PENGERTIAN AL-ISTIHSAN
Al-Istihsan daripada sudut bahasa ialah menganggap sesuatu itu baik. Daripada sudut Istilah ulama Usul Fikah pula ia bermaksud;
Mendahulukan (Tarjīeh) Qiyās yang tersembunyi (Khafī) terhadap Qiyās yang terang (Jalī) dengan alasan dalil, atau ia adalah pengecualian masalah juz’iyyah daripada konsep menyeluruh atau kaedah umum kerana ada dalil khusus yang mengkehendaki pengecualian itu.
Cobtohnya; hukum suci bekas minuman haiwan liar daripada kalangan burung seperti gagak, helang, dan hering. Demikian juga sah jual beli salam (pesanan), al-Istiṣnāʿ (tempahan), sewa dan pelaburan – ia dikecualikan daripada hukum asalnya yang melarang.
Al-istihsan memerlukan kemampuan yang kritis dan kritikal daripada ulama Mujtahid kerana mereka perlu melihat sesuatu perkara itu dengan teliti dan mendalam – ia bukanlah kaedah pensyariatan yang berdasarkan kepada akal dan nafsu semata-mata. Tetapi ia bersumberkan penelitian da kajian yang mendalam.
PEMBAHAGIAN AL-ISTIHSAN
1- AL-ISTIHSAN DENGAN NAS
Al-Istihsan dengan nas bermaksud suatu perkara yang secara umumnya ia menunjukkan tegahan atau suruhan tetapi kemudian datang nas lain yang mengecualikan beberapa perkara. Atau pada kaedah umum perkara itu ditegah tetapi nas hadir bagi menyatakan ia dibenarkan. Nas mestilah daripada al-Quran dan al-Sunnah.
(i) Contoh daripada al-Quran
Contohnya ialah isu wasiat. Kaedah umum menyatakan orang yang telah meninggal dunia tidak lagi berkuasa terhadap hartanya kerana dia telah mati. Namun, nas hadir bagi menyatakan keharusan memberikan wasiat sebelum meninggal dunia. Firman Allah;
12. dan bagi kamu satu perdua dari harta Yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta Yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat Yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. ...
(Al-Nisā’: 12)
(ii) Contoh daripada Hadis
Contoh yang kedua ialah seseorang yang berpuasa tidak akan batal ibadah puasanya dan akan terus berkekalan hukum bagi seseorang itu untuk menyempurnakan ibadah puasa tersebut, sekiranya seseorang itu makan atau minum secara tidak sengaja disebabkan terlupa.
Menurut qiyas iaitu kaedah umum - hukum asalnya batal puasa seseorang itu disebabkan tidak menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongganya. Namum hukum itu dikecualikan daripada kehendak hukum asal tersebut kerana ada nas hadis yang mengecualikan:
مَنْ أَكَلَ نَاسِيًا، وَهُوَ صَائِمٌ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Sesiapa makan dalam keadaan lupa sedangkan dia sedang berpuasa, maka hendaklah dia menyempunakan puasanya. Sesungguhnya Allah memberi makan dan minum kepadanya.
(HR al-Bukhāri di dalam Sahih al-Bukhari: 6669)
Demikian juga jual beli secara bertempah ( bai’ al-salam ), ia merupakan kegiatan jual beli sesuatu barang yang belum ada di tangan penjualnya. Qiyas pada asalnya haram menjalankan kegiatan jual beli yang belum ada barang di tangan penjual, kerana ia tidak sah di sisi syarak. Rasulullah s.a.w melarang jual beli sesuatu barang yang tidak ada di tangan penjual ketika akad. Rasullah s.a.w bersabda kepada Hakim bin Hazam.
لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ
“Jangan engkau jual sesuatu yang tidak ada di sisi engkau”
(HR Abu Daud: 3503, Sahih Lighairihi)
Hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w melarang kegiatan jual beli sesuatu barang yang belum ada di tangan penjual tetapi jual salam ini dikecualikan daripada kehendak dalil umum dengan kewujudan dalil khusus iaitu hadis berikut:
مَنْ أَسْلَفَ فِي تَمْرٍ، فَلْيُسْلِفْ فِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ
Sesiapa yang berjual salam pada tamar maka hendaklah dia berjual salam dengan sukatan yang jelas dan timbangannya yang diketahui sehingga tempoh yang jelas.”
(HR Muslim: 127)
2- AL-ISTIHSAN DENGAN IJMAK
Al-Istihsan dengan ijmak terhasil setelah semua mujtahid bersepakat tentang sesuatu masalah yang berlawanan dengan kaedah umum pada masalah yang serupa dengannya. Atau para mujtahid berdiam diri dan tidak mengingkari perkara tersebut pada hal ia bertentangan dengan kaedah asal atau kaedah umum yang telah ditetapkan.
Contohnya ialah ulama telah bersepakat tentang keharusan jual beli sejara Istiṣnāʿ (tempahan) – ia adalah perjanjian di antara pembuat/pereka dengan pembeli terhadap sesuatu barang. Sedangkan barang itu belum lagi wujud dan ia diwujudkan bukan berdasarkan penjual tetapi berdasarkan pembeli. Ulama telah bersepakat tentang keharusannya sekalipun kaedah asal menyatakan barang jualan hendaklah wujud ketika urusan jual beli berlansung. Dengan melaksanakan istihsan ini ia dapat meraikan keperluan manusia bahkan orang ramai telah melakukannya sejak zaman berzaman tanpa ada sesiapa daripada kalangan mujtahid yang melarangnya.
3- AL-ISTIHSAN BERDASARKAN ‘URF
Istihsan berdasarkan ‘urf berlaku pada masalah yang menjadi amalan dan kebiasaan masyarakat dan ia bertentangan dengan kaedah umum. Ia berlaku kerana keperluan manusia.
Contohnya ialah pada masalah menggunakan bilik air awam yang dikenakan bayaran yang sama. Namun air dan masa tidak ditentukan. Kaedah asal menyatakan bahawa haram menggunakan bilik air tersebut kerana tidak diketahui kadar air yang digunakan dan masa yang diperuntukkan untuk berada di dalam bilik air tersebut. Ini disebut “interaksi dengan sesuatu yang tidak diketahui”.
Namun demikian, mujtahid menggunakan kaedah al-istihsan iaitu dengan melihat kepada sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya tanpa diingkari oleh seorang dari kalangan mujtahid. Maka ia menunjukkan mereka bersepakat bahawa menggunakan bilik air yang tidak sama kadar masa dan bayaran yang dikenakan adalah tidak haram kerana meraikan keperluan orang ramai dan menolak kesukaran dari mereka. Maka natijah hukum tersebut ialah harus untuk menggunakan bilik air awam tersebut kerana melihat kepada al-istihsan.
Contoh kedua ialah Waqaf al-Manqul. Menurut fiqh mazhab Hanafi, antara prinsip umum harta wakaf hendaklah berkekalan dalam tempoh yang panjang. Berdasarkan prinsip ini, maka tidak harus mewakafkan harta alih kerana ia cepat rosak. Sebaliknya, Imam Muhammad bin Hassan daripada mazhab Hanafi mengharuskan wakaf harta alih kerana ia menjadi kebiasaan atau adat masyarakat mewakafkannya seperti buku-buku.
4- AL-ISTIHSAN BERDASARKAN DARURAT
Iaitu terdapat darurat yang membawa kepada para mujtahid menolak qiyas dan berpegang kepada darurat berkenaan atau keperluan yang memang diperlukan secara adat.
Contohnya membersihkan perigi bernajis atau dimasuki oleh sesuatu yang bernajis. Mengikut kaedah umum atau al-qiyas, perigi tersebut tidak akan bersih walaupun ditimba sebahagian atau semua air dalamnya. Hal tersebut kerana, menimba sebahagian air di dalamnya tidak memberi kesan atau tidak menyebabkan baki air yang ada itu bersih. Begitu juga jika ditimba semua air pun tidak akan membersihkan air yang baru keluar dari mata air dalam perigi tersebut. Justeru itu, air dalam perigi tersebut tidak akan bersih walaupun ditimba semua air bernajis. Ini akan menyebabkan kesukaran dan kepayahan sekiranya perigi tersebut menjadi sumber air utama kepada sesebuah masyarakat atau individu. Oleh itu diharuskan mengambil air dari perigi tersebut kerana keperluan dan darurat.
Contoh kedua ialah sucinya baki minuman yang diminum oleh burung liar seperti anak hering atau helang. Kerana burung-burung ini memakan menggunakan paruhnya yang bersih dan tidak akan dimasuki oleh najis. Ia berbeza dengan haiwan liar yang lain yang makan dengan menggunakan mulut seperti harimau dan serigala. Apabila ia minum, baki najis akan memasuki air minumannya sedangkan ini tidak berlaku kepada burung tadi.
5- AL-ISTIHSAN DENGAN QIYAS AL-KHAFFIYY
Maksudnya beralih daripada satu hukum pada satu-satu masalah yang sabit melalui qiyas jaliyy kepada hukum yang lain yang diistiinbatkan melalui qiyas khafiyy. Qiyas khaffiyy ialah qiyas yang kurang jelas ‘illahnya manakala qiyas jaliyy ialah qiyas yang lebih jelas ‘illahnya. Apabila qiyas khaffiyy berhadapan dengan qiyas jaliyy, qiyas khaffiyy ini dikira lebih kuat dari qiyas jaliyy bila ianya mempunyai kesan yang lebih kuat dan lebih sahih pada dasarnya.
Menurut istilah ulama Usul Fiqh, istihsan jenis ini ialah berpindah daripada pengambilan al- qiyas jaliyy kepada qiyas khafiyy ataupun berpindah daripada sesuatu hukum yang asal kepada hukum yang lain ekoran terdapat dalil yang membolehkan para mujtahid bertindak sedemikian demi menjaga kemaslahatan umum.
Contohnya Menurut madzhab Abu Hanifah, apabila seorang mewaqafkan sebidang tanah pertanian, maka dengan menggunakan istihsan, yang termasuk diwaqafkan adalah hak pengairan, hak membuat saluran air di atas tanah itu dan sebagainya. Sebab kalau menurut qiyas (jali), hak-hak tersebut tidak mungkin diperoleh, karena tidak boleh mengqiyaskan waqaf itu dengan jual beli.
Pada jual beli yang penting ialah pemindahan hak milik dari penjual kepada pembeli. Apabila waqaf diqiyaskan kepada jual beli, berarti yang penting ialah hak milik itu.
Sedang menurut istihsan hak tersebut diperoleh dengan mengqiyaskan waqaf itu kepada sewa-menyewa. Pada sewa-menyewa yang penting ialah pemindahan hak memperoleh manfaat dari pemilik barang kepada penyewa barang.
Demikian pula halnya dengan waqaf. Yang penting pada waqaf ialah agar barang yang diwaqafkan itu dapat dimanfaatkan. Sebidang sawah hanya dapat dimanfaatkan jika memperoleh pengairan yang baik.
Jika waqaf itu diqiyaskan kepada jual beli (qiyas jali), maka tujuan waqaf tidak akan tercapai, karena pada jual beli yang diutamakan pemindahan hak milik. Karena itu perlu dicari asalnya yang lain, iaitu sewa-menyewa.
Peristiwa ini ada persamaan `illat-nya iaitu mengutamakan manfaat barang atau harta, tetapi qiyasnya adalah qiyas khafi. Karena ada suatu kepentingan, iaitu tercapainya tujuan waqaf, maka dilakukanlah perpindahan dari qiyas jali kepada qiyas khafi, yang disebut istihsan.
6- AL-ISTIHSAN DENGAN MASLAHAH
Maksud al-istihsan dengan maslahah ialah terdapat pengecualian terhadap sesuatu hukum asal atau kaedah umum.
Contohnya, kerosakan yang dilakukan oleh pekerja perlu diganti. Mengikut kaedah umum, pekerja adalah amanah, maka dengan itu penggantian itu atas konsep menjaga kemaslahatan manusia.
Antara contoh lain ialah mengikut prinsip umum, tidak harus diberikan zakat kepada Bani Hashim kerana pada masa dahulu golongan tersebut mendapat habuan daripada harta rampasan perang. Apabila sudah tidak ada lagi peperangan, mereka menjadi golongan yang tidak mampu dan mesti dibantu dan diberi zakat. Maksud di sini ialah pada dasarnya tidak dibolehkan memberi apa-apa mahupun berkenaan dengan zakat kepada golongan ini tetapi sebaliknya Abu Hanifah mengharuskan memberi zakat kepada mereka pada zaman beliau berdasarkan al-istihsan. Ini bermakna, mana-mana perkara jika dilihat al-istihsan berasaskan maslahat adalah demi menjaga kepentingan mereka serta kemaslahatan harta manusia daripada diabaikan.
KEHUJAHAN ISTIHSAN
Ulama berselisih pendapat tentang kehujahan al-istihsan. Sebahagian ulama menerima istihsan sebagai hujah manakala sebahagian lagi tidak menerima istihsan sebagai hujah.
ULAMA YANG MENOLAK
Mazhab al-Syafiie, Syiah dan Zahiriyyah menolak berhujah dengan al-istihsan, dan ia tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Mereka menolak al-istihsan sebagai hujah berdasarkan ayat al-Quran yang bebunyi:
59. Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah al-Nisa 59 )
Istihsan bukanlah sebahagian daripada al-Quran atau Hadis dan tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan ia diterima sebagai hujjah. Oleh itu, menggunakan istihsan sebagai dalil bererti mengeluarkan hukum yang berlawanan dengan hukum al-Quran dan Hadis.
Selain itu, Imam Syafi`e berpendapat bahawa berhujjah dengan al-Istihsan bererti menetapkan hukum berdasarkan nafsu dan fikiran, sedangkan yang berhak membuat hukum hanyalah Allah sahaja.
Hujah mereka:
1- Tidak boleh berhukum melainkan dengan nas atau qiyas terhadap nas. Kerana selain daripada itu bermaksud mencipta syariat atas sandaran hawa nafsu. Firman Allah:
49. dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...
(Al-Maidah: 49)
2- Akal ialah asal di dalam istihsan – ia menyamaratakan di antara orang jahil dan alim justeru itu ia boleh membawa kepada syariat yang baharu.
3- Rasulullah tidak berfatwa dengan istihsan. Baginda menunggu wahyu.
ULAMA YANG MENERIMA
Jumhur Ulama iaitu Ulama mazhab Hanafi, Imam Malik dan sebahagian ulama mazhab Hanbali menerima konsep berhujjah dengan al-istihsan dan menggunakannya sebagai dalil hukum. Antara hujah mereka ialah;
1. Penerimaan al-istihsan sebagai hujah adalah bertujuan untuk menolak kepayahan dengan mewujudkan kemaslahatan dan ini adalah selari dengan matlamat syarak.
Firman Allah:
... Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran...
(Al-Baqarah: 185)
2. Sabitnya al-istihsan adalah bergantung pada dalil-dalil yang disepakati iaitu dengan nas atau ijmak atau darurah atau qiyas khaffiyy atau ‘uruf atau maslahah seperti mana yang dibincangkan terlebih dahulu sebelum ini dan setiap daripadanya memerlukan pentarjihan qiyas khafiyy terhadap qiyas jaliyy dan pengasingan antara hukum yang juziyy daripada hukum yang kulliyy.
Kesimpulan
Pelbagai Dalil menunjukkan kepada penolakkan terhadap membuat syariat berdasarkan hawa nafsu – ia disepakati oleh semua orang. Secara hakikatnya istihsan ialah mengambil pendapat yang paling kuat maka sepatutnya ia tidak diperselihi. Sebenarnya perbezaan ulama pada sudut istilah sahaja. Orang yang menolak membicarakan isu istihsan di dalam pembahagian dalil-dalil yang lain – iaitu interaksi terhadap qiyas, maslahah dan sebagainya.
WallahuA`lam.
0 Comments
Post a Comment