Secara ringkasnya KPI
adalah satu kaedah untuk mengukur prestasi seseorang atau sesebuah organisasi. Disebut
dalam bahasa Inggeris sebagai Key Performance Indicator.
Apabila istilah ini
dikaitkan dengan Ramadhan, maka kita memahami bahawa kita mahu mengukur
prestasi diri kita di dalam bulan Ramadhan ini. Ia juga boleh disangkut kepada
program-program masjid di bulan Ramadhan.
Tujuan Berpuasa
Sebelum kita melihat
kepada nilai-nilai ukuran, kita mestilah memastikan tujuan KPI itu terlebih
dahulu. Jika tujuan ini tepat, maka KPI yang dihasilkan mesti menatijahkan
keputusan yang cemerlang.
Allah Taala berfirman:
يَاأَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ
مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang
beriman, kamu diwajibkan berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada
orang-orang sebelum kamu. Moga-moga kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah: 183)
Dengan berpuasa,
umat Islam telah menetapkan niat meninggalkan seluruh larangan Allah serta
berusaha tidak menuruti nafsu semata-mata. Ia adalah jalan mendekatkan diri
kepada Allah Taala. Justeru itu ia menjadi amalan yang dilakukan atas kehendak
sendiri yang sangat berat di atas timbangan mizan dan qabul.
Di dalam ayat
berkenaan, Allah menyatakan bahawa dianatara tujuan pensyariatan puasa ialah
meningkatkan nilai ketaqwaan. Maka, setiap perbuatan kita di bulan puasa ini
hendaklah meningkatkan nilai berkenaan. Jika tidak, maka puasa kita hanya
sekadar taat dengan lapar dan dahaga sahaja sedangkan tujuan puasa tidak
tercapai.
Dikatakan bahawa
Saidina Ali RA pernah berkata:
التقوى هي الخوف من الجليل
والعمل بالتنزيل والقناعة بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل
Taqwa ialah takut
kepada Al-Jalil (Allah), beramal dengan wahyu yang diturunkan (Al-Quran),
merasa cukup dengan apa yang ada, serta bersiap sedia menghadapi hari akhirat.[1]
Pengukur
Apabila kita telah
mengetahui bahawa diantara tujuan terbesar puasa ialah ketaqwaan, maka kita
perlu meletakkan pengukur bagi ketaqwaan ini secara umum. Di sini, saya hanya mahu
meletakkan beberapa pengukur asas sahaja sebagai permulaan perbahasan.
1. Takut melakukan
perkara dosa
Sebahagian ulama menyatakan bahawa dosa itu semua besar apabila seseorang
Muslim melihat kepada siapa dia melakukan dosa berkenaan. Dosa yang dilakukkan
tidak merujuk kepada sesiapapun melainkan kepada pencipta Manusia, iaitu Allah.
Apabila berpuasa, umat Islam hendaklah berhenti melakukan dosa. Justeru itu,
Allah Taala menyebutkan di dalam hadis Qudsi:
وَالصِّيَامُ
جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ،
فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ "
Puasa adalah pelindung. Apabila seseorang dari kamu berpuasa, maka
janganlah kamu berkata kotor (mencarut) pada hari itu, dan jangan pula kamu
berteriak (bergaduh). Sekiranya dia dikeji oleh seseorang atau diajak
berkelahi, maka katalah: Sesungguhnya aku orang yang sedang berpuasa.
(HR al-Bukhari: 1904)
Daripada hadis berkenaan, Allah mahu mendidik kita di dalam bulan Ramadhan
ini supaya tidak melakukan perbuatan dosa sama ada ia kecil ataupun besar. Kerana
sifat puasa itu adalah pelindung daripada melakukan perbuatan dosa.
Justeru, sebagai pengukur kita mestilah menilai tahap ketahanan kita
terhadap perbuatan dosa. Kita mesti menjawab persoalan berikut:
1- Adakah aku masih lagi berkata kotor sesama umat Islam?
2- Adakah aku masih lagi suka menjatuhkan maruah sesama umat Islam?
3- Adakah aku masih lagi tidak ada kebencian terhadap dosa?
Hasil terbaik bagi pengukur ini ialah jawapan berikut:
1- Ketika berpuasa, aku sentiasa sedar bahawa sifat puasa adalah pelindung.
Maka aku berlindung daripada segala perbuatan dosa sama ada ia kecil atau
besar. Apabila orang ramai mengeluarkan kata kotor, aku tidak melakukannya. Aku
hanya berkata “Aku sedang berpuasa”.
2- Aku tidak suka menjatuhkan maruah sesama umat Islam kerana ia dosa yang
besar. Aku bimbang termasuk dalam kalangan orang berdosa. Bimbang diazab oleh
Allah. Sedangkan aku membaca surah al-Nisa, ayat 56. Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا
نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ
إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
56. Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan
kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka
masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat
merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
(Al-Nisa: 56)
Menjatuhkan
maruah sesama umat Islam adalah haram. Malangnya, ia sangat mudah dilakukan di dunia
sosial tanpa sempadan hari ini.
3. Di dalam hati aku sentiasa tertanam benci melakukan dosa. Kerana dosa
itu adalah maksiat. Maksiat adalah derhaka. Derhaka kepada Allah lebih besar
daripada semua jenis istilah derhaka yang ada di muka bumi ini.
2. Menambahkan ilmu pengetahuan
Taqwa akan mendidik manusia kepada melaksanakan perintah Allah berdasarkan
wahyu al-Quran dan al-Hadis. Maka, bagi melaksanakan tuntutan al-Quran dalan
al-Hadis, umat Islam hendaklah menuntut ilmu. Akhirnya, umat Islam akan dapat
membaca ayat Tuhan lalu memahaminya.
Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran diturunkan yang
menjadi petunjuk kepada manusia serta keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan atara benar dan salah.
(Al-Baqarah: 185)
Bukan sekadar membaca ayat-ayat al-Quran, umat Islam hendaklah memahami
ayat-ayat berkenaan. Setelah itu barulah ayat-ayat al-Quran berperanan menjadi
petunjuk kepada manusia.
3. Menambahkan kefahaman dalam amalan
Setiap perintah yang Allah berikan mempunyai tujuan utama. Tujuan yang paling
tinggi adalah mentaati perintah Allah. Seorang yang berpuasa telah meninggalkan
makan dan minumnya. Dia membiarkan dirinya lapar dan dahaga sedangkan di
koceknya mempunyai wang untuk membeli dan menjamah makanan, di rumahnya penuh
lauk-pauk yang boleh dimasak bila-bila masa sahaja. Tetapi dia meninggalkannya
hanya semata-mata kerana Tuhannya berkata: كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ Telah diwajibkan kepada kamu berpuasa!
Hamba itu berpuasa kerana menuruti perintah Tuhannya tanpa berkata apa-apa.
Apa yang dia mahu sampaikan hanyalah ruang ibadat dan ketaatan sahaja. Setelah
dia faham bahawa sifat puasa adalah begitu, maka dia hendaklahmemastikan
amalan-amalan ibadat yang lain juga hendaklah difahami begitu.
4. Bersyukur dengan pemberian Tuhan.
Mengeluarkan zakat serta bersedekah adalah amalan sinonim pada bulan
Ramadhan. Apabila kita telah mengeluarkan zakat, maka kita hendaklah menyedari
tentang maksud daripada zakat berkenaan.
Allah berfirman di dalam surah al-Taubah, ayat 103:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya
dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari
akhlak Yang buruk);
(Al-Taubah: 103)
Difahami dengan jelas bahawa pemberian zakat adalah bertujuan membersihkan
jiwa daripada sifat kedekut, tamak dan pentingkan diri sendiri. Ia membentuk
akhlak mulia dalam masyarakat umat Islam. Setiap orang dibela sehingga akhirnya
terlaksanalah perumpamaan Nabi SAW:
إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama binaan yang saling
menguatkan antara satu sama lain.
(HR al-Bukhari: 481)
5. Menyangkut diri dengan akhirat.
Nabi SAW berkata:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ
فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Orang berpuasa mempunyai dua kegembiraan: Apabila dia berbuka, dia gembira.
Serta apabila dia bertemu dengan tuhannya, dia juga gembira dengan puasanya.
(HR al-Bukhari: 1904)
Di dunia ini, agama mengiktiraf kita sebagai manusia yang perlukan makan
dan minum. Maka apabila kita boleh makan dan minum, maka tidak salah bagi kita
untuk bergembira kerana ia adalah tabiat seorang manusia. Tetapi, tidak
terhenti di situ sahaja, agama menghubungkan kita dengan hari akhirat dengan
menyatakan orang yang berpuasa akan merasa gembira bertemu Allah di akhirat
nanti.
Kesimpulan:
Apabila perkara yang telah disebutkan berjaya difahami, maka sempurnalah
KPI Ramadhan kita secara asasnya. Namun, ia bukan sekadar KPI. Tetapi KPI yang
dapat menentukan kesungguhan kita bertaqwa di bulan-bulan yang lain.
Tidak patut bagi kita melengkapkan KPI pada bulan Ramadhan, tetapi kita
mengabaikannya pada bulan-bulan yang lain. Seolah-olah benar dakwaan sebahagian
orang bahawa bulan Ramadhan ini ialah pesta ibadah, tetapi apabila berakhir
pesta itu setiap orang balik ke rumah masing-masing dan tidur sahaja.
WallahuAlam.
0 Comments
Post a Comment