Tangkapan di Perlis sebenarnya hampir sama seperti tangkapan Aisyah pelajar UM, beberapa ahli perniagaan yang didakwa membantu IS dan beberapa orang lain.

Mereka belum terbukti bersalah. Orang yang membelakangi tangkapan itu adalah orang yang sama.

Biar mahkamah membicarakan mereka. Biar mereka menjelaskan kepada mahkamah.

Jika didapati bersalah, maka mahkamah layak menghukum mereka. Mereka berhak menerima hukuman itu atau merayu untuk dibicarakan semula. Mereka layak melantik peguam.

Dalam proses ini, ada kemungkinan mereka hanya dituduh tetapi tidak bersalah.

Apabila dihukum, ada kemungkinan mereka diampunkan serta merta oleh YDP Agung seperti kes Dato Seri Anuar.

Negara kita ada undang-undang. Demikian indah negara ini..

Kita pula,... Jangan mencemuh, menghina dan menyindir. Itu bukan kerja kita.  Kita tidak disuruh untuk buat. Malahan kita dilarang oleh agama.

- Jangan mencemuh.
- Jangan memandang serong.
- Jangan menghukum.
- Jangan mengutuk.
- Jangan share kutukan.
- Jangan menambah kutukan.

Jangan buat. Ia menyanggahi nilai Islam yang kita telah pelajari dan amalkan.

Tidakkah kita kasihan kepada mereka? Tidakkah kita kasihan kepada ahli keluarga mereka? Tidakkah kita kasihan kepada diri kita atas dosa mengumpat dan menyindir?

Tidakkah kita?

Saya pernah dengar cerita satu keluarga yang suaminya ditahan atas isu ini.

Isterinya menahan malu dengan orang sekeliling kerana semua orang di kawasannya tahu suaminya ditahan polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pergi ke mana-mana orang sibuk mem'bawang' tentang suaminya. Dan dia tahu. Dan dia dengar. Dia melihatnya.

Polis serbu rumah mereka dengan pelbagai kelengkapan untuk menangkap suaminya seorang. Ya, dia ditangkap tanpa sebarang cubaan melarikan diri.

Si suami menanggung kehidupan sara hidup isteri dan anak-anak - sepenuhnya! Seorang suami yang sungguh bertanggungjawab. Seorang lelaki yang sebenar.

Tetapi kini, suami dan bapa itu telah ditahan. Ditangkap dengan tiba-tiba dan ganas. Si isteri tidak boleh buat apa-apa. Sudah kering air dari matanya. Hanya bunyi esakkan sahaja yang memecah kesunyian di setiap pagi, petang dan malam.

Bukan meratap. Tetapi hati tidak mampu mengawal perasaan sedih dan duka. Perasaan yang dicipta sejak awal diciptakan manusia pertama.

Sudahlah suaminya ditangkap, masyarakat pula memandang serong. Apa wanita ini mampu buat? Bersabar dan memendam rasa... Tetapi, apa yang dipendam itu menjadi racun buat dirinya.

Dia kena strok mengejut.
Doktor kata, dia stress melampau.
Mungkin kitalah yang membuatnya begitu!

Di Mahkamah, suaminya berjaya membuktikan diri tidak bersalah. Mahkamah bebaskan dia. Tetapi dia ditangkap semula sejurus keluar daripada dewan mahkmah atas isu lain pula.

Perasaan isteri? Anda coretkan sendiri! Anda bayangkan sendiri! Sudah berfikir untuk memeluk erat tak mahu lepas, tetapi mendapat berita duka pula! Sedih dan pilu.

Demikian isterinya. Bagaimana pula dengan anak-anak??

Salah seorang anaknya yang mahu jadi doktor bertukar arah mahu jadi peguam. Mahu membela ayahnya atau orang yang kena dakwa seperti ayahnya.

Bagaimana pula dengan perniagaan??

Perniagaannya lingkup.
Hartanya dibeku.

Masyarakat yang tidak membantu terus bertindak merosakkan suasana. Terus mengutuk, keji dan memandang serong. Mereka suka menyebut-nyebut tentang kesalahan orang kerana ia berlaku kepada orang lain. Suka melihat buruknya orang lain.

Media? Kurang ajar!

Orang baru ditangkap tetapi telah dibuka wajahnya di dada akhbar. Front page! TV pula meriuh di berita perdana! Seolah-olah telah berjaya ditangkap seorang penjenayah! Sedangkan seseorang belum dianggap penjenayah selagimana tidak terbukti!!

Kerana jualan akhbar dan jumlah tontonan, diremehkan nilai akhlak seorang manusia.

Tuan-tuan.
Ustaz-ustaz.
Bacalah...
Saya mohon, bacalah...

Biar polis buat kerja mereka.
Biar mahkamah buat kerja mereka.
Biar OKT mempertahankan diri mereka.

Cukuplah dengan penderitaan jiwa yang telah dirasai oleh OKT dan keluarganya. Jangan kita terlebih sudu dari kuah.

Akhirnya... Seperti tikus membaiki labu. Menambah buruk daripada elok.

Mohon kasihanilah keluarga orang yang didakwa itu. Muhasabahlah atas dosa dan kezaliman yang kita lakukan tetapi kita tidak sedar.

Coretan pagi.
5 Safar 1440H.

#5 hari lagi akan berumur 30 menurut kalender Hijri.