المسَحُ عَلَى الخٌفَّين
Menyapu
Khuffain
Definasi
الخُفّان:
تثنية خف، وهما الحذاءان السائران للكعبين المصنوعان من جلد. والكعبان كما مر: هما العظمان الناتئان عند مفصل الساق.
Khuffan:
ialah kata tasniyah bagi khuf. Kedua-duanya ialah pasangan kasut (yang menutupi
sehingga kedua buku lali. Ia diperbuat daripada kulit.
Maksud buku
lali ialah seperti berikut: Kedua-duanya ialah dua tulang yang timbul di antara
pemisah (kaki dan) betis.
Hukum menyapu di atas
kedua-duanya (bagi menggantikan menyapu kaki ketika wuduk).
Menyapu di
atas kedua-duanya (dengan air) adalah satu keringanan (رخصة) yang diharuskan kepada lelaki dan wanita dalam semua keadaan. Sama
ada ketika musim panas (الصيف) atau sejuk (الشتاء), ketika musafir atau mukim (الحضر), ketika sihat atau sakit. Ia adalah ganti
bagi membasuh kedua-dua kaki ketika berwuduk.
Dalil keharusan
tersebut adalah perbuatan Nabi SAW. Jarir bin Abdullah al-Bajali RA
menyebutkan:
«رَأَيْتُ
رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ، ثُمَّ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ
عَلَى خُفَّيْهِ»
Aku melihat
Nabi SAW pergi buang air kecil, kemudian berwuduk dan menyapu kedua-dua khuf
baginda.[1]
(HR al-Bukhari: 1478, Muslim:
272)
Syarat Bagi
Menyapu di atas Kedua-duanya
Harus
menyapu di atas kedua-dua khuf dengan (melengkapi) lima syarat berikut:
❶ Kedua-dua
khuf dipakai setelah berwuduk dengan sempurna.
Daripada
al-Mughirah bin Syu`bah RA, beliau berkata:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ، فَقَالَ: «دَعْهُمَا،
فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ». فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا
Aku pernah
bersama-sama Nabi SAW di dalam satu permusafiran. Lalu aku memanjangkan
tangan bagi menanggalkan kedua-dua khuf baginda. Lantas baginda bersabda:
((Biarkan kedua-duanya, kerana aku memakainya ketika suci[2].))
lalu baginda menyapu di atas kedua-duanya.
(HR al-Bukhari: 203, Muslim:
274)[3]
❷ Hendaklah
kedua-dua khuf tersebut menutupi kesemua tempat basuhan yang wajib pada
kedua-dua kaki. Kerana kedua-dua khuf tidak dinamakan kecuali dalam keadaan
demikian.[4]
❸ Ia
menghalang aliran air kepada kedua-dua kakikecuali tempat jahitan.[5]
❹ Hendaklah
kedua-duanya kuat (tahan lasak) sehingga boleh dipakai berjalan selama sehari
semalam bagi orang yang bermukim, dan tiga hari tiga malam bagi orang yang
musafir.[6]
❺ Hendaklah
kedua-duanya suci sekalipun dibuat daripada bangkai yang telah disamak (الدبغ) sepertimana yang telah disebutkan sebelum
ini bahawa kulit bangkai menjadi suci dengan disamak.
Tempoh
Menyapu di atas kedua-duanya
Tempoh menyapu
di atas khuffain: ialah sehari dan semalam bagi orang yang bermukim dan tiga
hari tiga malam bagi orang yang bermusafir.
(Imam)
Muslim (276) dan selainnya meriwayatkan hadis (dengan sanadnya) daripada
Syuraih bin Hani’, beliau berkata:
أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا
عَنِ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ، فَقَالَتْ: عَلَيْكَ بِابْنِ أَبِي طَالِبٍ،
فَسَلْهُ فَإِنَّهُ كَانَ يُسَافِرُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَسَأَلْنَاهُ فَقَالَ: «جَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ، وَيَوْمًا
وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ»
Aku telah
menemui Aishah dan bertanya berkenaan menyapu di atas al-Khuffain. Maka dia
menjawab: “Hendaklah engkau (pergi bertemu Ali) anak Abi Tholib[7],
lalu tanyalah dia kerana dia pernah bermusafir dengan Rasulullah SAW”. Lalu
kami bertanya beliau (Ali). Maka beliau berkata: ((Rasulullah telah menetapkan
(tempoh) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam bagi orang yang
bermukim.))
Justeru itu,
sesiapa yang mula menyapu khuf ketika bermukim kemudian dia bermusafir, maka
dia (hanya boleh) menyapau selama sehari semalam. Sesiapa yang mula menyapu
ketika bermusafir kemudian bermukim, maka hendaklah dia menamatkan tempoh
sapuannya sebagaimana orang bermukim.
Ini kerana
keadaan asal seseorang itu adalah bermukim, sedangkan sapuan itu pula adalah
rukhsah. Oleh itu, ambillah cara yang lebih selamat.
Bilakah
Tempoh Itu Bermula?
Tempoh menyapu
(bagi mengangkat) hadas bermula setelah memakai kedua-dua al-Khufain. Justeru,
seseorang yang berwuduk[8]
untuk solat Subuh, kemudian berhadas ketika matahari terbit, maka tempohnya bermula
daripada terbit matahari.
Kaedah
Sapuan keatas kedua-duanya
Fardhu:
Menyapu sesuatu sekalipun sedikit daripada bahagian atas al-Khuf[9].
Tidak memadai dengan menyapu bahagian bawahnya sahaja. Disunatkan menyapu
bahagian atas dan bawah dengan sekali lalu, iaitu dengan cara meletakkan
jari-jari tangan kanan dalam keadaan terbuka di bahagian atas hujung kaki, dan
jari-jari tangan kirinya pula di bahagian bawah tumit. Kemudian lalukan tangan
kanan ke belakang sambil tangan kirinya ke hadapan.
Perkara-perkara
Yang Membatalkan Sapuan
Sapuan
terbatal dengan tiga faktor:
❶ Menanggalkan kedua-dua khuf atau salah satu daripadanya. Atau tertanggal
kedua-duanya atau salah satu daripadanya.
❷ Tamat
tempoh sapuan: Apabila tempoh sapuan telah tamat ketika masih berwuduk, maka
dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuf tersebut dan membasuh kedua-dua
kakinya, setelah itu pakai semula. Sekiranya dia tidak dalam keadaan berwuduk,
maka dia hendaklah berwuduk, kemudian pakai semula jika dia mahu.
❸ Berlaku
perkara yang mewajibkan mandi: Apabila wajib mandi, maka dia hendaklah
menanggalkan kedua-dua khuf tersebut dan membasuh kedua-dua kakinya kerana
sapuan keatas kedua-duanya adalah ganti bagi menyapu kedua-dua kaki di dalam
wuduk, tidak pada mandi (wajib).
Direkodkan
oleh at-Tirmizi (96) dan an-Nasaie (1/83) – dan ini adalah lafaz an-Nasaie- daripada
Sofuan bin `Asal RA, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا مُسَافِرِينَ أَنْ نَمْسَحَ
عَلَى خِفَافِنَا وَلَا نَنْزِعَهَا ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ
وَنَوْمٍ إِلَّا مِنْ جَنَابَةٍ»
Rasulullah
SAW memerintahkan kami apabila bermusafir untuk menyapu di atas khuf kami dan
tidak menanggalkannya selama tiga hari, sama ada selepas buang air besar
(berak), air kecil (kencing), atau tidur kecuali apabila bersetubuh. [10]
Ia (bersetubuh)
adalah perkara yang menyebabkan wajib mandi sepertimana yang akan dijelaskan
selepas ini.
- Tamat terjemahan -
Oleh:
Ustaz
Syihabudin Ahmad
Editor Syariah
Kemilau Publika SDN BHD
Ijazah Sarjana
Muda Syariah Universiti Al-Azhar, Dumyat, Mesir
Pengajian di Surau as-Sobirin, SBCR, Sungai Buloh, Selangor,
Tarikh: 1 Mei 2015
[1] Hadis ini diambil daripada rekod Muslim dengan
lafaz berikut:
Imam Muslim bin al-Hajjaj dengan sanadnya
merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Yahya at-Tamimi dan Ishak
bin Ibrahim, serta Abu Kuraib. Kesemuanya meriwayatkan daripada Abi Muawiyah. (ح) Diceritakan kepada
kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan kepada kami oleh Abu Mu`awiyah
dan Waki’ – dan ini lafaz Yahya – beliau berkata: Dikhabarkan kepada kami oleh
Abu Mu`awiyah daripada al-A`masy, daripada Ibrahim, daripada Hammam, beliau
berkata:
Jarir telah buang air kecil (kencing) kemudian
berwuduk dan menyapu pada kedua-dua khufnya. Lalu dikatakan kepadanya: Kamu
melakukan hal ini? Beliau berkata: Ya. ((Aku melihat Nabi SAW pergi buang air
kecil, kemudian berwuduk dan menyapu kedua-dua khuf baginda.)) al-A`masy
berkata, Ibrahim berkata: ((Apa yang menghairankan mereka terhadap hadis ini
ialah, Jarir memeluk Islam selepas turun surah al-Maidah.))
[2] Bermaksud suci daripada hadas. Peristiwa itu
berlaku setelah memakai kedua-duanya setelah sempurna wuduk.
[3] Lafaz ini adalah daripada rekod Imam
al-Bukhari di dalam kitab Sahih beliau, bilangan: 206.
[4] Khuf juga dari istilah bermaksud sembunyi. Jadi,
menyembunyikan kaki bagi tempat wuduk secara sepenuhnya dikira khuf. Maka kita
fahami bahawa selain khuf yang difahami oleh orang Arab, khuf yang mempunyai 5
syarat ini juga layak berada pada hukum khuf. Wallahua`lam.
[5] Maksudnya, ia kalis air tanpa mengira ia kulit
tiruan atau asli.
[6] Maksudnya, sekiranya ia tidak tahan lasak
dalam erti diyakini tidak mampu tahan selama sehari semalam atau tiga hari tiga
malam, maka ia tidak melepasi syarat yang ditetapkan untuk khuf.
[7] Lafaz ini telah dibetulkan daripada kitab
asal. Sebutan kitab asal adalah seperti berikut:
ائت علياً فإنه أعلم بهذا منّي،
“..Pergilah berjumpa Ali kerana dia lebih tahu
daripadaku..”
Kemudian disambung dengan lafaz yang sama.
[8] Dengan sempurna
[9] Direkod oleh Abu Daud (162) dengan sanad yang
sahih daripada Ali bin Abi Tholib. Beliau berkata:
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ
الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ، وَقَدْ «رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ»
Sekiranya agama itu dengan mengambil pandangan,
nescaya bawah al-khuf itu lebih perlu disapu daripada atasnya. Sedangkan aku
telah melihat Rasulullah SAW menyapu di atas luar kedua-dua khuf baginda.
(Nota: Hadis ini menyatakan bahawa agama
diambil daripada sumber wahyu. Bukan dengan pandangan fulan bin fulan.)
[10] Hadis ini Hasan menurut al-Albani. Hadis ini secara lengkap adalah seperti
berikut: An-Nasaie dengan sanadnya meriwayatkan: Diberitakan kepadaku oleh
Ahmad bin Sulaiman ar-Ruhani, beliau berkata: Diceritakan kepada kami oleh
Yahya bin Adam, beliau berkata: Diceritakan kepada kami oleh Sufyan as-Sauri,
Malik bin Maghlul, Zuhair, Abu Bakar bin `Isyasy dan Sufyan bin `Uyainah,
daripada `Asim, daripada Zir, beliau berkata: Aku bertanya Safwan bin `Assal
berkenaan sapuan di atas al-Khuf. Dia berkata, (lalu disebutkan hadis seperti
di atas.