Karya: Prof. Dr. Yusuf al-Qaraḍāwī | Terjemahan: Ustaz Syihābudin Ahmad

Kata Pengantar Penulis

الحمد لله وكفى وسلام على رسله الذين اصطفى وعلى خاتمهم المجتبى محمد وآله وصحبه ومن اتبعهم بإحسان إلى يوم الدين...أما بعد،

Buku ini memberi penjelasan tentang ajaran Islam. Atau ia juga boleh disebut sebagai pintu masuk mengenali ajaran Islam sama ada bagi orang yang tidak mengenalinya atau bagi orang yang hanya mengenalinya sedikit dan rambang. Ia juga bagi memberi peringatan semula dan pengukuh bagi orang yang telah mengetahuinya, peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman. Ia menjelaskan pengenalan terhadap nilai-nilai asas ajaran Islam, keistimewaannya secara umum, matlamatnya yang paling utama, serta sandarannya yang terbaik. Ditambah juga dengan penjelasan keperluan manusia kepada agama secara umum dan Islam secara khusus.

Justeru itu, saya telah menetapkan beberapa bab yang terkandung di dalam buku ini:

Bab Pertama: Keperluan manusia kepada agama: Keperluan akal, jiwa, fitrah individu serta keperluan masyarakat terhadap motif (Bawā`īs) dan standard (Ḍawābīṭ).

Bab Kedua: Nilai Agama daripada sudut Aqidah, Ibadah, Akhlak dan Perundangan (Al-Tasyrī`).

Bab Ketiga: Keistimewaan Islam daripada sudut Ketuhanan (Rabbāniyyah), Kemanusiaan (Al-Insāniyyah), Kesempurnaan (Al-Syumuliyyah), Kesederhanaan (Al-Wasaṭiyyah) serta mengumpulkan diantara prinsip (al-Sabāt) dan fleksibaliti (al-Murawwanah).

Bab Keempat: Tujuan Islam daripada sudut pembinaan manusia yang baik, keluarga yang baik, masyarakat yang baik, umat yang baik, negara yang baik serta seruan kepada menjadi manusia yang terbaik secara umum.

Bab Kelima: Mengenali sandaran-sandaran rujukan ajaran Islam iaitu al-Qurān al-Karīm dan al-Sunnah al-Nabawiyyah yang menjadi penjelas kepada al-Quran dan menerangkannya.

Saya telah mengambil manfaat di dalam memberi penjelasan terhadap perkara-perkara penting di dalam Islam sepertimana yang telah saya tulis di dalam buku-buku saya sebelum ini seperti: Al-Imān wa al-Hayah, al-Ibādah fi al-Islām, al-Khaṣāiṣ `Ammah li al-Islām, al-Marja`iyyah al-`Ulyā lil Qurān wa al-Sunnah, Bayanāt al-Hillu al-Islāmi dan lain-lain.

Sesiapa yang mahu meluaskan pembacaan bagi mengetahui penjelasan yang telah saya sebutkan di dalam buku ini, maka rujuklah di dalam buku-buku saya yang lain.

Saya berharap apa yang saya tuliskan di sini mencukupi bagai umat Islam moden untuk berada di dalam realiti besar yang berkaitan dengan Islam. Semoga ia dapat menambahkan ilmu terhadap pengetahuan ajaran Islam yang asas bagi umat Islam di zaman kita. Akhirnya dia mengenali intipati ajaran agamanya, berlepaslah dia daripada hanya mengemalkan sebahagian-sebahagian sahaja, jumud, lemah, cacat, selamat daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, rekaan orang yang sesat serta takwilan (tafsiran) orang yang jahil.

Semoga ia memungkinkan memberi gambaran yang benar terhadap asas agama ini kepada orang bukan Islam yang berminat mengenali ajaran Islam yang Allah telah menurunkan kebaikan pada kitab-Nya yang akhir, membangkitkan penutup segala nabi-Nya, yang menjadi rahmat seluruh alam serta diperlukan manusia keseluruhannya. 

Aku tidak memberikan petunjuk melainkan petunjuk itu diberi oleh Allah, kepada-Nya aku bertawakal dan aku akan kembali.

Doha,
Rejab tahun 1416H,
Disember 1995M.

Al-Faqir Ila Maulāhu
Yūsuf al-Qaraḍāwi.