Benarkah istilah ‘hati’ yang kita sebutkan itu tepat dari kefahaman al-Quran dan sunah? Cuba kita nilaikan.
Kesan daripada mengetahui hakikat ini, dapat memberikan pelbagai faedah kepada umat Islam, khususnya bangsa Melayu. Kekeliruan memahami makna al-qalb dan hati menjadikan umat Islam yang berbahasa Melayu kurang cekap memahami inti pati mukjizat sains dalam al-Quran dan sunah.
Oleh itu, mari kita menilai kebenaran tersebut dari sudut-sudut berikut:
- Hujah al-Quran
- Hujah Hadis
- Hujah Akal
- Kedudukan
- Ilustrasi Cinta
- Terjemahan Bahasa
- Bahasa Tangan
Hujah al-Quran:
Firman Allah:
Firman Allah:
179. Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai jantung (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
(Al-A`raf: 179)
Daripada ayat di atas, jelas ia menyatakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar serta jantung untuk memahami.
Di dalam ayat lain, Allah befirman:
46. oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada jantung yang dengannya mereka dapat berakal, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata jantung yang ada di dalam dada.
(Al-Haj: 46)
Yang ada di dalam dada bukan hati, tetapi jantung.
Hujah Hadis:
Hadis Nabi Muhammad di belah dada kali pertama menjadi bukti bahawa yang dikehendaki daripada perkataan “Qalb” ialah jantung. Hadis berkenaan menyatakan Anas bin Malik berkata: Aku pernah melihat kesan jahitan itu di dada baginda. Jadi, ini menunjukkan perkataan jantung boleh bermaksud jantung anggota serta jantung nurani. Ia tidak sesuai disebut “Hati”.
Hadis berkenaan menyatakan:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَتَاهُ جِبْرِيلُ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً فَقَالَ هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ . ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ ثُمَّ لأَمَهُ ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ – يَعْنِي ظِئْرَهُ – فَقَالُوا إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ . فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقَعُ اللَّوْنِ . قَالَ أَنَسٌ وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ .
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Jibril datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang bermain-main bersama dua orang kanak-kanak. Lalu Jibril mengambil baginda dan membaringkan baginda. Kemudian Jibril membedah dadanya dan mengeluarkan jantungnya. Kemudian Jibril mengeluarkan daripada jantung itu gumpalan darah, dan berkata: Ini adalah daripada syaitan. Kemudian dia membasuhnya di dalam bekas yang diperbuat daripada emas dengan air zam-zam. Kemudian jantung itu dicantumkan kembali dan diletakkan semula di tempat asalnya. Kedua-dua budak lelaki tadi segera pergi kepada pengasuh mereka dan menyarakan: Sesungguhnya Muhammad telah dibunuh. Mereka semua bersegera menuju kepada baginda, dan ketika itu baginda sudah berubah warnanya. Anas berkata: Aku pernah melihat kesan jarum pada belahan pada dada baginda.
[Sahih Muslim, Kitab al-Iman, hadis no: 320]
Di dalam Hadis lain menyebutkan:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah jantung “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para saintis berasa sungguh kagum dengan penemuan organ jantung yang menyimpan sel memori yang bersambung dengan otak ,akan tetapi aktiviti berfikir hakikatnya berpusat di jantung.Para saintis menemui sejenis sel dalam jantung manusia yang dikenali sebagai ganglia cells yang mempunyai memori lebih kuat daripada sel otak.Sel ini berfungsi seperti kapasiti memori sebuah komputer yang menyimpan maklumat yang lebih kekal berbanding otak.Rangkaian sel ganglia ini bersambung antara satu yang disifatkan oleh para pengkajinya sebagai brain cell in the heart.Rangkaian sel ini mengeluarkan gelombang elektrik yang disebarkan menerusi edaran darah.
1. Kedudukan
Jantung terletak di tengah-tengah dada, manakala hati pula terletak di bawahnya dan berdekatan dengan perut. Persoalannya, di manakah arah tangan kita apabila kita katakan, “You are in my heart?”
2. Ilustrasi Cinta
Sekiranya dilihat dari segi bentuk cinta ini, ia amat mirip kepada jantung. Tidak sama sekali seperti hati.
3. Terjemahan Bahasa
Dalam bahasa Arab, jantung disebut al-qalb (القلب) manakala hati disebut al-kabid (الكبد). Perubahan bacaan huruf qaf (قلب) (Qalbu) kepada kaf (كلب) (kalbu) merubah makna jantung menjadi anjing. Oleh itu, penggunaan perkataan “Ingat aku dalam kalbumu” perlu ditukar kepada,“Ingati aku dalam qalbumu.”
Al-Quran dan sunah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu, perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.
Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang penting iaitu Lisan Al-‘Arab, pengarang Ibnu Manzur (meninggal 711H) menyatakan, “Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung.” (Ibnu Manzur, Lisan Al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar Al-Fikr).
Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam Al-Mu’jam Al-Wasit disebut: “Al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri.” (Al-Mu’jam Al-Wasit, 2/753).
Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan.” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).[1]
Kita mengetahui, kesilapan ahli perubatan dalam menentukan anggota tubuh badan akan membawa kepada keburukan kepada pesakit. Perkataan ‘penyakit jantung’ diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai, ‘heart attack.’ Sekiranya ‘heart attack’ diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang menggunakan perkataan ‘heart’ sebagai ‘hati’, kita akan mendapati, penyakit jantung berubah menjadi penyakit hati.
Sekiranya pemindahan jantung perlu dibuat, dikhuatiri seorang doktor Melayu akan tersalah memindahkan organ pesakit.
(Pastinya ini tidak akan berlaku, lantaran kepakaran doktor. Namun ia cukup mengelirukan buat para pelajar di sekolah rendah dan menengah yang mempelajari mata pelajaran sains dan biologi).
4. Bahasa Tangan
Apabila kita berkata, “Kita perlu menjaga hati ini”, di manakah arah tangan kita ditujukan? Pastinya di dada. Bukankah hati itu berada berdekatan dengan perut? Kenapa tidak ditujukan sahaja ke situ? Pastinya yang kita maksudkan adalah hati. Oleh itu, kenapa kita segan mengatakan, “Kita perlu menjaga jantung ini?” Bukankah Rasulullah SAW berkata,
كُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
“Dan jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Jangan menzaliminya, jangan meninggalkannya tanpa pertolongan dan jangan merendah-rendahkan dirinya. Takwa itu adalah di sini. (Abu Hurairah berkata,) Rasulullah mengisyaratkan tangannya ke dadanya sebanyak tiga kali.”
[Diriwayatkan oleh Muslim]
Prof. Dr. Musa Syahin Lasyin, pengarang Fathul Mun’in[2] berkata, “Takwa adalah takutkan Allah dan berpegang teguh dengan segala perintah-Nya, serta menjauhi segala larangan-Nya. Maknanya adalah “Hakikat takwa lahir dari al-qalb dan apa yang ditunjukkan melalui tubuh badan menjadi bukti akan kewujudannya. Ia juga berlakunya riak dan sifat munafik.”
Rasulullah SAW memaksudkan hati nurani, namun baginda menunjukkan ke dada bererti tidak salah sekiranya kita katakan hati nurani juga boleh dimaksudkan sebagai jantung.
Hati Nurani?
Ada yang mengatakan, maksud hati kebanyakan orang Melayu adalah hati nurani yang tidak boleh dilihat dan dipandang, bukannya organ manusia.
Jawapan penulis:
Kadangkala terjemahan bahasa Arab boleh memberi maksud kepada jantung organ dan hati nurani. Oleh itu, ia akan memusnahkan makna yang mendalam dalam penterjemahan bahasa. Lihat contoh hadis berikut:
وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ.
“Dan dalam setiap tubuh ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baik keseluruhan tubuhnya. Dan sekiranya ia rosak, rosak keseluruhan tubuhnya. Ketahui bahawa ia adalah al-qalb.”
[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari]
Ramai penterjemah menterjemahkan ia sebagai hati dan mereka memaksudkan sebagai hati nurani. Namun, hadis ini boleh memberi dua maksud:
· Hati Nurani
Apabila hati bersih dan elok daripada sifat-sifat keji seperti riak, sombong, ujub, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. Maka akan baiklah hubungan hatinya dengan Allah SWT, rasul-Nya dan sesama manusia. Pasti akan baik akhlak dan tingkah lakunya dan akan baik juga kehidupannya dengan masyarakat sekeliling.
· Jantung
Manusia yang mengalami sakit jantung, pesakit akan merasakan seluruh tubuhnya menderita. Bahkan, sekiranya jantung telah rosak dan tidak berfungsi lagi, pesakit akan mati. Sekiranya jantung sihat, kita boleh melakukan banyak perkara tanpa kesukaran. Kesukaran yang berlaku kepada pesakit jantung tidak sama dengan kesukaran pesakit hati sehingga ia digelar ‘Pembunuh Nombor 1 Negara’.
Maksud kedua ini tidak boleh diperoleh sekiranya orang Melayu terus menterjemahkan al-qalb kepada hati. Wallahualam.
Saranan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
“Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti, “Dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah : 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit.” Begitu juga, “Mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka.” (Ali-Imran : 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka.” Begitu seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemahkan dengan tepat seperti “in their hearts is disease.”, “...what was not in their hearts.”
[Artikel: Jantung Bukan Hati, Dr.Maza.com]
__________
[1] Ruj. Artikel Jantung Bukan Hati: Minda Tajdid, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Dr Maza.com
[2]Fathul Mun’in Syarah Sahih Muslim, Darul Syuruq, Kaherah, 2002. Jilid 10, m/s: 23
0 Comments
Post a Comment