Allah swt berpesan di dalam Surah Ali Imrān, ayat 31-32,

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ { ( 31 ) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32 )

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 32. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”

[Ali Imraan, 31-32]

Ayat ini menjadi faktor penentu kepada orang yang mendakwa bahawa mereka mencintai Allah. Ia menjadi kayu pengukur kepada tahap keimanan terhadap Allah dan rasul-Nya. Jika mereka mendakwa cinta kepada Allah tetapi tidak menjadikan jalan Nabi saw sebagai jalan mendekati Allah, sesungguhnya mereka itu seorang penipu.

Sebahagian orang mendakwa mereka mencintai Allah, sedangkan mereka itu sedikitpun tidak mahu melaksanakan tuntutan Allah dan rasul-Nya. Mereka tidak suka apabila mendengar hadis-hadis Nabi SAW. Bahkan, apabila ahli ilmu mengatakan hadis sekian-sekian adalah dusta, mereka tidak mahu menerima, bahkan mahu berpaling supaya tidak berselisih dengan orang lain. Tetapi mereka sanggup berselisih dengan Nabi SAW!

Orang seperti ini sekadar mencintai Allah tanpa sebarang tindakan. Kata-kata kosong yang hanya mereka sahaja yang mengetahuinya. Mereka tidak berjaya membuktikan dengan amalan.

Mencintai Allah adalah tanggungjawab dan urusan manusia. Manakala, dicintai Allah adalah tanda rahmat dan kasih sayang Allah.

Kata para ulama,

ليس الشأن أن تُحِبّ، إنما الشأن أن تُحَبّ

Bukan menjadi urusanmu untuk dicintai, tetapi urusanmu adalah untuk mencintai.

Sebagai seorang hamba, kita bersyukur dengan pemberian Allah yang merupakan Tuan dan Tuhan kita. Kita diberikan keindahan kebahagian rumahtangga, lalu kita bersyukur kepada Allah. Kita diberikan kerja yang menyebabkan boleh makan minum, maka kita berterima kasih kepada Allah. Dengan segala nikmat pemberian Allah, maka kita sangat mencintai Allah. 

Cinta kita kepada Allah adalah lumrah yang telah menjadi kewajipan kita sebagai hamba. Namun, ayat 31 surah Ali Imran sebelum ini menyatakan satu jangkauan luar biasa. Iaitu, apabila kita ikut Nabi, maka Allah akan cintakan kita! Subhanallah, apa yang lebih berharga di dalam hidup ini selain daripada cinta Allah kepada kita?!

Apa sebab ayat ini diturunkan? Kata Hasan al-Basri, ‘Satu kaum telah mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, lalu Allah uji mereka dengan ayat 31-32 surah Ali Imran.

Al-Baghawi dalam tafsirnya berkata bahawa ayat 31-32 ini diturunkan kepada orang Yahudi dan Kristien yang berkata:

نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ
Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasihNya.

(Al-Māidah: 18)

Al-Ḍahāq pernah merekodkan sebuah cerita daripada Ibnu Abbas,

“Nabi bersama orang Quraisy dalam Masjidil Haram. Ketika itu, mereka sedang menghiasi berhala-berhala mereka, mereka meletakkan di atasnya kalung-kalung, dan menggantung anting-anting di telinga berhala itu. Mereka menyembah berhala itu.

Lantas Rasulullah berkata, 

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ وَاللَّهِ لَقَدْ خَالَفْتُمْ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ

“Wahai sekelian orang Quraisy, sesungguhnya kamu semua telah berbeza dengan agama datuk moyang kamu Ibrahim dan Ismail!”

Lalu orang Quraisy itu menjawab, 

إِنَّمَا نَعْبُدُهَا حُبًّا لِلَّهِ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

“Sesungguhnya kami ini hanya menyembahnya kerana terlalu cintakan Allah, bagi mendekatkan diri dengan Allah dengan sedekat-dekatnya.”

Lantas Allah memintas mereka dengan jawapan, “Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad, bahawa seandainya kamu mencintai Allah lalu menyembah berhala-barhala itu dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah (maka tinggalkanlah perbuatan itu.) Lalu ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah akan mencintai kamu. Sesungguhnya aku ialah utusan Allah kepada kamu dan akan menjadi hujah Allah keatas kamu; ikutlah ajaranku dan sunnahku nescaya Allah akan mencintai kamu.”

(Tafsir al-Bagawī, Jilid 2, Halaman 27, cetakan Dār Ṭaibah, 1997)

Jadi, kita dapat memahami bahawa kecintaan seorang yang beriman kepada Allah ialah dengan mencintai Rasulullah saw. Kecintaan kepada Rasulullah saw dibuktikan dari segi mengikut segala perintah dan menjauhi larangan Rasulullah saw.

Seorang yang menzahirkan rasa cinta dengan kata-kata, tetapi berbeza dengan perbuatannya, mereka ini tidak mencintai Allah dan rasulNya.

Rabi`ah al-`Adāwiyyah bersyair:

تَعْصِي الْإِلَهَ وَأَنْتَ تُظْهِرُ حُبَّهُ ... هَذَا مُحَالٌ فِي الْفِعَالِ بَدِيعُ
لَوْ كَانَ حُبُّكَ صَادِقًا لَأَطَعْتَهُ ... إِنَّ الْمُحِبَّ لِمَنْ أَحَبَّ مُطِيعُ"

Kamu derhaka kepada Tuhan, sedangkan kamu menunjukkan kata cinta..Sesungguhnya bagiku perkataan ini adalah mustahil dalam kias yang sangat hodoh.

Seandainya cinta kamu itu benar, nescaya kamu mentaatinya,Sesungguhnya bagi pecinta adalah mentaati orang yang dicintainya.

(Syu`ab al-Imān: 491)

KECINTAAN SAHABAT NABI KEPADA BAGINDA

Definasi Sahabat: Sahabat adalah siapa yang pernah berjumpa Nabi s.a.w. dan beriman dengan baginda, serta mati dalam keadaan seorang Islam.

[Ruj. Ibnu Hajar: al-Ishabah fi Tamyiz Baina Shahabah]

Rasulullah berkata: Akan datang kepada manusia satu zaman yang ketika itu sekumpulan manusia akan berperang. Lalu mereka ditanya: Adakah dikalangan kalian ada orang yang bersahabat dengan Rasulullah? Lalu mereka menjawab: Ya ada! Lantas mereka diberi kemenangan.

Kemudian akan datang pula kepada manusia satu zaman yang ketika itu sekumpulan manusia akan berperang. Lantas mereka ditanya: Adakah dikalangan kamu ada orang yang bersahabat dengan sahabat Rasulullah? Lalu mereka berkata: Ya ada! Lantas mereka diberikan kemenangan.

Kemudian akan datang kepada manusia pada suatu zaman, sekumpulan manusia akan berperang. Lalu mereka ditanya: Adakah dikalangan kamu orang yang bersahabat dengan sahabat yang bersahabat dengan Rasulullah? Lalu mereka menjawab: Ya ada! Lalu mereka diberikan kemenangan.

[Rekod Sahih al-Bukhari: 3649]

Rasulullah berkata: Sebaik-baik umatku adalah yang berada dalam kurunku, kemudian orang yang selepas mereka, kemudian orang yang selepas mereka … Kemudian, akan datang suatu kaum selepas kamu ini, yang memberi kesaksiaan sedangkan mereka tidak diminta memberi saksi, Mereka berkhianat dan tidak menunaikan amanah. Mereka bernazar[1] tetapi tidak menunaikan nazar tersebut. Terlihatlah kesan kegemukan pada diri mereka.

[Rekod Sahih al-Bukhari: 3650]

Rasulullah berkata: Sebaik-baik manusia adalah dari keturunanku, kemudian orang yang datang selepas itu, kemudian orang yang datang selepas itu. Kemudian akan datang satu kaum yang mendahulukan persaksian seseorang dari kamu sebelum sumpahnya. Dan sumpahnya sebelum penyaksiannya.

Ibrahim (seorang Tabiin) berkata: Mereka (para sahabat) akan memukul kami sekiranya kami (senang lenang) bersaksi dan berjanji, ketika itu kami masih kecil
.
[Rekod Sahih al-Bukhari: 3651]

Kisah 1:

Pada musim haji tahun ke 13 kenabian, yang bertepatan dengan bulan Jun tahun 622 M, terdapat antara 73 hingga 79 orang Islam dari Yathrib datang ke Mekah untuk melaksanakan manasik haji. Mereka datang bersama-sama dengan para jemaah haji Musyrikin daripada kaum mereka. Orang Islam itu saling bertanya sesama mereka, padahal waktu itu mereka masih di Yathrib atau masih di jalan, “Sampai bila kita perlu membiarkan Rasulullah e terus diburu di pergunungan Mekah dengan rasa takut?”

Tatkala mereka telah sampai di Mekah, terjalin komunikasi rahsia antara mereka dengan Nabi Muhammad, yang kemudian melahirkan kesepakatan antara kedua-dua belah pihak untuk berkumpul di pertengahan Hari Tasyriq. Peristiwa itu berlaku di sebuah tempat yang ada di Aqabah yang terletak berdekatan Mina di celah-celah waktu melontar jamrah pertama. Ia dilakukan pada malam hari agar kerahsiaan pertemuan ini betul-betul sempurna.

Imam Ahmad meriwayatkannya daripada Jabir secara terperinci. Jabir mengatakan bahawa mereka bertanya, “Hai Rasulullah, atas apa kami berbaiat kepadamu?” 

Rasulullah e menjawab, 

“(1) Untuk mendengar dan taat, sama ada dalam keadaan rajin ataupun malas, (2) untuk menafkahkan harta dalam kesusahan mahupun kesenangan, (3) untuk beramar makruf nahi munkar, (4) untuk tegak berdiri di jalan Allah dan tidak terkesan oleh celaan orang yang mencela dan (5) untuk menolongku apabila aku mendatangi kamu serta melindungiku seperti halnya kamu melindungi diri kamu, isteri kamu dan anak-anak kamu. Kamu berhak mendapatkan syurga.”

Kisah 2:

Melihat perkembangan situasi Badar yang berbahaya, Rasulullah e mengadakan sebuah majlis mesyuarat tentera peringkat tertinggi. Dalam majlis ini, Rasulullah e mengisyaratkan kedudukan mereka yang perlu dipertaruhkan mati-matian, sehingga terjadi pertukaran pendapat antara baginda dengan seluruh pasukannya, sama ada yang berstatus panglima perang mahupun askar biasa.
Ketika itu, hati sekelompok manusia bergoncang sehingga mereka takut menghadapi pertemuan berdarah. Mereka inilah yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya, 

“Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebahagian daripada orang beriman itu tidak menyukainya, mereka membantahmu tentang kebenaran setelah nyata bahawa mereka pasti menang seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedangkan mereka melihat.” 

(Al-Anfal: 5-6)

Sedangkan para panglima pasukan seperti Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin Khattab tetap maju. Miqdad bin Amru berdiri lalu berkata, “Wahai Rasulullah e, teruskan apa yang Allah perlihatkan kepadamu. Kami tetap bersamamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepadamu seperti yang dikatakan oleh Bani Israil kepada Nabi Musa, 

‘Maka pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya kami tetap akan duduk di sini.’ 

(Al-Ma‘idah: 24)

Namun begitu, kami akan mengatakan, ‘Pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya kami akan ikut berperang bersama kamu berdua.’ Maka demi Zat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, jika engkau membawa kami menuju Bark al-Ghimad, kami akan berperang bersamamu hingga engkau boleh sampai di sana.” Selepas itu Rasulullah e membalas dengan ucapan yang baik dan mendoakan kebaikan untuk Miqdad.

Mereka bertiga adalah daripada kalangan Muhajirin dan termasuk golongan minoriti dalam pasukan. Maka, Rasulullah e ingin mengetahui pendapat para panglima Ansar kerana mereka mewakili suara kebanyakan pasukan dan beban berat pertempuran akan terpikul di bahu mereka, padahal naskah Baiat Aqabah tidak memerlukan mereka untuk berperang di luar wilayah mereka.

Setelah mendengar ucapan tiga orang panglima Muhajirin tadi, Rasulullah e berkata, 

“Berikan pendapat kamu kepadaku, wahai manusia.” 

Di dalam hati, baginda mengarahkan pernyataan ini kepada orang Ansar. Panglima Ansar sekaligus pemegang panjinya, iaitu Saad bin Muadz bertanya, “Demi Allah, adakah orang yang tuan maksudkan adalah kami wahai Rasulullah e ” 

Rasulullah e menjawab, “Ya, betul.”

Saad bin Muadz berkata, 

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَصَدَّقْنَاكَ وَشَهِدْنَا أَنَّ مَا جِئْتَ بِهِ حَقٌّ وَأَعْطَيْنَاكَ عَلَى ذَلِكَ عُهُودَنَا وَمَوَاثِيقَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فَامْضِ يَا رَسُولَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَكَ فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِ اسْتَعْرَضْتَ بِنَا هَذَا الْبَحْرَ لَخُضْنَاهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا وَاحِدٌ وَمَا نَكْرَهُ أَنْ نَلْقَى عَدُوَّنَا غَدًا إِنَّا لَصُبُرٌ عِنْدَ الْحَرْبِ صُدُقٌ عِنْدَ اللِّقَاءِ وَلَعَلَّ اللهَ يُرِيكَ مِنَّا مَا تَقَرُّ بِهِ عَيْننُكَ فَسِرْ بِنَا عَلَى بَرَكَةِ اللهِ

“Kami telah beriman kepadamu. Kami membenarkanmu. Kami bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah kebenaran. Maka, kami telah memberikan janji dan ikrar kami untuk mendengar dan taat. Maka, teruskanlah apa yang engkau inginkan, wahai Rasulullah, Demi Zat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, jika engkau membawa kami ke sebuah laut lalu engkau melompat ke dalamnya, pasti kami juga melompat ke dalamnya bersamamu. Seorang pun daripada kami tidak akan ada yang tinggal. Kami tidak takut untuk bertemu dengan musuh kami pada hari esok. Kami orang yang bijak berperang dan jujur di hadapan orang. Semoga Allah memperlihatkan kepadamu tentang diri kami sesuatu yang dapat menyejukkan matamu. Bawalah kami dengan berkat Allah.”

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Saad bin Muadz berkata kepada Rasulullah e, 

لَعَلَّكَ يَا رَسُولَ اللَّه تَخْشَى أَنْ لَا تَكُونَ الْأَنْصَارُ يُرِيدُونَ مُوَاسَاتَكَ وَلَا يَرَوْنَهَا حَقًّا عَلَيْهِمْ إِلَّا بِأَنْ يَرَوْا عَدُوًّا فِي بُيوتِهِمْ وَأَوْلَادِهِمْ وَنِسَائِهِمْ وَإِنِّي أَقُولُ عَنِ الْأَنْصَارِ وَأُجِيبُ عَنْهُمْ يَا رَسُولَ اللَّه فَأَظْعِنْ حَيْثُ شِئْتَ وَصِلْ حَبْلَ مَنْ شِئْتَ وَاقْطَعْ حَبْلَ مَنْ شِئْتَ وَخُذْ مِنْ أَمْوَالِنَا مَا شِئْتَ وَأَعْطِنَا مَا شِئْتَ وَمَا أَخَذْتَهُ مِنَّا أَحَبُّ إِلَيْنَا مِمَّا تَرَكْتَ عَلَيْنَا وَمَا ائْتَمَرْتَ مِنْ أَمْرٍ فَأَمْرُنَا لِأَمْرِكَ فِيهِ تَبَعٌ فو اللَّه لَوْ سِرْتَ حَتَّى تَبْلُغَ الْبَرْكَ مِنْ غِمْدِ ذِي يَمَنٍ لَسِرْنَا مَعَكَ

“Mungkin tuan khuatir Ansar akan melihat haknya untuk tidak menolongmu kecuali di wilayah mereka. Sekarang aku berkata dan menjawab mewakili Ansar, ‘Bergeraklah ke mana pun tuan mahu. Sambunglah tali sesiapa pun yang tuan kehendaki dan putuskanlah tali sesiapa pun yang tuan kehendaki. Ambillah sebahagian harta kami menurut kehendakmu dan berikanlah kepada kami menurut kehendakmu. Apa yang tuan ambil daripada kami, maka itu lebih kami cintai daripada apa yang tuan tinggalkan. Terhadap suatu perintah yang tuan perintahkan kepada kami, maka urusan kami hanyalah mengikuti perintahmu itu. Maka demi Allah, jika tuan berjalan hingga sampai di Bark Ghimad, kami pun akan berjalan bersamamu. Demi Allah, jika tuan membawa kami ke sebuah laut lalu tuan melompat ke dalamnya, pasti kami juga melompat ke dalamnya bersamamu’.”

Kisah 3: Kisah Talhah

Tidak diragukan sesungguhnya orang-orang Musyrik pada waktu itu bertujuan untuk menamatkan riwayat Rasulullah e  Namun, dua orang sahabat yang menyertai baginda, Saad bin Abu Waqqash dan Talhah bin Ubadillah berdiri dengan sikap kepahlawanan yang teguh dan terus bertarung dengan keberanian yang tiada tandingan. Walaupun mereka hanya berdua, mereka tidak membiarkan orang-orang Musyrik berjaya mencapai tujuan mereka dengan mudah. Mereka berdua memang dikenali sebagai pemanah ulung di Semenanjung Arab. Mereka terus melawan sehingga dapat menghalau pasukan Musyrik daripada mendekati Rasulullah e 

Saad bin Abu Waqqash berkata bahawa Rasulullah e membantunya dengan mengambilkan anak panah daripada tabungnya, lalu bersabda, 

ارْمِ فدَاك أبي وَأمي

“Panahlah terus demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu!”

Jelas menunjukkan kesetiaan Saad kerana sesungguhnya nabi tidak pernah menghimpunkan ayah dan ibunya sebagai tebusan .

Sedangkan tentang Talhah bin Ubaidillah, Nasa’i telah meriwayatkan daripada Jabir kisah tentang kepungan pasukan Musyrik terhadap Rasulullah e yang waktu itu hanya disertai oleh beberapa orang Ansar. Jabir berkata, “Lalu orang-orang Musyrik tahu kedudukan Rasulullah e, sehingga baginda bersabda, 

‘Siapakah yang akan menghadapi kaum itu?’ 

Talhah menjawab, ‘Aku’!” Kemudian Jabir mengarahkan orang-orang Ansar berlawan, sehingga mereka tewas. Setelah semua orang Ansar terbunuh, Talhah maju menghadapi lawan. 

Jabir meneruskan, “Kemudian Talhah melawan 11 orang sehingga tangannya tertebas lalu jari-jarinya putus. 

Dia pun berkata, ‘Nikmatilah saja rasa sakit ini.’ 

Maka Nabi Muhammad bersabda, 

لَو قلت: بِسم اللَّهِ لَرَفَعَتْكَ الْمَلَائِكَةُ وَالنَّاسُ يَنْظُرُونَ 

‘Kalau engkau mengucap bismillah, pastilah malaikat akan mengangkatmu sementara orang ramai melihat’.” 

Jabir pun menyudahi, “Kemudian Allah menjadikan orang-orang Musyrik itu berundur.”

Menurut Hakim, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Iklil, sesungguhnya Talhah mendapat 39 luka pada Peperangan Uhud atau 35 luka. Bahkan akhirnya jari-jari tangannya lumpuh, iaitu mula dari jari telunjuk sampai ke kelingking.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Qais bin Abu Hazim yang berkata, 

رَأَيْتُ يَدَ طَلْحَةَ شَلَّاءَ وَقَى بِهَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ

“Kulihat tangan Talhah lumpuh kerana melindungi Nabi Muhammad pada Peperangan Uhud.” 
Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan sesungguhnya pada hari itu Nabi Muhammad bersabda tentang Talhah, 

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْظُرَ إلَى شَهِيدٍ يَمْشِي عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ فَلْيَنْظُرْ إلَى طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ

“Siapa ingin melihat seorang syahid yang berjalan di tengah-tengah manusia di atas permukaan bumi, maka lihatlah Talhah bin Ubaidillah.”

Abu Dawud al-Thayalisi meriwayatkan daripada Aisyah yang berkata, “Jika disebutkan tentang Peperangan Uhud, maka Abu Bakar sentiasa berkata, ‘Itu adalah hari Talhah’.”

Abu Bakar juga menggubah sebuah syair tentang Talhah:

Wahai Talhah bin Ubaidillah telah selayaknya. Engkau beroleh syurga dan duduk di atas kristal mutiara nan indah

Dalam situasi membimbangkan dan waktu genting tersebut, Allah juga menurunkan pertolongan ghaib-Nya. Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim diriwayatkan daripada Saad yang berkata, “Kulihat Rasulullah e di Peperangan Uhud. Bersama baginda ada dua orang yang berperang membelanya. Kedua-duanya memakai pakaian putih. Mereka bertarung dengan hebatnya. Tetapi aku tidak melihat mereka berdua sebelum dan selepasnya.” Dalam riwayat lain disebutkan sesungguhnya itu adalah Jibril dan Mikail.

Kisah 4: Kisah Khubaib dalam Peristiwa Yaum Raji`

Setelah dijual, Khubaib sempat dipenjara oleh Quraisy, kemudian mereka bersepakat untuk membunuhnya. Mereka membawanya keluar dari Tanah Haram menuju ke Tan‘im. Ketika mereka mahu menyalibnya, dia berkata, “Tolong biarkan aku sebentar, agar aku dapat solat dua rakaat.”

Mereka pun membiarkannya untuk solat dua rakaat. Setelah dia memberi salam, dia berkata, “Demi Allah, kalau kamu tidak mengatakan aku takut, pasti akan ku tambah solatku.” 

Selepas itu Abu Sufyan bertanya, “Adakah engkau gembira jika Muhammad ada bersama kami untuk dipenggal lehernya, manakala engkau kami lepaskan pulang untuk hidup tenang bersama keluargamu?” 

Dia menjawab, “Tidak! Demi Allah, aku tidak pernah berasa gembira untuk tinggal bersama keluargaku, jika Muhammad berada di tempatnya sekarang ini dalam keadaan tertusuk duri.”

Kisah 5: Kisah Di Hamra al-Asad

Selepas Uhud, Rasulullah tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan tindakan apa yang perlu diambil. Baginda khuatir jikalau pasukan Musyrik terfikir bahawa mereka tidak mendapat sedikit pun manfaat daripada kemenangan yang telah mereka raih pada pertempuran Perang Uhud, maka pasti mereka akan menyesalinya dan mereka akan kembali untuk memerangi Madinah untuk kali keduanya. Akhirnya baginda memutuskan untuk mengejar pasukan Mekah.

Para pakar sejarah perang menyatakan bahawa Nabi Muhammad menyeru di tengah-tengah orang ramai. Baginda menganjurkan kepada mereka untuk berangkat bagi menghadapi musuh. Hal itu terjadi pada keesokan harinya setelah Perang Uhud, iaitu pada hari Ahad, bertarikh 8 Syawal, tahun ketiga Hijrah. Baginda bersabda, 

لَا يَخْرُجْ مَعَنَا إلَّا مَنْ شَهِدَ القتال

“Jangan keluar bersama kami, kecuali mereka yang ikut serta dalam Perang Uhud.” 
Maka Abdullah bin Ubay bertanya, “Bagaimana jika aku ikut bersamamu?” 

Baginda menjawab, “Tidak.” 

Orang-orang Islam menyambut seruan baginda sekalipun mereka mengalami luka parah dan trauma. Mereka berkata serentak, “Kami mendengar dan taat.”

SOALAN:

1. Adakah wujud syarat-syarat atau batasan dalam kita mencintai nabi SAW?

Islam adalah satu agama yang meletkkan panduan, had dan batas kepada penganutnya. Ia berlaku dalam setiap perkara sama ada akhlak, akidah bahkan muamalat sesama manusia. Demikian jugalah Islam telah menetapkan panduan dan batasan di dalam kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Mustahil bagi seorang Muslim jika mereka membenci Nabi Muhammad – bahkan telah menjadi pengetahuan dan kesedaran asas bagi setiap muslim untuk mencintai Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman di dalam surah Ali Imran, ayat 31:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Ayat di atas menerangkan bahawa tanda kecintaan kepada Allah – ertinya kepada agama ini, ialah dengan mencintai Nabi Muhammad SAW. 

Pun begitu, terdapat sebahagian umat Islam telah melampau di dalam kecintaan kepada Nabi Muhammad. Mereka dianggap melampaui batas. 

Diantara ciri-cirinya ialah:

(1) Mengangkat dan mengagungkan Nabi keterlaluan sehingga menyamaratakan baginda dengan Allah SWT.

Imam al-Zahabi di dalam kitab al-Kabair menyatakan bahawa antara perkara yang juga dianggap sebagai syirik ialah dengan menyamaratakan Allah dengan malaikat, nabi, tuan guru dan sebagainya. 
Sehingga sebahagian daripada golongan ini mendakwa bahawa Nabi mengetahui perkara ghaib secara mutlak – sedangkan menurut pegangan kita – Nabi Muhammad hanya mengetahui perkara ghaib yang diberitahu oleh Allah SWT sahaja. Baginda tidak tahu lebih daripada itu. 

Pelbagai kisah membuktikan hal berkenaan seperti kisah hadis Jibril, kisah Aisyah kehilangan kalung, kisah hadis ifki, kisah bani nadhir dan sebagainya. 

(2) Melafazkan pujian yang melampau kepada Nabi. 

Mereka melakukannya sehingga ada yang seakan-akan menganggap nabi seperti Tuhan. Sedangkan Nabi sendiri telah melarang perbuatan seperti itu. Nabi SAW pernah bersabda:

لا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ , إِنَّمَا أَنَا عَبْدٌ , فَقُولُوا : عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Jangan kamu melampau ke atasku sebagaimana melampaunya golongan Nasara terhadap anak Maryam (Nabi Allah Isa AS). Sesungguhnya aku hanya hamba Allah. Maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (3214)

(3) Melampau dalam mengambil berkat

Kita telah tahu bahawa sunat mengambil berkat daripada barang tinggalan Nabi Muhammad SAW. Pun begitu, janganlah melampau sehingga replika kasut, tapak kaki yang sebenarnya bukan milik Rasulullah juga mahu diambil berkat!

2. Pandangan ustaz tentang mereka yang sekadar cinta tanpa menjadikan nabi teladan?

Semua umat Islam perlu mengetahui bahawa cinta kepada Rasulullah SAW dibuktikan dengan mengikut segala apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. 

Ini dikenali sebagai : Cinta dan Mengikut (Al-Hub wa al-Ittiba`)
Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW amat menyayangi baginda. Dia mempertahankan Rasulullah SAW dari disakiti oleh puak kafir Quraisy. Namun, dia hanya mempunyai cinta, tidak mengikut. Ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah tidak di anuti oleh Abu Talib. 
Al-Musayyib bin Hazn telah bercerita,

“Ketika saat genting kematian Abu Talib, Rasulullah SAW telah datang kepadanya. Baginda mendapati Abu Jahal bin Hisyam dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah telah berada di samping Abu Talib. Rasulullah SAW pun berkata kepada Abu Talib, “Wahai pak cik, sebutlah ‘Lailahaillaallah’. Sebaris kalimah yang akan dapat menjadikan aku saksimu ketika berada di sisi Allah.” Lantas Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah pun berkata kepada Abu Talib, “Wahai Abu Talib! Adakah kamu membenci agama Abdul Mutalib?”

Rasulullah SAW terus menerus menawarkan syahadah kepada pak ciknya, Abu Talib. Begitu juga Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah, mereka mengulang-ulang ucapan mereka. Perkara itu berlanjutan sehingga Abu Talib menamatkan kata-katanya dengan terus berada atas agama Abdul Mutalib (kafir). Dia berpaling daripada menyebut ‘Lailahaillaallah’. 

[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: 1360]

Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafik Madinah mengikut segala perbuatan Nabi SAW. Namun, dia menyimpan dendam terhadap Rasulullah SAW. Sehinggakan anaknya sendiri (Abdullah bin Abdullah bin Ubai bin Salul) pernah meminta kebenaran Rasulullah SAW untuk membunuh bapanya sendiri.

Dia (Abdullah bin Abdullah bin Ubai) meminta kebenaran Nabi SAW untuk membunuh bapanya, namun Nabi SAW melarang dia melakukan perkara itu.

[Diriwayatkan oleh Al-Hakim] 

Abu Talib dan Abdullah bin Ubai, kedua-duanya tidak mendapat kurniaan syurga. Namun, lihat betapa cintanya anak Abdullah bin Ubai kepada Rasulullah SAW selepas melihat kelukaan demi kelukaan yang disebarkan oleh bapanya sendiri kepada rasul yang paling dia cintai melebihi dirinya sendiri. Bahkan, dia membuktikan keteguhan cintanya dengan syahid pada peperangan Yamamah, tahun ke-12 Hijrah.

Para sahabat Rasulullah SAW menghayati suruhan Allah SWT,

“Katakan (Wahai Muhammad), “Sekiranya benar kamu mencintai Allah, ikut aku. Nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun, dan Maha Mengasihi.” 

[Ali-Imran : 31]

Abdullah Nasih Ulwan menyatakan dalam bukunya, ‘Islam dan Cinta’ bahawa Abu Sufian pernah berkata,

“Aku tidak pernah melihat seorang pun dalam kalangan manusia yang mencintai manusia lain sepertimana cintanya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.”

3. Adakah larangan meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dalam ayat 2 Surah Al-Hujurat termasuk dilarang meninggikan suara ketika hadis dibaca?

Ayat 2: Ayat ini tentang hormat. Ianya tentang adab dengan Nabi. Nabi itu tidak sama dengan manusia biasa. Maka cara layanan pun kenalah lain.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَرفَعوا أَصواتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ أَن تَحبَطَ أَعمالُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.

 يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,

Sekali lagi nasihat diberikan kepada mereka yang telah sanggup menerima iman. Apabila menerima iman, maka ada syarat-syarat yang kena dijaga.

لا تَرفَعوا أَصواتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ
janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi,

Apabila bercakap dengan Rasulullah, kena pastikan bahawa suara tidak lebih kuat dari suara baginda. Kadang-kadang ada manusia yang jenis suara mereka memang kuat dan cara bercakap mereka memang kasar. Contohnya orang Badwi memang cara cakap mereka kuat dan kasar, tetapi walaupun begitu mereka tidak boleh melakukannya di hadapan Rasulullah. Mereka kena kawal diri mereka. Kena ubah sikit kebiasaan mereka. Perkara baik memang elok diamalkan.

Mereka tidak boleh guna alasan: “macam inilah cara aku cakap”. Ini penting kerana kita tidak boleh menyakiti hati Nabi kerana kalau menyakiti hati Nabi, maka iman kita sudah rosak. Dalam setiap hati kita, kena ada kasih dan sayang kepada Nabi. Sampai sanggup bercakap dengan lembut kepada baginda.

Tapi bagaimana pengamalan ayat ini kepada kita yang tidak berjumpa dengan Rasulullah? Kita kena ingat yang suara Nabi sampai kepada kita melalui ayat-ayat Qur’an yang dibaca oleh baginda dan hadis-hadis yang disampaikan oleh baginda. Maka jikalau ada orang yang menegur kita dengan menyebut dalil-dalil daripada ayat Qur’an dan juga dari hadis, maka hendaklah kita menghormati apa yang disampaikan itu kerana seolah-olah ianya adalah suara Nabi.

Mungkin kita tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan ataupun mungkin orang yang menyampaikannya itu salah faham tentang ayat ataupun hadis itu tetapi perkara ini bukanlah untuk didebatkan. Pertama sekali kita kena hormat dengan apa yang disampaikan jikalau yang dibawa adalah kata-kata Rasulullah SAW. Selepas itu jikalau kita ada maklumat yang lebih tepat maka bolehlah kita memberi tahu kepada orang yang menegur kita. Yang pentingnya, pertama sekali kena hormat.



وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ
dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain,

Jangan kita panggil baginda dengan suara nyaring seperti kita panggil orang lain. Jangan layan Nabi seperti kita layan manusia yang lain.

Kisahnya, ada dari kalangan orang-orang Badwi yang memanggil Nabi Muhammad dari luar rumah baginda kerana mereka ada soalan yang hendak ditanya. Mereka datang dari luar bandar dan masuk ke Kota Madinah dan mereka hendak bercakap dengan Rasulullah dan waktu itu baginda telah masuk ke dalam bilik rumah (hujurat) baginda kerana urusan baginda. Baginda pun manusia juga dan tentulah ada urusan yang hendak baginda selesaikan di dalam rumah. Ini adalah hal peribadi baginda. Sahabat-sahabat yang tinggal di Madinah dan sudah lama dengan baginda tidak akan memanggil baginda apabila baginda telah masuk ke dalam rumah sehinggalah baginda keluar sendiri.

Sudahlah orang-orang Badwi itu memanggil baginda dengan suara kuat apabila baginda sudah di dalam rumah, mereka cuma panggil baginda dengan nama baginda sahaja. “Ya Muhammad!”,  mereka panggil begitu sahaja.

Allah tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu maka Allah tegur mereka di dalam ayat ini. Allah turunkan ayat mengajar manusia dengan adab kepada pemimpin kerana jikalau dengan pemimpin pun rakyat tidak boleh beradab, lalu bagaimanakah mereka akan menjadi contoh kepada manusia yang lain?

Dan ini penting, kerana Nabi Muhammad bukanlah seperti orang-orang lain dan sekarang mereka sedang hidup di dalam masyarakat yang baru tumbuh, maka ada undang-undang yang perlu mereka jaga. Masyarakat Islam adalah masyarakat yang baru, maka ada peraturan-peraturan yang perlu ditetapkan dan perlu dijaga oleh mereka. Masyarakat Islam adalah seperti keluarga yang besar dan ketua keluarga yang perlu dihormati adalah Rasulullah SAW sendiri.

Dan inilah yang difahami oleh para sahabat di sekeliling baginda. Walaupun mereka itu kenal Rasulullah sebelum baginda menjadi Rasul lagi, tetapi mereka tetap panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Sebagai contoh, Abu Bakar telah kenal dan berkawan rapat dengan Nabi semasa mereka kecil lagi tetapi beliau juga memanggil Nabi Muhammad dengan gelaran ‘Rasulullah’. Beliau tidak cakap: “sahabat aku Muhammad cakap begini dan begini….” Isteri-isteri baginda juga rapat dengan baginda dan tinggal serumah tetapi mereka juga panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Mereka tidaklah kata: “suami aku telah bersabda…”.

Kalau mereka memang telah kenal baginda semasa baginda belum lagi menjadi Nabi, mereka menukar cara panggilan mereka kepada baginda kepada ‘Rasulullah’ kerana mereka sedar kedudukan baginda yang perlu dihormati. Kita tidak alami perkara ini kerana kita lahir-lahir sahaja kita telah kenal Rasulullah sebagai manusia yang mulia.

Dan cara penghormatan kepada Rasulullah SAW adalah biasa sahaja dan bukanlah yang pelik-pelik pun. Ianya masih diterima akal sihat lagi. Baginda pun tidak suka apabila orang bangkit apabila baginda sampai, sehinggakan baginda menegur para sahabat yang melakukan demikian. Memang Nabi larang perkara ini maka jikalau kita menyambut orang pun janganlah kita bangkit. Tapi memang banyak yang buat perkara ini dan tanpa mereka sedari, mereka telah menyalahi larangan dari Nabi sendiri.

Maknanya menghormati Nabi ini adalah perkara biasa sahaja sampaikan baginda boleh ditegur di tengah perjalanan dan sahabat boleh bercakap dengan cara biasa sahaja dengan baginda. Maknanya tidak ada protokol khas apabila berurusan dengan Nabi, cuma janganlah tidak beradab dengan baginda. Janganlah sampai apabila baginda sudah masuk ke dalam rumah baginda, dipanggil-panggil baginda untuk keluar waktu itu juga. Inilah yang dikira tidak beradab.

Dan bagaimana dengan kita sekarang, iaitu bagaimanakah kita hendak menghormati Nabi? Maksudnya kita tidak boleh bercakap berkenaan Nabi Muhammad SAW seperti kita bercakap tentang orang-orang yang lain. Kita kena cakap tentang baginda sebagai seorang yang mulia dan seorang yang amat dihormati. Jangan kita memperlekehkan baginda.

 أَن تَحبَطَ أَعمالُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ
supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.

Dan perkara ini amat penting sampaikan Allah memberitahu kita, jikalau kita tidak menghormati Nabi seperti mana yang sepatutnya, segala amalan-amalan baik yang kita telah lakukan akan hancur begitu sahaja. Maka kalau mereka telah hijrah dengan Nabi, berperang dengan Nabi, solat bersama Nabi, apa-apa sahaja amalan baik yang telah mereka lakukan, semua itu akan dihilangkan pahalanya. Maka rugilah sahaja. Kerana tidak beradab dengan Nabi itu boleh menyebabkan gugur segala amalan