Kita terbiasa mendengar kisah seorang wanita yang dicampakkan ke neraka kerana membiarkan kucingnya tidak makan. Demikian juga kita terbiasa mendengar kisah seorang pelacur yang masuk syurga kerana beri anjing minum. 

Kisah-kisah ini adalah kisah agung dalam sejarah. Tetapi jangan pula kita tertinggal kisah seorang wanita yang begitu teguh imannya. Bahkan dia mampu melupakan fikirannya kerana mendahulukan perintah Allah. 

Itulah cerita Jochebed. Kisahnya begini.

Seperti ibu-ibu yang lain, Jochebed mengimpikan anaknya lahir dalam keadaan baik dan disukai oleh semua orang. Perasaan ibu begitu mendesak kearah itu sehingga sebahagiannya mengumumkan kelahiran anak mereka kepada semua orang yang dia kenal. 

Dia mahu menyusukan anaknya dan melihat ia membesar di hadapan matanya.

Si ibu pasti akan terluka apabila mengetahui anaknya lahir dalam keadaan yang sakit dan tidak diterima orang. Sangat sakit dan terluka. Susah payah dia mengandungkan anaknya itu, akhirnya ia lahir dalam keadaan tidak bahagia.

Jika kita merasakan situasi ini sangat teruk, tetapi ia tidaklah lebih teruk jika dibandingkan ujian yang diterima Jochebed – Ibu Nabi Musa AS. 

Firaun di zamannya bermimpi bahawa kerajaannya akan hancur disebabkan Bani Israil – lalu diperintahkan untuk disembelih semua anak lelaki daripada kalangan Bani Israil yang tinggal di Mesir. Allah berfirman: 

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِننْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.

(Al-Qasas: 4)

Firaun melakukan kerja membunuh anak lelaki dengan berleluasa sehingga terdapat aduan daripada kalangan Qibti bahawa mereka kekurangan tenaga kerja daripada kalangan lelaki-lekaki Bani Israil. Disebabkan dibunuh anak lelaki. Oleh itu, Firaun mengubah rancangan dengan melakukan prbuatan jahatnya pada selang setahun. 

Pada selang tahun yang aman lahirnya Maryam dan Harun. Tetapi pada selang tahun yang tidak aman, alhir pula Musa. 

Cuba anda fikirkan perasaan Jochebed apabila menghitung haeri kelahiran anaknya? Pastinya risau dan sangat risau! Apatah lagi, firaun menghantar algojo bagi setiap ibu yang bakal melahirkan anak. Jika anak itu lelaki, akan disembelih kepalanya!

Sayangnya Jochebed kepada anaknya luar biasa! Dia menyembunyikan kehamilan sehinggalah dia Berjaya melahirkan di suatu tempat yang tersembunyi. 

Pun begitu, deritanya belum tamat! Kekhuatirannya makin bertambah. Kali ini, Allah menambahkan ujian kepada wanita ini. Allah berfirman: 

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke sungai; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.

(Al-Qasas: 7)

Allah menyuruhnya untuk menghanyutkan si anak ke sungai! Anak yang masih di dalam pantang – baru sangat dilahirkan! Tetapi wanita ini sedar, Allah-lah yang memerintahkannya. Allah-lah yang memberikan janji. Maka, Allah tidak akan mengubah janji. 

Dengan penuh iman dan berserah diri kepada Allah, Jochabed menghanyutkan anaknya di sungai. Aliran air yang entah menuju ke mana – masa depan yang juga entah cerah atau gelap. 

Kisah ini tidak berakhir begitu sahaja. 

Allah mentaqdirkan Musa ditemui oleh pembantu-pembantu  Firaun. Diberikan kepada asiah si Isteri Firaun. Asiah menatapnya penuh suka. 

Apabila firaun datang, dikatakan kepadanya:

وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

(Al-Qasas: 9)

Anak itu diterima dalam keluarga Firaun. 

Namun, apa pula keadaan si ibu? Sangat berduka cita! Sehingga Allah menyatakan:

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

(Al-Qasas: 10)

Dia menyuruh Maryam anaknya supaya mencari jejak adik bongsu. 

وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ فَبَصُرَتْ بِهِ عَنْ جُنُبٍ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya". (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

(Al-Qasas: 11)

وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ

Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"

(Al-Qasas:12)

فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَععْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).

(Al-Qasas:13)

Apakah mengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini?
  1. Teguh percaya kepada Allah sekalipun apa jua ujian yang ditimpa.
  2. Ujian berat tidak hanya kepada lelaki, tetapi juga kepada wanita sehingga tidak dibezakan martabat manusia di sisi Allah melainkan iman dan taqwa.
  3. Allah tidak pernah memungkiri janji. Setiap apa yang dijanjikan pasti akan berlaku.
  4. Kadangkala, pertolongan Allah itu dilihat lambat diterima – tetapi yakinlah bahawa apabila anda benar melakukan apa yang diperintah Allah, maka pertolongan akan tiba.
  5. Bersabar atas segala ujian yang diberikan kepada kita – setiap yang berlaku pasti ada jalan keluarnya – mungkin ketika ini anda ditimpakan ujian berganda kerana belum tiba saaat pertolongan atau kemenangan.