Serangan-serangan fizikal dilakukan terhadap Nabi walaupun baginda adalah individu yang terhormat dan berwibawa di mata semua orang lantaran keperibadiannya yang unggul. Para Quraisy dengan keangkuhan dan kesombongan mereka tidak mampu bersabar lama. Mereka telah menyingsing tangan untuk melakukan serangan terhadap Rasulullah SAW. Mereka menyindir (sarcastic), mengejek (mockery), mengusutkan keadaan, talbis, tasywisy dan sebagainya.
Abu Lahab secara normalnya bertindak selaku orang yang memulakan tindakan berkenaan serta menjadi pemimpin orang Quraisy dalam perkara itu. Bahkan, dia merupakan salah seorang daripada pemimpin Bani Hāshim. Dia tidak takut apa yang ditakuti oleh orang lain. Dia sangat bermusuh dengan Islam dan penganutnya. Dia telah berada dalam kelompok penentang Rasulullah SAW sejak pada hari pertama lagi. Dia telah mula berfikir untuk melakukan permusuhan sebelum orang lain mula berfikir. Sebelum ini kita telah lalui peristiwa yang dia lakukan dalam pertemuan Banī Hāshim, serta apa yang dilakukan di bukit al-Safā.
Abu Lahab pernah menikahkan dua anaknya iaiu Utbah dan Utaibah dengan dua anak perempuan Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalsūm sebelum Nabi SAW dilantik sebagai rasul. Apabila Rasulullah dibangkitkan sebagai rasul, Abu lahab menyuruh kedua-dua anaknya supaya memutuskan hubungan (talak) dengan anak-anak Rasulullah dengan penuh paksaan dan kekerasan sehingga anak-anaknya menurutinya. [1]
Apabila Abdullah – anak kedua Rasulullah SAW – meninggal, Abu Lahab melihat ia sebagai berita baik lalu dia pergi kepada para musyrikin dan memberi khabar gembira kepada mereka dengan mengatakan bahawa Muhammad telah menjadi mandul (Abtar).[2]
Sebelum ini kita telah sebutkan bahawa Abu Lahab mengikuti belakang Nabi SAW pada musim haji dan pasar-pasar bagi mendustakan kata-kata Rasulullah SAW. Diriwayatkan daripada jalan Ṭāriq bin Abdullah al-Muhāribi menunjukkan Abu Lahab tidak hanya mendustakan Nabi SAW tetapi dia bahkan memukul Nabi SAW dengan batu sehingga berdarah kedua-dua tumit Rasulullah SAW.[3]
Isteri Abu Lahab – Ummu Jamil Arwā binti Harb bin Umayyah, saudara perempuan Abu Sufyān – tidak kurang hebatnya menentang Nabi SAW. Dia membawa duri lalu diletakkan di tengah jalan Nabi SAW serta di hadapan rumah Nabi pada waktu malam. Di9a wanita yang kurang ajar lidahnya lancang. Dia sering memfitnah peribadi orang dan manipulasi. Dia menyalakan api fitnah sehingga menjadi penentangan yang ganas terhadap Nabi SAW. Justeru itu di dalam al-Quran dia disifatkan sebagai pembawa kayu api.[4]
Apabila dia mendengar ayat al-Quran yang diturunkan kepadanya dan suaminya, dia datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda duduk di masjid berhampiran Kaabah ketika itu Abu Bakar bersama Rasulullah. Ummu Jamil membawa fihr (kadar penuh gengam) batu di tangannya.
Apabila dia berada di hadapan mereka berdua, Allah telah mengambil pandangannya daripada melihat Rasulullah SAW. Dia tidak melihat melainkan Abu Bakar sahaja. Dia bertanya: Wahai Abu Bakar, di mana rakanmu? Orang memberitahuku bahawa dia telah mengejekku. Demi Allah sekiranya aku menemuinya nescaya aku akan memukulnya dengan batu-batu ini di mulutnya. Demi Allah aku ini penyair! Lalu dia bersyair:
مُذَمَّمًا عَصَينَا ** وَأمرُهُ أَبَينَا ** وَدِينُهُ قَلَينَا
Orang yang tercela telah kami khianati ** Perintahnya kami tidak hiraukan**Agamanya kami tinggalkan!
Kemudia dia beredar. Abu bakar berkata: Wahai Rasulullah, tidakkah dia melihatmu? Lantas Nabi bersabda:
ما رأتني؛ لقد أخذ الله ببصرها عني
Dia tidak melihatku. Allah telah mengambil pandangannya daripada melihatku.[5][6]
Abu Bakar al-Bazzār meriwayatkan kisah ini, di dalamnya ada kandungan: Apabila Isteri Abu lahab berada di hadapan Abu Bakar, dia berkata: Abu Bakar! Rakanmu telah mengeji ku. Abu bakar menjawab: Tidak, demi tuhan binaan ini. Dia tidak menyebutkan syiir serta tidak mendendangkannya. Isteri Abu Lahab berkata: Engkau ini kerja membetulkan dia sahaja![7]
Abu Lahab melakukan semua itu sedangkan dia adalah bapa saudara Rasulullah SAW serta jiran baginda. Rumah Abu Lahab bersambung dengan rumah baginda. Demikian juga jiran-jiran baginda yang lain turut menyakiti Rasulullah sekalipun baginda di rumahnya.
Ibn Ishaq bercerita: Kumpulan orang yang menyakiti Rasulullah di rumah baginda ialah Abu Lahab, al-Hakam bin Abi al-As bin Umayyah, Uqbah bin Abi Mu`iṭ, Adiy bin Hamrā’ al-Saqafi, anak al-Asdak al-Huzali – mereka ini jiran Rasulullah SAW – Tidak seorang pun antara mereka memeluk Islam, kecuali Hakam bin Abu Ash . Salah seorang daripada mereka melemparkan isi perut kambing kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang solat. Orang lain melemparkannya ketika baginda sedang berehat. Rasulullah s.a.w. terpaksa meletakkan beberapa biji batu di hadapan baginda ketika solat sebagai tanda pembatas daripada gangguan mereka. Apabila baginda mendapati kotoran kambing itu mereka lemparkan di hadapan pintu rumah baginda, baginda keluar mengambil sebatang dahan, kemudian membersihkannya dengan dahan tersebut sambil berkata,
يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ ، أَيُّ جِوَارٍ هَذَا
Wahai Bani Abdul Manaf! Apa jenis jiran ini![8]
Lalu baginda pun membuangnya ke jalan.”[9]
`Uqbah bin Abi Mu`iṭ teramat kecewa terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. sehingga dia pun sangat membenci baginda. Telah diriwayatkan oleh al-Bukhāri daripada Abdullah bin Mas`ūd RA:
“Pada suatu hari Nabi Muhammad mengerjakan solat berdekatan Kaabah, sedangkan Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk di sana. Salah seorang daripada mereka berkata pada yang lain,
أَيُّكُمْ يَجِيءُ بِسَلَى جَزُورِ بَنِي فُلاَنٍ، فَيَضَعُهُ عَلَى ظَهْرِ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ؟
‘Siapakah antara kamu yang mahu membawa kotoran daripada unta sembelihan Bani Fulan lalu meletakkannya di atas belakang Muhammad ketika dia sedang sujud?’
Maka, bangkitlah orang yang paling teruk dalam kumpulan itu (dia ialah Uqbah bin Abi Mu`iṭ[10]) mengambil kotoran yang dimaksudkan, lalu menunggu saat yang tepat. Tatkala Nabi Muhammad bersujud kepada Allah, dia segera meletakkan kotoran tersebut di atas belakang baginda, tepat di tengah-tengah antara dua bahu Baginda.
“Ketika itu, saya hanya boleh melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Alangkah bagus jika saya boleh mencegahnya. Mereka tertawa terbahak-bahak hingga badan mereka saling bersentuhan kerana terlampau gembira dan bangga. Rasulullah s.a.w. tetap saja sujud, tidak mengangkat kepalanya sedikit pun sehingga Fatimah datang dan membuang kotoran dari belakang baginda itu.
“Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w. mengangkat kepalanya. Baginda lalu berdoa,
اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ
‘Ya Allah, hukumlah orang Quraisy ini,’
sebanyak tiga kali. Ketika baginda mendoakan seperti itu terhadap mereka, mereka tersentak kerana mereka memandang bahawa doa yang diucapkan di tempat itu pasti mustajab. Baginda meneruskan doanya dengan menyebut nama-nama mereka,
اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ، وَعَلَيْكَ بِعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ، وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ، وَالوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ، وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ، وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ
‘Ya Allah, hukumlah Abu Jahal. Hukumlah Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Walid bin Utbah, Umayyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abu Muaiṭ.’
Baginda menyebutkan nama orang yang ketujuh, tapi saya tidak hafal siapa dia. Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, saya menyaksikan orang yang disebutkan namanya oleh Rasulullah s.a.w. tersebut mati dalam Perang Badar.”[11]
Umayyah bin Khalaf lain pula kelakuannya. Setiap kali melihat Rasulullah s.a.w., dia selalu mencela dan mengumpat baginda. Tentang dirinya, turunlah ayat,“Amat celakalah setiap pencela dan pengumpat.” (Al-Humazah: 1)
Ibnu Hisyam menerangkan, “Humazah (pencela) adalah orang yang mencerca orang lain secara terus-terang, sambil mengenyitkanmatanya. Sedangkan lumazah (pengumpat) adalah orang yang menghina dan bercakap tentang orang lain secara buruk tetapi dilakukan dengan sembunyi-sembunyi.”[12]
Manakala, saudaranya, iaitu Ubay bin Khalaf, tidak jauh berbeza dengan Uqbah bin Abu Muaith. Suatu hari Uqbah mengintip Rasulullah s.a.w. dan mendengar bacaan al-Quran daripada baginda. Tatkala berita itu sampai kepada Ubay, dia mengejek dan mengolok-olok apa yang dilakukan oleh Uqbah. Dia kemudian menyarankan Uqbah untuk meludah wajah Rasulullah s.a.w. dan mencelanya, Uqbah benar-benar melakukannya. Ubay bin Khalaf turut menghancurkan tulang busuk lalu menebarkannya ke udara sehingga tiupan angin membawanya ke arah Rasulullah s.a.w..[13]
Al-Akhnas bin Syariq al-Saqafy juga termasuk orang yang memfitnah Rasulullah s.a.w. Al-Quran telah menyifatinya dengan sembilan sifat dirinya, iaitu dalam firman Allah Taala,“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela dan pergi ke sana ke sini untuk menyebar fitnah, yang selalu menghalangi perbuatan baik serta melampaui batas lagi banyak dosa, yang kasar dan terkenal kejahatannya.” (Al-Qalam: 10-13)
Seterusnya ialah Abu Jahal, yang kadangkala mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu mendengar bacaan al-Quran baginda. Namun selepas itu, dia berlalu pergi meninggalkan baginda tanpa mengimani dan tanpa mentaati, tidak mengambil pengajaran dan tidak pula timbul rasa takut di hatinya. Dia menyakiti Rasulullah s.a.w. melalui ucapannya. Dia menghalangi orang dari jalan Allah. Kemudian dia pergi dengan rasa bangga atas apa yang telah dilakukannya dan menepuk dada atas keburukan-keburukan yang dilakukannya. Seolah-olah dia telah melakukan jasa yang layak dikenang. Berkaitan sikapnya itu, turunlah ayat,“Maka dia tidak membenarkan dan tidak pula mengerjakan solat,” hingga akhir surah.
Abu Jahal melarang Nabi mengerjakan solat sejak pertama kali dia melihat baginda solat di Masjidil Haram. Suatu hari dia mendapati nabi sedang solat di Maqam Ibrahim. Dia serta-merta mengherdik kasar, “Wahai Muhammad! Bukankah aku telah melarangmu melakukan perkara ini?” Lantas dia mengancam Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. tidak duduk diam. Baginda membentak dan menegurnya. Namun begitu, dia menentang, “Hai Muhammad! Dengan alasan apa kamu berani mengancamku? Demi Allah, aku mempunyai lebih banyak pengikut di lembah ini!” Sebab itulah Allah berfirman,17. kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), 18. Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!(Al-Qiyāmah: 17-18)
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Nabi menggenggam batang leher Abu Jahal lalu menyentak-nyentakkannya. Seterusnya baginda berkata kepadanya,“Celakalah kamu dan sesungguhnya kamu amat celaka! Kemudian celakalah kamu dan sesungguhnya kamu amat celaka!” (Al-Qiyāmah: 34-35)
Musuh Allah ini membalas, “Adakah kamu mengancamku, hai Muhammad? Demi Allah, kamu dan Tuhanmu tidak dapat berbuat sedikit pun terhadapku! Aku ini adalah orang yang paling disegani di antara dua Bukit Mekah (Safa dan Marwah).”[14]
Walaupun telah mendapat sergahan daripada Rasulullah s.a.w., Abu Jahal masih dalam kebodohannya. Malahan, kedengkiannya terhadap baginda semakin bertambah.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Abu Jahal berkata, “Adakah Muhammad berani membenamkan wajahnya (bersujud waktu solat) di tengah-tengah kamu?” Ada yang menjawab, “Ya.” Maka Abu Jahal berkata, “Demi Latta dan Uzza, jika aku melihatnya melakukan solat, aku akan pijak batang lehernya. Lalu kubenamkan wajahnya ke dalam tanah.”
Selepas itu, dia mendatangi Rasulullah s.a.w. yang sedang solat. Dia hampir memijak leher baginda tetapi dia segera berundur sehingga membuatkan orang Quraisy terkejut kerana dia mundur ke belakang dan berlindung dengan tangannya sendiri (petanda takut).
Orang Quraisy bertanya hairan, “Apa yang terjadi padamu, Abu Hakam?” Dia menjawab, “Tiba-tiba saja antara diriku dan dirinya ada sebuah parit besar dengan api yang menyala-nyala. Di atas parit itu ada makhluk-makhluk bersayap yang berbaris rapi.”
Rasulullah s.a.w. mengulas peristiwa tersebut,
لَوْ دَنَا مِنِّي لَاخْتَطَفَتْهُ الْمَلَائِكَةُ عُضْوًا عُضْوًا
“Sekiranya dia mendekatiku, pastilah para malaikat menyambar tubuhnya sepotong demi sepotong.”[15]
Ini hanyalah gambaran kecil kezaliman, penindasan kemanusiaan, dan ketidakadilan yang telah berlaku kepada Rasulullah SAW dan para umat Islam yang dilakukan oleh para penentang musyrikin. Sedangkan mereka mendakwa bahawa mereka itulah Ahlu Allah dan penduduk masjidilharam.
Dalam situasi keterdesakan kritikal ini, ia mendesak Rasulullah SAW memilih pendirian terbaik bagi melindungi umat Islam daripada kesusahan, mengurang atau menghentikan semampu mungkin. Maka Rasulullah telah mengambil dua strategi yang bijak yang telah memberi kesan pada dakwah yang lebih mudah dan sampai kepada tujuannya. Ianya ialah:
1- Memilih rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzūmy sebagai pusat dakwah dan lokasi tarbiyyah/pendidikan.
2- Memerintahkan umat Islam berhijrah ke Habasyah.
________________ Nota Kaki ______________
[1] Diriwayatkan perkara berkenaan oleh al-Ṭabārāni daripada Qatādah, di dalam riwayat Ibn Ishāq menyebutkan seorang lelaki Qurasy juga melakukan hal yang sama. Rujuk: Ibn Hisyām 1/652.
[2] Diriwayatkan hal berkenaan daripada `Aṭā’. Tafsir Ibn Kasir: Surah al-Kausar (4/595).
[3] Kanz al-Ummāl: 12/449
[4] (Nota Kuliah):
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (1) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (2) سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ (3) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (4) فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (5)
1. binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! 2. hartanya dan Segala Yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. 3. ia akan menderita bakaran api neraka Yang marak menjulang. 4. dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. - 5. di lehernya sejenis tali, dari tali-tali Yang dipintal. (Al-Masad: 1-5)
[5] Rujuk: Sirah Ibn Hisyām 1/335. 336. Orang Quraisy menamakan Nabi SAW dengan Muzammam, sebagai tanda benci dan cela. Lalu Allah menukar ia sebagai mengeji mereka., al-Tārikh al-Bukhāri 1/11, sahih al-Bukhāri dengan Fath 7/162, Musnad Ahmad 2/244, 240 dan 369.
[6] (Nota Kuliah) Nabi SAW berkata:
أَلاَ تَعْجَبُونَ كَيْفَ يَصْرِفُ اللَّهُ عَنِّي شَتْمَ قُرَيْشٍ وَلَعْنَهُمْ، يَشْتِمُونَ مُذَمَّمًا، وَيَلْعَنُونَ مُذَمَّمًا وَأَنَا مُحَمَّدٌ
Tidakkah kamu semua hairan bagaimana Allah memalingkan diriku daripada caci maki dan laknat orang-orang Quraisy? Mereka mencela dan melaknat muzammam, sedangkan aku adalah Muhammad!
(HR al-Bukhari: 3533)
[7] Diriwiyatkan kisah ini oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak 2/361.
[8] (Nota Kuliah) Hadis ini direkodkan secara bersanad lengkap di dalam al-Ṭabaqāt Ibn Sa`ad (Jilid 1, 201), Ibn Sa`ad meriwayatkan: Diberitakan kepada kami oleh Muhammad Ibn Umar, diberitakan kepada kami oleh Abdul Rahman bin Abi al-Zinād, daripada Hisyām bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah secara marfu` Nabi bersabda:
كُنْتُ بَيْنَ شَرِّ جَارَيْنِ بَيْنَ أَبِي لَهَبٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ ، إِنْ كَانَا لَيَأْتِيَانِ بِالْفُرُوثِ فَيَطْرَحَانِهَا عَلَى بَابِي ، فَيَخْرُجُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ : يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ ، أَيُّ جِوَارٍ هَذَا " ثُمَّ يُلْقِيهِ بِالطَّرِيقِ
Aku berada di antara kejahatan dua orang jiran iaitu Abu Lahb dan Uqbah bin Abi Mu`īṭ. Apabila mereka berdua datang membawa al-furūs (sisa makanan), mereka berdua akan membuangnya di pintuku. Lalu Rasulullah keluar dan berkata: Wahai Bani Abdul Manaf! Apa jenis jiran ini! Kemudian dia membuangnya di jalanan.
Di dalam riwayat ini, Ibn Sa`ad meriwayatkan daripada gurunya iaitu Muhammad bin Umar atau lebih jelas dengan gelaran al-Waqidi. Al-Waqidi adalah seorang perawi yang dilabel sebagai pendusta (Muttaham bi kazib) oleh ulama hadis seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Maka periwayatan al-Waqidi tidak diterima. Rasulullah sememangnya disakiti oleh kaumnya. Tetapi riwayat ini tidak terpakai untuk menguatkan hujah berkenaan kerana kedaifannya yang terlalu serius.
[9] Rujuk: Ibn Hisyam 1/416
[10] Kejadian ini dicatat dengan jelas dalam Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 543.
[11]Sahih al-Bukhari, kitab “al-Wuduk’”, bab tentang apabila seseorang solat kemudian dia terkena kotoran, jil I, hlm. 37.
[12]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 356-357.
[13]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 361-362.
[14] Rujuk Tafsir Ibn Kasir 4/477 dan al-Dar al-Mansūr 6/478 dan selainnya.
[15]Diriwayatkan dalam Sahih Muslim.
0 Comments
Post a Comment