Teringat satu kisah ketika bertalaqqi kitab Sunan al-Nasaie di Masjid Khulafa' al-Rasyidin di Dumyat Jadidah, Mesir. Apabila Syeikh Ali memberikan penjelasan berkaitan hadis sujud sahwi, seorang lelaki awam yang baru sahaja selesai solat bertanya soalan panjang lebar berkaitan bacaan ketika sujud sahwi. Sangat panjang soalannya!
Lalu al-Syeikh menjawab, "Apa-apa sahaja bacaan baik dibolehkan kerana tiada riwayat yang kuat mewajibkan bacaan-bacaan tertentu". Dengan jawapan yang ringkas itu, lelaki berkenaan memberi respon "Terima kasih. Asalamualaikum".
Demikian juga ketika di tahun akhir Universiti al-Azhar. Di Dumyat, ada peperiksaan Ta`yin Kuliah yang sedikit berbeza dengan praktikal ta`yin kuliyyah di Kaherah.
Ketika peperiksaan berlangsung di bilik kuliah Universiti. Beberapa orang Syeikh al-Duktur telah memberikan soalan dan dijawab secara spontan oleh para pelajar. Tiba-tiba seorang badawi yang berpakaian seperti badawi dan berperangai juga seperti badawi masuk dan bertanya soalan. Dengan lenggok bahasa Ammiyyah Misriyyah, kelam kelibut dan penuh emosi. Soalannya sukar difahami, sangat panjang. Tetapi jawapan yang dikehendaki hanyalah "Boleh" atau "Tidak Boleh".
Selepas mendapat jawapan, dia duduk dan terus minum teh penuh gula miliknya.
Hari ini, di dalam masyarakat kita masih ada orang yang seperti lelaki pertama dan kedua. Yang bertanya banyak dan panjang, seolah-olah lebih pandai daripada guru dan lebih banyak belajar daripada guru. Mungkin kita juga termasuk. Tetapi bezanya, masyarakat kita ini tidak mahu memandaikan orang. Mereka bertanya kerana mahu menghalang. Malang pula apabila mereka menjadi pemimpin masyarakat. Mereka tidak pandai dan tak mahu orang pandai. Akhirnya, keluar arahan untuk menghalang individu ini dan itu untuk mengajar secara total.
Malang pula, ia berlaku di negeri yang tercinta ini.
Semoga Allah ampuni kita semua.
Semoga Allah jadikan kita orang yang bijak.
Semoga Allah jadikan keluarga kita orang yang bijak.
Semoga Allah jadikan ahli keluarga kita yang bijak menjadi pemimpin orang bertaqwa.
Di dalam surah al-Furqan, Allah Taalah menceritakan sifat-sifat hamba Allah "Ibadur Rahman". Antara sifat yang disebutkan ialah mereka berdoa dengan doa berikut:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan-pasangan, serta zuriat-zuriat yang menyejukkan mata. Serta jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang bertaqwa.
(Al-Furqan: 74)
Dikatakan bahawa Saidina Ali RA pernah berkata:
التقوى هي الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والقناعة بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل
Taqwa ialah takut kepada Al-Jalil (Allah), beramal dengan wahyu yang diturunkan (Al-Quran), merasa cukup dengan apa yang ada, serta bersiap sedia menghadapi hari akhirat.
WallahuA`lam.
(Gambar: Ditangkap pada 18 Januari 2010. Ketika saya mengulang pelajaran sebelum masuk dewan exam, pak cik badawi ini datang bersembang dan mahu saya ambil gambar dia pakai kopiah. Selepas diberikan kopiah, dia lilit dengan kain yang biasa dia bawa. Kemudian dia tanya "Munawwar wala la'a"?)
0 Comments
Post a Comment