Soalan: Adakah hadis berikut menunjukkan larangan
melilit tudung dua kali atau lebih? Dikatakan Nabi SAW bersabda ketika melihat
Ummu Salamah memakai tudung: “Hanya satu kali lilit, dan jangan dua lilitan!”
Jawapan: Hadis tersebut Dhoif (Lemah). Menurut para
ulama, hadis dhoif tidak boleh dijadikan hujah di dalam hukum hakam agama.
Fakta:
❶ Tudung boleh
dipakai dengan pelbagai cara. Apa yang penting, ia mestilah bertepatan dengan
sifat-sifat menutup aurat yang digazet oleh agama.
❷ Sifat tudung yang
ringkas menurut ajaran agama Islam:
- Menutupi kepala (kecuali muka), leher dan belahan dada
- Tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit atau rambut.
- Tidak menyerupai lelaki
Penjelasan Hadis:
❶ Hadis yang lengkap direkod seperti berikut:
HS Zuhair bin Harb, HS `Abdurrahman (ح) HS Musaddad, HS Yahya, daripada
Sufyan, daripada Habib bin Abi Sabit, daripada Wahab –
pembantu Abu Ahmad, daripada Ummu Salamah. (Beliau berkata:)
Nabi SAW telah masuk menemuinya ketika itu
beliau sedang memakai tudung. Lantas Nabi SAW bersabda kepadanya:
«لَيَّةً لَا لَيَّتَيْنِ»
Hanya satu lilitan (lipatan), bukan dua
lilitan.
Abu Daud berkata: Maksud sabda Nabi “Hanya satu
lilitan (lipatan), bukan dua lilitan.” Ialah baginda mahu berkata: Janganlah
kamu melilit kepala seperti (serban) lelaki. Jangan mengulang-ulang satu atau
dua lilitan.
(HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud,
bilangan: 4115)
❷ Hadis ini Dhoif kerana masalah yang ada pada seorang perawi bernama: Wahab
– pembantu Abu Ahmad.
Syeikh Syu`aib al-Arnaout berkata: Perawi hadis ini adalah Siqat
(orang-orang dipercayai) melainkan Wahab pembantu Abu Ahmad. Dia adalah perawi
yang diperselisihi peribadinya. Ad-Daruqutni dan al-Hakim menyatakan bahawa
beliau ialah Abu Sufyan pembantu Ibnu Abu Ahmad, seorang yang dipercayai yang
telah direkodkan hadisnya di dalam Sahihain. Justeru itu dia turut dianggap
siqah oleh Ibnu Sa`ad, Ibnu Hibban dan ad-Daruquthni. Al-Mizzi juga beranggapan
seperti itu.
Manakala Ibnu Abdul Bar pula berkata: Tidak sahih nama bagi Abu Sufyan
melainkan hanya gelarannya sahaja. Kami (Syeikh Syuaib) pula berpendapat:
Al-Munziri, Ibnu al-Qattan, az-Zahabi, Ibnu Hajar telah menjahilkan (menganggap
ia sebagai perawi yang tidak dikenali-majhul) Wahab pembantu Abu Ahmad.
Sekiranya Wahab ini ialah Abu Sufyan seperti mana yang dinyatakan oleh
ad-Daruquthni dan al-Hakim, maka sanad hadis ini sahih. Tetapi jika tidak, maka
dia ialah seorang perawi yang majhul seperti mana yang dinyatakan oleh
al-Munziri dan orang yang mengikutinya, maka sanad hadis ini adalah Dhoif.
WallahuA`lam.
❸ Sekiranya kita
andaikan bahawa hadis ini sahih, maka kita simpulkan seperti berikut: Hadis ini
tidak menunjukkan kepada pengharaman lilitan tudung tetapi ia menunjukkan
kepada larangan memakai pakaian yang menyerupai lelaki. Inilah yang cuba
dijelaskan oleh Imam Abu Daud di dalam ulasan ringkas di atas.
Tambahan pula, tiada hadis lain yang sahih atau
yang lebih sahih daripada hadis ini yang mengharamkan lilitan. Tetapi hadis
yang mengharamkan wanita menyerupai lelaki sangat banyak.
Antaranya, Ibnu Abbas berkata:
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ
النِّسَاءِ
Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita
(pondan) daripada kalangan orang lelaki dan perempuan yang menyerupai lelaki (tomboi)
daripada kalangan wanita.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan: 5886)
Maksud menyerupai dalam konteks hadith di atas
termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap,
cara berpakaian dan sebagainya.
WallahuA`lam.
0 Comments
Post a Comment