Saya adalah graduan
Universiti al-Azhar di dalam bidang Syariah yang menfokuskan isu Fikah sebagai
subjek utama di samping subjek-subjek lain. Di dalam memahami agama, maka saya
dan rakan-rakan diajar untuk menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan
utama.
Tetapi
persoalannya, bagaimana memahami al-Quran dan al-Hadis sebagai rujukan? Adakah
boleh membaca al-Quran atau hadis, kemudian terus berhujah?
Kami para penuntut
ilmu agama tidak diajar begitu. Kami diajar supaya menjadikan penjelasan ulama
bagi membantu memahami a-Quran dan al-Hadis. Ulama mempunyai kepakaran yang
banyak. Mengikut ulama bukan bererti jumud atau beku, tetapi mengikut ulama
dengan maksud mengambil hujah ulama berkenaan, menilainya semula, kemudian
sebarkan kebenaran.
Nabi Muhammad SAW
bersabda:
«بِحَسْبِ الْمَرْءِ مِنَ الْكَذِبِ أَنْ
يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ»
"Cukuplah
dikatakan seorang itu sebagai pendusta apabila dia berbicara tentang apa sahaja
yang dia dengar” – Hadis Sahih dalam rekod Sahih Muslim (5).
Ketika di tahun 2,
saya telah menulis sebuah buku berjudul "Lateral al-Bukhari"
terbitan syarikat Must Read Sdn Bhd. Buku tersebut adalah himpunan 50 kisah
yang diceritakan oleh Rasulullah SAW atau para sahabat sepertimana yang telah
direkodkan oleh Imam al-Bukhari. Ia adalah buku pertama saya di dalam bidang penulisan
buku bercetak.
Bagi memastikan
terjemahan saya tepat dan tidak tersasar, maka saya menjadikan kitab Fathul
Bari sebagai rujukan terjemahan. Maka saya dapati, jika terjemahan tanpa
dilihat kepada kefahaman hadis, maka ia mampu menyelewengkan ajaran agama yang
tulin.
Kemudian di tahun
4, saya menulis sebuah buku berjudul "Fikah Islam dan Kemusykilan
Agama". Pelbagai persoalan berkaitan isu fikah daripada bab niat
sehingga perkahwinan telah saya sebutkan. Setiap persoalan saya rungkaikan
dengan terlebih dahulu meneliti pandangan ulama dalam pelbagai mazhab. Bahkan,
kadangkala saya melihat juga pendapat ulama yang tidak berpegang kepada mazhab.
Di al-Azhar, kami
diajar untuk merujuk pelbagai sumber rujukan. Kami tidak hadkan kepada ulama 4
Mazhab sahaja, tetapi ia lebih meluas sehingga ke gerbang fikah Syiah
Ja`fariyah dan Zohiriyyah.
Pada Ramadhan 2014,
saya menulis sebuah buku kecil berjudul "24 Jam Amalan Puasa Rasulullah
SAW" yang diterbitkan oleh Kemilau Publika SDN BHD. Saya jadikan guru
saya Dr. Mohsin asy-Syazuli sebagai panduan di dalam mengarang buku kecil
berkenaan. Buku tersebut menyebutkan amalan-amalan di bulan Ramadhan sejak
daripada bangun tidur sehingga tidur semula.
Semuanya ditulis
dengan merujuk, bukan sekadar ‘pandangan saya’. Saya yakin bahawa saya bukan
ulama. Lalu menjadikan ulama sebagai panduan adalah keutamaan saya.
Malang pula apabila
timbul satu atau dua orang yang melihat saya berbeza dengan mereka, lalu
dituduh terus saya sebagai 'mengambil hadis tanpa panduan ulama', 'tak belajar
habis',’anti ulama’, dan 'Wahabi!'.
Semoga Allah ampuni
kita.
_____________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh.