Jika dosa itu bermaksud sesuatu yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menderhakai Tuhan, maka umat Islam secara keseluruhannya menyatakan bahawa Nabi Muhammad tidak pernah melakukan dosa setelah beliau dilantik sebagai rasul. Sama ada kecil atau besar. 

Mengapa kemustahilan itu diikat dengan kenabian? 

Jenayah dosa melibatkan isu besar iaitu kepercayaan. Sekiranya seorang nabi berkemungkinan melakukan dosa, pastinya risalah yang beliau bawa akan diragui. Bahkan, beliau akan dipertikaikan. Bagaimana beliau akan dipercayai sedangkan beliau juga berbuat derhaka kepada Tuhan?

Bagaimana pula Tuhan akan memilih seorang utusan yang akan menderhakai-Nya? Ia mustahil di atas tujuan Allah menghantar utusan. 

Sebelum Dilantik Sebagai Rasul. 

Saya mungkin tidak banyak ilmu dalam hal ini. Diharapkan sahabat-sahabat dapat menasihati saya jika saya tersilap di dalam isu ini. 

Pada pandangan saya, tidak mustahil seseorang nabi melakukan dosa sebelum beliau dilantik sebagai rasul. Pandangan ini disimpulkan setelah melihat pandangan sebahagian besar ulama yang menyatakannya.

Sebahagian ulama menyatakan ketidakmustahilan itu hanya tertakluk kepada dosa kecil sahaja. Manakala dosa besar, ia terlindung. Buktinya, Nabi Muhammad tidak direkodkan pernah melakukan zina, membunuh, mencuri dan sebagainya.

Sebelum dilantik sebagai rasul, tiada tanggungjawab menyampaikan wahyu Tuhan. Justeru itu dapat dilihat di dalam al-Quran yang menyebutkan dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam. 

Kronologi Kisah Taubat Nabi Adam dan Hawa

1. Nabi Adam dan isterinya diperintahkan oleh Allah supaya tidak menghampiri sebuah pohon. Allah menyatkan, sekiranya mereka ingkar maka itu adalah bentuk kesalahan atau kezaliman. 

Firman Allah: 

35. Dan Kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".

(Al-Baqarah: 35)

2. Syaitan yang dengki kepada Adam dan Hawa telah menggoda mereka berdua.

Firman Allah;

120. setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadaNya, Dengan berkata: "Wahai Adam, Mahukah, Aku tunjukkan kepadamu pohon Yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan Yang tidak akan hilang lenyap?"

(Taha: 120)

Di dalam ayat lain, Allah merekodkan:

20. setelah itu maka Syaitan membisikkan was-was kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka Yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang Yang kekal (selama-lamanya di Dalam Syurga)".

(Al-A`raf: 20)

3. Adam dan Hawa termakan godaan berkenaan lalu mereka ditelanjangkan. Allah memarahi mereka di atas perbuatan berkenaan. 

Allah merekodkan;

22. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?"

(al-Araf: 22)

4. Allah memerintahkan mereka berdua keluar daripada syurga. 

36. setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

(Al-Baqarah: 36)

5. Nabi Adam dan Hawa memohon ampun kepada Allah dengan berdoa. Lalu Allah mengampunkannya. 

37. kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

(Al-Baqarah: 37)

6. Berikut ialah doa Nabi Adam dan Hawa.

Firman Allah: 

23. mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

(Al-Araf: 23)

Mengapa saya menyatakan ia dosa? Kerana dilihat secara zahir bahawa Nabi Adam diperintahkan oleh Allah untuk tidak mendekati sebuah pohon, tetapi beliau dan isterinya mengingkari perbuatan itu. Ia adalah satu bentuk kederhakaan.

Firman Allah: 

121. kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya Dengan daun-daun dari Syurga; dan Dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

(Taha: 121)

Tetapi tidak direkodkan bahawa Nabi Adam pernah mengulang perkara yang sama setelah diturunkan di atas muka bumi.

Kesilapan

Perkataan yang lebih tepat ialah Nabi Muhammad dan para nabi yang lain pernah melakukan kesilapan kerana beliau adalah seorang nabi. 

Kesilapan itu boleh berlaku pada dua perkara. 

Pertama: Kesilapan daripada sudut keduniaan seperti urusan pertanian, perubatan, penenunan dan sebagainya. Lagipula, seorang nabi tidak dibangkitkan untuk menjadi doktor, petani atau lain-lain. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan dakwah tuhan tanpa sebarang kepentingan peribadi. Kesilapan seperti ini bersifat adat yang tidak merosakkan maksud risalah.

Contohnya: Apabila Nabi SAW melihat rakyat Madinah mengahwinkan kurma, Nabi mengisyaratkan untuk tidak dikahwinkan. Lalu mereka tinggalkan dan hasil kurma tidak elok pada tahun berkenaan. Lantas Nabi SAW berkata kepada mereka:

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيِي، فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ

Aku ini adalah seorang manusia. Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu dalam urusan dunia, maka ambillah. Tetapi sekiranya aku menyatakan sesuatu atas pandanganku, maka ketahuilah bahawa aku hanyalah seorang manusia. 

(HR Muslim di dalam Sahih: 140)

Allah berfirman: 

110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu;…

(Al-Kahfi: 110)

Kedua: Kesilapan juga boleh berlaku dalam urusan dakwah dan ijtihad. Tetapi disebabkan beliau adalah seorang nabi, maka Allah akan segera menegur beliau. Pelbagai bukti hadis dan ayat al-Quran telah menjalaskan keadaan ini. Secara asasnya baginda tidak melakukan sebarang kesilapan dalam agama melainkan ia dikesan dengan teguran daripada oleh Allah. Apa-apa yang tidak ditegur, bukanlah satu kesilapan. 

“Dan Tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”. 

(Al-Najm: 3-4)


Nabi Tidak Melakukan Dosa

Kesimpulannya, seorang nabi tidak akan melakukan dosa kerena beliau adalah seorang nabi. Seorang nabi juga tidak mustahil melakukan kesilapan kerana mereka adalah seorang manusia. 

Bagaimana Pula Kita Manusia Biasa Ini? 

Nabi SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Setiap anak adam melakukan kesilapan, sebaik-baik pelaku kesilapan itu ialah orang yang bertaubat.

(HR Ibn Majah di dalam Sunan: 4251, Hasan)

Kita tidak terlepas daripada sebarang kesilapan dan dosa. Kita bukan nabi dan bukan rasul. Kadangkala, kita telah tahu bahawa ia adalah dosa tetapi kita tetap melakukannya. Kita tahu bahawa mengumpat itu salah dan berdosa, tetapi di masjid juga kitalah tekong mengumpat dan mengata orang. 

Allah memerintahkan kita untuk bertaubat!

Antaranya firman Allah :

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.” 

(Surah Al-Nur: 31)

Dalam Surah Al-Zumar ayat ke-53 Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” 

(Surah Al-Zumar: 53)

Dalam ayat ini Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya yang melampaui batas ke atas diri mereka; melampaui batas iaitu dengan melakukan dosa-dosa dan maksiat.

Semoga Allah jadikan kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaubat dan beramal soleh. 

Allah lebih tahu.