Hadis 2: Air Laut Suci dan Bersih
Direkodkan oleh Malik, Asy Syafie, Ahmad dan
Ibnu Abi Syaibah[1]
daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda berkenaan
laut:
هُوَ الطَّهُورُ
مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
“Suci
airnya dan halal bangkainya”[2].
Sebab Hadis Ini Dilafazkan
Direkodkan
oleh Ahmad, Al Hakim dan Baihaqi[3] dari Abu
Hurairah r.a berkata: “Satu hari kami
bersama-sama Rasulullah s.a.w lalu datang kepada Rasulullah s.a.w seorang
nelayan dan bertanya: Wahai Rasulullah, kami belayar di lautan untuk menangkap ikan, salah seorang daripada kami
membawa bekas air dengan harapan bahawa perjalanan kami menangkap ikan ini
tidak jauh, kemungkinannya begitulah, akan tetapi berkemungkinan juga tidak
begitu, kami tidak mendapat sebarang hasil tangkapan lalu kami belayar sehingga
ke tempat yang kami tidak duga, berkemungkinan dia bermimpi sehingga
mengeluarkan air mani, lalu dia mandi atau berwudh. Jika dia mandi atau
berwuduk dengan air yang dibawa itu, kami bimbang jika seseorang dari kami mati
dengan sebab dahaga kerana ketiadaan air minum, maka apakah pendapatmu tentang
air laut, adakah boleh dia mandi atau kami berwudhuk menggunakannya jika kami
bimbangkan perkara tersebut? Maka Baginda s.a.w menjawab: Mandilah dan
berwudhulah (dengannya), sesungguhnya suci airnya dan halal bangkainya”.
Ulasan:
Hadis ini menunjukkan bahawa
Nabi SAW sentiasa memberikan ilmu yang banyak kepada para sahabat baginda.
Apabila ditanya tentang hokum menggunakan air laut, maka Nabi SAW menjawab
soalan berkenaan bersama-sama dengan tambahan yang bermanfaat iaitu bangkai-bangkai
daripada haiwan laut juga halal dimakan.
Faedah 1: Daripada lafaz (Suci airnya)
maka kita fahami bahawa air laut adalah air yang suci dan boleh digunakan untuk
bersuci. Hukum menggunakan air laut adalah sama dengan hukum air hujan, air
takungan, air paip, air salji dan sebagainya. Selagi ia tidak berubah sifat,
maka ia tetap bersih.
Daripada sudut pembahagian, air
laut berada pada bahagian: Suci lagi menyucikan.[4]
Faedah 2: Daripada lafaz (bangkainya
halal) maka kita fahami bahawa bangkai haiawan laut boleh dimakan seperti biasa
sekalipun tanpa disembelih terlebih dahulu. Contohnya seperti bangkai ikan
paus. Ia halal untuk dimakan sekalipun jika ikan berkenaan hidup ia perlu
disembelih terlebih dahulu.
Faedah 3: Menjadi sunnah buat orang
alim apabila ditanya tentang satu permasalahan supaya dia menjawab dengan
jawapan yang diperlukan serta menambah ulasan penting yang difikirkan sesuai
dengan keadaan orang yang bertanya.
Hadis 3: Air Bersih Selagi Tidak Berubah Warna
dan Rasa
Dikeluarkan
oleh Ahmad, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban[5],
daripada Ibnu Abbas berkata: “Telah
bersabda Rasulullah s.a.w:
Air itu tidak dinajiskan oleh sesuatu”
Sebab Hadis Ini Dilafazkan
Dikeluarkan
oleh Ahmad, Abu Daud, At Tirmizi dan An Nasai[6]. Lafaz
ini riwayat An Nasai. Daripada Abu Said Al Khudri r.a, beliau berkata: “Aku berjalan melintasi Nabi s.a.w dan ketika
itu baginda s.aw sedang berwuduk di telaga Budha’ah[7],
maka aku bertanya kepada baginda s.aw: Wahai Rasulullah s.a.w, bolehkah
berwuduk di telaga Budha’ah sedangkan dicampak kedalamnya ‘Al Hiadh’ (perca
kain yang digunakan untuk mencuci darah haidh) ,‘Al Natn’[8]
(sesuatu yang berbau busuk) dan juga daging-daging anjing? Maka baginda s.a.w
menjawab: Airnya suci tidak dinajiskan oleh sesuatu”.[9]
Ulasan:
Hukum asal bagi air mutlak ialah bersih melainkan
sifatnya bertukar dengan perubahan 3 perkara:
❶ Baunya telah bertukar sehingga disebutkan bahawa ia bukanlah bau asal bagi
air mutlak berkenaan.
❷ Rasanya telah bertukar seperti air laut telah bertukar kelat najis
❸ Warna asal bagi air mutlak berkenaan berubah menjadi bentuk bernajis.
Air telaga adalah salah satu daripada jenis-jenis air
mutlak. Maka asal bagi air telaga adalah bersih. Apabila ada perubahan
baharulah air berkenaan dianggap kotor dan tidak boleh diguna untuk bersuci.
WallahuA`lam.
Hadis 4: Air Dua Qullah
Dikeluarkan
oleh Abu Ahmad Al Hakim[10] dan
Baihaqi dari Yahya bin Ya’mar bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا كَانَ الْمَاءُ
قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلْ نَجَسًا وَلَا بَأْسً
“Jika sekiranya air itu dua Qullah, ia tidak
menanggung sebarang najis dan kotoran.”
Sebab Hadis Ini Dilafazkan
Dikeluarkan oleh Ahmad[11]
daripada Ibnu Umar, beliau berkata: “Aku
mendengar Rasulullah s.a.w ditanya berkenaan air yang berada di padang pasir
dan yang telah dilalu oleh binatang melata dan binatang buas. Maka Baginda Nabi
s.a.w menjawab: Jika sekiranya air itu dua Qullah ia tidak menanggung najis”.
Ulasan:
Sebahagain
ulama khususnya di dalam mazhab asy-Syafii menganggap bahawa air yang kurang
daripada 2 Qullah dikira sebagai sedikit dan menanggung najis. Sedangkan
apabila air yang suci yang lebih daripada kadar dua Qullah adalah banyak dan
tidak menanggung najis.
Sekiranya air
yang kurang daripada 2 Qullah kemudian ada najis bersamanya, maka ia menjadi
nasjis sekalipun jika3 sifat air berkenaan tidak berubah.
Sekiranya air
lebih daripada 2 Qullah, maka hendaklah dilihat adakah ia berubah sifat atau
tidak. Jika berubah sifat barulah ia dianggap tidak menyucikan dan kotor.
Faedah 1: Berapakah Kuantiti 2 Qullah?
Qullah adalah
satu jenis bekas yang digunakan oleh orang-orang Arab di masa lampau untuk
mengisi, membawa dan menyimpan air. Dua abad selepas kewafatan Rasullulah
s.a.w., para ulama fikah di Baghdad dan di Mesir sudah tidak lagi menggunakan
ukuran qullah. Mereka menggunakan ukuran ritl Baghdad. Tetapi ukuran rithl ini
juga tidak menjadi standard kelamaannya, rithl Baghdad dan rithl Mesir tidak
lagi sama. Sukatan rithl ni sudah lama ditinggalkan.
Dalam banyak
kitab fikah disebutkan bahawa ukuran isi padu dua qullah itu adalah 500 rithl
Baghdad. Dua Qullah berdasarkan sukatan lama Iraq iaitu 500 rithl. Satu
rithl bersamaan dengan 375 ml. (Ulama bercanggah pendapat dengan jumlah rithl
dalam dua kolah, ada yang mengatakan 400 rithl dan ada yang menyatakan sampai
1000 rithl. Orang Mesir mengukur 2 qullah dengan ukuran rithl mereka dan
jumlahnya hanya 446 3/7 Rithl).
Jumlah sukatan
Terdapat
pendapat yang berbeza di kalangan ulama mengenai jumlah air dua qullah ini.
❶ Kiraan Moden:
Dr. Wahbah
az-Zuhaili dalam Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu menyatakan jumlah ini sebagai 270
liter.
Jadi apabila
air dalam jumlahnya kurang dari 270 liter digunakan untuk berwuduk, mandi atau
bercampur dengan air yang sudah digunakan untuk berwuduk`, maka air itu
dianggap sudah mustakmal. Walaupun air itu suci, air itu tidak lagi boleh
digunakan untuk menyucikan. Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua Qullah
sebagai 270 liter.
Ada pendapat
menyatakan jumlah dua qullah ini adalah sebanyak 216 liter.
❷ Ukuran Tradisional
Mengikut Dr
Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua Qullah adalah isi padu air
kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram. Ukuran takungan atau
bekas air bagi bekas empat persegi tepat pula ialah 22 ½ inci atau 57
sentimeter, manakala bekas yang berbentuk bulat pula garis pusat 18 inci atau
45.75 sentimeter dan tinggi atau dalamnya 25 inci (63.542 sentimeter).
Mengikut
Jabatan Mufti Negeri Melaka, jumlah dua Qullah kalau dikira dengan tin minyak
tanah, maka air dua Qullah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin ataupun kalau dikira
dengan timbangan, maka berat air dua Qullah itu adalah seberat 162.72 kg. dan
jika dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua Qullah itu
memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.
Faedah 2: Daripada hadis sebab wurud hadis ini, kita
dapati bahawa Nabi SAW ditanya tentang air yang dilalui oleh binatang buas.
Lalu dikatakan Nabi SAW menjawab seperti itu. Sedangkan para ulama telah
bersepakat bahawa air yang dilalui oleh binatang buas tidak menjadi kotor dan
ia kekal dengan hukum asalnya.
Faedah 3: Ibnu `Abdul Bar berkata di dalam kitab at-Tamhid:
: ما ذهب إليه الشافعي من حديث القلتين ، مذهب ضعيف من جهة النظر ، غير
ثابت من جهة الأثر ، لأنه حديث تكلم فيه جماعة من أهل العلم ، ولأن القلتين لم
يوقف على حقيقة مبلغهما في أثر ثابت ولا إجماع
Pendapat asy-Syafii berkaitan hadis Qullatain adalah
pandangan mazhab yang lemah daripada sudut kajian (nazar) serta tidak sabit
daripada sudut asar (hadis). Hadis berkenaan diperselisishkan oleh ahli ilmu.
Kerana Qullatain adalah kadar yang tidak disepakati nilaianya daripada asar
yang sabit atau ijmak.
Justeru, hadis ini mempunyai komentar yang banyak
daripada kalangan ulama bahkan riwayatnya begitu banyak sekali. Pada pandangan
saya, hadis telaga budhaah patut dirujuk bagi memahami hadis yang
mempunyai perbahasan ini.
Di dalam hadis telaga budhaah disebutkan bahawa
air telaga itu sedikit kemudian ia dimasuki oleh najis dan sebagainya tetapi
sifat airnya tidak berubah maka hukumnya kekal harus. Kuantiti bukanlah isu di
dalam menentutkan kesucian air.
WallahuA`lam.
[1] Malik meriwayatkan:
Di dalam bab (pada menyatakan perbezaan antara banyak dan sikit daripadanya),
m/s 60.
[2] Hadis ini sahih kerana banyak jalan periwayatannya.
Al Hafiz Ibnu Hajar menyebut bahawasanya hadis ini datang daripada 9 jalan
periwayatan dan dgn sebab itu dihukumkan sebagai sahih. Lihat: Bulugh Al Maram
dan syarahnya Subul As Salam, jlid 1:m/s 15).
[3] Ahmad: seumpamanya dari Abu Hurairah r.a, jilid 2:
m/s 392.
[4] Di dalam Mazhab
Asy-Syafii, air dibahagikan kepada suci lagi menyucikan (contoh: air laut) suci
lagi menyucikan tetapi makruh digunakan (contoh: Air musyammas), suci tetapi
tidak menyucikan (air sedikit yang musta`mal), serta air bernajis.
[5] Ahmad:
Dengan lafaz yang sama dari Ibnu Abbas, jilid 1: m/s 235.
[6] Ahmad:
Meriwayatkan seumpamanya daripada Abu Said, jilid 3: m/s 31. Abu Daud: Di dalam kitab Bersuci bab
(perbahasan berkenaan telaga Budha’ah), jilid 1: m/s 17, hadis ke 66. At Tirmizi: Di dalam bab-bab bersuci
bab (perbahasan berkenaan air yang tidak dinajiskan sesuatu), jilid 1: m/s 95,
hadis Hasan. An Nasai: Di dalam
kitab Air bab (perbahasan berkenaan telaga Budha’ah) dengan lafaz yang sama, jilid
1: m/s 174.
[7] Telaga Budha’ah: Telaga Budha’ah dibaca dengan hurf
Ba’ diletakkan baris hadapan, terkadang dibaca juga dibariskan Ba’ dengan baris
bawah (Bidha’ah). Telaga ini terletak di Madinah, ia berdiameter enam meter.
(Al Muhit, jilid 3: m/s 6).
[8] Al Hiadh: kata jamak bagi perkataan Hidhah, huruf ha’
berbaris bawah. Maksudnya ialah perca kain yang digunakan untuk membersihkan
darah Haidh.
Al Natn: Sesuatu yang berbau busuk, Di antara kalimah yang dibentuk
dari kalimah ini: ‘muntanah’ bermaksud perkara yang dicela syara’, yang dijauhi
dan dibenci.
[9] At Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan. Abu Usamah telah
meriwayatkan hadis ini dengan baik. Tiada seorangpun yang meriwayatkan hadis
Abu Said berkenaan telaga Budha’ah lebih baik daripada Abu Usamah. Beliau telah
meriwayatkan hadis ini daripada Abu Said dengan berbagai bentuk.
[10] Di dalam naskhah Andalus tertulis: Diriwayatkan oleh
Ahmad dan Hakim.
[11] Ahmad meriwayatkan dengan lafaz seperti ini daripada
Ibnu Umar r.a, jilid 2: m/s 38.
0 Comments
Post a Comment