Allah Taala berfirman:
93. dan sesiapa Yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.
(Al-Nisā’: 93)
Allah juga berfirman:
68. dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
69. akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -
70. kecuali orang yang bertaubat …
(Al-Furqān: 68-70)
Allah juga berfirman:
… bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; …
(Al-Māidah: 32)
Allah juga berfirman:
8. dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -9. atas dosa apakah ia dibunuh?
(Al-Takwīr: 8-9)
Nabi SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ
Jauhilah 7 (dosa) yang membinasakan…
Kemudian baginda menyebutkannya. Salah satunya ialah membunuh jiwa yang diharamkan Allah. Nabi SAW juga bersabda setelah ditanya tentang dosa apakah yang paling besar? Katanya:
«أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ» قَالَ : ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ» قِيلَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «أَنْ تُزَانِيَ بِحَلِيلَةِ جَارِكَ»
“Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Allah yang menciptamu.” Orang itu bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia turut makan bersamamu.” Orang itu bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu.”
Nabi SAW juga bersabda:
«إِذَا التَقَى المُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالقَاتِلُ وَالمَقْتُولُ فِي النَّارِ»، قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا القَاتِلُ فَمَا بَالُ المَقْتُولِ قَالَ: «إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ»
“Apabila dua orang muslim bertemu dengan pedang terhunus, maka pembunuh dan yang terbunuh (kedua-duanya) di dalam neraka.” Ditanyakan kepada baginda: Wahai Rasulullah, tentang orang yang membunuh boleh difahami, tetapi kenapa pula yang terbunuh (masuk neraka)? Baginda menjawab: “Kerana dia telah berusaha bersungguh-sungguh mahu membunuh saudaranya.”
Nabi SAW juga bersabda:
لَا يَزَالُ الْمَرْءُ فِي فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ مَا لَمْ يتندَّ بِدَامِ حَرَام
Seorang mukmin sentiasa berada pada kelapangan dari agamanya, selagi tidak menumpahkan darah yang haram.[1] [2]
Nabi SAW turut bersabda:
لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ
Janganlah kalian kembali menjadi kafir setelah aku (wafat), apabila sebahagian kalian memenggal leher sebahagian yang lain.[3]
Basyir bin Muhājir berkata, daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya daripada Nabi SAW, katanya:
لَقَتْلُ مُؤْمِنٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ مِنْ زَوَالِ الدُّنْيَا
Sungguh, membunuh seorang mukmin adalah lebih besar di sisi Allah berbanding hilangnya dunia.[4]
Nabi SAW bersabda juga:
لَا يَزَالُ الْمَرْءُ فِي فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ مَا لَمْ يُصِبْ دَمًا حَرَامًا
Seorang mukmin akan sentiasa berada dalam kelapangan agamanya selagi tidak menumpahkan darah yang diharamkan.[5] Ini adalah lafaz riwayat al-Bukhāri.
Nabi juga bersabda:
أَوَّلُ مَا يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ بِالدِّمَاءِ
Perkara pertama yang diputuskan (di dalam pengadilan Allah) pada isu antara manusia ialah isu darah (yang ditumpahkan).[6]
Quraisy berkata, daripada al-Sya`bī, daripada Abdullah bin Umar, katanya; Rasulullah SAW berkata:
أَكْبَرُ الكَبَائِرِ: الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ
Dosa besar yang paling besar ialah: menyekutukan Allah, membunuh jiwa, dan menderhakai ibubapa…[7]
Daripada Humāid bin Hilāl katanya; Kami diberitakan oleh Bisyr bin `Aṣim, diberitakan kepada kami oleh `Uqbah bin Mālik, daripada Nabi SAW, katanya;
إِنَّ اللهَ أَبَى عَلَيَّ مَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا
Allah tidak menghiraukan umatku yang membunuh orang beriman.[8]
Nabi SAW menyebutkannya sebanyak tiga kali. Hadis ini bersesuaian dengan syarat Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
مَا مِنْ نَفْسٍ تُقْتَلُ ظُلْمًا إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْ دَمِهَا، لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ
Tidaklah seseorang yang dibunuh secara zalim melainkan anak Adam yang pertama (si pembunuh) akan turut menanggung darahnya (maksudnya: dosanya) kerana dia ialah orang pertama yang memberi tauladan pembunuhan.[9] Muttafaq alaih.
Daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW, katanya:
مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
Sesiapa yang membunuh mu`āhad (orang kafir yang memiliki perjanjian damai dengan kaum Muslimin) maka dia tidak akan dapat mencium bauan syurga. Sekalipun wanginya syurga dapat tercium daripada jarak empat puluh tahun perjalanan.[10]
Ia direkodkan oleh al-Bukhāri dan al-Nasāie.
Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, katanya:
أَلَا مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهِدًا لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ، فَقَدْ أَخْفَرَ بِذِمَّةِ اللَّهِ، فَلَا يُرَحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ خَرِيفًا
Ketahuilah sesiapa yang membunuh mu`āhid, baginya jaminan Allah dan jaminan utusan Allah maka orang tersebut telah mengkhianati jaminan Allah. Dia tidak akan dapat mencium bauan syurga sekalipun wangian berkenaan dapat ditemui daripada jarak empat puluh tahun perjalanan.[11] Disahihkan oleh al-Tirmizī.
Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, katanya:
مَنْ أَعَانَ عَلَى قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِشَطْرِ كَلِمَةٍ، لَقِيَ اللَّهَ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ: آيِسٌ مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ
Sesiapa yangmembantu untuk membunuh seorang Mukmin sekalipun dengan kata-kata sahaja, maka dia akan bertemu Allah dalam keadaan di antara kedua-dua matanya tertulis: Terputus daripada rahmat Allah.[12]
Hadis berkenaan diriwayatkan oleh al-Imām Ahmad dan Ibnu Mājah. Pada Isnadnya terdapat kritikan.
Daripada Mu`āwiyah katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ ذَنْبٍ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَغْفِرَهُ إِلَّا الرَّجُلُ يَمُوتُ كَافِرًا، أَوْ رَجُلٌ يَقْتُلُ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا
Setiap dosa Allah akan ampunkan kecuali seseorang yang mati dalam keadaan kafir atau seseorang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja[13]. Diriwayatkan oleh al-Nasāie.
_____ Nota Kaki_____________
[1] Aku tidak menemui hadis dengan lafaz ini. Aku hanya menemui di dalam al-Musnad 148/4 daripada `Uqbah bin `Āmir al-Juhani RA, katanya: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَلْقَى اللهَ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، لَمْ يَتَنَدَّ بِدَمٍ حَرَامٍ، إِلَّا دَخَلَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَ
Seseorang yang bertemu Allah dengan tidak syirik kepada Allah dengan sesuatu apa pun, tidak menumpahkan darah yang haram, dia akan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya.
Di dalam Sunan Ibn Mājah bilangan 2618 pula, daripada Uqbah bin `Āmir, katanya: Rasulullah SAW berkata:
مَنْ لَقِيَ اللَّهَ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا لَمْ يَتَنَدَّ بِدَمٍ حَرَامٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Sesiapa yang bertemu Allah dalam keadaan tidak syirik kepadanya dengan sesuau apa pun, tidak menumpahkan darah yang diharamkan maka akan masuk ke syurga.
Di dalam al-Zawāid menyatakan: “Isnadnya sahih sekiranya Abdul Rahman bin `Āiz mendengar daripada Uqbah bin `Āmir. Dan dikatakan bahawa riwayat Abdul rahman daripada Uqbah adalah mursal.
Demikian juga hadis ini diriwayatkan oleh al-Hākim 4/351 dan mensahihkannya, ia disetujui al-Zahabi. Maksud Lam Yatanadda: Iaitu tidak menumpahkan sesuatu atau tidak mengenakan sesuatu apa pun kepadanya.
[2] (Ulasan penterjemah) Berdasarkan penelitian kami, hadis ini sebenarnya terdapat juga di dalam Sahih al-Bukhāri, bilangan 6862 dan Ahmad 5648 dengan lafaz daripada Ibnu Umar, Rasulullah bersabda:
لَنْ يَزَالَ المُؤْمِنُ فِي فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ، مَا لَمْ يُصِبْ دَمًا حَرَامًا
Seorang mukmin akan sentiasa berada dalam kelapangan agamanya selagi tidak menumpahkan darah yang diharamkan.
[3] Al-Bukhāri meriwayatkan hadis ini di dalam kitab al-`Ilm (Bāb al-Inṣāt lil `Ulamā’) bilangan 121. Manakalan Muslim meriwayatkannya di dalam Kitab al-Imān (Bāb Bayān Ma`nā qaul al-Nabī: La Tarji`u Ba`dī..) bilangan 65.
[4] Diriwayatkan oleh al-Nasāie di dalam Kitāb Tahrīm al-Dam (Bāb Ta`ẓim al-ḍam) 7/83 dan 84.
[5] Diriwayatkan oleh al-Bukhāry di dalam Kitāb al-Diyāt (Bāb Qaulillah: Wa Man Yaqtul Mukminan…”) bilangan 6862. Diriwayatkan juga oleh Ahmad 94/2 daripada Abdullah bin Umar R.anhuma.
[6] Diriwayatkan oleh al-Bukhāri di dalam kitab al-Diyāt (Bāb Qaulillah: Wa Man Yaqtul Mukminan..) bilangan 6864. Muslim juga meriwayatkannya di dalam Kitab al-Qasāmah (Bāb al-Mujāzah bil Dimā’ fi al-Ākhirah.) Bilangan 1678. Al-Nasāie meriwayatkannya di dalam Kitāb Tahrīm al-Dam (Bāb Ta`ẓim al-Dam) 83/7 daripada Abdullah bin Mas`ud RA.
[7] Al-Bukhāri meriwayatkannya di dalam Kitāb al-Aimān wa al-Nuzūr (Bāb al-Yamīn al-Ghumūs) bilangan 6675. Diriwayatkan oleh Ahmad 2/201. Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma. ia diakhiri dengan “Wal Yamīn al-Ghāmūs” – “dan sumpah dusta”.
[8] Ahmad meriwayatkannya 5/289. Di dalam sumber asli disebutkan “Naḍr bin `Āṣim”. Tashih daripada al-Musnad dan al-Khulāṣah halaman 49.
[9] Diriwayatkan oleh al-Bukhāri di dalam kitab Ahādis al-Anbiyā’ (Bāb Khalq Adam wa Zurriyatahu) bilangan 3335 serta Muslim di dalam Kitāb al-Qasāmah (Bāb Bayān Ismun man Sanna al-Qatl) bilangan 1677. Maksud al-Kifl ialah: al-Jazā’ (Balasan) dan al-Nasib (Habuan). Al-Khalil berkata: al-Kifl maksudnya al-Ḍi`f (Gandaan).
[10] Diriwayatkan oleh al-Bukhāri di dalam kitāb al-Jizyah wa al-Muwāda`ah (Bāb Ism Man Qatala Mu`āhadan bi ghair Jazm) bilangan 3166 dan diriwayatkan oleh Ibn Mājah di dalam Kitab al-Diyāt (Bāb Man Qatala Mu`āhadan) bilangan 2686. Diriwayatkan oleh al-Nasāie di dalam kitāb al-Qasāmah (Bāb Ta`ẓīm Qatalu al-Mu`āhid) 8/24 dan diriwayatkan oleh Ahmad 5/36.
[11] Diriwayatkan oleh al-Tirmizī di dalam al-Diyāt (Bāb Mā Jā’a Fi Man Yaqtul Nafsan Mu`āhadan) bilangan 1403. Padanya terdapat lafaz:
وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
sekalipun wangian berkenaan dapat ditemui daripada jarak tujuh puluh tahun perjalanan.
Al-Tirmizi berkata: Hadis Abu Hurairah; Hasan Sahih.
[12] Saya tidak menemuinya di dalam al-Musnad. Diriwayatkan oleh Ibn Mājah di dalam Kitāb al-Diyāt (Bāb al-Taghliẓ fi Qatli Muslim Zulman) bilangan 2620. Di dalam al-Zawāid menyebutkan: Di dalam isnadnya terdapat Yazid bin Abi Ziyād, para ulama sangat mendaifkannya sehingga sebahagian berkata’ seoralh-olah ini adalah hadis palsu.
[13] Diriwayatkan oleh Abu Dāud di dalam kitab al-Fitan wa al-Malāhim (Bāb Fi Taẓim Qatlu Mukmin) bilangan 4270. Diriwayatkan oleh Ahmad 4/99, al-Hākim 4/351 dan disahihkannya serta dietujui oleh al-Zahabi namun aku tidak temuinya di dalam kitab al-Nasāie (Al-Mujtabā).
(Penterjemah: Hadis ini terdapat dalam rekod al-Nasāie di dalam kitab al-Dām, Bab Ta`ẓim al-Dam, 3984)
Di dalam Hāmisy ((Ba’): Lebih teruk daripada itu ialah seorang mukmin memegang mukmin yang tidak mampu melawannya lalu membunuhnya. Atau seorang yang memberikan penyaksian dusta terhadap satu kelompok orang beriman setelah itu kelompok umat Islam berkenaan dipancung leher mereka di atas penyaksian dusta pendusta terlaknat itu.
0 Comments
Post a Comment