PANDUAN SOLAT
ketika berMUSAFIR
Disusun
oleh: Syihabudin Ahmad
Graduan
Universiti al-Azhar (Syariah) | www.usatzusa.com
Apabila
bermusafir, umat Islam sentiasa mendapat banyak kesusahan dalam pelbagai segi.
Penat, lelah, mengejar masa, dan sebagainya. Maka dengan kemuliaan Islam yang
sentiasa meraikan praktikal hidup umatnya, ia mensyariatkan solat Musafir yang
akan memberi jalan penyelesaian.
Seseorang
disebut bermusafir apabila dia telah keluar daripada tempat tinggalnya dengan
jarak dan niat tertentu. Bagi orang musafir, mereka diberi kelonggaran
(rukhsah) oleh agama untuk melakukan dua perkara, iaitu solat Qasar dan Jama`.
Bahagian 1: Qasar
Definasi
Qasar
daripada sudut bahasa difahami dengan makna pendek. Manakala daripada sudut
syariat agama Islam pula ia ditakrifkan sebagai memendekkan solat empat rakaat
menjadi dua rakaat.
Solat
yang terlibat ialah: Zohor, Asar dan Isyak sahaja.
Pensyariatan
Menurut
Dr. Al-Mutawali `Atiyah Abdul Baqi[[1]], solat Qasar
disyariatkan pada tahun keempat hijrah. Namun ada pendapat lain menyatakan ia
disyariatkan pada bulan Rabiul Akhir tahun kedua hijrah. Dan pendapat terakhir
menyatakan ia disyariatkan selepas 40 hari berlakunya hijrah Nabi SAW.
Solat
Qasar ini bersandar kepada firman Allah di dalam surah an-Nisa’ berikut:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ
عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ
يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا
مُبِينًا
101. dan
apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa
"mengQasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh
orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh Yang amat
nyata bagi kamu.
(Surah
an-Nisa’: 101)
Jika
disandarkan kepada ayat di atas, kita mungkin keliru dengan syarat ketakutan
yang disebutkan. Tetapi hakikatnya, syarat berkenaan bukanlah satu syarat yang
mutlak. Bermaksud, umat Islam juga dibolehkan untuk mengqasarkan solat pada
waktu lain seperti musafir.
قُلْتُ
لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ
الصَّلَاةِ، إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} فَقَدْ أَمِنَ
النَّاسُ، فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتُ مِنْهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ
بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ»
Aku
bertanya Umar bin al-Khattab: Firman Allah “kamu tidaklah berdosa
"mengQasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh
orang-orang kafir.” Sedangkan kita dalam keadaan aman?
Umar
menjawab: “Aku pernah hairan tentangnya sepertimana engkau hairankan. Lalu aku
bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu. Baginda bersabda: Ia adalah satu
sedekah yang disedekahkan oleh Allah untuk kamu. Terimalah sedekah Allah itu.”
(HR
Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan: 686)
Hukum Qasar Solat
Ulama
berbeza pendapat di dalam hukum mengQasar solat kepada dua pendapat:
❶ Wajib
Pendapat
yang menyatakan solat Qasar adalah wajib bersumber daripada mazhab al-Hanafiyah
dan Ibnu Hazm. Menurut mereka, apabila seseorang telah bermusafir maka dia
hendaklah solat dengan Qasar bagi solat empat rakaat.
Mereka
berhujah dengan 3 hadis.
Hadis
1- Hadis Umayyah seperti di atas.
Hadis 2-
Hadis Ibnu Umar berikut:
«صَحِبْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لاَ يَزِيدُ فِي
السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ»
Aku
pernah bersahabat (bersama) Rasulullah SAW. Baginda tidak menambah solat
melebihi 2 rakaat ketika bermusafir. Demikian juga Abu Bakar, Umar dan Uthman
radhiyallahuanhum.
(HR
al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1102)
Hadis 3:
Hadis Aishah seperti berikut:
فَرَضَ اللهُ
الصَّلَاةَ حِينَ فَرَضَهَا رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ أَتَمَّهَا فِي الْحَضَرِ،
فَأُقِرَّتْ صَلَاةُ السَّفَرِ عَلَى الْفَرِيضَةِ الْأُولَى
Pada
permulaan, solat diwajibkan dengan dua rakaat. Kemudian ia disempurnakan
(ditambah) ketika seseorang berada dalam bermukim. Sedangkan solat musafir
ditetapkan sesuai dengan ketentuan pertama (dua rakaat).
(HR
Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan: 685)
❷ Sunat
Selain
Mazhab di atas, para ulama menyatakan solat Qasar adalah sunat. Hujah yang
paling kuat bagi pendapat ini ialah ayat al-Quran di atas yang mendahulukan
perkataan (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ) yang bermaksud kamu tidaklah berdosa... ini ialah ayat yang
menyatakan bahawa suruhan itu dalam bentuk meringankan.
Demikian
juga sebahagian ulama berpegang bahawa wujud hadis yang menyatakan bahawa Nabi
SAW tidak melazimi Qasar di dalam setiap permusafiran baginda:
Daripada
Aisyah, beliau berkata:
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «كَانَ يَقْصُرُ فِي السَّفَرِ
وَيُتِمُّ , وَيُفْطِرُ وَيَصُومُ»
Nabi SAW
kadangkala mengQasarkan solat ketika musafir, kadangkala memnyempurnakannya.
Kadangkala berpuasa, kadangkala tidak.
(HR
ad-Daruquthni di dalam Sunan ad-Daruquthni, bilangan 2298. Beliau berkata:
Isnad hadis ini Sahih)
Namun
hadis tersebut masih lagi dipertikaikan oleh ramai ulama hadis. Ia tidak kuat
untuk menjadi hujah. Antaranya, Ibn Qayyim menyatakan di dalam Zād al-Maʿād
bahawa hadis berkenaan tidak sahih.
Syeikh
Abdullah Ali Bassam membuat kesimpulan setelah beliau memilih pendapat pertama:
“Adalah
lebih baik bagi orang yang bermusafir untuk tidak meninggalkan Qasar sebagai
mengikuti Nabi SAW serta keluar daripada khilaf orang yang mewajibkannya. Ia
adalah yang paling baik menurut ulamak umumnya.”[[4]]
Dalam
pendapat kedua ini pula, para ulama berbeza pendapat di dalam menyatakan yang
manakah lebih afdhal di buat? Qasar atau itmam? Maka majoriti ulama mengambil
pendapat Qasar kerana ia bertepatan dengan hadis-hadis Nabi SAW.
Isu: Benarkah Aisyah Solat
Tamam ketika Nabi Solat Qasar?
Apabila
dilihat daripada sudut hadis, hadis yang digunakan ialah:
Imam
al-Daraquṭni dengan sanadnya merekodkan bahawa Aisyah bercerita:
خَرَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عُمْرَةِ رَمَضَانَ , فَأَفْطَرَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصُمْتُ وَقَصَرَ وَأَتْمَمْتُ ,
فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَبِي وَأُمِّي
أَفْطَرْتَ وَصُمْتُ وَقَصَرْتَ وَأَتْمَمْتُ , فَقَالَ: «أَحْسَنْتِ يَا
عَائِشَةُ»
“Saya
menunaikan umrah bersama Nabi S.A.W. pada bulan Ramadan. Beliau berbuka tetapi
saya berpuasa. Beliau solat qasar tetapi saya solat tamam”. Saya bertanya:
“Demi Ibubapaku, kamu berbuka sedangkan saya berpuasa, kamu solat qasar
sedangkan saya solat tamam?” Jawab beliau:
“Bagus wahai ‘Aishah”.
(HR
al-Daraquṭni di dalam Sunan: 2293)
Al-Daraquṭni
dan al-Nawawi menyatakan hadis ini hasan. Namun ramai ulama yang lain seperti
Muhammad bin Abdul Hadi, Al-Zahabi, Ibn al-Mulaqqin dan lain-lain menyatakan
hadis ini Munkar kerana Nabi Muhammad tidak pernah melakukan umrah ketika bulan
Ramadhan. Justeru, ia tidak boleh dijadikan hujah yang kukuh.
Hikmah Pensyariatan Qasar
Hikmah Solat Qasar
❶ Mengurangkan kesukaran ketika musafir
❷ Memudahkan manusia menunaikan hak Allah S.W.T.
❸ Menggalakkan manusia menunaikan solat fardu
❹ Menghilangkan
alasan bagi orang musafir dari meninggalkan solat wajib
Tempat bermula Solat Qasar
❶ Dia hanya dibenarkan solat qasar selepas
keluar dari sempadan kampungnya.
❷ Dia boleh solat qasar selagi tidak memasuki
sempadan kampungnya.
❸ Dia boleh solat qasar selagi tidak berniat
untuk bermukim di sesuatu kawasan.
Syarat Sah Qasar
Sebelum
seseorang melakukan solat Qasar, beliau hendaklah memahami dan memenuhi
syarat-syarat berikut:
❶ Dia mesti melaksanakan solat Qasar ketika di
dalam waktu musafir. Tidak boleh dilaksanakan sebelum atau setelah tamat
bermusafir.[[5]]
❷ Jarak perjalanan mesti lebih 16 farsakh atau
bersamaan 80.540KM.[[6]] disebut juga
dengan istilah 2 Marhalah. 1 marhalah ialah perjalanan pada sepanjang waktu
siang. Maka 2 marhalah ialah perjalanan 1 siang dan malam, bersamaan 4 burud.
Jarak
perjalanan ini diambil daripada hadis Ibnu Abbas berikut:
Nabi SAW
bersabda:
يَا أَهْلَ
مَكَّةَ، لَا تَقْصُرُوا الصَّلَاةَ فِي أَدْنَى مِنْ أَرْبَعَةِ بُرُدٍ مِنَ
مَكَّةَ إِلَى عُسْفَانَ
Wahai
penduduk Mekah. Janganlah kamu mengQasar solat apabila perjalanan kurang
daripada 4 Burud daripada Mekah sehingga `Usfan.
(HR
al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, bilangan: 5404, Isnad Dhoif)
❸ Berniat untuk bermusafir sejak awal
perjalanan.
Syarat
niat:
① Niat itu hendaklah telah dimulakan daripada
awal. Sekiranya tidak, maka permusafirannya tidak melayakkan untuk Qasar
sekalipun telah mengelilingi bumi.
② Mempunyai hak menentukan niat. Bermaksud, dia
tidaklah seperti askar yang hanya mengikut kemana arah yang disuruh oleh
pemimpinnya tanpa mengetahui jarak dan lokasi spasifik.
❹ Perjalanan yang ditempuh adalah patuh syariah.
Jika
perjalanan tersebut dengan niat maksiat atau ingin melakukan perkara bidaah dan
mungkar, maka permusafirannya tidak layak untuk mendapat keringanan Qasar
solat.
Jika dia
memulakan permusafiran dengan niat maksiat tetapi bertaubat dan mengubah
niatnya dalam perjalanan, dia boleh mengqasarkan solat selepas itu.
Kaedah
fiqh menyebut:
الرُّخْصَةُ لَا تُنَاطُ
بِالْمَعَاصِي
Rukhsoh
itu tidak boleh dihubungkan dengan kemaksiatan
❺ Ketika bersolat, dia tidak menjadi makmum
kepada imam yang bermukim.
Jika dia
menjadi makmum kepada imam bermukim, maka dia hendaklah menyempurnakan solat
sepertimana imam tersebut tanpa mengira dia tersilap ataupun tidak. Dia
hendaklah mengikut imam berkenaan daripada awal sehingga habis.
Namun
bagi orang yang bermukim pula, mereka harus untuk bersolat dibelakang imam yang
Qasar. Setelah imamnya selesai, maka makmum bangun untuk menyempurnakan solat.
Penghalang Qasar
Perkara-perkara
berikut hendaklah diberi perhatian kerana apabila ia muncul, maka solat Qasar
menjadi terhalang:
❶ Niat tinggal di suatu tempat selama 4 hari
atau lebih kecuali hari bertolak pergi dan bertolak pulang.
Permasalahan ini telah
dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj
al-Tolibin’, menurut beliau:
وَلَوْ
نَوَّى إقَامَةُ أَرْبَعَةِ أيَّامِ بِمَوْضِعٍ اِنْقَطَعَ سَفَرِهِ بِوُصُولِهِ،
وَلَا يَحْسَبَ مِنهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ
“Jika
seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus
(hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari
tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut
pendapat yang sahih.”
Menurut
kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah
4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota
Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat
musafir selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini
kerana dia masih dalam keadaan musafir.
Pendapat
ini digunapakai oleh Jumhur melainkan al-Hanafiyah. Mereka berhujah sehingga 15
hari. Setelah tempoh 15 hari berkenaan, barulah seseorang itu dikira sebagai
orang mukim dan tidak layak lagi untuk bermusafir.
Isu: Musafir Tanpa Tahu
Bilakah Urusan Akan Selesai
Keadaan di
atas hanya terhad kepada orang yang bermusafir dan tahu bilakah tarikh
pulangnya. Tetapi bagi orang yang tidak pasti bilakah dia boleh pulang atau
bilakah kerjanya akan selesai, maka ulama berbeza pendapat.
Pendapat
jumhur: Dia
boleh Qasar solat sehingga urusannya selesai. Sekalipun urusan itu mengambil
masa bertahun-tahun.
Ini
berdalil kepada hadis Jabir bin Abdullah berikut:
أَقَامَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَبُوكَ عِشْرِينَ يَوْمًا
يَقْصُرُ الصَّلَاةَ
Nabi SAW
pernah tinggal serta mengQasar solat di Tabuk selama 20 hari.
(HR
Ahmad di dalam Musnad Ahmad, bilangan: 14139, Isnad Sahih-Al-Arnaouth)
Abdul
Rahman bin Miswar berkata: Kami pernah bersama Sa`ad bin Malik (di beberapa
buah kampung di Syam) selama 2 bulan, beliau Qasar sedangkan kami
menyempurnakan solat.- Musanaf Ibnu Abi Syaibah: 8200
Hafs bin
Ubaid menyebutkan bahawa Anas bin Malik tinggal di Syam selama 2 tahun, dia
bersolat musafir sepanjang tempoh berkenaan.
Pendapat
Syafiiyah: Dia hanya boleh Qasar selama 18 hari sahaja. Mereka berhujah dengan
hadis Jabir bin Abdullah di atas. Menurut mereka ada riwayat lain menyatakan 18
hari, dan itu adalah had maksima untuk Qasar.
❷ Telah tiba di tempat asal dia memulakan
permusafiran dengan tujuan untuk pulang.
❸Membatalkan niat musafir.
Solat Jamaah
❶ Jika orang musafir berimamkan orang muqim, dia
wajib solat tamam empat rakaat.
❷ Orang muqim dibenarkan mengikuti imam musafir
tetapi dia wajib menambah dua lagi rakaat yang berbaki. Imam musafir pula perlu
memberi isyarat supaya makmum menambah rakaat mereka bagi menghilangkan syak
wasangka.
‘Umran
bin Husayn berkata:
غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ،
وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ ، فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِي عَشْرَةَ لَيْلَةً
لَا يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ ، وَيَقُولُ : يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا
أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ
“Aku
berperang bersama-sama Rasulullah SAW. Aku turut serta dalam peristiwa
pembukaan kota Mekah. Baginda tinggal di sana selama 18 hari dengan bersolat
dua rakaat. Selesai dari solat, beliau berkata: Wahai penduduk Mekkah, bangun
dan sempurnakan solat empat rakaat kalian. Kami masih bermusafir”
(HR Abu
Daud: 1229, Dhoif).
Hadis
ini Dhoif tetapi menurut Ibn Taimiyyah di dalam Majmu` al-Fatawa, kata-kata
berkenaan dituturkan oleh Umar al-Khattab ketika bersolat di perkarangan
Kaabah.
Isu: Menggantung Niat
makmum
diharuskan menggantungkan niat qasar jika diketahui bahawa imam itu seorang
musafir, seperti berniat, “aku berniat qasar jika imam mengqasarkan solat, atau
berniat tamam jika imam mentamamkan solat”.
Penggantungan
niat ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab “Raudah al-Tolibin”:
“Jika seseorang tidak tahu niatnya(imam), maka
dia menggantungkan ia(niat), maka dia berniat “Jika dia(Imam) qasar solat maka
aku akan qasarkan solat dan jika dia melengkapkan(tamam) maka aku akan
tamamkan”. Maka di sini ada dua pendapat (di kalangan ulama mazhab Syafi’ie),
yang paling sahih ialah diharuskan menggantungkan niat”.
Manakala
jika makmum syak atau tidak pasti samaada imam itu bermusafir atau tidak maka
dia tidak boleh menggantungkan niat, maka wajib menyempurnakan solat jika ingin
terus bermakmumkan imam itu. Ini kerana tiada bukti yg menampakkan dia itu
seorang musafir, jadi apabila tiada bukti maka kembali pada hukum asal iaitu
seseorang itu pada asalnya dikira sebagai bermukim bukan musafir, jadi orang
mukim tiada cara lain melainkan tamam sahaja.
Apa pun
secara kebiasaannya, sesiapa yang solat di RnR pastinya adalah musafir maka
boleh menggantungkan niat seperti di atas. Jadi anda boleh meneruskan solat
berjemaah, jika imam yang musafir itu mengqasarkan solat maka anda juga turut
mengqasarkannya, jika solat itu ditamamkan oleh imam, maka anda wajib
mentamamkan solat atas dasar mengikuti imam.
Bahagian 2: Jama`
Definasi
Jama`
daripada sudut bahasa bermaksud kumpul. Apabila perkataan ini mahu difahami
daripada sudut syariat agama Islam, maka ia ditakrifkan sebagai: Menggabungkan
dua solat di dalam satu waktu dengan niat tertentu sama ada di waktu pertama
(taqdim) atau kedua (ta’khir).
Solat
yang terlibat ialah: Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sahaja.
Hikmah
Solat
Jama` disyariatkan bagi mengangkat kesusahan daripada umat Islam. Ia juga
bertujuan untuk memastikanumat Islam dapat menjaga solat Jemaah pada isu-isu
tertentu.[7]
Penyariatan
Ibnu
Abbas bercerita:
«كَانَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ
الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ
المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ»
Rasulullah
SAW menJama` antara solat Zohor dan Asar sekiranya berada di dalam perjalanan,
serta juga menJama` di antara solat maghrib dan Isyak.
(HR
al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1107)
Keadaan-keadaan yang
membolehkan Jama`
❶ Musafir
Solat
Jama` ketika bermusafir boleh dilakukan dengan syarat berikut:
① Ia adalah permusafiran yang membolehkan Qasar.
Pendapat ini dipegang oleh jumhur melainkan Malikiyah yang menyatakan bahawa
apa sahaja permusafiran boleh dilakukan Jama` sekalipun tidak sejauh 80 KM.
② Solat berkenaan dibuat secara berturut-turut.
Dengan maksud, seseorang tidak menunggu untuk mendirikan solat kedua dengan
waktu yang panjang sehingga ia dikira terlalu lama oleh uruf. Kadarnya diukur
dengan lama solat 2 rakaat.
③ Melaksanakan dengan tertib. Iaitu mendahulukan
solat yang pertama dahulu sekalipun di dalam waktu yang kedua.
④ Apabila mahu melakukan solat Jama` Ta’khir,
maka diwajibkan berniat melakukannya pada waktu pertama.
❷ Hujan, Salji, Dingin, Selut Tebal, Angin Kencang
Yang Amat Sejuk, Putiung Beliung, dan sebagainya:
Harus
untuk solat Jama` bagi hal-hal tersebut dengan syarat berikut:
① Hanya boleh dilakukan pada solat Jama` taqdim
sahaja. Melainkan Hanabilah yang mengharuskan juga pada Jama` Ta’khir.
② Hujan atau perkara yang disebutkan diatas
telah mula berlaku pada waktu solat pertama.
③ Hendaklah solat ini didirikan di masjid.
Melainkan al-Hanabilah: Mereka menharuskan untuk melakukan Jama` ini sekalipun
di rumah secara bersendirian.
④ Berturutan antara dua solat tanpa ada pemisah
yang terlalu lama.
⑤ Dahulukan solat pertama terlebih dahulu.
Isu di
atas disandarkan kepada kenyataan Ibnu `Abbas berikut:
" أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا
وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ "، فَقَالَ
أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى
“Nabi
SAW bersolat di Madinah tujuh dan 8 (rakaat): Zohor dengan Asar, Maghrib dengan
Isyak.” Ayub bertanya: Mungkinkah ia pada malam hujan? Ibnu`Abbas menjawab:
Boleh jadi begitu.
(HR
al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 543)
❸ Sakit atau Uzur.
Menurut
Hanabilah, orang-orang yang mempunyai kesukaran ini boleh melaksanakan solat
Jama` sama ada taqdim atau ta’khir. Keadaan ini turut terpakai kepada orang
yang istihadhah, Silsil Bul, orang yang bimbang akan ancaman kepada diri, harta
dan maruah, atau bimbang jatuh kepada kemaksiatan apabila tidak Jama` atau
petugas perubatan yang perlu berada di bilik pembedahan.
Keadaan
ini jelas bertepatan dengan hadis Abu Zubair daripada Said bin Jubair daripada
Ibnu Abbas berikut:
«صَلَّى
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا
بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ» قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ
سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا
سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: «أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ»
Rasulullah
SAW bersolat Zohor dan Asar secara Jama` di Madinah tanpa berada di dalam
ketakutan juga bukan dalam keadaan musafir.
Abu
Az-Zubair berkata: Aku bertanya Sa`id: Kenapa Rasulullah melakukannya? Dia
menjawab: Aku bertanya Ibnu Abbas sepertimana engkau bertanyaku lantas dia
menjawab: Baginda mahu supaya tidak menyusahkan sesiapapun daripada kalangan umatnya.
(HR
Muslim, di dalam Sahih Muslim, Bilangan: 705)
Maksud
menyusahkan ialah apabila ada keuzuran.
Isu: Jama` Tanpa Uzur
Al-Ahdal
ditanya: Seseorang telah menyatakan harus untuk Jama` tanpa sebab musafir,
sakit atau hujan. Adakah boleh mengikuti pendapat ini?
Al-Ahdal
menjawab: Penulis berkenaan telah menulis satu artikel tentang hal ini kemudian
dia meninggalkan pendapat berkenaan. Aku mempunyai jawapan di dalam fatwa ini
yang menjelaskan bahawa tidak boleh beramal dengan pendapat berkenaan. Telah
jelas bahawa pendapat itu sangat lemah apabila disandar kepada sunnah bahkan ia
jelas batil apabila mahu dipasakkan kepada sunnah yang benar. Imam asy Syaukani
mempunyai sebuah risalah berjudul: Tasynif as-Sam` bi Ibtal adillatil Jama`.
Kesimpulannya: Tidak boleh mengikut pendapat ini.[[8]]
WallahuA`lam
Senarai Rujukan:
❶ Fiqh al-`Ibadat, Dr. Al-Mutawali `Atiyah Abdul
Baqi, Silibus Pengajian Fikah Mazhab Syafii Universiti al-Azhar Tahun 1, 2009.
❷ Umdatul Mufti wal Mustafti, Al-Ahdal, Jilid 1,
Darul Minhaj, Jedah, Arab Saudi.2008
❸ Taisir al-`Allam Syarh Umdatul Ahkam, Syeikh
Abdullah Ali Bassam, Darul Ibnu Hazm, Beirut, Lubnan. 2004.
❹ Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa al-Bugha,
Darul Qalam, Damsyiq, Syria. 2012
❺ Kitab as-Solah Ala Mazahib al-Arba`ah, Abdul
Qadir Ar-Rahbawy, Darus Salam, Kaherah. 2013.
0 Comments
Post a Comment