Soalan: Apakah metodologi Ustaz di dalam meletakkan status hadis?
Jawapan: Saya bukan ulama hadis atau pelajar yang khusus menyibukkan diri di dalam ilmu hadis. Justeru itu, status hadis yang saya letakkan tidak boleh dijadikan rujukan utama.
Kedua, saya akan memilih salah satu daripada pendapat para ulama yang memberi ulasan terhadap hadis berkenaan. Saya terpaksa memilih kerana banyak hadis yang tidak disepakati statusnya oleh para ulama sekalipun mereka alim-alim belaka.
Ketiga, jika berlaku pertembungan yang besar di dalam satu hadis, maka saya akan membuat penelitian yang lebih mendalam dengan kadar ilmu yang saya ada. Kemudian saya akan nyatakan pendapat yang saya pilih, serta saya akan letakkan juga pendapat berbeza supaya ahli hadis dan tuan-tuan guru boleh menilainya.
Keempat, jika saya tidak temui para ulama hadis memberi ulasan terhadap status hadis berkenaan, maka saya juga tidak akan memberikan apa-apa ulasan.
Kelima, pada masa ini saya gunakan semua jalan yang saya tahu untuk mendapatkan status hadis berkenaan. Saya buat carian di Google terlebih dahulu, kemudian saya akan semak melalui perisian al-Maktabah al-Syamilah. Setelah itu, (jika perlu) saya akan merujuk kitab asal sama ada versi PDF atau di dalam perpustakaan peribadi saya.
Terakhir, bertaqwalah kita kepada Allah. Kita bimbang perbuatan kita tidak didasari dengan ilmu. Kita bimbang kita menuduh hadis itu dusta tanpa kita mengkajinya. kita bimbang mensahihkan hadis dengan hawa nafsu. Kita bimbang nanti bertemu Allah dalam keadaan muflis. Kita bimbang berdusta atas nama Rasulullah SAW.
WallahuA`lam.
0 Comments
Post a Comment