Menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Masjid al-Haram di kota Mekah merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Ia bermaksud, tanpa menghadap ke arahnya dengan sengaja menyebabkan solat tidak sah. Ia serupa seperti solat tanpa wuduk, solat dalam keadaan tidak tutup aurat dan solat pada luar waktu.

Kewajipan

Di dalam al-Quran, secara jelas Allah Taala berfirman:
  
150. dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (Kaabah); …

(Al-Baqarah: 150)

Demikian juga hadis yang diriwayat oleh al-Bukhāri (5897) dan Muslim (397) ketika baginda Nabi Muhammad mengajarkan kepada orang tentang tatacara solat; baginda bersabda:

«إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Apabila engkau hendak solat, berwuduklah dengan sempurna, kemudian menghadaplah kiblat dan bertakbir.

(HR al-Bukhāri di dalam Sahih al-Bukhāri: 5897)

Isu Sejarah

Apabila dilihat daripada sudut sejarah, kita akan dapati bahawa setelah solat 5 waktu disyariatkan ketika malam berlakunya peristiwa Isrā’ dan Mi`raj, umat Islam bersolat dengan menghadap ke arah Bait al-Maqdis di Palestin. Apabila tiba tahun kedua Hijriyyah, barulah ia ditukar arah kepada Masjid al-Haram di Makkah.

Kisah tentang peristiwa ini diriwayatkan dalam pelbagai riwayat, namun kebanyakkannya tidak sahih. Peristiwa yang sahih di sebutkan di dalam al-Quran dan hadis adalah seperti berikut:
  
144. Kerap kali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan.

(Al-Baqarah: 144)

Di dalam hadis, Imam al-Bukhāri merekodkan bahawa al-Barā’ bin ʿAzib menyatakan:

Rasulullah bersolat menghadap baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan, dan Rasulullah SAW ingin dihadapkan ke Kaabah. Lalu Allah menurunkan ayat yang bermaksud: (Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit). Lalu baginda pun menghadap Kaabah.

(Al-Bukhāri di dalam Sahih Muslim: 390)

Cara Penentuan Arah Kiblat

Orang yang dekat sehingga mampu melihat kaabah dan orang yang jauh sehingga tidak mampu melihat kaabah, kedua-duanya wajib menghadap kiblat. Orang yang bersolat berdekatan Kaabah hendaklah menghadap ‘ain’ Kaabah itu dengan yakin.

Manakala orang yang jauh pula wajib menggunakan petunjuk-petunjuk Zanni yang menunjukkannya sekiranya dia tidak mampu mendapatkan bukti yang pasti dan tepat.

Kaedah Penentuan Arah Kiblat

Setiap tahun, ada dua keadaan yang boleh digunakan umat Islam menentukan arah kiblat iaitu ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah. Ia berlaku pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 17 Julai jam 5.28 petang.

Caranya dengan meletakkan tiang atau sesuatu yang lurus di tanah lapang pada waktu berkenaan dan perhatikan bayang objek itu. Oleh kerana di Malaysia ia berlaku pada waktu petang, arah kiblat diukur dari hujung bayang hingga ke pangkal tiang.
Kaedah ini hanya boleh dilakukan pada waktu berkenaan sahaja. Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pelbagai kaedah lain disebutkan oleh para pengkaji. Namun, pada zaman moden ini kita telah mempunyai pelbagai kemampuan sains yang hebat. Justeru itu kita boleh menggunakan kaedah berkenaan.

Kiblat Ketika di atas Kapal Terbang

Jika solat itu adalah solat sunat, maka harus untuk menghadap kepada mana-mana arah. Ini bertepatan dengan hadis berikut:

Ibnu ‘Umar berkata,

وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يُسَبِّحُ عَلَى الرَّاحِلَةِ قِبَلَ أَىِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ ، وَيُوتِرُ عَلَيْهَا ، غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يُصَلِّى عَلَيْهَا الْمَكْتُوبَةَ
Rasulullah pernah mengerjakan solat sunnah di atas kendaraan dengan menghadap arah yang dituju dan juga beliau melaksanakan witir di atasnya. Dan beliau tidak pernah mengerjakan solat wajib di atas kenderaan.”

(HR. Bukhari no. 1098 dan Muslim no. 1652)

Pada zaman ini telah ada ‘apps’ yang boleh menunjukkan arah kiblat atas kapal terbang. Ia boleh di dapati dengan mudah melalui telefon pintar. Namun, jika terdapat masalah, boleh terus bertanya kepada pramugari pesawat. Jika mereka tidak dapat memberitahunya, maka anda solat dengan menghadap mana-mana arah sepertimana di dalam solat sunat.

Sekiranya anda dapat menjamakkan solat berkenaan, ia adalah lebih baik.