Alhamdulillah, Malam ini dapat ilmu yang bermanfaat dalam perbincangan dengan Dr Mohd Adli dan sahabat-sahabat Master Hadith USM (HIT521) berkaitan isu Takhrij Hadith.

Saya bertanya tentang pandangan Dr tentang hadith berikut:
مَنْ قَرَأَ ‌يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ غُفِرَ لَهُ
Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada waktu malam dengan mengharapkan redha Allah, nescaya akan diampunkan dosanya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban.
Pertanyaan saya adalah kerana Dr menyatakan hadis seumpama ini di dalam perbincangan takhrij.
Saya mempersoalkan bahawa Dr Ibrahim Ali Sayyid (Pensyarah Hadis Universiti Zaqaziq dan Penulis buku Fadhail Suwar al-Quran) mengatakan hadis ini Sahih. Tiada masalah pada jalur sanadnya.
Namun begitu, Dr. Adli tidak bersetuju dan menyatakan bahawa hadis ini bermasalah dari sudut sanad kerana jalurnya melalui al-Hasan al-Basri daripada Jundub, yang diriwayatkan secara ‘an‘anah (lafaz “عَنْ” tanpa penegasan bahawa beliau mendengar sendiri). Dalam ilmu Jarh wa Ta'dil, al-Hasan al-Basri dianggap perawi mudallis, dan riwayatnya tidak diterima sekiranya tidak dinyatakan secara jelas dengan lafaz tasrih bil-sama' (seperti "sami’tu", "haddathana").
Tak berpuas hati, saya buktikan bahawa Al-Hasan al-Basri memang menuntut ilmu daripada Jundub. Bahkan, dalam hadis Sahih al-Bukhari bernombor 3463, jelas beliau meriwayatkan daripada Jundub secara tasrih bil-sama'.
Namun, Dr. Adli menyoal: “Adakah hadis itu sama dari segi lafaz dan makna dengan hadis yang sedang dibincangkan?” Saya menjawab bahawa ia adalah hadis lain, bukan hadis yang sama.
Justeru, dapatan saya tidak diterima, kerana disiplin ilmu hadis menekankan bahawa tasrih bil-sama' mestilah pada hadis yang sama, bukan sekadar menunjukkan pernah mendengar dari perawi tersebut dalam riwayat yang lain.
Walaupun riwayat ini adalah yang paling baik daripada mana-mana riwayat yang lain berkaitan kelebihan bacaan Yaasin, tetapi ia tetap dalam kategori hadis yang dhaif, sehinggalah dapat dibuktikan tasrih bil sama`.
Pun begitu, kategori hadis ini adalah hadis dhoif yang ringan, masih boleh menjadi Fadhail Amal. Apatah lagi, bacaan surah Yasin adalah amalan yang telah disyariatkan sewaktu siang dan malam. Hadis ini hanya menyebutkan kelebihan membaca Yasin pada waktu malam.
Malam Isnin,
Malam Selasa,
Malam Rabu
Malam Jumaat
Malam Sabtu
Malam Ahad
Ada beberapa lagi perbincangan teknikal dalam hadis yang tidak dikongsikan di sini, tetapi kesimpulannya - saya dapat ilmu yang sangat bermanfaat.
Saya cadangkan, sahabat-sahabat yang nak sambung pengajian Hadis di peringkat MA, sambunglah di USM. InsyaAllah kita dapat berguru dengan antara ahli-ahli hadis yang terbaik di Malaysia.
-
Syihabudin Ahmad
Pelajar MA Hadith, USM.