Ø Pendahuluan Isu :
Terdapat aduan daripada
kalangan orang bukan Islam di Pulau Pinang pada bulan Ogos 2011 yang mendakwa
laungan al-Quran sebelum azan Subuh menggangu orang tidur terutamanya bayi dan
orang sakit.
Pada bulan April 2014 pula, tersebar
satu pesanan ringkas di Facebook yang mendakwa laungan selain azan di corong
masjid dan surau sebelum azan subuh telah menggangu anak-anak kecil yang sedang
tidur.
Justeru itu, isu ini diselidik.
Ø Kesimpulan Kajian :
➊ Adalah tidak wajar, atas alasan
agama menggunakan pembesar suara untuk memasang alunan bacaan selain azan sehingga
mengganggu ketenteraman dan ketenangan orang ramai.
➋ Umat Islam tidak boleh menghalang
azan dikumandangkan di corong masjid atau surau jika ia dikumandangkan pada
waktunya.
Ø Keputusan Fatwa dirujuk :
1- Fatwa Negara Mesir (Darul Ifta`)
bertarikh 19 Julai 2007
2- Fatwa al-Lujnah ad-Daimah Arab Saudi
bernombor 9908, Jilid kedua.
3- Fatwa Majlis Fatwa al-A’la Negara
Arab Saudi bertarikh 25 Mac 2007
4- Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 7
April 2011
Nota : Semua rujukan fatwa yang dirujuk di atas menunjukkan
kesimpulan yang sama.
Ø Metodologi Kajian :
Dalam membuat kajian ini, saya
menjadikan beberapa isu sebagai kayu ukur.
1- Isu yang dibangkitkan ialah isu memasang
sesuatu bacaan atau suara di corong pembesar suara masjid atau surau sebelum
azan. Jadi, ia turut merangkumi laungan bacaan al-Quran, bacaan hadis,
ceramah peringatan, siaran rakaman, bacaan tahrim subuh, zikir dan seumpamanya.
2- Pandangan yang saya bawakan dalam
kajian diwajibkan mempunyai rujukan yang sahih terutamanya ayat al-Quran,
hadis, dan pendapat para ulama moden dan silam.
3- Kajian ini mengambil kira isu umat
Islam di Malaysia yang hidup bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam dalam
satu negara. Pada pandangan saya, setiap rakyat di Malaysia termasuk yang bukan
Islam mempunyai hak yang sama rata sebagai warganagera dengan umat Islam.
(Bukan Islam) mereka dibenarkan untuk menyampaikan pendapat tentang agama Islam
selagimana mereka mampu memberi ruang kepada umat Islam memberi penjelasan.
Fakta 1 : Hadis Nabi Melarang Menggangu Orang Dengan
Bacaan al-Quran
Saya melihat hadis yang kuat menyokong
sebarang kesimpulan dalam isu ini ialah hadis riwayat Abu Daud di bawah,
اعْتَكَفَ رَسُولُ
اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ
بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ : « أَلاَ إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ
رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى
بَعْضٍ فِى الْقِرَاءَةِ »
Ketika Nabi
s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat
suara bacaan (al-Quran). Lalu baginda mengangkat langsir dan berkata: “Ketahui
setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti
sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain”
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnauth, hadis ini Sahih.
Memahami Hadis : Dalam hadis di atas, terdapat larangan yang
jelas daripada menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid apabila menggangu
orang di dalam masjid.
Isu ini jelas kepada kita, apabila bacaan
al-Quran di dalam masjid secara kuat menggangu orang yang beribadah di dalam
masjid dilarang, maka menggangu orang yang di luar masjid adalah lebih utama
untuk dilarang.
Islam adalah agama toleransi,
adil, penuh adab dan kasih sayang. Ia adalah satu-satunya agama yang diiktiraf
sebagai benar oleh Allah swt. Agama ini tidak pernah memaksa siapapun untuk
memeluknya. Ia memberi kebebasan untuk semua orang memilihnya sebagai pegangan
hidup.
Allah menyatakan hal ini dalam surah
al-Kahfi, ayat 29,
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ
فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
Katakanlah, “Kebenaran ialah
sesuatu yang datang daripada tuhan kamu, sesiapa yang mahu beriman, maka
berimanlah! Sesiapa yang mahu menjadi kafir, maka jadilah dia orang yang
ingkar!..
(Al-Kahfi: 29)
Setelah agama Islam memberi
ruang yang besar kepada manusia membuat pilihan dalam beragama, maka tibalah
saat umat Islam untuk berdakwah dengan penuh disiplin dan beradab. Umat Islam
hendaklah menyebarkan slogan-slogan Islam dengan jalan yang betul dan sesuai.
Umat Islam tidak boleh
menjadi fitnah dalam masyarakat sehingga mereka menjadi benteng yang menghalang
daripada orang mendapat penjelasan tentang hakikat Islam yang sebenar.
Umat Islam ditegah dari
memaksa-maksa orang lain sehingga menggangu kehidupan di rumah dan tempat kerja
mereka. Apatah lagi gangguan itu menyebabkan terganggunya masa rehat dan
berhibur.
Gangguan terhadap bukan Islam
tidak dibenarkan, apatah lagi gangguan terhadap orang Islam yang mempunyai
kedudukan khusus berdasarkan perintah Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 58,
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ
الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا
بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
Orang-orang yang menyakiti
lelaki dan perempuan yang beriman sedangkan mereka tidak bersalah maka
orang-orang itu telah menanggung kesalahan berbohong serta dosa yang amat jelas.
(Al-Ahzab: 58)
Rasululah saw juga
mengingatkan bahawa umat Islam hendaklah memberikan hak kepada umat Islam yang
lain dalam kata-katanya,
الْمُسْلِمُ مَنْ
سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Orang Islam ialah orang Islam
yang lain merasa selamat dari gangguan lidah dan tangannya.
(Direkod oleh Muslim, 171)
Dalam kitab Tafsir
al-Quran al-‘Adzhim oleh Imam at-Tabrani menyebutkan kata-kata Imam Qatadah
bin Da’amah as-Sadusi[2] :
“Waspalah kamu dari menyakiti
orang-orang yang beriman, kerana Allah murka terhadap orang jenis itu dan akan
menyakiti sesiapa yang menyakiti orang yang beriman.”[3]
Oleh itu kekacauan seperti memperdengarkan ceramah agama
dan bacaan-bacaan ayat al-Quran tanpa memperhatikan keadaan masyarakat sekitar,
sehingga mengganggu ketenangan dan waktu istirehat mereka, serta menggangu
fokus mereka yang sedang bekerja adalah dilarang.
Dakwah
hendaklah disesuaikan dengan waktu, kemampuan dan kesediaan setiap orang. Justeru
tidak sepatutnya seorang muslim menggunakan pembesar suara masjid untuk
mengganggu ketenangan masyarakat, baik di waktu malam mahupun siang. Sekalipun
niatnya adalah untuk memberi nasihat dan melihat pentingnya isi ceramh yang
mahu disampaikan.
Fakta 3 : Nabi Menghormati Waktu dan
Keadaan Orang Lain
Waktu malam adalah waktu
rehat untuk setiap orang. Waktu ini tidak boleh diganggu dan dikacau oleh
sesiapapun sekalipun dia ialah seorang pendakwah dan berniat baik.
Dalam kehidupan dakwah Nabi saw, baginda
sentiasa menjaga perasaan dan waktu rehat orang yang baginda mahu dakwah. Dalam
pelbagai hadis, kita dapati Rasulullah sangat prihatin dalam isu ini.
Pada suatu hari Rasulullah
bercerita,
إِنِّي لأَدْخُلُ فِي الصَّلاَةِ
فَأُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ مِمَّا
أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ.
Aku bersolat lalu aku
berkeinginan untuk memanjangkan solat tersebut. Tiba-tiba aku terdengar suara
tangisan bayi lalu aku meringankan solatku kerana aku mengetahui betapa
besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisan anaknya.
(Direkod oleh al-Bukhari: 710)
Rasulullah saw sangat prihatin dengan isu
orang lain. Sekalipun memanjangkan solat dengan bacaan ayat al-Quran yang kuat
tidak salah, tetapi menggangu orang lain adalah satu kesalahan. Niat yang baik
tidak menghalalkan semua perbuatan.
Satu peristiwa yang pernah diceritakan
oleh Jabir bin Abdullah juga mampu menjelaskan kepada kita bahawa Islam sangat
prihatin terhadap masa dan keadaan orang lain sekalipun dalam amal ibadat.
Jabir bercerita,
“Mu’adz bin Jabal sering
solat bersama Rasulullah, kemudian pada suatu hari dia solat bersama kaumnya
dan menjadi imam mereka. Lalu dalam solat itu Mu’adz membaca surah al-Baqarah.
Seorang lelaki telah keluar dari solat berjemaah itu lalu solat dengan ringan.
Isu tersebut telah sampai kepada Mu’adz lantas dia berkata ‘Sesungguhnya lelaki
itu telah menjadi munafik.’
Cerita tentang kata-kata Mu’adz itu
telah sampai kepada lelaki berkenaan. Dia pun pergi bertemu Nabi saw dan
mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami adalah kaum
yang memiliki pekerjaan untuk menyiram ladang, sementara semalam Muaz solat
mengimami kami dengan membaca surat al Baqarah, hingga aku keluar dari shaf,
lalu dia menyangka aku seorang munafik." Maka Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai
Muaz, apakah kamu hendak membuat fitnah?" -Baginda mengucapkannya
hingga tiga kali- “bacalah Was syamsi wadluhaaha dan wasabbih bismirabbikal
a'la atau yang serupa dengannya."
(Direkod oleh al-Bukhari: 6106)
Dalam hadis yang lain,
keprihatinan Islam itu nampak lebih jelas. Abu Mas’ud al-Ansari bercerita,
قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللهِ
لاَ أَكَادُ أُدْرِكُ الصَّلاَةَ مِمَّا يُطَوِّلُ بِنَا فُلاَنٌ فَمَا رَأَيْتُ
النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْ يَوْمِئِذٍ
فَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ
فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمُ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Seorang lelaki pernah mengadu
kepada Nabi saw, "Wahai Rasulullah, aku hampir tidak
sanggup solat yang dipimpin seseorang dengan bacaannya yang panjang."
Sewaktu
itu itu aku (Abu Mas’ud) belum pernah melihat Nabi saw memberi peringatan
dengan lebih marah dari yang disampaikannya pada hari berkenaan.
Rasulullah berkata:
أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ
مُنَفِّرُونَ، فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ فِيهِمُ
المَرِيضَ، وَالضَّعِيفَ، وَذَا الحَاجَةِ
"Wahai
manusia, kalian membuat orang lari menjauh. Maka barangsiapa solat mengimami
orang lain maka ringankanlah. Kerana di antara mereka ada orang sakit, orang
lemah dan orang yang ada keperluan"
(Direkod oleh al-Bukhari: 90)
Fakta
4 : Menambah Sesuatu Sebelum Azan Tiada Asal Usulnya
Majlis
Fatwa Palestin mewartakan,
“Penambahan sesuatu bacaan sebelum azan seperti
zikir-zikir dan bacaan al-Quran adalah satu penambahan kepada azan. Sedangkan
azan ialah satu ibadah yang tidak boleh menerima sebarang penambahan atau
pengurangan (Tauqifiyah). Justeru itu tidak boleh menambah terhadap azan atau
sekadar menambah untuk memberi peringatan tentang azan yang akan
dikumandangkan. Rasulullah berkata, ‘Sesiapa yang menambah sesuatu ibadah dalam
urusan agama kita sedangkan ia tidak ada maka ia tertolak’[4]”[5]
Nota
: Kenyataan fatwa itu dikuatkan apabila tiada dalil yang menunjukkan bolehnya
menambah bacaan-bacaan atau zikir sebelum azan dikumandangkan melainkan azan
pertama sebelum subuh.
Pandangan
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Pada isu ini, Dr. Mohd Asri[6]
menyimpulkan beberapa perkara,
1- Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah
azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara
sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w.
Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada
pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2- Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun
kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain
ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka
sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat
seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3- Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan
bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara.
Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu
mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu
mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima
minit.
Pendapat
Syeikh Ibnu ‘Uthaimin Tentang Membuka Pembesar Suara Luar Masjid Ketika Solat
Ketika menjelaskan isi kandungan Riyadhus Sholihin pada
“Bab Sunat Datang Solat dan Majlis Ilmu Dengan Tenang”, Syeikh berkata,
“Sesuatu yang sangat dibimbangi mendapat dosa ialah apa yang kita lihat
dilakukan oleh sebahagian orang yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat
menggunakan pembesar suara (luar masjid) atas menara.
Perbuatan ini telah mengelirukan orang yang berada disekeliling masjid.
Tidak kiralah ketika solat malam atau solat siang. Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di
sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggalkan perbuatan
ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak
bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang
berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita,
khususnya para imam masjid jangan lakukan hal ini..Boleh jadi sesetengah orang
telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu
dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas
pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya,
masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti
jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”.[7]
Ini adalah Tipu Daya Iblis!
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur
adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Perkara ini telah dimakruhkan oleh Malik bin
Anas[9]
dan lain-lain dengan makruh yang sangat keras. Kerana ia telah mengeluarkan
azan dari tempat yang mulia kepada penyerupaan dengan muzik.
Sebahagian
mereka mencampur adukkan azan subuh dengan zikir, tasbih, dan ceramah. Mereka
jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang
ditambah kepada azan.
Banyak aku lihat
orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas
menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang
tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang
bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar.”
Ø Penutup
Islam adalah agama yang releven untuk setiap zaman dan setiap orang.
Justeru itu, mengembalikan Islam kepada wajahnya yang asal merupakan satu tugas
yang berat yang wajib dipikul oleh setiap umat Islam.
Semoga Allah menerima amalan saya dan memberkati hidup saya dan keluarga.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى مُحَمَّدٍ
وَآلِهِ وَسَلَّمَ
WallahuA’lam.
[2]
Qatadah adalah seorang pakar dari kalangan penduduk Basrah di Iraq. Dilahirkan
pada tahun 60 H. Beliau adalah seorang lelaki yang buta dalam generasi
Tabiin. Dia akan menghafal setiap
perkataan yang dia dengar. Dia meninggal pada pertengahan tahun 118H dalam usia
56 tahun.
[3] Tafsir surah al-Ahzab,
ayat 58.
[4] Direkod oleh
al-Bukhari, 2697
[6] Artikel bertajuk “Saya
Menyokong Keputusan S.S Mufti Pulau Pinang” – drmaza.com
[7] M/s 97-98 Syarah
Riyadhus Solehin, Jilid 4, Madarul Wathan, 1426H.
[8] Rujuk Kitab Talbisul
Iblis, Tahqiq Ahmad bin ‘Uthman. Darul Wathan. 1423 H.
[9] Rujuk Mudawan Kubra
158, Mawahibul Jalil 437, az-Zakhirah 47, Syarah Muntaha Iradat 130, dan
al-Majmu’ Jilid 3 m/s 118.
0 Comments
Post a Comment