Ibnu `Abbās radhiyallahuanhā menyampaikan bahawa Rasulullah SAW
bersabda:
لَوْ
يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ
وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى
مَنْ أَنْكَرَ
Kalaulah diberikan
(kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan ada manusia yang
mendakwa miliknya harta orang yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam
Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila
telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti
tadi).
(HR al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubrā: 21201)
Hadis ini hasan menurut Imam an-Nawawi. Sebahagian hadis ini terdapat di
dalam Ṣahīhain, al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711).
Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang individu hanya boleh didakwa
dengan sesuatu tuduhan apabila terdapat bukti yang menyokongnya. Jika kaedah
ini tidak diamalkan lalu sesiapa sahaja yang mendakwa dikira sebagai benar,
maka akan rosaklah sistem keadilan. Akan ada orang yang mengatakan “Si fulan
ini telah membunuh bapaku..” lalu akan jatuh hukum qisas. Akan ada orang yang
mengatakan, “Si fulanah telah meminjam daripadaku RM 10,000 tetapi sengaja
tidak mahu membayarnya..”. sedangkan agama telah memberikan kaedah yang penting
bagi menjaga hak setiap individu.
Daripada hadis di atas, difahami bahawa setiap individu tidak dikira
sebagai bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Ia juga bertepatan dengan
kaedah fikah yang agung menyatakan:
❶ Hukum asal bagi semua individu ialah dirinya bebas
daripada sebarang tuduhan atau pertanggungjawaban.
الأصل برآءة الذمة
❷ Yakin tidak dapat dihilangkan dengan syak.
اليقين لا يزول بالشك
Pembuktian (al-bāiyyinah) yang disebutkan di dalam hadis di atas
hendaklah diambil perhatian kerana ia adalah medium utama yang diperlukan bagi
memaksa sumpah ingkar serta bantahan daripada orang yang tertuduh. Sekiranya ia
tidak ada, maka pihak tertuduh tidak perlu bersumpah dengan apa-apa sumpah. Melainkan
sekirnya isu berkenaan telah sampai ke muka pengadilan dan pihak hakim
memutuskan supaya tertuduh untuk bersumpah. Dalam hal ini, tertuduh wajib
bersumpah kerana ia adalah isu penghakiman.
Bentuk Bukti
Para ulama menyatakan bahawa bukti yang mahu dibawa berkenaan bergantung
kepada kes yang terlibat. Bukti berkenaan mestilah sesuai dengan kes terbabit. Kita
jadikan isu liwat dan zina sebagai contoh:
Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menyebutkan, “Justeru, perlu ditegaskan
dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara
ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-
❶ IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf
oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu. Sama ada mencuri,
berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda
bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w
❷ EMPAT SAKSI LELAKI
YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah
membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada
hukum Islam.
Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN
LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa
empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh
terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada,
hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di
atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk
perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua
bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau
menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.[1]
Pengecualian Kaedah
Namun ada beberapa isu yang terkeluar daripada kaedah ini apabila
perkara berkenaan hanya berlaku kepada dirinya. Contohnya:
❶ Dakwaan seorang anak yang telah baligh dengan cara
bermimpi.
❷ Wanita mendakwa telah selesai waktu iddah
dengan tiga kali kitaran suci haid.
❸ Seseorang yang diberi amanah mendakwa bahawa
barang tersebut hilang kerana dicuri.
Faedah Hadis
ini:
❶ Islam adalah agama yang sentiasa terkehadapan
di dalam isu hak asasi manusia. Untuk mendapatkan kajian yang menarik dan bagus
dalam isu ini, sila rujuk kompilasi kertas kerja “Nadwah Huqūq al-Insān fi
al-Islām” yang di anjurkan di London.
❷ Orang yang mendakwa sesuatu perkara belum
tentu lagi dia benar. Maka sebarang isu popular tidak boleh diambil begitu
sahaja. Kebanyakan isu dan tuduhan hanya terhenti pada sangkaan buruk sahaja.
❸ Umat Islam diajar untuk menjadi manusia yang
realistik. Tidak boleh melebel seseorang tanpa bukti.
❹ Islam mengajarkan akhlak mulia kepada
umatnya. Tidak boleh melabel sesuka hati.
WallahuA`lam.
[1]
Zaharuddin Abdul Rahman, PhD, http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/990-isu-sumpah-laknat-a-perlukah-dibalas-sumpah.html
dirujuk pada tarikh 14 Nov 2015.
0 Comments
Post a Comment