Kedudukan Solat di dalam Islam
Secara itlāq, solat ialah ibadan anggota tubuh yang paling utama. Ini berdasarkan kepada peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang paling utama, lalu Rasulullah menyatakan kepadanya:
"الصَّلَاةُ". قَالَ: ثُمَّ مَهْ؟ قَالَ ثُمَّ: "الصَّلَاةُ" قَالَ: ثُمَّ مَهْ؟ قَالَ: "ثُمَّ الصَّلَاةُ" ثَلَاثَ مَرَّاتٍ،
“Solat” kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian apa pula?” baginda menjawab: “Solat” Dia bertanya lagi: “Kemudian apa pula?” Nabi menjawab: “Kemudian solat”. Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.
(HR Ibn Hibbān: 258)[1]
Di dalam Sahihāin terdapat hadis yang menyatakan bahawa dua solat yang dilakukan seseorang muslim dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat berkenaan.
Di dalam riwayat al-Bukhāri disebutkan: Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
الصَّلَوَاتِ الخَمْسِ، يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الخَطَايَا
Dengan melakukan solat 5 waktu, Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(HR Al-Bukhāri: 505)
Hadis seterusnya, daripada riwayat Muslim. Usmān RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَتَمَّ الْوُضُوءَ كَمَا أَمَرَهُ اللهُ تَعَالَى، فَالصَّلَوَاتُ الْمَكْتُوبَاتُ كَفَّارَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ
Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardhu yang dilakukannnya akan menebus dosa yang ada di antara solat berkenaan.
(HR Muslim: 231)
Demikian juga orang yang lalai dalam melaksanakan solat sehingga meninggalkannya kerana sengaja melengah-lengahkannya atau sengaja meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya berterusan melakukannya. Oleh itu, solat ialah santapan utama bagi iman sepertimana yang anda tahu.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ummu Aiman RAha, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَتْرُكِ الصَّلَاةَ مُتَعَمِّدًا، فَإِنَّهُ مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللهِ وَرَسُولِهِ
Jangan engkau sengaja meninggalkan solat kerana sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan rasul-Nya.
(HR Ahmad: 238/5)[2]
Hukum Meninggalkan Solat
Orang yang meninggalkan solat sama ada kerana malas, cuai, ingkar dan sengaja meringan-ringankannya:
Sekiranya dia meninggalkannya kerana mengingkari kewajipan solat, atau sengaja mempersenda-sendakannya maka dia telah menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Wajib bagi pemerintah untuk mengarahkannya bertaubat. Sekiranya dia bertaubat dan men mendirikan solat maka selesai sekiranya tidak maka dia dihukum bunuh kerana telah murtad. Tidak boleh memandikannya, mengafankannya bahkan solat jenazahnya. Sepertimana tidak boleh dia dikuburkan di perkuburan umat Islam kerana dia bukan lagi daripada kalangan mereka.
Sekiranya dia meninggalkan solat kerana malas pula sedangkan dia berpegang dengan kewajipan solat maka pihak pemerintah dikehendaki memaksanya untuk qadha dan bertaubat daripada maksiat berkenaan. Sekiranya dia masih enggan menggantikannya maka wajib membunuhnya sebagai melaksanakan hukuman hudud yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat. Hukuman bagi orang yang meninggalkan fardhu solat ialah dibunuh. Tetapi dia dinilai sebagai seorang muslim selepas dibunuh maka dia akan diperlakukan seperti seorang muslim di dalam hal pengurusan jenazah, dikebumikan dia serta ditegakkan hukuman pembahagian harta kerana dia sebahagian daripada mereka.
Al-Bukhāri dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Umar RAanhuma. Bahawa Nabi SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ
Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah serta Muhammad ialah utusan Allah, mendirikan solat, serta menunaikan zakat. Sekiranya mereka melakukannya maka terpeliharalah darah-darah dan harta mereka daripada tindakanku, kecuali dengan hak Islam dan terserahlah penilaiannya di sisi Allah.
(HR Al-Bukhāri: 25, Muslim: 22)
Hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang bersaksi dengan 2 kalimah syahadah akan tetap diperangi sekiranya tidak melaksanakan solat. Tetapi dia tidak kafir dengan kehujahan dalil riwayat Abu Daud dan lain-lain: daripada Ubādah bin al-Sāmit RA, katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ، فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ، كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ، إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ، وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Allah telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkannya satu pun daripadanya lantaran merngan-ringankan hukum wajibnya, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sesiapa yang tidak melakukannya Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya, sekiranya Allah mahu maka Dia akan menyiksa sekiranya Dia mahu juga akan dimasukkan ke syurga.
(HR Abu Dāud: 1420)[3]
Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidak kafir kerana sekiranya kafir maka dia tidak akan disebutkan: “…sekiranya Dia mahu juga akan dimasukkan ke syurga.” Kerana Kafir tidak akan masuk ke syurga secara pasti. Difahami bahawa orang ini meninggalkan solat kerana malas setelah disatukan dalil-dalil berkenaan.
Muslim dan lain-lain meriwayatkan daripada Jābir bin Abdullah RA, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Pembeza diantara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.
(HR Muslim: 82)
Ia boleh membawa maksud meninggalkan solat dengan keingkaran terhadap kewajipannya serta mempersendakan dan meremehkannya.
____________________
[1] Nota Kuliah: Status hadis ini menurut Syeikh Syuaib al-Arnaoūṭ: Hadis ini Isnadnya hasan; bilangan 1722.
[2] Nota Kuliah: Syeikh Syuaib al-Arnāuṭ menyatakan Isnad hadis ini Dhoif kerana terputus (Inqiṭā`) – Makhūl seorang penduduk Shām tidak mendengar hadis daripada Ummu Aiman, demikianlah yang disebutkan oleh Al-Baihāqi 7/304 dan al-Mizzi di dalam Tahzib al-Kamāl.
[3] Syeikh Syuaib al-Arnāut menyatakan Hadis ini sahih.
0 Comments
Post a Comment