Mengutuk sesiapapun secara zalim
adalah tidak baik. Bahkan, saya sendiri tidak bersetuju apabila orang mengutuk
kerajaan secara terbuka. Apatah lagi mengutuk tempat saya menutut ilmu,
Universiti al-Azhar dan guru-gurunya.
Saya pernah bertanya beberapa orang
sahabat yang mendakwa saya mengutuk masyayikh al-Azhar, bolehkah mereka
nyatakan siapakah masyayikh al-Azhar yang saya kutuk? Apakah buktinya? Apa
sebabnya? Akhirnya mereka berdiam diri.
Masyayikh al-Azhar tiada kesan
dengan sebarang kenyataan saya. Mereka adalah ilmuan yang dimuliakan Allah
dengan ilmu.
Tetapi saya menkritik pelajar-pelajar universiti al-Azhar
yang malas ke kelas, terhad dalam pengajian, segan belajar, dan hanya hidup
dalam lingkungan pelajar-pelajar asia sehingga lemah dalam penguasaan bahasa
Arab. Lalu dengan megah dan tidak malu pula melabel diri dengan
"Azhari". Saya mahu mempertahankan al-Azhar dan menjauhkan al-Azhar
daripada terfitnah kerana masalah pelajar-pelajarnya.
Al-Azhar adalah nama besar yang
sentiasa melahirkan graduan yang bermutu tinggi. Tidak jumud dan beku. Sentiasa
menghasilkan idea-idea baharu yang berguna untuk agama dan umat. Tetapi mengapa
masih ada yang tidak bermutu? Mengapa masih jumud? Mengapa tiada penonjolan
akademik dan akhlak? Kesimpulan saya menyatakan bahawa mereka tidak mengikuti
sistem yang dikelolakan Universiti al-Azhar.
Semoga Allah ampunkan kita.
Guru Fikah kami di Universiti
al-Azhar Dumyat, Dr. Husni Ibrahim pernah berkata di dalam satu kuliahnya:
"Saya mengharapkan para pelajar luar negara (luar dari negara Mesir) lebih
bermutu berbanding pelajar-pelajar dalaman. Kamu bermusafir jauh daripada
negara kamu untuk menuntut ilmu, sepatutnya kamu lebih bersungguh-sungguh
daripada pelajar-pelajar dari Mesir."
Malangnya, kita lebih suka kepada
gelaran tanpa menumpukan pada isu pembelajaran. Kita lebih mementingkan
kehadiran program persatuan berbanding kelas, lebih banyak belajar bersama
rakan-rakan berbanding bersama para guru. Ini realiti yang bukan lagi satu
rahsia!
Buat penuntut ilmu, ingatlah
pesan Nabi SAW:
«مَنْ سَلَكَ
طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى
الجَنَّةِ»
"Sesiapa yang melalui satu
jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan jalannya ke syurga."
(HR At-Tirmizi di dalam
Sunan at-Tirmizi: 2646)
Bagaimana Allah mahu memudahkan
jalan kita ke syurga sedangkan kita masih lagi mengabaikan pelajaran?
Jadilah tokoh al-Azhar yang
berkhidmat pada agama dengan tembakan ilmu. Jangan hanya menyebut-nyebutkan
nama tokoh sahaja, tetapi berusahalah supaya kita menjadi seperti tokoh
berkenaan.
Al-Azhar tidak melahirkan
pengikut semata-mata. Ia mahu melahirkan pemimpin. Ia bukan terbina dengan
sekadar kenangan sejarah tetapi ia mahu mencipta sejarah!
Kritikan ini bukan mahu
mengatakan saya lebih baik daripada anda. Tetapi mahu melaksanakan
tanggungjawab persaudaraan.
Bertaqwalah kepada Allah, wahai
sahabat-sahabatku!
____________
Syihabudin Ahmad,
Graduan Universiti al-Azhar.
0 Comments
Post a Comment