Kematian Abu Talib
Kesakitan yang mendera Abu Talib makin hari makin parah. Maka, tidak lama selepas itu kematian menjemputnya. Kematiannya terjadi pada bulan Rejab tahun kesepuluh kenabian[1], tepatnya enam bulan setelah dibebaskan daripada pemboikotan.[2] Ada pula yang menyebutkan bahawa dia meninggal pada bulan Ramadhan, tiga hari sebelum meninggalnya Khadijah.
Dalam Sahih al-Bukhari terdapat riwayat daripada Musayyib yang menyatakan bahawa ketika ajal kematian menjemput Abu Talib, Nabi Muhammad mendatanginya. Sementara itu, di sana telah ada Abu Jahal. Nabi Muhammad berkata,
«أَيْ عَمِّ، قُلْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ»
“Duhai bapa saudaraku, ucapkanlah, ‘Laa ilaaha illallaah (tiada Tuhan selain Allah).’ Itulah kalimah yang boleh kujadikan pegangan untuk menolongmu di hadapan Allah.”
Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah pun tidak mahu kalah. Mereka berdua berkata,
يَا أَبَا طَالِبٍ، تَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ المُطَّلِبِ،
“Hai Abu Talib! Adakah kamu akan berpaling daripada agama Abdul Muthalib?”
Mereka berdua terus saja mengucapkan kata-kata yang dapat mencegah Abu Talib daripada beriman. Akhirnya terlontar kata-kata terakhir daripada lisan Abu Talib,
عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ المُطَّلِبِ،
“Atas agama Abdul Muthalib.”
Rasulullah s.a.w. kecewa namun masih berkata,
«لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ، مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ
“Sesungguhnya aku akan memohon ampunan untukmu, wahai bapa saudaraku, selagi mana aku tidak dilarang.”
Atas hal itu, turunlah ayat, “
Tidak sepatutnya bagi nabi dan orang beriman memohonkan ampun bagi orang Musyrik sekalipun mereka itu adalah keluarga terdekat, setelah diterangkan dengan jelas kepada mereka bahawa jika mereka tetap tidak mahu beriman, maka mereka adalah penghuni Neraka Jahanam.”
(Al-Taubah: 113)
Ditambah lagi dengan ayat,
“Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu cinta.”[3]
Al-Qasas: 56
Tidak diragukan betapa besarnya jasa Abu Talib yang menjaga dan melindungi Rasulullah s.a.w.. Perlindungannya yang menyebabkan dakwah Islam terus berkibar laksana hentaman badai bagi orang kafir yang sombong dan bodoh. Sayangnya, tatkala penghujung usia, dia tetap memeluk agama nenek moyangnya sehingga dia gagal merangkul kemenangan.
Dalam Sahih al-Bukhari terdapat riwayat daripada Abbas bin Abdul Muthalib yang berkata kepada Nabi Muhammad,
مَا أَغْنَيْتَ عَنْ عَمِّكَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَحُوطُكَ وَيَغْضَبُ لَكَ؟
“Engkau sangat memerlukan bapa saudaramu, wahai Rasulullah. Sesungguhnya dia melindungimu dan rela marah demi dirimu.” Maka Rasulullah s.a.w. membalas,
هُوَ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ نَارٍ، وَلَوْلاَ أَنَا لَكَانَ فِي الدَّرَكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ
“Dia berada di bahagian yang paling atas dalam neraka. Kalau bukan kerana dia menolong aku, pastilah dia berada di bahagian neraka yang paling bawah.”[4]
Ada juga riwayat daripada Abu Said al-Khudri bahawasanya dia mendengar Nabi Muhammad bersabda tentang bapa saudaranya,
لَعَلَّهُ يَنْفَعُهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُجْعَلَ فِي ضَحْضَاحٍ مِنَ النَّارِ تَبْلُغُ كَعْبَيْهِ
“Semoga syafaatku bermanfaat untuknya pada hari kiamat, sehingga dia ditempatkan di bahagian yang atas dari neraka yang kedalamannya hanya mencapai tumit.”[5]
Khadijah Meninggal Dunia
Dua atau tiga bulan setelah kematian Abu Talib (dengan adanya perbezaan pendapat dalam hal ini) Ummul Mukminin, Khadijah al-Kubra juga meninggal. Meninggalnya pada usia 65 tahun, pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh kenabian. Pada waktu itu, umur Rasulullah s.a.w. adalah 50 tahun.[6]
Khadijah merupakan salah satu kurniaan agung daripada Allah untuk Rasulullah s.a.w.. Seperempat abad hidup bersama Rasulullah s.a.w., Khadijah sentiasa mendampingi baginda dengan penuh perhatian terutamanya ketika ujian dan keresahan melanda, menyokong baginda tatkala genting, membantu baginda menyiarkan agama Islam, menyertai baginda mengharungi pahit dan payahnya perjuangan serta menyokong baginda dengan jiwa dan hartanya.
Rasulullah s.a.w. menyatakan tentang Khadijah,
“Dia mengimaniku ketika banyak manusia mengingkariku. Dia percaya pada kejujuranku ketika banyak manusia menuduhku berdusta. Dia memanfaatkan hartanya untukku ketika banyak manusia memulauku. Daripadanya, Allah mengurniakanku anak dan tidak daripada isteri-isteriku yang lain.”[7]
Dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan bahawa Abu Hurairah menyatakan,
يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ، أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنْ رَبِّهَا وَمِنِّي وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ، وَلاَ نَصَبَ
“Suatu ketika, Jibril mendatangi Nabi Muhammad. Dia lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, Khadijah datang menghampirimu. Dia membawa sebuah bekalan berisi makanan dan air minuman. Jika dia sampai nanti, sampaikanlah kepadanya bahawa Allah menitipkan salam untuknya. Janjikanlah untuknya sebuah rumah rotan di syurga yang di dalamnya tidak ada pergaduhan mahupun kesusahan’.”[8]
Himpunan Kesedihan
Dua peristiwa memilukan itu terjadi dalam sela waktu yang tidak berapa lama. Sehinggalah rasa sedih dan pilu bergemuruh hingga berkali-kali ganda di hati Rasulullah s.a.w. Ditambah pula dengan penganiayaan hebat yang selalu baginda terima daripada kaumnya. Mereka menentang baginda secara terang-terangan. Mereka pertontonkan pelbagai tekanan dan seksaan kepada baginda sepeninggalan Abu Talib. Maka, kesedihan tidak juga berkurangan daripada kehidupan baginda.
Hinggalah Rasulullah s.a.w. seakan-akan berputus asa terhadap orang Quraisy. Kemudian baginda pergi membawa diri ke Taif. Baginda membawa secebis harapan semoga penduduknya mahu menerima dakwah baginda atau menyokong dan membantu baginda menghadapi kaum Quraisy. Ternyata baginda tidak mendapat penyokong mahupun penolong di sana. Bahkan, mereka menganiaya baginda dengan kekerasan melebihi kaum Quraisy.
Sebagaimana tekanan penduduk Mekah terhadap Nabi Muhammad yang semakin menguat, bertambah kuat pula tekanan terhadap para sahabat baginda. Hinggalah teman karib baginda, Abu Bakar as-Siddiq, mencari perlindungan dengan berhijrah dari Mekah. Dia keluar sehingga ke sebuah tempat bernama Bark al-Ghimad, menuju Habsyah. Namun begitu, dia diminta pulang oleh Ibnu Dughnah yang memberinya jaminan keamanan.[9]
Ibnu Ishaq memaparkan, “Tatkala Abu Talib meninggal dunia, orang Quraisy menganiaya Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai seksaan yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini pada masa Abu Talib masih hidup. Hinggalah salah seorang Quraisy yang ‘bodoh’ (bukan daripada kalangan pembesar kaum) pun berani menganiaya baginda. Dia tebarkan pasir berdebu ke kepala Rasulullah s.a.w. sehingga baginda masuk ke dalam rumah dengan pasir berdebu yang masih mengotori kepalanya. Salah seorang anak baginda segera menguruskan baginda. Dia membersihkan kepala baginda daripada pasir berdebu tersebut dengan mencucinya sambil menangis. Ketika itu, Rasulullah s.a.w. berkata padanya,
‘Jangan menangis, wahai puteriku. Sesungguhnya Allah melindungi ayahmu.’ Baginda juga berkata, ‘Dahulu orang Quraisy tidak boleh menimpakan hal yang menyusahkanku sedikit pun, sehinggalah Abu Talib meninggal’.”[10]
Disebabkan rasa sedih yang datang silih berganti, maka tahun tersebut dinamakan sebagai “Tahun Duka”. Nama ini kemudian dikenali bagi tahun tersebut dalam catatan sejarah.
Selingan: Pernikahan Dengan Saudah
Pada bulan Syawal tahun kesepuluh kenabian, Rasulullah s.a.w. menikahi Saudah binti Zam‘ah. Saudah termasuk wanita yang memeluk Islam pada masa-masa awal. Dia turut berhijrah ke Habsyah pada gelombang kedua. Suaminya sebelum Rasulullah s.a.w. bernama Sakran bin Amru, yang juga memeluk Islam dan ikut berhijrah bersamanya. Sakran meninggal di wilayah Habsyah atau menurut maklumat lain, dia meninggal di Mekah setelah pulang dari Habsyah.
Ketika masa iddah Saudah habis, Rasulullah s.a.w. melamar dan menikahinya. Saudah merupakan wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah s.a.w. setelah Khadijah meninggal. Beberapa tahun kemudian, Saudah menyerahkan gilirannya kepada Aisyah.[11]
________________________________
[1] Syah Akbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil I, hlm. 120. Dalam berbagai-bagai rujukan terdapat perbezaan yang ketara berkaitan bulan Abu Talib meninggal dunia. Apa yang saya tulis ini adalah apa yang saya pandang rajih kerana kebanyakan rujukan sepakat menyatakan bahawa meninggalnya Abu Talib terjadi selang enam bulan setelah dia bebas daripada pemboikotan. Pemboikotan itu sendiri terjadi selama tiga tahun. Sementara itu, boikot dimulai pada malam pertama bulan Muharram tahun ketujuh kenabian. Dengan demikian, kematian Abu Talib dapat disimpulkan terjadi pada bulan Rejab tahun kesepuluh kenabian.
[2]Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 111.
[3]Sahih al-Bukhari, bab tentang kisah Abu Talib, jil I, hlm. 548.
[4]Sahih al-Bukhari, bab tentang kisah Abu Talib, jil I, hlm. 548.
[5]Sahih al-Bukhari, bab tentang kisah Abu Talib, jil I, hlm. 548.
[6]Meninggalnya Khadijah pada bulan Ramadhan pada tahun kesepuluh kenabian ini ditulis oleh Ibnu Jauzy dalam Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 7. Juga ditulis oleh al-‘Allamah al-Mansyurfuri dalam Rahmah li al-‘Alamin, jil II, hlm. 164. Banyak ulama lain juga menulis seperti yang demikian.
[7]Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya, jil VI, hlm. 118.
[8]Sahih al-Bukhari, bab tentang pernikahan nabi dengan Khadijah serta keutamaannya, jil I, hlm. 539.
[9]Syah Akbar Khan Najib Abady menerangkan dengan tegas bahawa peristiwa hijrah Abu Bakar ini terjadi pada Tahun Duka – lihat Tarikh Islam, jil I, hlm. 120. Kisah yang lengkap diriwayatkan dalam Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 372-374; juga dalam Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 552-553.
[10]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 416.
[11] Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil II, hlm. 165 dan Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 10.
0 Comments
Post a Comment