Soalan: Perempuan kematian suami, ada iddah. Bagaimana pula jika kematian anak. Perlukan iddah?

Jawapan: Iddah ialah tempoh tertentu yang ditetapkan ke atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami. Ia adalah suatu kewajipan terhadap wanita.

Allah berfirman:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan  menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

(Al-Baqarah: 228)

Terdapat beberapa hikmah pensyariatan `iddah kepada wanita Islam.  Antara hikmah tersebut ialah:

i. Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwininya. 

ii. Bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku.  Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk kepada isterinya.

Setelah kita memahami bahawa iddah mempunyai hubungkait dengan persetubuhan maka kita dapat faham bahawa tiada iddah bagi kematian anak atau isteri yang belum digauli. 

Mungkin penanya mahukan juga jawapan berunsur tempoh takziah. Maka para ulama bersepakat bahawa tempoh takziah adalah tiga hari secara umum tetapi menjadi empat bulan sepuluh hari apabila berkaitan kematian suami. 

Nabi SAW bersabda: 

لاَ يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ، أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ، فَإِنَّهَا تُحِدُّ عَلَيْهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 1280)

Soalan: Di manakah manusia berada ketika koma?

Jawapan: Wallahualam, saya tidak mengetahuinya. Berkemungkinan roh berada di alam seperti alam mimpi. 

Soalan: Apakah soalan yang ditanya kepada bayi yang belum baligh di dalam kubur.

Jawapan: WallahuAlam, setahu saya mereka tidak akan ditanya kerana pertanyaan malaikat akan dikaitkan dengan amalan di dunia yang telah diwajibkan kepada mukallaf. Seorang bayi, bukanlah mukallaf. 

Anak-anak orang Islam yang mati sebelum baligh semua adalah adalah ahli syurga. Sepakat para ulama dalam hal ini. Berkata Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Syarh Muslim: 


أجمع من يعتد به من علماء المسلمين على أن من مات من أطفال المسلمين فهو من أهل الجنة ؛ لأنه ليس مكلفا 

 “Telah bersepakat para ulama Islam yang diambil kira perkataan mereka bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.” 

Demikian juga Anak-anak bukan Islam akan masuk syurga jika mereka mati sebelum baligh. Ini berdasarkan hadith sahih riwayat Bukhari daripada Samurah bin Jundub r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

وأما الرجل الطويل الذي في الروضة فإنه إبراهيم صلى الله عليه وسلم وأما الولدان الذين حوله فكل مولود مات على الفطرة قال فقال بعض المسلمين يا رسول الله وأولاد المشركين فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم وأولاد المشركين 

“Adapun lelaki yang tinggi di Raudhah (taman syurga), ia adalah Nabi Ibrahim a.s. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap budak yang mati di atas fitrah. Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang kafir?” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, “Termasuk anak-anak yang kafir.” 

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 7074)

Sekalipun terdapat perbezaan pendapat para ulama terhadap isu anak bukan Islam tetapi pendapat yang kami nyatakan adalah kukuh berdasarkan hadis yang dinyatakan. 

Soalan: Bolehkah niat tahiyyatul masjid disekalikan dengan rawatib. 

Jawapan: Para ulama telah berbincang tentang isu ini. Kesimpulannya ialah harus menggabungkan dua solat sunat dalam rakaat yang sama dengan syarat ia adalah solat sunat. Solat fardhu dan sunat tidak boleh digabungkan. wallahuAlam. 

Yang lebih baik ialah seseorang itu datang ke masjid dengan lebih awal sehingga dia dapat melaksanakan lebih banyak ibadah. 

Solat Tahiyyatul Masjid ialah solat sunat mutlak yang harus dilakukan tanpa niat khusus. Hadis menyatakan seperti berikut: 

فَإِذ
َا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ 
“Jika seseorang di antara kalian masuk masjid maka janganlah dia duduk sehinggalah dia 
mengerjakan solat dua rakaat.” 

(HR. Muslim di dalam Sahih: 714)

Hadis di atas boleh difahami – apabila seseorang itu masuk ke masjid, apabila tiada solat khusus maka dia bersolat dahulu sebelum duduk – itu dinamakan dolat mutlak. Demikian juga jika dia masuk masjid dalam keadaan orang telah bersolat. Lalu dia bersolat solat wajib itu berjemaah, maka dia telah menyelesaikan tanggungjawab yang disebutkan di dalam hadis di atas. WallahuAlam. 

Soalan: Apakah kriteria dalam pemilihan pemimpin? Adakah Islam tetapi tidak mengikut hukum Allah atau orang bukan Islam? 

Jawapan: Pelbagai sifat perlu difikirkan di dalam memilih pemimpin negara. Di negara Malaysia yang berunsur kepartian, maka ia lebih rumit lagi. Tetapi Islam telah memberikan panduan di dalam pemilihan pemimpin. Antaranya ialah berkemampuan memerintah dengan baik serta amanah. 
Firman Allah:

... إِنَّ خَيرَ مَنِ اسْتَأجَرْتَ القَوِيُّ الاَمِينَ

”Karena sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil untuk (bekerja kepada kamu) adalah orang yang kuat lagi dipercayai.” 

(Al-Qasas: 26)

Pemerintah tertinggi atau ulul amri di negara ini adalah Agung yang Islam. Maka tiada isu memilih ulul amri yang tidak Islam. Tetapi agung berkehendak kepada pelaksana dalam bidang pentadbiran. Maka, diminta untuk dibuat cadangan calon-calon berkenaan. Sesiapa yang memegang undi yang banyak, maka mereka akan dilantik oleh agung atau raja. 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menulis:

“Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang dilarang dalam hadith daripada memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia sekadar mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.”
Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 194)

Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan:

“Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia adalah terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Jika suatu perkara itu menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, ia perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Sistem pengundian di Malaysia juga tidak memestikan seorang wakil rakyat itu memperoleh sebarang kuasa. Jika calon tersebut menang sekalipun, penggubalan dan penetapan dasar tidak terletak pada seorang individu semata-mata, tapi ditetapkan menerusi konsensus atau kehendak majoriti sesebuah dewan yang terbentuk melalui sesebuah parti atau gabungan yang mempunyai dasar tersendiri.

Wakil rakyat yang mewakili Parlimen atau DUN juga bukanlah ketua dalam erti kata sebenar, kerana peranan sebenar mereka adalah membawa suara rakyat ke dan menyuarakan isi hati dan keluhan mereka. Mereka wajib berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih mereka.”

(Bayan lin Nas: 11 April 2018)

Soalan: Saya telah membuat pinjaman konvensional untuk pembelian rumah dan telah selesai dari pembayarnya bagaimana saya mahu mensucikan harta saya tanpa menjual rumah berkenaan?

Jawapan: Apabila seseorang sedang melakukan riba, maka dia hendaklah segera berhenti atau berusaha untuk berhenti kerana ancamannya sangat berat. Tetapi apabila telah selesai urusan berkenaan, maka dia hendaklah bertaubat dan melakukan amal kebaikan sepertimana seorang hamba yang mengetahui dirinya berdosa lalu mengharapkan pengampunan Tuhan. 

Firman Allah SWT : 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” 

(Al-Baqarah : 278-279 )

WallahuAlam.

Soalan: Bolehkah sujud syukur selepas setiap kali solat dan apakah bacaannya?

Jawapan: Sujud syukur dilakukan apabila mendapat anugerah dan nikmat. Ia tidak dilakukan pada setiap waktu atau dikhususkan pula selepas solat. Demikian juga tiada sujud syukur selepas membaca al-Quran atau bersedekah.

Imam al-Nawawi al-Syafii di dalam Majmu` berkata: 

قال الشافعي والأصحاب: سجود الشكر سنة عند تجدد نعمة ظاهرة واندفاع نقمة ظاهرة، سواء خصته النعمة والنقمة أو عمت المسلمين ... ولا يشرع السجود لاستمرار النعم؛ لأنها لا تنقطع. انتهى

Al-Syafii dan ashabnya menyatakan: Sujud syukur menjadi sunnah apabila baharu mendapat nikmat yang jelas atau terlepas daripada malapetaka yang jelas sama ada ia berlaku kepada dirinya sahaja ataupun umat Islam yang lain… tidak disyariatkan sujud apabila nikmat itu berulang kerana ia tidak terputus. Tamat.

Berkata Dr. al-Sayyid Shaqr, pengkaji syariah dan pensyarah di Universiti al-Azhar :

Para ulama’ menggalakkan sujud syukur apabila mendapat nikmat dari Allah s.w.t : seperti sembuh dari penyakit, atau kembalinya orang yang telah lama tidak pulang, atau mendapat zuriat, atau tertolaknya musibah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim dan beliau mensahihkannya, dari Abdul Rahman bin ‘Auf radhiallah, beliau berkata : 

Nabi bersujud dan Baginda memanjangkan sujudnya kemudian dia mengangkat kepalanya dan berkata : ‘Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberi khabar gembira lalu aku sujud tanda syukur kepada Allah. 

Dan juga apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi -asalnya oleh al-Bukhari- dari Barra’ bin ‘Azib radhiallah bahawa Nabi telah menghantar Ali radhiallah ke Yaman, berkata Barra’ radhiallah : Ali radhiallah telah menulis kepada Nabi mengenai keislaman penduduk di sana, dan apabila Nabi membacanya, lalu Baginda terus tunduk sujud kepada Allah tanda syukur. 

Berkata al-Tirmizi : Isnadnya sahih. Abdul Razak meriwayatkan di dalam Musannafnya bahawa Umar radhiallah telah membuka Yamamah dan sujud syukur, dan Abu Bakar radhiallah telah bersujud tanda syukur apabila mendengar berita bahawa Musailamah al-Kazzab telah dibunuh.”