Lebih kurang 1 minggu sebelum saya berkahwin - saya, calon isteri, calon mak mertua dan calon bapa mertua berjalan di THE STORE SUNGAI BULOH untuk membeli pakaian dan kasut kahwin.
Saya dan calon isteri tidak pernah berjalan berdua-duaan tanpa kehadiran mak dan ayah mertua.
Saya ternampak kedai menjual jubah, kopiah dan seluar jubah. Saya berminat sungguh dengan seluar jubah itu. Apatah lagi, seluar lama sudah tidak utuh.
Nak beli, tetapi bajet untuk pakaian peribadi sudah tidak ada. Seluk kocek, ada RM 15. Harga seluar RM 25. Kurang RM 10. Mak mertua dengan sukarela menghulurkan RM 10.
Cuba anda bayangkan. Baru jadi calon menantu tetapi duit pun tak ada. Apatah lagi rumah, kereta.
Saya cakap, saya pinjam dahulu. Nanti saya bayar balik. Mak mertua kata, dia tidak anggap ini sebagai pinjaman.
Peristiwa itu, saya ingat sehingga hari ini. Bahkan sehingga hari ini mak mertua tak anggap ia sebagai hutang. Sekalipun, saya sehingga hari ini menganggap ia sebagai hutang.
Saya membayar 'hutang' berkenaan sejak hari pertama kahwin dengan anaknya. Bahkan, mungkin ia tidak akan selesai sehingga akhirat nanti.
Saya sayang sungguh dengan seluar ini. Tahun ini, sudah 5 tahun saya gunakan khidmat seluar ini. Ia selesa. Ia ada memori.
Hari ini, musibah pula! Sibuk siapkan 100 buah buku Sirah Nabi, berjalan sana-sini, tiba-tiba terkoyak pula! Balik nanti, nak minta Puan Mimi Zaty jahitkan =)
Semoga Allah berkati ibu dan ayah mertua saya yang sentiasa berkompromi dengan anak menantunya ini. Anak menantu yang sentiasa kurang duit, akhlak dan budi.
Saya sentiasa doakan mereka sepertimana saya mendoakan ibu dan ayah saya sendiri. Saya doakan semoga segala dosa mereka diampunkan serta setiap amal kebaikan mereka diterima. Dan... semoga amal kebaikan yang saya lakukan, mereka juga mendapat manfaatnya di sisi Allah.
Allahumma Amin!
Sahabat,
Kadangkala, pemberian kita yang kecil akan dianggap begitu besar oleh si penerima. Mungkin sehingga dia mati.
Atau mungkin ketika dia di syurga, kita di neraka. Mungkin ketika itu dia memanggil nama kita - dia mengenang budi kita, lalu kita diselamatkan daripada siksa neraka kerana ingatan dia kepada kita.
__________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Saujana Utama.
6 Januari 2019
0 Comments
Post a Comment