Ramai penuntut ilmu
di Universiti al-Azhar tidak hadir kelas. Mereka hanya daftar dan hadir pada
pertengahan awal tahun pertama. Apabila pulang ke Malaysia, mereka dipanggil
"Ustaz". Mereka tidak mengambil manfaat al-Azhar, tetapi mereka hanya
mahu kata-kata mereka tidak dipertikai.
Sebahagiannya
melebihkan persatuan berbanding pengajian sehingga bertahun-tahun tidak lulus.
Sebahagian lagi, mengambil kesempatan poteng kerana al-Azhar tidak menjadikan
kehadiran sebagai markah di dalam sistem pendidikannya.
Mereka seolah-olah
belajar seminggu, berehat setahun. Sebahagiannya masuk ke kelas hanya untuk
ambil "soalan spot". Pensyarah pun mereka tidak kenal. Yang lebih
malas akan menghantar utusan sahaja. Mereka bertukus lumus pada minggu terakhir
sebelum peperiksaan, dan akan berehat sepenuhnya selepas ujian berakhir
sehinggalah peperiksaan berikutnya bermula lagi.
Justeru itu, tidak
hairan apabila mereka pulang ke Malaysia dengan membawa ilmu yang tidak
berkembang, bahkan kadang-kala mereka seolah-olah tidak pernah menyentuh bumi
anbiya' berkenaan.
Saya juga salah
seorang daripada lepasan Universiti Al-Azhar. Justeru, sebahagian yang saya
sebutkan juga pernah menempek di wajah saya.
Sekarang ini para
pelajar Universiti al-Azhar sedang menduduki ujian penilaian fasa akhir di
setiap peringkat. Mohon anda doakan semoga orang yang berusaha mendapat
ganjarannya, dan yang malas dan sombong akan mendapat pengajaran.
Al-Azhar mempunyai
ulama daripada pelbagai aliran. Ada Sufi, Ahli Tarikat, Salafi, Ikhwani,
Mazhabi, Non-Mazhabi dan lain-lain. Ia menyimpan ilmu dan ulama. Tetapi
malangnya, ia tidak dimanfaatkan.
Di al-Azhar kita
belajar tentang khilaf dan akibat tidak memahami cara berinteraksi dengan
khilaf. Tetapi apabila pulang ke Malaysia, kita pula yang membuat huru hara dan
perpecahan.
Ulama al-Azhar itu
hebat-hebat belaka, tetapi kita ini tidak akan menjadi hebat dengan hanya
mengatakan, "Aku pelajar al-Azhar! Dia ini guru aku". Tetapi kita
akan menjadi hebat apabila kita menyedari bahawa; “Saya adalah penuntut ilmu
yang berkhidmat sepenuhnya pada perjuangan agama.”
_______
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
28 Mei 2015.
Sungai Buloh, Selangor.
28 Mei 2015.