Soalan: Apa hukum menghilangkan bau mulut di ketika berpuasa?
Jawapan: Harus berdasarkan pendapat majoriti ulama.
Fakta:
❶ Di dalam
Mazhab asy-Syafiie, mereka menyatakan makruh menghilangkan bau mulut selepas
gelincir matahari ketika sedang berpuasa, sekalipun menggunakan kayu siwak.
Mereka berhujah dengan hadis berikut:
Rasulullah bersabda: “… Demi diriku di
tangan-Nya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah
berbanding bauan kasturi…” (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan:
1894)
Mereka berpendapat: Hadis di atas menyatakan
tentang kelebihan membiarkan mulut tanpa dihilangkan bauannya.
❷ Manakala
pendapat mazhab majoriti ulama (jumhur) pula menyatakan keharusan untuk
menghilangkan bau mulut kerana 2 sebab:
1. Sifat wangi yang disebutkan di dalam hadis
disebutkan bagi tujuan menghalang orang lain daripada melarikan diri daripada
orang yang berpuasa. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Badruddin al-`Aini di dalam
kitab Umdatul Qari’ pada Syarah Sahih al-Bukhari:
“Pujian Nabi SAW tersebut bertujuan menghalang
orang daripada merasa jijik ketika berbual dengan orang yang berpuasa
disebabkan perubahan bau mulutnya. Ia bukan larangan kepada orang berpuasa
daripada bersiwak…”
2. Tidak ada hadis yang sahih dan jelas yang
menghalang umat Islam daripada meninggalkan amalan membersihkan gigi ketika
berpuasa. Maka hukum sunah bersiwak kekal.
Setelah meneliti perkara di atas, kami nyatakan
bahawa pendapat majoriti ulama dalam perbahasan ini adalah lebih kuat dan
selamat. Ia juga tidak terhad kepada penggunaan kayu siwak sahaja, bahkan ia
terbuka untuk apa-apa bahan yang terbukti baik untuk menghilangakan bau.
Wallahua`lam