Soalan: Seorang artis solat atas kenderaan di atas kenderaan. Bolehkah solat seperti itu? 

Jawapan: Harus solat Fardhu di dalam kereta yang bergerak dengan menunjukkan isyarat atas kemampuan serta tidak menghadap kiblat -  dengan dua syarat berikut: 

❶ Waktu solat hampir habis - demikian pula dibimbangi akan tiba di tempat yang boleh solat apabila waktu telah habis. 

❷ Tiada kemampuan untuk turun daripada kenderaan. 

Hujahnya adalah keumuman ayat-ayat al-Quran berikut: 

(1) Al-Baqarah: 286. (2) Al-Taghabun: 16 (3) Al-Haj: 78

Sekiranya mampu untuk menghadap kiblat, maka wajib menghadap kearahnya. Apatah lagi pada hari ini kita telah mempunyai kemudahan untuk mengetahui arah kiblat dengan mudah. 

Namun sekiranya tidak mampu, maka menghadaplah kearah manapun kenderaan kita bergerak. 

Ulama berbeza pendapat tentang keadaan orang di dalam situasi di atas apabila telah sampai destinasi yang memudahkannya bersolat. Adakah perlu mengulangi solat atau tidak? 

Perbincangan para ulama di dalam isu: "Solat Tanpa Lengkap Rukun" - Sedangkan menghadap kiblat, menutup aurat, bersuci (wuduk atau tayamum) dan solat dalam waktunya merupakan rukun sah solat. 

Ulama mazhab al-Syafii terbahagi kepada beberapa pendapat: 

Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya apabila telah mampu melengkapkannya. 

Namun ada juga pendapat daripada tokoh utama Mazhab ini iaitu Imam al-Nawawi yang menyatakan pendapat wajib untuk solat dan tak wajib untuk ulang adalah pandangan yang kukuh. 

Kata beliau: 

"Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya."

Saya lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan: Wajib solat dan wajib ulang. Wallahu-Alam. 

▶Fakta Penting: 

(1) Info di atas hanya pada keadaan solat fardhu sahaja. Manakala untuk solat sunat, maka tiada kewajipan menghadap kearah kiblat. 

Rujuk hadis berikut: 

Ibnu ‘Umar berkata,
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يُسَبِّحُ عَلَى الرَّاحِلَةِ قِبَلَ أَىِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ ، وَيُوتِرُ عَلَيْهَا ، غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يُصَلِّى عَلَيْهَا الْمَكْتُوبَةَ

Rasulullah pernah mengerjakan solat sunnah di atas kendaraan dengan menghadap arah yang dituju dan juga beliau melaksanakan witir di atasnya. Dan beliau tidak pernah mengerjakan solat wajib di atas kenderaan.”

(HR. Bukhari no. 1098 dan Muslim no. 1652)

Daripada hadis di atas, difahami bahawa: 

(1) Solat sunat harus dilakukan tanpa menghadap kiblat. 
(2) Tidak harus solat tanpa menghadap kiblat dan menunjukkan isyarat untuk solat Fardhu melainkan di dalam keadaan keuzuran seperti yang telah dinyatakan di atas. 

WallahuAlam. 

______________
Syihabudin Ahmad, 
Sg. Buloh, Selangor.