkan.
Kemudian Baginda s.a.w mengangkat tangan seraya berdoa:
Ya Allah, pindahkanlah wabak
ini dari kami sebanyak tiga kali. Di waktu pagi, Baginda s.a.w bersabda: Malam
tadi aku didatangi seorang tua yang demam panas, terdapat tompok-tompok hitam
melingkari (Mulabbabah)[4] tangannya. Dia berkata: demam panas ini apa
pendapatmu mengenainya? Maka aku (Nabi s.a.w) menjawab: celupkannya di Khum[5].
ULASAN:
❶ ‘Muhajir Ummi Qais’
Kisah Muhajir Ummi Qais (
Lelaki yang berhijrah kerana ingin mengahwini Ummi Qais ) pula selalu dikaitkan
sebagai latar belakang kepada perisitiwa kemunculan sabdaan Nabi saw ini. Kaitan
kisah ini dengan kandungan hadis ini tidak pernah dipertikaikan. Cuma adakah
kisah ini menjadi sebab Nabi melafazkan hadis ini? Itulah yang menjadi pertikaian.
Kisah ‘Muhajir Ummi Qais’
diriwayatkan di dalam Al Mu’jam Al Kabir karangan At Tabrani dengan sanad
perawi-perawi yang dipercayai daripada riwayat Al A’masy dan lafaznya:
Daripada Abi Wail daripada
Ibnu Mas’ud, beliau bersabda: Ada seorang lelaki di kalangan kami meminang
seorang wanita yang digelar Ummu Qais, tetapi dia enggan berkahwin dengan
lelaki tersebut sehingga lelaki itu berhijrah, maka lelaki itu berhijrah dan
berkahwin dengan wanita itu. Lalu kami gelarkannya ‘Muhajir Ummi Qais’.
Akan tetapi Ibnu Rajab tidak
bersetuju dengan periwayatan kisah ini, dia mengkritiknya di dalam syarah Al
Arbain karangan Al Imam An Nawawi:
“Ulama’ terkemudian banyak
menyebut kisah ini di dalam penulisan-penulisan mereka sedangkan kami tidak
ketemui sumber dengan sanad yang sahih bagi kisah ini. Berkata Abu Al Khattab
bin Dahyah bahawasanya nama wanita tersebut ialah Qailah, adapun lelaki
tersebut tidak pernah disebut namanya oleh seorangpun daripada sesiapa yang
menulis tentang sahabat. (Irsyad As Sari Syarah Sahih Al Bukhari karangan Al
Qastalani, jilid 1: m/s 55).
Kita simpulkan pendapat
seperti berikut:
■ Ibnu Daqiqul Eid, Ibn Taimiah
dan as Suyuti berpendapat bahawa kisah inilah sebab kepada hadis ini.
■ Ibn Rajab dan Ibn Hajar pula
tidak bersetuju bahawa kisah ini menjadi sebab hadis kerana kisah ini sekalipun
sahih tetapi tiada petunjuk jelas kaitannya dengan hadis ini.
Pendapat kedua mendapat
sokongan tokoh pengkaji hadis kontemporari seperti Syeikh Ahmad Shakir dan
Bakar Abu Zaid.[6]
Daripada kisah ini, kita
dapati hal berikut:
■ Setiap amalan mempunyai niat
tertentu. Sekalipun bentuk amalan itu nampak serupa tetapi balasan amalan itu
berbeza-beza.
■ Orang yang melakukan amalan
akhirat tetapi dengan niat mendapatkan keduniaan, maka dunia juga yang
diterimanya. Seorang yang pergi ke Mekah pada bulan haji untuk berniaga, maka
dia akan mendapat pahala berniaga, bukan haji.
❷ NIAT MENGANGKAT DARJAT AMALAN
Islam menghargai apa sahaja
yang dapat membangkitkan perbuatan mulia. Niat yang mempunyai peranan dalam
membangkitkan kemuliaan tersebut.
Dengan niat yang baik,
perkara yang harus dan adat dapat diangkat menjadi ketaatan dan ibadah kepada
Allah. Sesiapa yang makan makanan dengan niat untuk memelihara kehidupannya,
menguatkan tubuh badannya, supaya dapat melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan,
maka makan dan minumnya itu menjadi ibadah.
Sesiapa sahaja yang
melepaskan syahwat seks bersama isterinya dengan niat untuk mendapatkan anak
atau untuk memelihara diri dan keluarganya dari terjebak ke lembah maksiat,
maka perbuatannya itu adalah ibadah yang berhak diberi pahala.
Sahabat Nabi pernah bertanya:
Wahai Rasulullah, Apakah kalau kami melepaskan keinginan syahwat juga akan
mendapat pahala? Lantas Rasulullah menjawab :
أَرَأَيْتُمْ
لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا
فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
“Apakah kalau dia lepaskan
pada yang haram, dia juga akan beroleh dosa? Maka begitu jugalah halnya kalau
dia lepaskan pada yang halal, dia pun akan beroleh pahala.”
[HR Muslim di dalam Sahih
Muslim: 1006]
Demikianlah keadaannya pada
amalan kebaikan orang Islam yang disertai niat yang baik. Amalannya diterima
Allah dengan diberi ganjaran pahala yang bersesuaian. Manakala, perkara haram
akan tetap menjadi haram sekalipun orang yang melakukannya berniat baik.
❸ NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA
Islam selama-lamanya tidak
mengakui perbuatan menjadikan perkara yang haram itu sebagai jambatan untuk
mencapai matlamat yang terpuji.
Islam memelihara kemuliaan
tujuan dan jalan melakukannya secara serentak. Islam tidak mengakui sama sekali
prinsip: “Matlamat menghalalkan cara.” atau: “Untuk menuju kebenaran. Tidak
mengapa jika bergelumang dengan banyak kebatilan.” Malah, Islam mengatakan,
untuk menuju matlamat yang benar mestilah melalui cara yang benar juga.
Sesiapa yang mengumpul harta
dengan riba, maksiat, permainan yang diharamkan, judi atau apa sahaja amalan
yang diharamkan untuk membina masjid atau untuk projek-projek kebajikan atau
sebagainya, maka ia tidak menjadi syafaat sekalipun niat tujuannya adalah baik.
Orang yang melakukan perkara
tersebut juga tidak akan dapat menghapuskan dosanya dengan melakukan hal
demikian. Perkara yang diharamkan tidak terkesan dengan niat dan tujuan yang
baik.
Rasulullah pernah berkata :
أَيُّهَا
النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ
الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ( يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ
كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ)
وَقَالَ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ)
». ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى
السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ
حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ».
"Sesungguhnya Allah itu
baik, Ia tidak hendak menerima kecuali yang baik juga. Allah pun memerintah
kepada orang mu'min seperti halnya perintah kepada para Rasul." Kemudian
bagida membaca ayat:
"Hai para Rasul!
Makanlah dari yang baik-baik (halal) dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya
Aku Maha Mengetahui apa saja yang kamu perbuat." (al-Mu'minun: 51)
"Hai orang-orang yang
beriman! Makanlah dari barang-barang baik yang telah Kami berikan
kepadamu." (al-Baqarah: 172)
"Kemudian ada seorang
lelaki yang datanq dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan
debu. Dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: yaa rab, yaa rab
(hai Tuhanku, hai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram,
pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana
mungkin doanya itu dikabulkan?"
[HR Muslim di dalam Sahih
Muslim: 1015]
❹ KEMUSYKILAN : BENARKAH IMAM SYAFIIE
MENYURUH LAFAZ NIAT?
Masyhur Hasan Salman menulis
dalam bukunya : Al-Qaulul Mubin Fi Akhta`ul Mushollin, bahawa Abu Abdullah
Az-Zubairy telah tersalah faham dari kata-kata Imam Asy-Syafie. Abu Abdullah
menyangka bahawa Imam Asy-Syafie mewajibkan lafaz niat pada sembahyang.
Sebab salah faham tersebut
adalah : lemah kefahamannya terhadap ibarat yang diberikan oleh Imam
Asy-Syafie.
Bagi menjelaskan perkara
tersebut, ayuh kita melihat buku yang popular dalam Mazhab Asy-Syafie, iaitu
Al-Majmuk. Buku ini ditulis oleh Imam An-Nawawi.
Buku tersebut merekodkan
pandangan Imam Nawawi :
“Para ulama telah bersepakat
bahawa: Sembahyang tidak sah melainkan (disertai) dengan niat.. Sekiranya
seseorang berniat dalam hatinya maka telah memadai menurut mazhab, dan itu juga
yang diputuskan oleh majoriti ulama. Di sana terdapat pandangan yang disebutkan
oleh penyusun, dan juga disebutkan oleh yang selain itu.
Telah berkata pemilik (kitab)
Al-Haawi, dan ia adalah kenyataan Abi Abdulah Az-Zubairy, bahawa tidak mamadai
(dengan hanya berniat di dalam hati) sehinggalah bergabungnya niat hati dan
lafaz dengan lidah, kerana Asy-Syafie pernah berkata dalam (permasalahan) haji:
Jika seseorang itu berniat
untuk mengerjakan haji atau umrah, maka ia sudah memadai, walaupun ia tidak
dilafazkan. Tidak seperti sembahyang, yang tidak dianggap sah melainkan dengan
“an-Nutq”.
Ashab (mazhab) kita telah
berkata : Orang yang mengatakan (kenyataan) ini telah salah. Asy-Syafie tidak
memaksudkan (An-Nutq) dengan melafazkan (niat) dalam sembahyang, bahkan dia
menghendaki maksud: Takbir (takbiratul ihram).
Sekiranya seseorang itu
melafazkan (niat) dengan lidahnya, tapi tidak berniat di hatinya, maka tidak
sah sembahyangnya secara sepakat para ulama. Walaupun dia berniat dihatinya
untuk sembahyang zohor, tetapi lidahnya berkata sembahyang Asar, maka sah sembahyang
Zohornya.”[7]
Dengan itu jelas kepada kita
bahawa, Imam Asy-Syafie tidak mewajibkan lafaz niat. Lagipula, lafaz niat dan
hakikat niat itu sendiri adalah dua perkara berbeza.
❺ IBNU QAYYIM MEMPERTAHANKAN ASY-SYAFIE
Ibnu Qayyim pernah berkata:
“Apabila Rasulullah bangun
untuk bersembahyang, baginda melafazkan ((Allahu Akbar)). Baginda tidak berkata
apa-apapun sebelumnya, mahupun sesudahnya sedikitpun. Baginda tidak berkata:
‘Aku bersembahyang ini (contoh zohor, asar, dll –pent) kerana Allah, dengan
menghadap kiblat, sebanyak empat rakaat selaku Imam, atau makmum”. Baginda juga
tidak berkata : tunai atau ganti (qadha`), tidak juga kefardhuan waktu. Semua
itu adalah bidaah (perkara yang diada-adakan). Tidak pernah dinukilkan dari
siapa pun dengan sanad yang sahih, lemah (dhaif), musnad (bersambung sanadnya),
ataupun mursal (ada perawi yang gugur dalam sanadnya) satu perkataan pun
tentangnya. Bahkan, tidak juga dinukilkan dari seorang sahabat nabi, para
tabiin, dan Imam mazhab empat.
Pendapat ini muncul akibat
sebahagian ulama lampau yang tersilap faham dari kenyataan Asy- Syafie ra dalam
perihal sembahyang: (katanya) ‘Sembahyang tidak sama seperti puasa, tidak ada
seorang pun yang memasuki sembahyang melainkan dengan zikir’. Mereka menyangka zikir itu
adalah lafaz niat orang yang ingin bersembahyang, sedangkan Asy-Syafie rh
menghendaki maksud zikir itu dengan takbiratul Ihram, tidak selain itu.
Bagaimana Asy-Syafie akan
menggalakkan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah
sekalipun? Tidak juga dilakukan oleh para pengganti (khulafa`) baginda, tidak
juga para sahabat-sahabatnya. Demikianlah petunjuk mereka dan jalan hidup
mereka.
Sekiranya ada yang datang dari
mereka itu satu huruf pun tentang perkara tersebut, pasti kita menerimanya.
Kita akan menerimanya dengan penuh rela, tiada petunjuk yang lebih sempurna
melainkan petunjuk mereka. Tiada satu sunah pun melainkan apa yang diambil dari
Rasulullah.”[8]
_________________________
[1] Al Bukhari: Bagaimana
(Bermulanya wahyu kepada Rasulullah s.a.w), jilid 1: m/s 2, di dalam kitab Iman
bab (Perbahasan berkenaan setiap amalan berdasarkan niat dan dikira dan bagi
setiap seseorang itu apa yang dia niatkan), jilid 1: m/s 21, di dalam kitab
Pembebasan (hamba) bab (Tersalah di dalam membebaskan (hamba) atau talaq dan
seumpamanya), jilid 3:m/s 190, di dalam kitab kelebihan Nabi s.a.w bab (Hijrah
Nabi s.a.w dan para sahabat ke Madinah), jilid 5: m/s 72, di dalam kitab Nikah
bab (Sesiapa yang berhijrah atau melakukan kebaikan kerana hendak bernikah
dengan seseorang perempuan maka baginya apa yang dia niatkan), jilid 7: m/s 4,
di dalam kitab Sumpah Dan Nazar bab (Niat di dalam bersumpah), jilid 8: m/s
175, di dalam kitab Helah-Helah bab (Pada meninggalkan berhelah dan bagi setiap
individu itu apa yang dia niatkan), jilid 9: m/s 29. Muslim: Di dalam kitab
Pemerintahan bab (Sabda Rasulullah s.a.w setiap amalan berdasarkan niat dan
masuknya seseorang…..) dengan lafaz ini, jilid 4: m/s 571, beliau berkata,
bersabda Rasulullah s.a.w- berdasarkan niat- bagi seseorang itu apa yang dia
niatkan. Abu Daud: Di dalam kitab Nikah bab (tentang apa yang dimaksudkan
dengan lafaz Talaq dan niatnya) dengan lafaz ini, jilid 2: m/s 262, hadis ke
2201, An Nasai: Di dalam kitab Bersuci bab (Niat di dalam wudhu) dengan lafaz
ini, jilid 1:m/s 58, beliau berkata: bersabda Rasulullah s.a.w-berdasarkan
niat- sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang dia niatkan, kerana Allah kerana
RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan kerana RasulNya, atau perempuan yang
akan dia kahwini. At Tirmizi: Di dalam bab-bab Kelebihan jihad, bab (perbahasan
mengenai seseorang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk dan kerana dunia),
jilid 4: m/s 179. Beliau berkata: Bersabda Rasul s.a.w-berdasarkan niat dan
bagi seseorang itu apa yang dia niatkan-kerana Allah dan kerana RasulNya. Hadis
Hasan Sahih. Ibnu Majah: Di dalam kitab Zuhud bab (niat), jilid 2: m/s 1413,
hadis ke 4227.
[2] Akhbar Al Madinah: Nama
sebuah kitab karangan Az Zubair bin Bakar bin Abdullah Al Qurasyi Al Asadi Al
Makki, lahir 172H/788M dan meninggal dunia pada tahun 256H/870M. Beliau
merupakan keturunan Az Zubair bin Al Awwam, Abu Abdullah, seorang yang alim di
dalam bidang nasab keturunan dan cerita-cerita tentang orang arab, beliau lahir
di Madinah dan mempunyai banyak karya penulisan. (Al A’lam, jilid 3: m/s 74).
[3] Di dalam naskhah Andalus
tertulis (bin Ali).
[4] Di dalam naskhah Halab
tertulis (Malbiyyah). Mulabbah bermaksud: seseorang itu dilingkarkan kain atau
apa sahaja di lehernya kemudian ditarik.
[5] Khum: Satu mata air atau
kolam di Khum, suatu tempat yang jauhnya 3 batu di Juhfah di antara dua Tanah
Haram. (Al Muhit, jilid 4: m/s 109).
[6] Lihat : Ihkam al ahkam 1:
11, Majmu’ al Fatawa 18: 253, 20:222, Tadrib al Rawi 2: 929, Jami’ al Ulum wa
al Hikam 1:74,75, Fath al Bari 1:24, al Ta’sil 1: 73.
[7] Rujuk : Al-Majmuk,-Kitabus Sholah- jilid 3,
m/s 241, cetakan Maktabah Irsyad, Makkah.
[8] Ruj: Zaadul Ma`aad, jilid
1, m/s: 201
0 Comments
Post a Comment