Hadis ke 10 di dalam Jami` Ulum wal Hikam dan Hadis 40 Imam an-Nawawi:
“Allah itu Thoyyib dan Tidak Menerima Melainkan
Yang Thoyyib”
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَيُّهَا النَّاسُ،
إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ
بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ
وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة:
172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ
إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ،
وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
"
Rasulullah SAW
bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Alla bersifat at-Toyyib dan dia tidak
menerima melainkan yang Thoyyib sahaja. Allah memerintahkan orang yang beriman
sepertimana diperintah kepada para utusan Allah dengan berkata:
51. Hai rasul-rasul, makanlah
dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku
Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51)
172. Hai orang-orang yang
beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu
dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah
(Al-Baqarah: 172)
Kemudian diceritakan
tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu,
menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Sedangkan
makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang
haram, justeru itu bagaimana dimakmulkan doanya?
(HR
Muslim bin al-Hajjaj, di dalam Sahih Muslim, bilangan 1015)
1. Rangkaian Sanad:
Muslim > Abu Kuraib
Muhammad bin al-`Ala’ > Abu Usamah > Fudhail bin Marzuq > Adi bin
Sabit > Abi Hazim > Abu Hurairah > Rasulullah SAW
Hadis ini Sahih tanpa ada sebarang keraguan.
2. Maksud at-Thoyyib
(Wahai manusia,
sesungguhnya Alla bersifat at-Toyyib dan dia tidak menerima melainkan yang
Thoyyib sahaja)
(Sesungguhnya Allah bersifat at-Toyyib) Syeikh Fuad Abdul baqi menyebutkan bahawa at-Toyyib adalah sifat Allah yang bermaksud Allah bersih daripada segala kekurangan. Ia juga bermaksud penuh suci (qudus). Asal perkataan at-Toyyib ialah az-Zakat, thoharah, dan selamat daripada kotoran.
Allah tidak akan menerima amalan seseorang itu melainkan ia
berasal daripada sumber yang halal. Hadis ini dijelaskan oleh hadis lain di
dalam Sahih Muslim juga:
Nabi SAW bersabda:
لَا يَتَصَدَّقُ أَحَدٌ بِتَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ، إِلَّا
أَخَذَهَا اللهُ بِيَمِينِهِ
Seseorang tidak
(dikira) bersedekah dengan buah tamar daripada hasil yang baik melainkan Allah
menerimanya dengan tangan kanan-Nya.
(HR Muslim di dalam
Sahih Muslim, bilangan 1014)
3. Makna bersih atau baik
Sebahagian ulama
berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan “…Dia tidak menerima melainkan
yang Thoyyib sahaja” adalah bersifat umum. Allah tidak menerima amalan yang
disertai dengan kerosakan, keburukan, dan kehancuran seperti sifat riya’ dan
ujub ketika bersedekah. Sekalipun barang itu halal, dengan sebab riya’ dan ujub
maka amalan itu tidak mendapat sebarang pahala kebaikan. At-Toyyib atau bersih
itu disifatkan kepada semua perkara termasuk perbuatan, kata-kata, kidah, dan
sebagainya.
4. Sifat orang beriman itu
bersih (Thoyyib)
Allah SWT telah
menyifatkan orang beriman dengan sifat at-Toyyib. Allah bersabda di dalam surah
an-Nahl: 32,
ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ
طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمُ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ بِمَا كُنتُمۡ
تَعۡمَلُونَ ٣٢
32.
(yaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat
dengan mengatakan (kepada mereka): "Salaamun´alaikum, masuklah kamu ke
dalam surga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan"
Para
malaikat akan berkata ketika sakaratul maut: Keluarlah wahai jiwa yang bersih
(an-Nafsu at-Thoiyyibah) yang telah berada di dalam jasad yang bersih.
Orang
yang beriman, mereka semua berada di dalam keadaan bersih. Hati, lidah, tubuh
badan dan sebagainya. Hatinya dibersihkan dengan iman. Lidahnya dibersihkan
dengan zikir dan tasbih. Tubuh badannya sentiasa melakukkan amalan-amalan soleh
yang menjadi hasil daripada tanaman keimanan.
(Kemudian diceritakan
tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu,
menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku!)
Hadis tersebut mengajar
kita kepada adab-adab di dalam berdoa:
5. Sebab-sebab
Dimakbulkan doa dan adab-adabnya:
1.
Jauh mengembara
Orang yang mengembara
(bermusafir) adalah diantara orang yang doanya dimakbulkan. Abu Hurairah
meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ:
دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى
وَلَدِهِ
Tiga jenis doa yang diterima
semuanya tanpa ada sebarang syak padanya: Doa orang yang dizalimi, doa orang
mengembara (bermusafir) dan doa bapa kepada anaknya.
(HR Al-Bukhari di dalam Adabul Mufrad,
bilangan 481. Sahih menurut al-Albani)
2. Wujudnya kesan pengorbanan
dalam mendapatkan pakaian yang terlihat daripada usang dan debu.
Di dalam hadis Masyhur Nabi
SAW bersabda:
رُبَّ أَشْعَثَ، مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى
اللهِ لَأَبَرَّهُ
Boleh jadi orang yang
rambutnya kusut, tertutup pintu baginya sekiranya dia berdoa kepada Allah Allah
akan menunaikannya.
(HR Muslim di dalam Sahih
Muslim, bilangan 2622)
3. Menadah tangan ketika
berdoa
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ
أَنْ يَرْفَعَ إِلَيْهِ يَدَيْهِ
Sesungguhnya Tuhan kamu Pemalu
dan Mulia. Dia malu pada hamba-Nya yang mengangkat kedua-dua tangan kepadanya.
(HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud,
bilangan 3865)
(Sedangkan makanannya haram,
minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram,)
Perkara yang menghalang
mustajab doa terkandung di dalam isu makanan, minuman, pakaian, dan memberi
makan)
(justeru
itu bagaimana dimakmulkan doanya?)
Bentuk ayat ini adalah
at-Taajub – kehairanan dan al-Istiba`ad – terlalu kecil kemungkinan
dimakbulkan. Bagaimana Allah mahu menerima amalan baik yang dicampur dengan
keingkaran dan kemaksiatan kepada-Nya? Bagaimana dia berdoa kepada Allah
sedangkan perintah dan larangan Allah diabaikan? Justeru itu, amalan hendaklah
disatukan dengan perintah dan larangan Allah barulah permintaan akan
dimakbulkan Allah.
WallahuA`lam.